Prolog (Cerpen - Dia Yang Terakhir)

Romance Completed 1032071

“MALAIKAT MAUT….!”

Wanita itu tersentak tatkala satu laungan suara bergema keras menujah ke dalam cuping telinganya. Butiran manik-manik jernih yang jatuh pada pipi mulusnya diseka laju sebelum tubuhnya dibawa bergerak memasuki kamar untuk mendapatkan punca suara tadi. Debaran di dada kian memuncak saat sepasang matanya dijamu oleh riak bengis tanpa ampun milik lelaki berwajah tampan juga bertubuh sasa namun tegang dan angkuhnya roman itu terasa membunuh siapa pun yang memandang.

“Kenapa ni?” Wanita itu menyoal dengan nada suara yang perlahan dan sedikit kegugupan.

“Awak boleh tanya saya kenapa? Awak tengok ni, apa yang awak dah buat dengan baju saya? Awak tahu kan siapa yang belikan baju ni? Awak kerja selama setahun kat sini pun, belum tentu awak akan dapat ganti baju ni balik!” Lelaki itu menengking keras bersama jelingan tajam yang meratah rakus setiap inci wajah wanita di hadapannya itu. Malaika langsung termati gerak dan kata saat deria penglihatannya terhala tepat ke arah sehelai kemeja berwarna merah jambu yang sudah berlubang pada bahagian poket. Saat itu juga Malaika terus mengetap bibir lantaran hatinya mula dicemari dengan rasa bersalah dan ketakutan. Memang insiden itu berpunca daripada kelalaiannya dan silapnya juga kerana terlupa memaklumkan hal itu kepada Tengku Adama.

“Maafkan saya. Saya betul-betul tak sengaja dan saya terlupa bagitahu awak pasal ni.” Dengan penuh kegugupan wanita itu menutur kata.

“Habis apa yang awak ingat? Semua benda awak lupa! Awak ni memang pemalas tahu tak! Memang padan sangatlah nama malaikat maut tu dengan awak. Sesuka hati je nak mautkan barang-barang orang. Awak ni memang manusia yang tak reti bersyukur kan? Kalau keluarga saya tak kutip awak dari kampung tu, tak merasa awak nak tinggal kat rumah besar macam sekarang ni, tahu tak?” Tengku Adama menengking keras sambil menunding jari tepat pada wajah Malaika. Malaika hanya mampu menekur tanpa kata, hatinya kian dimamah rasa pilu setiap kali kata-kata penghinaan dilontarkan terhadapnya dari mulut insan yang bergelar suami kepadanya itu.

“Kenapa bising-bising ni, Angah” Muncul Che Puan Manira mencelah.

“Mummy tengok apa yang perempuan kampung ni dah buat dengan baju Adama. Satu kerja pun dia tak reti nak buat, Mummy! Mummy tahu kan siapa yang belikan baju ni. Maira, Mummy Maira! Kalau dia nampak.....”

“Kenapa dengan Angah ni? Masih nak bawa nama perempuan tu dalam rumah ni lagi! Dah, Mummy tak nak dengar. Sepatutnya angah berterima kasih dengan Malaika. Kalau bukan sebab dia bersetuju untuk jadi bidan terjun gantikan isteri tak menjadi Angah tu, keluarga kita akan malu besar tahu tak?” Che Puan Manira langsung mengerat kata-kata anaknya lantaran mulai merasa geram dengan sikap keras kepala anaknya itu.

“Adama pun tak inginlah kahwin dengan perempuan kampung bodoh macam dia ni!”

“Dahlah tu, Angah. Pening kepala mummy layan perangai kamu ni. Baju tu buang je, bukan tak boleh beli yang baharu! Jom Malaika, temankan Mummy breakfast. Tak payah nak layan sangat royan laki kamu ni!” Che Puan Manira menghamburkan kata-katanya bersama jelingan tajamnya. Tengku Adama langsung mendengus lantaran bengang dengan sikap Che Puan Manira yang selalu sahaja memenangkan wanita kampung itu.

“Dasar Malaikat Maut!”

“Angah!” Tengku Adama semakin menayang tampang tidak puas hati saat dirinya ditegur keras oleh Che Puan Manira. Pintu kamarnya dihempas kuat sebaik sahaja kedua-dua wanita itu menapak keluar.

“Angah tu memang macam tu, keras kepala, kasar tapi Mal jangan risau, dia tak kejam pun. Bagi dia masa..” Kata-kata pujukan yang sama sahaja diungkapkan oleh Che Puan Manira setiap kali Tengku Adama memarahi Malaika.

“Tak apalah, Mummy, lagipun dah tak lama lagi kan?” Malaika membalas perlahan sambil menggariskan senyuman nipis pada bibir merahnya. Che Puan Manira mengangguk lemah. Dia tahu, menantunya itu sudah banyak kali memendam perasaan dengan perangai dingin anaknya.

“Mummy, Mal dah buat keputusan. Mal akan terima tawaran sambung belajar tu.” Malaika bersuara perlahan setelah keadaan agak lama dihurungi keheningan.

“Mal tak nak bagitahu Mummy Mal akan pilih untuk pergi mana? Mummy boleh tolong.”

“Tak Mummy, Mal tak boleh nak cakap. Lagipun, Mal perlukan masa untuk tenangkan diri. Mal minta maaf. Mal akan pergi seperti mana yang kita semua dah janjikan. Mal tak nak orang anggap Mal ambil kesempatan dan Mal tak nak terima sesen pun daripada Mummy sekeluarga lagi dah. Mal dah terlalu banyak terhutang budi dengan keluarga ni. Mal minta maaf kalau selama ni, Mal banyak susahkan keluarga Mummy.” Malaika bersuara sayu sambil mengesat air mata yang mula melimpahi bidang pipinya.

“Mal. Kalau Mal perlukan apa-apa, Mal bagitahu Mummy ya. Mal jangan segan dengan Mummy, Mummy dah anggap Mal ni macam anak kandung Mummy sendiri. Maafkan Mummy sebab terpaksa libatkan Mal dalam masalah ni.” Che Puan Manira berbicara dalam nada keserakan kerana saat itu air matanya juga ikutan mengalir.

“Tak. Jangan minta maaf. Semua ni tak akan setanding dengan pertolongan Mummy kat Mal selama ni.” Senyuman Malaika terkoyak hambar. Tangannya mengusap lembut belakang tubuh Che Puan Manira, seorang wanita yang sudah dia anggap seperti ibunya sendiri. Hanya wanita itu yang selalu mengubat lukanya setiap kali ditoreh tanpa belas oleh suaminya sendiri.
Malaika melabuhkan punggung di atas sofa panjang itu. Figura Tengku Adama yang sedang duduk menghadap laptop di atas katil direnung tanpa sedar. Biar rasa lelah ligat membelit seluruh tubuh, namun dia tidak akan berani untuk melelapkan mata terlebih dahulu jika suaminya masih terjaga kerana itu merupakan salah satu peraturan gila yang sudah dibuat oleh Tengku Adama.

“Malaikat maut, awak sini jap! Saya nak cakap sikit!” Laungan keras yang kedengaran lantas mematikan lamunan pendek Malaika. Dengan tampang kebodohan, dia laju bangkit dari atas sofa itu dan melangkah mendekati posisi Tengku Adama.

“Awak tak lupa kan dengan perjanjian kita lima bulan lepas?” Tengku Adama menyoal sinis bersama pandangan sebalnya ke arah wanita yang sedang tercongok di hadapannya itu.

“Tak..tak..saya tak lupa.” Malaika laju menjawab dengan nada kegugupan.

“Bagus! Saya nak ingatkan awak, tiga hari ni lagi perjanjian bodoh tu akan tamat. Pastikan masa tu awak dah tak muncul lagi depan mata saya! Awak jangan risau, saya akan bagi berapapun jumlah yang awak nak, asalkan awak berambus dari sini! Faham?”

“Saya tahu, awak jangan risau. Saya akan pergi.” Ungkap Malaika perlahan.

“Saya nak keluar. Tak payah tunggu. Awak buatlah baik macam mana sekalipun dengan saya, hati saya tetap takkan berubah. Tolong sedar diri!”
Malaika mengangguk sambil menghantar kepergian Tengku Adama dari kamar itu bersama pandangan kaburnya. Kolam air matanya langsung memecah deras sebaik sahaja dentuman daun pintu itu kedengaran pada gegendang telinganya.

_
_
_
_

Tengku Adama menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Kepala yang terasa mahu memecah itu dipicit-picit kasar. Pertemuan yang secara tidak sengaja dengan Maira tadi benar-benar membuatkan hatinya terluka.

“Tak guna kau Maira! Kau bodohkan aku hidup-hidup selama ni. Aku bagi semua yang kau nak, tapi kau sanggup tipu aku.” Tengku Adama bermonolog dengan nada melankolik. Gara-gara mahu menjejaki Maira, dia sanggup memperbodohkan diri untuk meredah hujan. Kesudahannya, dia sendiri yang menanggung bisa luka itu tatkala mengetahui bahawa seorang wanita yang dia agung-agungkan selama ini sebenarnya isteri kepada lelaki lain. Lalu, benarlah desas desus yang mendatangi telinganya selama ini, Maira hanya menginginkan hartanya sahaja.

Kreekkk..

Tengku Adama terus memejamkan mata tanpa mahu mempedulikan kemunculan seseorang yang sedang menapak masuk mendekatinya.

“Semua dah tunggu awak kat bawah. Jom kita makan sama.” Seperti selalu, lemah-lembut sahaja suara Malaika kedengaran. Tengku Adama menyunyut nafas lantaran merasa rimas rehatnya terganggu oleh wanita itu.

“Saya tak lapar. Kalau awak nak makan, awak pergi je lah! Saya rimaslah nak hadap muka awak setiap hari, bila awak nak berambus hahh?” Dan seperti selalu juga, Malaika yang akan menjadi tempat lelaki itu melepaskan rasa marah.

“Secepatnya. Awak jangan risau, saya tak akan lupa. Dah, jom makan” Malaika memujuk lagi.

“Awak ni memang jenis manusia tak faham bahasa, kan? Saya dah cakap yang saya tak lapar! Saya pening tahu tak, pening! Apasal bebal sangat kepala otak awak ni!” Tengku Adam mengertak keras. Wajah Malaika dibunuh dengan renungan tajamnya.

“Awak sakit ke?” Malaika terus menyentuhi dahi suaminya tanpa mempedulikan raut bengis wajah lelaki itu dan kerutan kening pada mukanya langsung terbentuk sempurna saat haba yang terlalu hangat berebutan menyapa kulit tangannya. Tanpa kata, dia terus bangkit berlalu dari ruangan kamar itu lantas membuatkan Tengku Adama tercengang-cengang seketika namun dia malas untuk ambil peduli kerana rasa sakit pada kepalanya saat itu lebih membuatkan dirinya terseksa. Dalam keadaan yang sudah kehabisan akal, sepasang matanya terus dikatup rapat. Barangkali dengan terlelap sebentar akan dapat melegakan rasa perih itu. Namun, belum sempat lenanya terbuai, dia kembali tersentak ketika bunyi derapan kaki kian jelas kedengaran menerjah ke cuping telinganya.

“Awak makan sikit dulu, lepas tu baru boleh makan ubat.” Malaika bertutur lembut sambil meletakkan dulang yang ditatang tadi di atas meja sisi.

“Saya tak nak! Saya tak ada selera dan ubat tu pahit!” Tengku Adam memprotes sambil menekup mulutnya seperti anak kecil.

“Tak ada ubat yang manis, semuanya pahit. Dah, cepat bangun!” Untuk pertama kalinya, Malaika menegaskan kata lantaran merasa geram dengan sikap keanakan suaminya. Tengku Adama mendengus kasar saat tubuhnya tertarik kuat oleh tangan Malaika. Namun, kerana sudah tidak berupaya untuk melawan dia akhirnya akur sahaja. Makanan yang tersua ke dalam mulutnya dikunyah perlahan dan tanpa dia sedar wajah wanita yang sedang duduk di hadapannya ditiliki penuh. Entah mengapa saat itu, otaknya sedang ligat menilai keperibadian Malaika. Tiada cacat celanya sikap seorang wanita yang bernama Malaika dan untuk pertama kalinya juga, Tengku Adama mula melihat dengan jelas kesempurnaan makhluk ciptaan Tuhan itu.

