10

Romance Series 93218

“Aku terima nikahnya Aayra Medina Binti Mohd Nadzmi dengan mas kahwinnya berjumlah RM20,000.00 tunai."
Tenang sahaja Harraz melafazkan kalimah keramat itu. Sesekali matanya cuba menjeling pandang ke arah Aayra yang berada di atas pelamin sambil ditemani ibunya.

“Sah!" Ujar Encik Nadzmi setelah mendapat persetujuan saksi - saksi di sisinya.

Lafaz syukur dan doa dibacakan sebaik sahaja majlis selesai. Hanya dengan sekali lafaz, kini Aayra telah menjadi isteri yang sah buat Harraz Amsyar. Air mata kegembiraan akhirnya mengalir membasahi pipi. Aaira memeluk tubuh Puan Husna erat. Esak tangis mereka begitu jelas kedengaran. Masing - masing melepaskan rasa syahdu yang mencengkam di jiwa. Lama mereka dibiarkan dalam keadaan begitu sebelum Harraz mula menghampiri Aayra. Puan Husna memberi ruang kepada Harraz untuk menyempurnakan tanggungjawabnya. Harraz mengangkat wajah Aayra sedikit lalu air mata isterinya itu dikesat. Sebagai seorang anak, dia tahu apa yang dirasai oleh Aayra saat ini. Pasti isterinya itu masih terasa sedih kerana selepas ini dia akan meninggalkan keluarganya demi tanggungjawabnya. Namun Harraz tidak pernah meletakkan syarat kepada Aayra bahawa dia perlu meninggalkan rumah keluarganya selepas berkahwin. Jika Aayra bahagia di situ, Harraz akan turutkan sahaja keinginan isterinya itu.

“Assalamualaikum, sayang." Ucap Harraz lembut.

“Waalaikumussalam, abang." Balas Aayra bersama senyuman di bibir.

“Cantiknya isteri abang hari ni! Macam bidadari dari syurga." Puji Harraz.

Aayra tidak menjawab. Dia menunduk malu. Seketika kemudian dia dapat merasakan jari jemarinya digenggam kemas oleh Harraz lalu cincin disarungkan ke jari manisnya. Sejurus itu, satu ciuman melekap di dahinya dan momen - momen itu telah disaksikan oleh semua tetamu yang berada di dalam dewan tersebut. Beberapa orang jurugambar yang ditugaskan untuk merakam detik - detik indah itu kelihatan begitu sibuk menjalankan tugas mereka.

Aayra dan Harraz diminta turun dari pelamin untuk bertemu dengan semua ahli keluarga mereka. Aayra yang mengenakan dress labuh berwarna krim itu langsung dibantu suaminya ketika menuruni anak tangga. Kemudian mereka berjalan beriringan menuju ke arah keluarga masing - masing. Sekali lagi air mata Aayra mengalir laju saat Encik Nadzmi memeluk tubuhnya erat. Esak tangisnya mula kedengaran. Aayra sudah tidak mempedulikan tetamu - tetamu yang berada di sekelilingnya. Saat ini perasaannya lebih penting dari segalanya.

“Aayra, anak abah. Tahniah sayang. Tak sangka anak bongsu abah ni dah jadi isteri orang. Abah bahagia sangat sayang. Selama ni abah tak henti - henti mendoakan yang terbaik buat anak - anak abah. Alhamdulillah, Allah dah perkenankan doa abah. Aayra jadilah isteri yang terbaik dan solehah buat Harraz ye? Jaga segala keperluan Harraz dengan baik. Patuh cakap suami. Kalau ada masalah, bawa berbincang baik - baik. Tanggungjawab abah pada Aayra dah habis. Sekarang ni abah serahkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada Harraz. Aayra jaga diri baik - baik ye sayang? Jaga maruah suami." Pesan Encik Nadzmi panjang lebar. Suaranya juga kedengaran sebak dan akhirnya air matanya turut sama mengalir membasahi pipinya.

“Abah, mama. Terima kasih. Terima kasih kerana dah membesarkan adik dengan baik dan sempurna selama ni. Adik sayang abah dan mama sangat - sangat. Adik janji adik akan pegang segala pesanan abah tu kuat - kuat. Walaupun adik dah jadi isteri abang Harraz, tapi adik tetap tak akan lupakan abah dan mama. Abah dan mama adalah nyawa adik." Balas Aayra sebak. Tubuh Encik Nadzmi dan Puan Husna dipeluk seerat - eratnya.

Rata - rata tetamu yang menyaksikan adegan itu turut sama mengalirkan air mata kesyahduan mereka. Masing - masing seakan dapat merasakan betapa sayunya hati mereka sekeluarga saat ini. Harraz yang sejak tadi berdiri di belakang Aayra mula menghampiri Encik Nadzmi lalu kedua belah tangan bapa mertuanya itu dicium penuh hormat.

“Harraz, abah serahkan Aayra kepada Harraz. Jagalah dia dengan sebaik - baiknya. Jika Aayra ada melakukan kesalahan, tegurlah dia dengan sebaik - baiknya. Bimbinglah dia ke taman Firdausi dan yang paling penting sayangilah dia seperti mana abah dan mama sayangi Aayra." Pesan Encik Nadzmi kepada Harraz pula.

“In Shaa Allah abah, mama. Terima kasih kerana merestui hubungan kami. Harraz janji Harraz akan jaga amanah abah dan mama ini dengan sebaik mungkin." Balas Harraz sopan.

Aayra hanya mendengar sahaja perbualan kedua orang tuanya bersama Harraz tanpa menyampuk. Saat ini dia sedang berada di dalam pelukan Aayrel. Air matanya tidak henti - henti mengalir sejak tadi.

“Tahniah sayang! Abang so happy for you. Finally you got your own happiness. Be a good wife for your husband ok? Abang will always pray for you. No matter what, you will always be my little girl. I love you adik!" Ucap Aayrel sayu. Dia sedaya upaya menahan air matanya dari mengalir. Namun sebaik melihat riak wajah Aayra, hatinya menjadi sebak lalu air mata yang ditahan - tahan sejak tadi akhirnya mengalir jua.

“I love you too, abang. Thanks for being such a good brother for me. Nobody can replace you in my heart. I'm promise you. I will always pray for the best for you too." Balas Aayra lalu pelukannya terhadap Aayrel semakin dieratkan.

Setelah semuanya selesai, Aayra dan Harraz di bawa ke bilik persalinan bagi menukar pakaian mereka. Ini kerana pada sebelah petang, mereka akan diraikan pula dalam majlis resepsi mereka. Kali ini Aayra telah memilih untuk menggayakan busana pengantin yang bertemakan kayangan berwarna purple lavender manakala Harraz pula memilih untuk memakai sut tuxedo yang berwarna white cream.

Majlis resepsi mereka berjalan dengan penuh gilang gemilang. Rata - rata tetamu yang hadir tidak henti - henti memuji kecantikkan dan kekacakkan kedua - dua mempelai. Masing - masing seakan tidak mahu melepaskan peluang mereka untuk mengabdikan gambar bersama pasangan pengantin. Sedang asyik Aayra dan Harraz menjamu selera, tiba - tiba mereka didatangi Ezmal dan Ramona.

"Congrats bro!! Finally you are off the market!! Tak sangka kan? Antara kita berdua, rupa - rupanya kau yang kahwin dulu. Laku juga cousin aku ni kan?" Usik Ezmal penuh nakal. Tubuh sasa Harraz dipeluk erat.

Harraz tertawa besar saat mendengar usikan dari sepupu kesayangannya itu.

“Apa kau ingat kau sorang jela yang laku sekarang ni? See the legs la. By the way, thanks for your warm wishes and thanks for coming. Both of you bila lagi? Jangan tunang lama - lama sangat. Nanti basi." Giliran Harraz pula berseloroh.

Aayra tidak menyampuk. Dia cuma memerhatikan sahaja gelagat Harraz dan Ezmal. Sesekali matanya cuba memandang ke arah Ramona. Namun penerimaan gadis itu masih sama seperti dahulu. Bibirnya langsung tidak mengukir senyuman malah dia siap menjeling tajam ke arah Aayra.

“In Shaa Allah. Korang berdua doa - doakanlah untuk kita orang pulak. Bukan apa, kita orang pun nak juga merasa pengalaman duduk bersanding dekat atas tu macam korang." Balas Ezmal bersahaja.

“In Shaa Allah. Kita orang pasti akan doakan yang terbaik untuk korang." Harraz tersenyum bahagia.

Aayra turut tersenyum. Tapi entah mengapa dia seakan dapat mengesan sesuatu dari air muka Ezmal. Lelaki itu seperti sedang menderita saat ini. Adakah hubungannya dan Ramona sedang dilanda masalah? Atau dia bersedih dengan perkahwinan sepupu yang paling akrab dengannya ini? Pelbagai persoalan yang bermain di benak fikiran Aayra. Namun semuanya tiada jawapan. Tiada apa yang dia mampu lakukan melainkan hanya turut berdoa agar majikannya itu dikurniakan kebahagiaan sama seperti yang dikecapinya bersama Harraz.

Share this novel

zahracomel
2020-01-12 00:26:32 

sangat best dan menyeronokkan


NovelPlus Premium

The best ads free experience