Bab 11

Vampire Series 30571

Seperti yang dijanjikan, aku cari Azril di belakang pentas selepas persembahannya tamat. Mujurlah dia cuma membuat persembahan pembukaan kerana acara tersebut adalah projek akhir semester untuk senior tahun 3.

Aku menyelinap ke belakang pentas sebaik kelibat Azril aku lihat menuju ke belakang selepas persembahannya tamat. Mungkin dia ke bilik persalinan. Aku cuba mengesannya di sana tetapi tiada sesiapa. Kebanyakan orang yang terlibat dalam acara tersebut berlegar-legar di sekitar lorong di luar bilik persalinan dan sebahagiannya ada juga yang berkumpul di satu penjuru untuk bersedia naik ke pentas.

“Sofie…”

Aku tergamam sebaik melihat Azril yang tiba-tiba sahaja muncul di hadapanku. Tak sampai sedetik mata berkelip!

“Azril?” Nada suaraku tak dapat menyembunyikan perasaan tertanya-tanya dan pelik dengan kemunculan Azril yang terlalu pantas. Sempat aku menoleh ke kiri dan kanan, meneka dari arah mana Azril muncul tadi.

Azril tutup pintu bilik. Nampaknya dia tak mahu ada sesiapa mengganggu perbualan kami berdua.

“Jadi apa sebenarnya yang kau nak beritahu aku?” Aku segera bertanya akan tujuannya.

“Kau percaya vampire tu wujud?” Dia mengambil sedikit masa untuk mula berbicara.

“Apa maksud kau?”

“Aku bukan manusia.”

“Aku tahu.” Selamba sahaja reaksiku membalas kenyataan tersebut.

“Kau tahu?” Dia pula yang buat muka pelik.

“Ya, Adrian beritahu aku tentang kau. Kau unvampire… vampire yang berunsur terbalik. Vampire yang tak normal. Vampire yang sakit… err, entahlah. Aku masih kurang tak pasti.” Sebarang kemungkinan pun aku tak boleh menerima maklumat dari sebelah pihak sahaja.

“Sebenarnya aku tak sakit tetapi genetik dalam badan aku sengaja dicipta untuk mengawal populasi vampire. Dalam erti kata lain kewujudan aku adalah untuk menyelamatkan vampire seperti Adrian dari terus menjadi pembunuh dan seterusnya dibunuh oleh pemburu vampire… seperti yang kau faham, sistem dalam tubuh aku terbalik dengan vampire. Aku tak hisap darah sebaliknya perlu keluarkan darah untuk terus hidup. Aku perlu berikan darah kepada Ian dan Ian perlukan darah aku untuk kekuatan…”

“Tunggu dulu!” Ada satu point dalam kata-kata Azril yang buat aku terkejut. “Kau cakap Adrian tu vampire?” Hampir terbuntang mataku memandang Azril.

Azril angguk.

“Jadi selama ni…” Aku tak pasti samada sanggup hendak meneruskan kata-kata lagi atau tidak. Selama ini aku menuduh mereka ialah vampire dan sememangnya tekaan itu benar… walaupun ia masih belum cukup logik di akal fikiranku kerana sebahagian akalku masih yakin kewujudan mereka cuma dongeng.

“Seperti yang kau pernah sangka… Adrian ialah vampire. Malah dia pernah beberapa kali mengawal fikiran kau untuk ikut arahannya.” Suara Azril perlahan. Seolah-olah menyesali sesuatu.

“Aku tak faham.” Aku hanya mampu buat muka blur sambil kerutkan wajah. Sumpah tak faham, babe!

“Vampire ada kuasa mengawal fikiran manusia biasa. Adrian kawal fikiran kau supaya tidak ingat siapa aku. Pendek kata, dengan kuasanya dia boleh buat kau anggap aku ni umpama orang asing yang baru sahaja kau kenal,” jelas Azril.

“Mustahil. Kau fikir aku ni Elmira? Yang obsess dengan kisah dongeng tentang vampire semua tu. Tak logiklah cerita kau ni. Mana ada manusia boleh kawal minda orang.”

“Kami bukan manusia!” Azril meninggikan suara kepadaku. Air mukanya seperti geram dengan kedegilanku.

Aku tersentak. Sekali lagi aku seakan melupakan fakta bahawa Azril dan Adrian bukan manusia. Adakah aku cuba menafikan kenyataan?

Perlahan-lahan aku menjauh sedikit dari Azril. Eh, eh… takut ke aku ni?

“Bila kali pertama kita berkenalan, Sofie?” Suaranya kendur semula ketika kembali mengajukan soalan kepadaku.

Aku tekup mulut sambil mengulum senyuman. Aku fikir soalan Azril agak lucu… atau barangkali dia cuba menguji daya ingatanku. Hello~ aku bukan hilang ingatan, okay.

“Beberapa minggu lepas sewaktu aku dan El ekori kau. Kau tegur aku di luar rumah sewaktu aku dan El baru pulang. Sejak dari hari itu kita mula berkawan.” Ini jawapan yang aku kira boleh memuaskan hatinya.

“Kau rasa logik ke kau baru kenal aku beberapa minggu lepas sedangkan selama ini kita tinggal berjiran, belajar di kolej yang sama, kadang-kadang masuk kelas yang sama untuk subjek-subjek tertentu, malah satu batch pula lagi. Logik ke kau boleh kenal orang lain tapi tak kenal siapa aku, Sofie?”

Aku terdiam. Persoalan yang dikemukakan Azril membuatkan aku terfikir semula. Kami tinggal berjiran, rumah sebelah menyebelah tapi aku tak pernah kenal siapa Azril. Kami sentiasa terserempak di kolej selama ini tapi Azril seolah-olah halusinasi di pandangan mataku. Aku cuma rapat dengannya beberapa minggu kebelakangan ini sahaja. Apa yang berlaku sebenarnya?

“Kalau betul apa yang kau cakap, jadi kenapa Adrian manipulasi fikiran aku?”

“Sebab Ian nak pisahkan kita.”

“Tapi kenapa? Aku tak faham, Azril.”

“Kau sepatutnya tahu jawapannya sendiri, Sofie.” Sikap Azril seolah-olah masih mahu berselindung. Sengaja memaksa otakku bekerja keras memikirkan persoalan tersebut.

“Sebab kau bukan manusia, jadi kita tak boleh berkawan… begitu maksud kau?”

Azril menguak rambutnya ke belakang. Kedengaran keluhan yang memberat dari rengkungnya.

“Dengar sini, Sofie… aku nak kau janji, jangan hampiri aku. Jangan cuba berbaik dengan aku lagi. Jangan buat apa-apa yang boleh menimbulkan syak wasangka orang sekeliling terutama Ian.” Aku yakin yang Azril memang tak mahu aku tahu lebih jauh rahsia tentang dirinya dan Adrian.

“Tiada siapa boleh halang kehendak aku walaupun untuk berkawan dengan raksasa. Apa yang kau sembunyikan dari saya sebenarnya, Azril Afandi?” Aku pantang betul bila kawan aku cuba nak rahsiakan masalah yang sedang dia hadapi. Dia ingat aku ni apa? Kawan yang pedulikan dia waktu senang saja ke? Erghhh!

“Jauhi aku supaya kau tak terjebak dalam bahaya.” Azril makin resah. Dia seolah-olah risau dengan kedegilanku. “Kau akan mati kalau terus berdegil, Sofie! Aku bukan manusia. Aku ni raksasa. Lambat laun kau akan mati di tangan aku…”

“Aku tak percaya!” Dia ingat aku akan termakan dengan ugutan sebegitu. Jangan harap! Sikit pun aku tak takut!

“Jadi kau nak aku buktikan baru kau akan percaya?” Azril nampak macam marah. Baik, aku nak tengok macam mana dia nak buktikan kata-katanya tu.

“Apa yang kau nak buat, Azril?” Aku tepis tangan Azril yang tiba-tiba mencengkam kolar baju T ku.

“Kau nak aku buktikan. Jadi aku nak tunjukkan sesuatu yang tak pernah kau sedar selama ini.” Belum sempat aku menjerit, Azril lebih pantas menekup mulutku sambil menyelak kolar bajuku sehingga mempamerkan sebahagian bahu kananku. Aku cuba melawan tindakan Azril tetapi cengkaman Azril jauh lebih kuat memaksaku untuk akur. Azril bawa aku mendekati cermin besar dalam bilik tersebut dan menunjukkan sesuatu kepadaku. “Tengok ni… buka mata kau luas-luas dan tengok kesan gigitan di belakang bahu kau ni.”

Aku terkedu sebaik melihat dua bintik lebam, kesan gigitan taring pada bahagian belakang bahu kananku. Sejak bila kesan gigitan itu wujud langsung tidak aku sedari.

Perlahan-lahan Azril melepaskan tubuhku selepas aku tidak lagi meronta melawan sentuhannya. Azril berundur beberapa tapak ke belakang. Aku segera menjauhinya kerana mula berasa terancam.

“Kau jangan fikir aku tak bahaya sebab aku bukan vampire sebenar. Aku pernah hampir bunuh kau kerana hilang kawalan… kau sendiri pernah lihat bagaimana keadaan aku bila hilang kawalan sebelum ini kan. Aku tetap ada naluri vampire yang akan membahayakan manusia seperti kau, Sofie.”

Aku lihat air muka Azril yang penuh kekesalan. Dalam ketakutan yang sedang menguasai jiwaku kini, entah kenapa aku terlalu ingin memujuknya agar dia tidak berasa bersalah. Aku percaya semua yang berlaku bukan atas kehendaknya sendiri.

“Aku tak rasa kau cuba nak bunuh aku. Apa yang aku lihat, kau takut pada perkara lain. Kau takut pada abang kau. Kau cuba lari dari sesuatu. Beritahu aku, Azril… Adrian takkan kawal fikiran aku tanpa sebab, kan?”

Sekali lagi Azril mengeluh. Dia memusingkan tubuhnya membelakangi ku.

“Seperti yang aku jangka. Sofie yang aku kenal takkan mudah terpedaya dengan sebarang helah.” Aku dengar tawa kecil Azril selepas kata-kata itu. Tawa yang seolah-olah mengejek diri sendiri… atau barangkali kecewa bila aku masih tidak takut pada dirinya yang dianggap raksasa itu.

“Aku yang salah. Sejak dari awal lagi aku dah langgar peraturan. Sebagai unvampire, darah aku dicipta untuk vampire tapi aku dah berikan darah aku pada kau. Darah aku bukan untuk manusia.”

Secara tak langsung aku terus meraba belakang bahuku. Aku tak ingat bila Azril pernah menggigitku tapi dari penjelasannya dia bukan berniat jahat ketika menggigitku.

“Akibat perkara tu aku dah buat Ian marah. Ian tak boleh terima aku ada hubungan dengan manusia. Ian anggap aku mengkhianatinya bila aku berikan darah aku kepada kau. disebabkan itulah dia mempergunakan kau untuk mengancam aku.”

“Dah berapa lama…?” Aku terasa aku macam orang bodoh buat pertama kalinya hari ini selepas mendengar penjelasan Azril. Dah berapa lama mereka berdua memperbodohkan aku? Dah berapa lama sebenarnya Adrian kuasai fikiran aku untuk lupakan hubungan diantara kami?

“Aku minta maaf, Sofie… aku cuma cintakan kau dan itu adalah satu kesalahan bagi Ian.”

“What?” ayat terakhir Azril benar-benar buat aku terkejut. “Kau dan aku? Kita berdua…” Cuma tangan aku saja yang menuding ke arahnya dan diriku sendiri. Tak mampu rasanya nak menerima kenyataan yang janggal sebegini. “Gila! Aku tak percayalah.”

“Kau tak kan percaya selagi ingatan kau tak pulih.”

“Tak mungkin, Azril. Benda ni sangat merepek. Lagipun… kau bukan jenis lelaki idaman aku.” Aku tak ada cara untuk menafikan penjelasan Azril melainkan berkata begini. Macam mana dia boleh mengaku yang dia cintakan aku sedangkan aku cuma kenal dia beberapa minggu lepas sahaja.

“Baik… anggaplah yang kau baru kenal aku beberapa minggu lepas. Jadi kenapa kau terlalu ambil peduli pasal diri aku? Kenapa kau sentiasa ambil berat pasal keadaan diri aku? Kenapa kau langsung tak takut pada aku walaupun kau tahu aku bukan manusia? Kenapa kau masih nak dekati aku walaupun kau tahu bahawa aku ni raksasa!”

Aku terdiam sekali lagi. Aku buntu. Aku tak pasti dengan apa yang aku buat. Semua tindakan yang aku lakukan seakan-akan diluar kawalan diri sendiri.

“Aku tak tahu… aku tak pasti dengan tindakan aku terhadap kau. Aku cuma ikut naluri. Naluri aku cuma mahu pastikan kau selamat dari sebarang ancaman. Aku… aku tak tahu apa yang sedang aku buat sekarang.” Aku keliru. Kenapa sikap aku seperti tidak rasional terhadap Azril? Dia raksasa. Dia bukan manusia. Tapi kenapa aku semakin mendekatinya kalau aku hanya anggap dia orang asing dalam hidupku selama ini?

“Perasaan kau sangat kuat walaupun kau tak ingat siapa aku, Sofie.” Azril melangkah lebih hampir di hadapanku. Perlahan-lahan tapak tangannya yang dingin menyentuh wajahku. “Walaupun tanpa memori, aku tetap nak beritahu pada kau… aku cintakan kau… saya sangat menyintai awak, Sofie.”

Renungannya begitu menghangatkan perasaan tetapi malangnya aku tidak dapat ingat sebarang memori diantara kami berdua. Aku rasa bersalah dan dalam masa yang sama aku bersimpati terhadapnya. Namun begitu, keliru lebih menguasai fikiranku.

“Aku minta maaf… tapi dalam mata aku, kau cuma seseorang yang baru aku kenal.”

“Kau tak boleh ingat tapi kau masih boleh rasa, Sofie.”

Azril capai tapak tanganku lantas dibawa menyentuh ke dadanya. Aku pejamkan kelopak mata dengan perlahan-lahan bila mula memahami yang tindakannya itu kerana mahu aku merasai perasaan sebenar diantara kami berdua.

Aku tak pastilah kalau cara ini berkesan atau tidak. Yang dapat aku rasakan sekarang hanyalah degupan jantung Azril yang rasanya bukan seperti manusia normal. Beberapa saat kemudian yang aku rasakan hanyalah hembusan angin lembut yang menyebabkanku hilang fokus. Kelopak mata aku celikkan semula. Kelibat Azril tiba-tiba lenyap dari pandangan. Pintu bilik terbuka separuh. Aku terpinga-pinga dalam situasi tak terduga itu.

Tiba-tiba kelibat Elmira muncul menyapa dari luar pintu.

“Hei, penat aku cari. Di sini rupanya kau.”

Elmira menghampiriku lantas menarik tanganku untuk keluar dari bilik tersebut. Aku terkulat-kulat mengikuti langkah kakinya selepas itu. Otakku masih serabut memikirkan Azril.

*******

“KAU nak bawa aku pergi mana ni, El?” Aku mula lemas bila El memegang tangannya sejak tadi. Seolah-olah takut aku terlepas kemana-mana lagi.

“Persembahan dah start lah. Kau tu kalau aku tak ikat elok-elok bukannya boleh duduk diam.”

Aku sekadar melepaskan keluhan sambil mengikuti El menyelit di antara orang ramai yang bersesak-sesak di sekitar Dewan Orkestra untuk menyaksikan Battle Of The Band. Dalam hatiku sebenarnya sedang memberontak untuk beredar pergi. Aku masih tercari-cari kemana Azril menghilangkan diri secara tiba-tiba tadi. Aku yakin ada sesuatu yang menyebabkan dia pergi begitu sahaja tanpa meninggalkan sebarang pesanan kepadaku.

“Kaname-sama! Gambatte-ne!!!” Tiba-tiba El melompat-lompat sambil menjerit ke arah pentas dalam mood yang sangat teruja. Aku pelik dengan sokongan luar biasa El terhadap kumpulan band yang baru hendak memulakan persembahan itu lantas menoleh ke atas pentas.

Aku rasa macam nak jatuh rahang sebaik melihat Adrian sedang melambai ke arahku dan El dengan air muka yang ceria. Patutlah El terjerit-jerit memanggil nama samaran puteranya itu tadi. Jadi inilah motif El.

“El, aku nak balik!” aku tak fikir panjang dan terus sahaja angkat kaki meninggalkan kawasan audiens. Tak kuasa nak pedulikan Adrian. Aku yakin lelaki itulah punca Azril sentiasa melarikan diri daripadaku sekali lagi malam ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience