BAB 3

Mystery & Detective Completed 347

Alim bangun lalu menyorot pandang ke arah Kudin. Walaupun keadaan waktu
itu nampak samar, dari nada suara Kudin jelas sahabatnya itu dalam
ketakutan. Melihat reaksi Kudin, dia turut berdebar jantungnya. Dalam
keadaan sebegitu macam-macam boleh berlaku. Kudin nampak hantukah? Tanpa
berfikir panjang, hatinya turut dicerut rasa takut. Kedengaran lagi
suara sayu burung jampuk di ranting kayu. Bulu tengkuknya tiba-tiba rasa
meremang. Rasa seram sejuk mula menyelubungi seluruh anggota badannya.

“Kau perasan tak rumah kayu kat tepi sawah tu? Dah bertahun tak ada
penghunikan? Aku nampak macam ada cahaya dari arah rumah tu. Bukankah
Aki Meon lama dah meninggal dunia?”

“Dah lebih sepuluh tahun dia meninggal. Aku memang ada dengar cerita roh
orang yang dah meninggal balik ke rumah. Sejauh mana kebenarannya aku
tak tahu!”

“Bukankah dulu orang kampung cakap Aki Meon ada bela saka?”

“Aku dengar-dengar macam itulah. Masa tu kita kecil lagi, mana nak kesah
semua hal macam ni. Pasal saka tu, aku tak berapa nak tahulah Din…”

“Aku pun tak berapa tahu jugak. Pernahlah ayah aku bagi tahu apa tujuan
saka tu dibela. Katanya untuk menjaga harta dan keturunan orang yang
membela saka tu. Saka akan diturunkan dari satu keturunan ke keturunan
yang seterusnya. Siapa yang terpilih terpaksa menerima saka tersebut…”

“Saka tu apa sebenarnya?”

“Saka adalah jin yang dipercayai berada sekian lama dalam tubuh badan
manusia. Akhirnya menjadi sebati dengan manusia itu sendiri. Ini berlaku
sama ada seseorang itu tahu atau tidak, kerana ia datang dari
keturunannya. Kemungkinan ilmu ini telah dipelajari oleh nenek- moyang
mereka dahulu.”

“Maksudnya, ada tak kemungkinan jin itu sendiri yang memilih untuk
mendampingi keturunan yang dia kehendaki setelah ditinggalkan oleh nenek
moyang pembawa saka setelah mereka telah meninggal dunia?”

“Semasa mereka hidup, mereka telah berkawan dan membela jin-jin tersebut
yang dikenali dengan pelbagai nama. Jin yang dijadikan khadam oleh nenek
moyang inilah akhirnya menjadi saka yang diperturunkan dari ayah kepada
anak dan cucu oleh pembela-pembela jin-jin tersebut.”

Prakkk! Kedengaran bunyi ranting kayu macam dipijak orang. Serta merta
perbualan mereka berdua terhenti. Dada mereka kembali berdegup kencang.
Gemuruh jiwa hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Turun naik nafas
ditahankan juga.

“Bunyi apa tu?” Kudin berbisik antara dengar dengan tidak.

“Hati aku rasa tak sedaplah Din. Aku rasa…”

Kala itu angin pagi terus bertiup kuat. Rasa dingin mula menyelinap
sampai ke tulang sumsum. Kudin tidak jadi meneruskan kata-katanya. Alim
yang mula seram sejuk badannya turut dimamah gelisah. Curiganya berkali
ganda. Kudin mahukan kepastian dari sahabatnya itu.

“Kau rasa apa? Dada aku pun berdebar-debar jugak ni…”

“Tiba-tiba pulak perut aku rasa memulas! Dah terlepas ni!”

“Cehhh! Patutlah ada bau!”

“Tak tahan aku… takut pun ada jugak!”

“Lain kali jangan mengata aku penakut! Kau pun sama jugak!”

“Kau jugak yang mulakan cerita ni…”

“Nasib bau busuk! Kalau wangi… memang aku dah lari!”

Prakkk! Berbunyi lagi bunyi yang sama. Kali ini bunyinya semakin hampir
dengan mereka. Alim dan Kudin terus memasang telinga. Biar suasana alam
tetap samar, pandangan mereka bertemu antara satu sama lain. Bunga-bunga
bimbang semakin mekar di hati. Alim menelan air liurnya. Mindanya mula
berfikir yang bukan-bukan.

“Errmm… dah bunyi lagi…”

“Jalan perlahan-lahan. Jangan pandang belakang…”

“Aku takut dia ada kat depan jer!”

“Jangan cabul mulut tu! Ada betul-batul baru tahu!”

“Kalau ada betul-betul apa lagi… cabut langkah seribulah jawabnya!”

“Agak-agaklah… aku serius ni!”

Prakkk! Prakkk! Semakin kuat bunyi pijakan ranting didengar. Dikuti
sayup bersahutan suara burung tukang dari pohon angsana berhampiran.
Topik mengenai arwah Aki Meon dan sakanya terus menjadi bualan Alim dan
Kudin. Dalam takut-takut, mereka masih melayan topik itu.

“Kalau bukan roh Aki Meon, kau agak siapa?”

“Manalah aku tahu!”

“Jangan-jangan saka Aki Meon!”

“Minta jauhlah benda-benda tu!”

Alim terus menolak motorsikalnya. Kudin membantu dari arah belakang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience