QAID menyandarkan tubuh ke kerusi pejabat. Sejak dari pagi dia sibuk memantau segala kerja penyelenggaran di hotel. Dia meraup wajah dengan kedua-dua telapak tangan sambil menarik nafas dalam dan dihela perlahan. Setelah itu, dia mengeliat kecil cuba melonggarkan urat-urat yang terasa tegang. Leher juga diurut lembut. Kemudian, matanya melirik ke arah jam tangan jenama Tag Heuer berwarna biru yang tersarung di pergelangan tangan kanannya. Hadiah pemberian Sharifah Sofia sewaktu harijadinya tahun lepas. Qaid tersenyum nipis.
Jam menunjukkan hampir ke pukul tiga petang. Baru sahaja dia mahu membuka komputer untuk meneruskan kerja, biliknya diketuk seseorang.
Tok!Tok!Tok!
“Masuk!” Arah Qaid. Mata dihala ke arah pintu menanti gerangan siapakah yang datang ke biliknya waktu sebegini.
“Hello, cousin,” sapa Syed Ilham dengan senyum lebar.
“Waa’laikumsalam!” sindir Qaid sambil ketawa.
Mereka saling bersalaman. Kemudian, Syed Ilham menghenyak punggungnya ke kerusi yang berada di depan Qaid. Kepala dibawa ke kiri kanan pejabat. Dia mengamati keseluruhan susun atur di pejabat itu sambil mengangguk kagum.
“Cantik bilik kau,” puji Syed Ilham. Matanya ditumpukan pada muka Qaid. Bibir lelaki itu masih lagi mengukir senyum.
“Dah jumpa nenda?” soal Qaid tanpa mempedulikan pujian Syed Ilham sebentar tadi. Dia turut menumpukan perhatian pada Syed Ilham.
“Dah,” ringkas Syed Ilham menjawab.
“So?” soal Qaid lagi mahukan jawapan yang lebih jelas. Dia menyandar semula sambil menggosok rahangnya dengan lembut.
Syed Ilham menarik nafas dalam-dalam sebelum dia memulakan bicara. “Nenda nak aku belajar dengan kau selok belok hotel sebelum dia berikan apa-apa jawatan pada aku,” terang Syed Ilham. Qaid sekadar mengangguk tanda faham.
“So, bila aku boleh mula kerja?” soal Syed Ilham mahukan kepastian.
“Anytime,” jawab Qaid tenang.
“Kau nak ajar aku apa?” soal Syed Ilham pula. Butang baju kemeja yang paling atas dibuka dan tali leher yang melilit lehernya dilonggarkan sedikit.
“Kau nak belajar apa? Atau lebih tepat, apa yang kau minat untuk belajar? Bahagian housekeeping, maintenance, front office, F&B atau office department?” soal Qaid pula. Dia lebih senang jika Syed Ilham memilih sendiri jabatan yang dia minat untuk diceburi.
“I think, fine dining service is suitable for me,”
Qaid mengangguk. Dia bersetuju dengan pilihan Syed Ilham.
“So, esok kau datang sini sebelum pukul enam pagi,” sengaja Qaid menetapkan waktu yang lebih awal untuk Syed Ilham lapor diri.
Berubah riak wajah Syed Ilham saat mendengar waktu yang ditetapkan oleh Qaid. “Serius lah, bro. Pagi gila. Ada tazkirah pagi ke apa?” Syed Ilham merungut. Qaid melepas tawa apabila melihat riak wajah terkejut sepupunya itu. Berdekah-dekah tawanya meledak. Syed Ilham buat muka menyampah. Baru dia sedar Qaid mempermainkannya.
“Baru suruh datang sebelum pukul enam pagi kau dah menggelabah. Belum suruh datang pukul tiga pagi lagi,” balas Qaid dengan tawa yang masih bersisa.
“Aku mana biasa kerja, bro. Ni sebab mama suruh. Kalau tak, memang tak nak aku datang sini,” bebel Syed Ilham meluahkan perasaan. Qaid ketawa kecil.
“Untunglah ada mama bising-bising suruh kerja,” meluncur ayat itu keluar spontan dari mulut Qaid. Syed Ilham terdiam beberapa detik. Ayat itulah yang sering dia dengar jika dia mengadukan hal ibunya kepada Qaid. Dia tahu Qaid bersedih kerana sejak kecil lelaki itu tidak pernah merasa kasih sayang ibu dan bapanya. Malah dia ditinggal pergi oleh kedua-dua orang tuanya.
“Kau ni…” hanya itu sahaja kata-kata yang mampu Syed Ilham ucapkan. Dia tidak mahu menjentik rasa sedih di dalam diri sepupunya. Qaid ketawa. Sengaja dia mengusik Syed Ilham.
“Pukul berapa aku kena ada esok ni? Kalau sebelum pukul enam pagi, lebih baik aku tidur terus dekat sini je,” seloroh Syed Ilham. Qaid yang baru sahaja berhenti ketawa terus menyambung tawanya setelah mendengar kata-kata lelaki itu.
“Bagus juga. Boleh kau belajar jadi guard, jaga keselamatan guest,” Qaid menyambut gurauan sepupunya itu.
“Aku jaga guest perempuan yang single-single je, bolehlah,” balas Syed Ilham tidak mahu mengalah dengan usikan Qaid. Kedua belah keningnya terjungkit beberapa kali.
“Masalahnya dekat sini yang single semua 50 tahun ke atas,” Qaid kulum senyum. Belum puas mengusik lelaki itu.
“Shit! Tak nak aku!” Bidas Syed Ilham sambil buat muka geli.
Akhirnya kedua-dua lelaki itu tertawa bersama. Geli hati dengan perangai mengusik masing-masing.
“Okeylah, cousin. Esok pukul 10 pagi aku datang,” Syed Ilham menolak tubuhnya bangun dari kerusi.
“10 pagi???” Ulang Qaid dengan riak terkejut. Membuntang matanya memandang tepat pada susuk tubuh Syed Ilham yang sudah berdiri itu.
“Yelah, datang pagi-pagi nak buat apa. Bukan aku kena masak pun,” selamba sahaja Syed Ilham menjawab.
“Am, aku pun datang pukul tujuh pagi tau,” balas Qaid dengan serius.
Kali ini giliran Syed Ilham pula mengusik sepupunya itu. “Alah, kau bos-bos. Memanglah kena datang pagi-pagi. Aku budak praktikal. Bagilah kelonggaran sikit,” jawab Syed Ilham bersahaja. Qaid menggeleng sambil tersenyum nipis.
“Suka hati kaulah, Am,” Qaid sudah malas melayan gurauan Syed Ilham.
“Okey, bos. Adik praktikal balik dulu. Esok adik jumpa Abang Qaid yeee…” Syed Ilham buat muka comel. Qaid hanya mampu ketawa saat melihat gelagat lelaki itu.
Kemudian, Syed Ilham mengatur langkah keluar dari situ. Qaid pula masih tersenyum melihat pada susuk tubuh yang menghilang disebalik pintu.
Syed Ilham satu-satunya sepupu yang dia ada. Hubungan mereka tidaklah terlalu rapat. Tetapi, mereka membesar bersama-sama di bawah satu bumbung suatu tika dahulu. Tetapi, setelah ayah Syed Ilham iaitu Syed Affan meninggal akibat serangan jantung, keluarga sepupunya itu berpindah keluar dari rumah Sharifah Sofia. Maka, tinggallah Qaid bersama Sharifah Sofia di rumah agam itu.
Qaid menghentikan lamunannya. Dia harus fokus menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh sebentar tadi.
“Let’s start,” butang on komputer ditekan. Dia menumpukan sepenuh perhatian pada kerja-kerjanya.
SYED ILHAM berjalan sambil matanya meliar melihat sekeliling lobi hotel. “Nice,” ucapnya perlahan.
Sudah lama dia tidak berkunjung ke situ setelah beberapa tahun dia melanjutkan pelajarannya ke luar negara dalam bidang seni lukis. Jika diikutkan hatinya, dia langsung tidak berminat untuk menyertai perniagaan Sharifah Sofia. Namun, disebabkan desakan ibunya, Syed Ilham terpaksa akur. Dia sendiri tidak tahu sama ada dia boleh menyumbang sesuatu pada hotel itu atau tidak. Dia hanya nampak Qaid sahaja yang layak mengendali hotel tersebut, bukan dia.
“Am!” Sapa seseorang dari arah belakang. Pantas dia menoleh ke arah suara yang memanggilnya. Syed Ilham tersenyum manis saat melihat sosok tubuh itu.
Sharifah Hasya. Wanita koporat yang mempunyai kelab golf di beberapa buah tempat disekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Pendek kata, wanita yang bekerjaya di usia yang terlalu muda. Kagum!
“Bila balik Malaysia?” Soal Sharifah Hasya sambil menghampiri lelaki itu. Wanita yang berbaju kurung moden berwarna merah jambu itu kelihatan cantik dan manis sekali.
“Cantik,” puji Syed Ilham tanpa mempedulikan soalan yang diajukan oleh gadis itu padanya. Sharifah Hasya mencebik geram. Syed Ilham masih dengan perangai sweet talker.
“Eeeiii… sweet talker tak habis-habis. Bila nak berubah?” Bebel Sharifah Hasya sambil menyelitkan rambut yang menutupi sebelah pipinya ke telinga.
Syed Ilham ketawa besar. Riak muka menyampah gadis itu mencuit hatinya.
“Laaa… I puji you,” balas Syed Ilham setelah tawanya reda. Sharifah Hasya menjeling manja saat mendengar jawapan lelaki itu.
“I hari-hari cantik,” penuh yakin Sharifah Hasya membalas. Syed Ilham ketawa lagi. Kali ini Sharifah Hasya turut ketawa bersama.
“You buat apa dekat sini?” Soal Syed Ilham setelah tawa mereka reda.
“Jumpa Qaid. Bincang tentang projek usaha sama. Nak jadikan kelab golf I sebagai salah satu tempat untuk guest di sini beriadah,” terang Sharifah Hasya dengan ringkas.
Syed Ilham sekadar mengangguk. Sungguh dia tidak berminat dengan segala perbincangan berbentuk perniagaan. “Jom, belanja I minum. You bos kan? I fresh graduate. So, bos mesti banyak duit,” Syed Ilham menarik lengan Sharifah Hasya dan didorong gadis itu menuju ke coffee house hotel.
“Sorry Am, tak boleh. I kena jumpa Qaid nak beritahu dia tentang projek usaha sama ni,” lengannya ditarik semula dari genggaman lelaki itu. Syed Ilham mencebik buat muka bosan. Semua orang sibuk dengan kerja. Tetapi dia, sibuk mencari kawan berbual.
“Sekejap je. Takkan tak boleh, Sya?” Rayu Syed Ilham.
Sharifah Hasya menggeleng. “Sorry again. I must be off. Bye, Am. See you then,” Sharifah Hasya terus mengatur langkah meninggalkan Syed Ilham. Terkebil-kebil lelaki itu seketika. Dia mendengus perlahan. Mahu ke coffee house seorang diri, dia segan.
Akhirnya, Syed Ilham mengatur langkah keluar dari hotel dan dia mengambil keputusan untuk melepak di kedai mamak sahaja. Lebih selesa.
“PUKUL berapa start majlis tu? Kita buat kerja apa nanti?” soal Zafira sebaik sahaja dia bertemu dengan sahabat baiknya, Jue.
“Event start pukul lapan malam. Tapi, petang dalam pukul enam kita dah kena ada sana. Kerja kita susun meja, sudu, kerusi. Lepas tu, kita serve makanan pada guest. Nanti kapten banquet beritahu meja mana kau kena jaga,” terang Jue yang sudah biasa melakukan kerja-kerja banquet di hotel. Buat Zafira yang pertama kali menyertai kerja-kerja seperti itu, sedikit sebanyak meresahkan hatinya.
“Susah ke kerja tu?” soal Zafira agak bimbang. Jue tersenyum sambil menggeleng perlahan.
“Senang je. Nanti dah lama-lama, mesti kau biasa. Tak susah pun. Serve makanan je. Tuang air, ambil pinggan yang dah kosong. Tu je skop kerjanya,” jelas Jue lagi. Zafira merasa sedikit lega selepas mendengar penerangan itu.
Setakat angkat pinggan, tuang air, takkanlah aku tak boleh buat. Simple je kut!
“Tapi, bayaran ikut jam tau. Kalau awal kita start kerja, lepas tu kita balik lewat sampai settle semuanya, lebihlah sikit dapat,” tambah Jue lagi.
“Oooo…” Zafira mengangguk. Mulutnya membulat membentuk huruf ‘o’.
“Kau boleh ke balik lewat ni? Esok kau kerja?” soal Jue sambil merapatkan duduknya ke sebelah Zafira memberi laluan pada pengunjung yang lalu di tangga pusat membeli belah itu.
“Kerja pagi. Tapi, takpa aku okey je,” balas Zafira dengan yakin. Jue sekadar mengangguk.
“Kau takda kelas ke?” soal Zafira pula.
“Esokkan weekend,” pintas Jue sambil tersenyum. Zafira tepuk dahi. Sungguh dia terlupa esoknya hari minggu.
“Lupalah aku,” Zafira ketawa janggal. Jue hanya tersenyum.
“Ibu kau sihat?” soal Jue setelah beberapa detik mereka senyap.
“Sihat,” ringkas Zafira menjawab. Air mineral yang dibeli di kedai 24 jam tadi diteguk perlahan.
“Kau dah makan belum?” soal Jue lagi. Zafira menggeleng perlahan. Jue diam. Sekilas dia memandang pada Zafira. Kemudian, tangan sahabatnya itu ditarik bangun dari situ.
“Nak pergi mana?” soal Zafira terpinga-pinga dengan tindakan Jue.
“Makanlah. Aku belanja,”
Berubah riak wajah Zafira saat mendengar pelawaan itu. Dia segan. “Eh, tak payahlah Jue. Kau cakap nanti diorang bagi makan kan?” soal Zafira cuba mendapatkan kepastian.
“Memanglah. Tapi, lambat lagi. Ni baru pukul berapa. Macam mana kau nak buat kerja kalau tak makan, takda tenaga,” Jue memaksa Zafira bangun dari situ. Zafira serba salah. Namun, mahu atau tidak, dia terpaksa akur dengan kehendak sahabatnya. Bimbang gadis itu berkecil hati jika dia terus terusan menolak pelawaan itu.
“Kalau macam tu, aku nak makan steak yang mahal tu. Apa nama dia? Menatang?” seloroh Zafira. Jue ketawa besar.
“Botak kepala aku kalau belanja kau makan menatang tu,” balas Jue masih lagi ketawa. Zafira turut ketawa bersama. Kemudian, mereka berjalan seiring menuju ke arah food court berhampiran.
SHARIFAH HASYA mengukir senyum manis saat merenung wajah lelaki pujaannya itu. Sudah lama dia menyimpan perasaan terhadap Qaid. Namun, sehingga sekarang dia tidak berani meluahkan perasaannya pada lelaki itu.
“You jumpa nenda ke tadi?” soal Qaid dengan mata yang masih tertumpu pada skrin komputer.
“Yup,” jawab Sharifah Hasya ringkas.
“So, apa nenda cakap?” soal Qaid ingin tahu keputusan dari perbincangan antara gadis itu dengan nendanya.
“Nenda berminat untuk masukkan kelab golf I dalam pakej penginapan di sini. Tapi, bergantung pada kehendak guest,” terang Sharifah Hasya secara ringkas. Qaid angguk tanda faham. Kemudian, matanya dihalakan pada Sharifah Hasya. Dia terpegun melihat penampilan gadis itu. Bola mata Qaid bergerak ke atas dan bawah melihat ke arah Sharifah Hasya. Bibirnya mengukir senyum nipis.
“Cantik,” puji Qaid spontan. Berbunga-bunga hati gadis itu saat menerima pujian dari Qaid.
“Thanks,” balas Sharifah Hasya sambil bibirnya mengulum senyum.
“Ada date ke pakai cantik-cantik ni?” soal Qaid bersahaja. Sharifah Hasya tertawa manja.
“Takdalah. I mana ada boyfriend,” pintas Sharifah Hasya malu-malu. Wajah gadis itu kelihatan merona merah. Qaid ketawa kecil.
“Carilah boyfriend. Asyik busy kerja je,” nada suara Qaid yang gemeresik itu seakan berbisik lembut ke telinga Sharifah Hasya. Bibirnya mengukir senyum manis.
“Siapa berani dekat dengan I? Semua kata I high demand. Maintenance tinggi,” luah Sharifah Hasya. Qaid ketawa kecil.
“Carilah yang sesuai dengan you,” Qaid sekadar memberi pendapat.
“Siapa yang sesuai dengan I?” Sharifah Hasya pula sengaja menyoal. Dia meneliti riak wajah Qaid yang tenang itu.
Kalaulah Qaid lelaki yang sesuai dengannya, pasti sahaja hidupnya bahagia.
“Ramai yang sesuai dengan you. Dari keturunan you sendiri. Syed Ilham salah seorang darinya,”
“Am???” Sharifah Hasya mendengus perlahan.
“Ya, Am. Ada terjumpa dia tak tadi?” soal Qaid.
“Ada,”
“So, dah bertemu jodohlah,” usik Qaid. Senyuman ditahan saat melihat wajah Sharifah Hasya yang kelihatan geram itu.
“Kenapa you cakap dia sesuai dengan I? Tadi pun dia suruh I belanja dia minum. Fresh graduate katanya,” bidas Sharifah Hasya. Meledak tawa Qaid melihat wajah cemberut gadis itu. Dia tahu Syed Ilham dan Sharifah Hasya tidak sebulu. Memang sengaja dia mau mengusik gadis itu.
“Lepas ni Am akan kerja di hotel ni. So, boleh you suruh dia belanja you pula,” Qaid masih lagi mengusik. Sharifah Hasya ketap bibir sambil menjeling kegeraman.
“Qaid!!!” Kaki dihentak ke lantai. Semakin kuat Qaid ketawa.
“Bencilah!!!” Bentak Sharifah Hasya lagi.
“Okey. Okey. Sorry. I bergurau je. Janganlah marah,” pujuk Qaid.
Sharifah Hasya diam seribu bahasa. Dia masih lagi merajuk dengan Qaid.
“Jadi, I akan inform pada bahagian sale and marketing untuk masukkan kelab golf you dalam pamplet hotel. Then, the rest mereka akan uruskan semuanya. You just explain serba sedikit tentang apa yang ada di kelab golf you,” terang Qaid serba sedikit sebagai panduan pada Sharifah Hasya agar gadis itu tahu apa yang diperlukan oleh pihak hotel untuk mempromosikan kelab golf miliknya.
Sharifah Hasya masih diam tanpa memberi respon. Kening Qaid berkerut.
“Sya…”
Merajuk lagi ke? Detik hati kecilnya.
“You merajuk lagi ke ni?”
Sharifah Hasya tidak menjawab, sebaliknya dia memeluk tubuh dan muka dikalih ke arah lain. Qaid tarik nafas dalam-dalam. Sungguh dia tidak biasa berdepan dengan situasi pujuk memujuk seperti itu. Dia termenung sejenak memikirkan cara untuk memujuk gadis itu.
“Aaaa…”
Belum sempat Qaid bersuara, interkomnya berbunyi. Pantas sahaja butang berwarna merah ditekan.
“Yes,”
“Encik Qaid, budak-budak banquet dah stand by dekat ballroom,”
“Okey. Saya ke sana sekarang,” butang merah dilepaskan dan dia bangun dari situ.
“Sya, sorry. I got to go. I nak briefing banquet crew sebelum diorang mula kerja. Pukul lapan nanti ada event,” entah mengapa Qaid menjelaskan segalanya pada Sharifah Hasya. Dia sendiri tidak mengerti. Mungkin kerana gadis itu sedang merajuk dan dia tidak tahu bagaimana untuk memujuk.
Tanpa berkata apa-apa, Sharifah Hasya bangun lalu keluar dari ruangan itu. Qaid meraup wajahnya perlahan. Leher yang tegang digosok lembut.
Kelemahannya kerana tidak tahu bagaimana untuk memujuk. Dia tersenyum sendiri.
Malas untuk memikirkan hal remeh seperti itu. Lantas dia keluar dari biliknya dan berjalan menuju ke ballroom hotel yang berada di tingkat satu bangunan itu.
Share this novel