“Dah, sekarang awak makan ubat ni.”

“Awak??”

Tengku Adama laju berdeham saat dirinya tertangkap merenungi wanita itu. Ubat dan segelas air yang berada dalam pegangan Malaika dirampas kasar lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Tubuhnya terus dibaringkan semula ke atas katil tanpa mahu menoleh ke lain lagi kerana saat itu rasa malu sedang menggigit rakus sekeping hati egonya.

“Awak, sebelum saya pergi, saya nak ucapkan terima kasih sebab awak sudi jadikan saya isteri awak walaupun hanya sementara. Halalkan semua makan minum saya selama ni. Saya doakan, semoga awak dapat pujuk Cik Maira semula. Saya tunggu surat cerai daripada
awak.” Malaika menuturkan setiap bait kata-katanya dengan nada yang terketar-ketar. Air mata yang tergenang sedari tadi ditahan agar tidak merembes keluar. Tangan lelaki itu diraih lalu disalami untuk kesekian kalinya. Dia tahu walaupun Tengku Adama tidak memandang ke arahnya, tetapi apa yang telah terluah didengar jelas oleh lelaki itu.

_
_
_
_

Kelopak mata yang terasa berat terbeban, diluaskan dengan paksa. Jam yang tergantung pada dinding putih di kamar itu dikerling sekilas. Tengku Adama sempat menghela nafas panjang sebelum menjulurkan kaki ke bawah. Pandangannya sempat berkeliaran ke setiap sudut kamar itu sebelum tubuhnya dibawa bangkit dari atas katil itu. Dengan langkah yang tergontai-gontai, dia berjalan keluar dari ruangan itu. Hatinya kian dijentik rasa penasaran saat merasa suasana rumah agam itu hanya sunyi sepi tidak seperti biasa.

“Kenapa sunyi je Mak Zie? Mana semua orang pergi? Mummy keluar ke?” Tengku Adama menyoal sebaik sahaja dia menapak ke lantai dapur. Wajah pembantu rumahnya yang terlihat muram diamati seketika.

“Che Puan pergi airport. Hantar…Malaika..”

“Airport? Isteri saya pergi mana?”
Mak Zie terangkat kening tatkala menyedari ada yang kedengaran ganjil terselit di dalam ayat Tengku Adama dan ini merupakan kali pertama lelaki itu mengungkapkan dua patah perkataan tersebut.

“Tengku lupa ke tentang perjanjian tu? Dah tiba masanya Malaika pergi.." Ungkap Mak Zie tanpa menoleh ke arah Tengku Adama.

“Tapi masih ada beberapa hari lagi kan?” Tengku Adama mula merasa sesak di dada saat memulang kata pertanyaan kepada wanita itu. Memang dia yang selalu tidak sabar menunggu detik perpisahan di antara dia dengan Malaika tetapi entah mengapa saat itu hatinya terasa sakit dan sukar untuk menerima semuanya.

“Dia tak cakap ke dengan Tengku yang dia kena pergi awal sebab apa?”

“Dah lama ke mereka pergi, Mak Zie?”

“Dua jam yang lalu..” Tanpa menunggu wanita itu menghabiskan kata, Tengku Adama terus berlari naik ke kamar semula untuk mengambil kunci keretanya. Dia mempercepatkan gerakan kakinya tanpa mempedulikan laungan Mak Zie. Ketika itu, air mata mula melimpahi pipi kasarnya apalagi saat mengingat kembali kata-kata Malaika malam tadi.

“Selagi saya tak lafazkan, awak tetap isteri saya. Maafkan saya, Malaika. Tolong jangan pergi. Saya perlukan awak dan saya akan pastikan awak wanita yang terakhir di dalam hati saya...” Tengku Adama merintih pilu bersama juraian air mata. Tengku Adama terus memasuki keretanya sebelum pancuan empat roda itu dibawa laju membelah jalan.

Share this novel

DHIA AMIRA
2022-08-28 09:31:34 

terlajak perahu leh undur ,..

Jenny Pait
2021-12-07 22:16:24 

Nyilu asa ati kamek... asa kamek yang dalam situasi ya. Sedeh aaeyh....


NovelPlus Premium

The best ads free experience