Bab 35

Short Story Series 55831

Haikal mengerlingkan matanya pada cermin pandang belakang untuk melihat Shofwah yang duduk dibelakang sambil terdengar perlahan suara wanita itu membaca zikrullah mendodoi Qalifh yang masih lena dibuai mimpi sejak balik daripada hospital tadi. Haikal melihat kecanggungan wanita itu apabila mereka hanya berdua. Adik iparnya itu lebih selesa duduk di belakang berbanding duduk disisinya sehingga membuatkan Haikal kembali jengkel dengan tingkah wanita itu. Apa dia ingat aku ni driver dia ke?

“Ke mana awak mahu membawa kami? Ini bukan jalan pulang ke rumah.” Rina melihat sekeliling yang asing baginya. Ini bukan jalan balik menuju ke rumah Tan Sri Mansur.

“Kita singgah sebentar di rumah abang untuk mengambil barang-barang abang. Rumah itu akan dijual tidak lama lagi kerana papa mahu abang tinggal bersama kembali.” Haikal menjelaskan keadaannya kepada Rina. Sudah alang-alang mereka bakal melewati jalan ke rumah bujangnya lebih baik dia singgah ke sana sebentar.

Rina hanya diam tidak berkata apa-apa lagi. Otaknya ligat berfikir cara mahu menyembunyikan identitinya yang sebenar kerana Haikal akan tinggal bersama mereka. Rahsianya pasti akan terbongkar satu hari nanti kerana lelaki itu semakin curiga pada hubungannya dengan Aqil yang dianggap suami kepada dirinya.

Rina melihat bangunan residensi yang tinggi mencakar langit yang dulu pernah dijejakinya dan mengubah segala-galanya di dalam hidupnya. Haikal mengajak Rina keluar untuk naik ke tingkat atas untuk melihat rumahnya tetapi Rina menolak dengan alasan dia tidak mahu membangunkan Qalifh sehingga akhirnya Haikal naik sendiri ke rumahnya untuk mengambil barang-barangnya. Tidak lama Rina menunggu apabila Haikal kembali dengan dua beg galas besar dan dimasukkan ke dalam bonet keretanya. Haikal sempat menghadiahkan senyumannya kepada Rina sewaktu mata mereka bertembung tetapi seperti biasa wanita itu akan segera menundukkan pandangan matanya berpura-pura tidak melihat.

Haikal memandu keluar semula daripada resindensi rumahnya itu dan meneruskan perjalanan mahu balik ke rumah Tan Sri Mansur. Ketika keretanya berhenti disebabkan lampu isyarat bertukar warna merah kedengaran suara azan Zuhur berkumandang daripada luar. Segera Rina menoleh ke kiri dan ke kanan mencari daripada arah mana panggilan indah itu.

“Boleh kita singgah ke masjid yang berdekatan? Azan zuhur sudah berkumandang, elok jika kita berhenti dan solat di masjid untuk berjemaah bersama mereka. Sudah lama saya tidak ke masjid.” Rina menyatakan keinginannya saat itu kepada Haikal tetapi matanya masih mencari masjid yang melaungkan azan yang merdu itu.
Masjid? Datang satu perasaan tidak selesa dengan kehendak adik iparnya itu.

“Solat saja di rumah tidak perlu ke masjid. Sama saja kan, solat juga.” Haikal berkata dengan nada yang jengkel kerana dia merasakan adik iparnya itu seperti sengaja mahu memancing emosinya. Pernahkah sepanjang tiga hari mereka tinggal bersama wanita itu melihatnya solat? Mengapa wanita itu masih mengajaknya untuk ke masjid.

“Betul sama saja tapi lebih besar pahala orang yang solat berjemaah berbanding solat sendirian di rumah terutama bagi kaum lelaki. Kaum perempuan dibenarkan berjemaah di masjid sekali asal tidak mendatangkan fitnah.” Rina memberitahu dengan suara yang lembut. Dia tahu Haikal tidak pernah menunaikan solat lima waktu tetapi tiada salahnya jika mereka berhenti singgah sebentar.

Terdengar keluhan Haikal di halwa telinga Rina sehingga membuat Rina tidak mahu berkata apa-apa lagi. Tidak mengapalah, anggap saja hari itu bukan rezekinya untuk berjemaah di masjid mungkin lain kali dia boleh berjemaah di masjid bersama ahli keluarganya yang lain. Lampu bertukar hijau, Haikal menekan minyak dan masuk ke simpang kanan sebelum dia berjalan terus sehingga terlihat khubah berwarna hijau. Haikal tahu ada masjid berdekatan dengan residensinya dan mengetahui kedudukan masjid itu.

“Pergilah berjemaah sana, abang tunggu di kereta.” Haikal berkata kepada Rina yang kelihatannya seperti tidak sabar mahu turun daripada kereta.

“Awak tidak pergi bersama?” Rina bertanya sewaktu dia mengejutkan Qalifh untuk bangun daripada tidurnya.

“Tidak mengapa. Abang tunggu disini saja.” Haikal berkata malas dan menyandarkan tubuhnya ke belakang sambil memejamkan matanya.

“Qalifh mari ke dalam, kita solat zuhur berjemaah.” Rina mengusap pipi anaknya dan membawa anaknya masuk ke dalam masjid untuk berjemaah. Rina sempat menoleh ke belakang melihat Haikal yang masih memejamkan matanya. Rina melepaskan perasaan kecewanya terhadap sikap Haikal yang tidak mementingkan solat di dalam kehidupan seharian.

Haikal membuka matanya apabila dia merasakan dia terlelap seketika. Haikal melihat sekeliling, Shofwah masih belum keluar daripada masjid kerana mereka masih sedang bersolat. Haikal yang berasa panas keluar daripada kereta dan mengipas dirinya dengan tangan. Panas bahang sugguh tengahari itu sehingga membuatkan Haikal masuk ke dalam masjid untuk berteduh. Haikal memilih untuk duduk di anak tangga sambil bermain telefon pintarnya.

“Anak, buat apa disini? Mari masuk, solat berjemaah sekali. Masih sempat tu kalau nak ikut imam.” Tiba-tiba seorang lelaki yang seusia bapanya menarik lengannya dan membawa Haikal masuk ke dalam masjid tempat lelaki bersembahyang.

Saat kaki kanannya melangkah masuk, Haikal merasakan ada sesuatu yang bertandang di dalam hatinya. Dia berasa sedih dan dalam masa yang sama dia berasa ketenangan yang maha dasyhat sehingga dia tidak boleh menggambarkan perasaannya ketika itu. Haikal melihat di kejauhan Qalifh sedang berdiri di sebelah salah seorang makmum mengikuti solat berjemaah. Haikal mendekati anak kecil itu yang kelihatannya sungguh kusyuk di dalam solatnya mengikut imam walaupun usianya ketika itu baru mahu menginjak ke tiga tahun.

Lelaki yang menarikya tadi langsung mengangkat takbiratul ihram. Haikal yang masih mengingati pergerakan solat turut mengikuti pergerakan lelaki disebelahnya itu. Mereka solat empat rakaat. Dua rakaatnya sempat mengikut imam dan dua rakaat lagi mereka solat bersedirian. Haikal masih berpura-pura solat sehinggalah salam terkahir dia berikan.
Haikal melihat wajah Qalifh yang sedang tersenyum memandangnya sebelum dia membalas senyuman itu. Saat doa dibacakan hatinya kembali diterpa perasaan sayu. Doa yang dibacakan walaupun tidak difahaminya tetapi dia tersentuh mendengar suara merdu imam itu membaca doa.

Selesai berdoa, mereka mula bersurai satu-persatu selepas bersalaman. Haikal memimpin Qalifh keluar daripada tempat bersembahyang itu. Entah kenapa matanya nakal mahu menoleh ke tempat wanita sedang bersolat yang hanya memakai jaring yang agak tebal sulamannya sebagai penghadang diantara kaum lelaki dan perempuan.

Haikal memerhatikan seorang wanita yang sedang mengemas telekung yang dipakainya. Wanita itu seperti seseorang yang dikenalinya.
Rina Altafunisa!

Haikal melepaskan tangan Qalifh dan segera berlari keluar mahu menuju ke tempat wanita bersembahyang sebelum dia terserempak dengan Rina yang dianggap Shofwah itu keluar daripada bilik solat wanita. Rina mengerutkan keningnya dan memandang Haikal yang sedang mengendap di celah-celah pintu yang terbuka untuk melihat ke dalam. Segera tangan Rina menarik daun pintu yang terbuka sedikit itu untuk ditutup dengan rapat kerana tidak mahu Haikal terlihat aurat wanita di dalam tempat solat wanita itu.

“Mengapa awak di sini? Awak solat bersama tadi?” Rina bertanya kerana pelik melihat gelagat Haikal yang masih mencuba menghendap disebalik pintu yang sudah ditutup rapat oleh dirinya tadi.

“Ummi.” Qalifh memanggil dan mendapatkan Rina. Rina tersenyum melihat Qalifh dan mendekati anak kecil itu.

“Qalifh solat tak tadi bersama imam?” Rina bertanya anak kecil itu. Dia tidak marah jika Qalifh tidak solat kerana anak itu masih begitu kecil dan tidak memahami apa-apa tetapi dia mahu Qalifh terbiasa kelak apabila anak kecil itu sudah menginjak dewasa.

“Solat bersama uncle.” Qalifh menunjuk ke arah Haikal yang tidak jauh daripada mereka.
Sekali lagi Rina menoleh memandang Haikal. Adakah benar lelaki dihadapannya itu tadi melaksanakan solat zuhur berjemaah seperti yang dikatakan oleh Qalifh. Dia seperti tidak percaya kerana Haikal sendiri tadi yang tidak mahu diajak ke dalam.

“Maaf, masih ada perempuan ke di dalam yang tidak keluar lagi?” Haikal bertanya kepada salah seorang wanita yang baru saja keluar daripada bilik solat wanita itu.

“Tiada, semuanya sudah keluar.” Wanita itu berkata sambil memandang ke arah Rina dan Haikal silih berganti.

“Awak cari siapa?” Rina bertanya kerana tingkah Haikal sejak daripada tadi memang sangat aneh di pandangannya.

“Saya ternampak is…” Haikal mematikan ayatnya dan menoleh memandang Rina yang masih menunggu jawapannya. Haikal tidak meneruskan kata-katanya sebaliknya dia berlalu daripada situ meninggalkan Rina dan Qalifh dibelakangnya. Ketika dia menuju ke keretanya dia terlanggar seorang lelaki tua renta yang sudah bongkok yang sedang berjaja disitu.

“Hish, lelaki tua ni! Tak ada tempat lain ke kau nak berniaga. Di tengah jalan juga kau pilih.” Haikal memarahi lelaki tua yang dilanggarnya tadi dengan pandangan yang jengkel. Dia merasakan seperti bajunya terkena dengan sesuatu yang kotor sehingga dia mengusap lengan bajunya berkali-kali.

“Jaga bahasa awak. Awak yang melanggar pakcik ini dahulu jadi mengapa awak pula yang marah? Tak boleh ke kalau awak saja yang meminta maaf.” Kedengaran suara Rina yang sudah berlari-lari anak membantu lelaki tua renta itu. Qalifh juga ikut membantu membangunkan lelaki tua itu dengan kudrat kecilnya.

Haikal mendengus geram apabila ditegur oleh Rina. Dia berasa marah ketika itu kerana tidak dapat menemui Rina Altafunisa sehingga dia berasa marah pada semua orang termasuk kepada Rina yang dianggap Shofwah itu.

“Cepatlah! Jom balik. Masih banyak kerja yang perlu aku buat.” Berubah kasar suara Haikal menegur Rina yang sedang mengutip barang jualan pakcik tua renta itu. Rina tidak menjawab dan seolah-olah tidak memperdulikan dirinya ketika itu. Akhirnya dia masuk ke dalam kereta sendirian dengan kesal.

“Pakcik ini saya ada rezeki sedikit untuk diberikan kepada pakcik. Pakcik ambillah dan saya doakan jualan pakcik dipermudahkan Allah.” Rina menghulurkan duit bernilai lima puluh ringgit yang kebetulan ada di dalam poket jubahnya.

“Banyak sangat ni, nak. Pakcik tak boleh mengambilnya.” Pakcik tua renta itu bernada syahdu dan mata tuanya berkaca-kaca dengan pemberian Rina.

“Tak mengapa, ini rezeki pakcik daripada Allah melalui saya. Saya cuma minta pakcik doakan saya dan keluarga saya saja.” Rina mengusap belakang lelaki tua renta itu apabila pakcik itu sudah mula menangis terharu.

“Ambillah, tiga tasbih ini. Pakcik berikan kepada kamu. Pakcik tidak mahu mengambil duit ini semata-mata.” Rina melihat tiga tasbih kayu kecil yang diberikan lelaki tua itu kepada dirinya. Rina mengangguk dan mengambil pemberian itu tanpa menolak apabila melihat pakcik itu bersungguh-sungguh mahu memberikan kepadanya.

Rina meminta diri untuk berlalu pergi. Rina tersenyum sekali lagi apabila melihat Qalifh menyalami dan menyantuni orang tua renta itu. Qalifh juga sempat memeluk orang tua renta itu sebelum mencapai huluran tangan Rina.

“Semoga Allah merahmatimu dan mengangkat derajatmu. Bersabarlah kerana Allah sudah menjanjikan syurga untuk orang-orang sabar. Semoga kelak kamu termasuk di dalam golongan orang-orang yang beruntung dan dijauhkan dari azab api neraka.” Pakcik tua renta itu bercakap dengan nada yang sedikit kencang sehingga boleh didengari oleh Haikal yang berada di dalam kereta. Ketika itu mata mereka bertemu. Haikal yang cuba merenung mata tua itu tiba-tiba berasa seram sejuk sehingga dia menekan minyak kereta dengan laju supaya tidak berlama-lama berada disitu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience