HUJAN lebat sewaktu saya menyaksikan ‘kejadian’ yang tidak dapat dilupakan. Pada waktu itu cuti sekolah. Ramai pelajar kembali ke kampung halaman mereka, meninggalkan asrama perempuan dan lelaki hampir kosong dan senyap.
Asrama perempuan terletak di sebelah sebuah bangunan besar yang lama. Bangunan itu tidak lagi digunakan. Bangunan itu pernah menjadi sebuah asrama untuk beberapa bulan tetapi dikosongkan atas sebab-sebab tertentu yang tidak diketahui. Tiada siapa tahu mengapa ia tidak digunakan lagi.
Bagi saya, bangunan itu masih kukuh. Jadi, mengapa tidak menggunakannya? Mengapa lembaga sekolah menutup keseluruhan blok itu? Tentu ada sesuatu.
Ataupun ada sesuatu yang memaksa lembaga sekolah daripada tidak menggunakannya? Sehingga sekarang saya masih tidak berani untuk melangkah ke kawasan berhampiran bangunan itu. Saya mengaku yang saya berasa takut.
"Awak tak balik rumah malam ini?" tanya Syeefa ketika mengemas bajunya. Syeefa ialah teman sebilik saya. Dia mengemas bajunya dengan gembira kerana ayahnya akan mengambilnya keesokan pagi. Bertuahnya Syeefa.
"Tak, saya rasa tak balik kot. Nenek kat Singapura melawat bapa saudara saya. Dia akan berada di sana sekitar dua minggu jadi saya terpaksa duduk sini." Aku menjawab sambil tersenyum hambar.
"Eh, boleh saya tidur dekat katil bawah masa awak tak ada nanti? Takutlah nak tidur katil atas kalau katil bawah kosong.” Saya bertanya dengan harapan Syeefa membenarkan.
"Boleh sangat. Tidur ajelah katil bawah. Awak kan penakut macam ayam!” Syeefa menjawab sambil ketawa dan meniru bunyi ayam. Saya membaling satu daripada bantal-bantal saya kepada Syeefa.
"Sampai hati!" Kami ketawa berdekah-dekah. Satu lagi benda yang Syeefa suka lakukan selain ketawa ialah mengusik. Ya. Dia selalu mengusik saya.
Tetapi selalunya, saya tidak kisah kerana saya tahu dia hanya bergurau. Dan itu apa yang membuatkan kami lebih rapat dengan satu sama lain.
Teman sebilik yang lain sudah berada di kampung halaman mereka masing-masing.
"Nad, saya nak keluar jap. Nak kena call ayah saya," kata Syeefa menuju ke pintu.
"Eh, bukan telefon awam depan tu rosak ke?"
"Ya, sebab tu saya nak guna telefon awam dekat dengan asrama laki," katanya.
"Eh! Eh! Tunggu kejap, telefon awam tu jauh kot. Gelap pulak kat luar. Saya temankan awak ya."
"Tak apa, saya pergi kejap je. Jangan risau." Syeefa menjawab. Dia dengan cepat menuju ke pintu dan keluar.
Sementara itu ,saya tidak menyedari bahawa saya telah terlena untuk lebih kurang sejam. Apabila saya terjaga, saya melihat Syeefa sedang duduk di atas kerusi di depan meja belajar menghadap tingkap.
Saya tidak dapat melihat mukanya tetapi saya boleh memberitahu yag dia telah berada di dalam bilik itu untuk seketika.
"Bila awak masuk Syeefa? Dah call ayah awak?" Saya berkata dengan mamai sambil menggosok mata. Saya tidak tahu mengapa saya berasa sangat mengantuk. Syeefa diam tidak menjawab. Jadi saya bertanya sekali lagi.
"Syeefa, awak okey tak? Berfungsi tak telefon awam dekat blok lelaki?” Saya menyambung.
Keadaan masih senyap. Syeefa langsung tidak bergerak dari tempat duduknya. Dia langsung tidak menjawab pertanyaan saya. Mungkin dia sedang mendengar lagu menggunakan earphone.
Saya bangun dan keluar ke bilik air untuk seketika tetapi selepas saya masuk, saya amat terkejut. Bilik saya menjadi gelap dan saya ternampak Syeefa di dalam selimut.
Syeefa biasanya amat benci untuk tidur di dalam gelap. Sekarang dia yang memadamkan lampu. Saya membuat keputusan untuk tidak mempedulikannya dan dengan perlahan memanjat katil atas. Apabila saya hampir tertidur, saya terdengar bunyi yang amat menakutkan. Seperti seorang wanita merayu meminta tolong. Tetapi ia semakin kuat.
"Tolong..."
Bunyi semakin dekat dan lebih lantang.
"Tolong... tolong...”
Saya ingin memanggil Syeefa dan bertanya sama ada dia terdengar bunyi itu. Sebaik sahaja saya membuka mulut untuk bercakap, bunyi itu semakin dekat. Bunyi yang menakutkan itu sebenarnya datang dari katil bawah.
Betul-betul di bawah saya! Saya mencapai selimut dan menyelimuti seluruh badan. Saya memejamkan mata kerana terlalu takut. Dengan perlahan, bunyi itu beransur hilang.
Klik!
Bunyi seseorang membuka pintu. Syeefa keluar tetapi dia tidak menutup pintu. Dia membiarkan pintu terbuka luas.
Syeefa! Mana pulak budak ni pergi...
Saya cepat-cepat bangun dan mengikut Syeefa. Apabila saya di luar, saya melihat dia di hujung blok. Dia hanya berdiri di sana.
"Syeefa! Awak buat apa tu? Awak okey tak?” Saya bertanya dengan kuat.
Yang lebih menghairankan saya, Syeefa mula berjalan menuju ke belakang blok asrama. Dia berjalan dengan laju dan langsung tidak menoleh ke belakang. Angin sejuk yang meniup benar-benar membuatkan saya berasa seram.
Tetapi saya tetap mengikutinya sehingga saya sedar yang saya berdiri di depan bangunan lama berhampiran asrama. Syeefa menaiki tangga bangunan lama tersebut. Saya hanya memerhati. Tiada kekuatan untuk mengikutinya ke bangunan lama tersebut. Terlalu takut.
"Syeefa! Turun! Mana awak pergi tu? Bahaya tu blok lama!” Saya menjerit dengan cemas. Syeefa tidak lagi kelihatan. Kerana terlalu takut untuk memasuki blok lama, saya membuat keputusan untuk memanggil pengawal keselamatan yang bertugas. Dengan tiba-tiba, saya disapa dari belakang.
"Awak cari saya ke?” Suara Syeefa! Tetapi ia mungkin bukan Syeefa! Dia di dalam bangunan lama. Saya menoleh dan amat terkejut melihat Syeefa berdiri sambil tersenyum.
"Kenapa awak tak tolong saya?!" Syeefa menjerit. Suaranya kedengaran seperti marah. Kerana amat terkejut, saya pengsan.
Sedar-sedar, saya telah berada di hospital. Warden sedang duduk di kerusi di sebelah katil kelihatan sedih dan muram.
"Cik, mengapa saya ada di hospital? Apa yang telah terjadi kepada saya?" Saya bertanya dengan rasa ingin tahu yang mendalam.
"Oh, awak dah terjaga. Saya risaukan awak, Nadia." Warden berkata.
"Cik, saya okey. Saya nak tahu mengapa saya di sini."
"Hmm... Awak tak ingat langsung? Awak pengsan semalam. Salah seorang pengawal jumpa awak di depan pintu masuk bangunan lama," kata warden dengan tenang. Saya terus teringat apa yang berlaku pada malam semalam.
"Mana Syeefa? Dia okey tak cik?”
Warden hanya diam sepi tidak menjawab.
"Cik! Mana Syeefa? Apa yang jadi dekat dia?" Saya berteriak.
"Salah seorang pengawal juga menjumpai Syeefa di belakang bangunan lama." Warden berkata dengan sedih.
Saya berasa lega kerana mereka juga menjumpai Syeefa. Mereka menemui kami. "Bagaimanakah keadaan dia? Saya harap dia okey. Dia dalam wad yang sama ke? Boleh saya lawat dia?" Saya bercakap dengan satu nafas.
Saya semakin tidak sabar untuk bertemu dengan kawan baik saya. Warden menarik nafas panjang dan terus berkata, "Ya. Dia dalam hospital buat masa ini. Tetapi di dalam bilik mayat.”
Share this novel