Aku tersenyum mengingati telatahku dahulu. Matahari sudah semakin
terik. Perlahan-lahan aku bangkit dari buaian lalu melangkah masuk ke
dalam rumah. Di pintu masuk, aku bertembung dengan ummi.
“Ummi baru nak panggil Mia masuk makan tengah hari. Mari
kita makan,” ajak ummi.
Aku mengekori ummi dari belakang. Sampai saja di meja makan,
aku melabuhkan punggung di sebelah uumi.
Ummi mencedokkan nasi ke dalam pingganku dan walid. Hari ini
kami hanya makan bertiga kerana Kak Ifa, Abang Nan dan Zarif tidak akan
balik untuk makan tengah hari. Manakala Alif pula bersekolah.
“Ummi, bila Abang Rif dah balik nanti jangan bagitau dia
yang Mia ada kat bilik bawah tau,” pintaku.
“Kenapa pulak?” tanya ummi
Walid turut melemparkan pandangan ke arahku.
“Saja nak bagi kejutan kat Abang Rif.” Aku tersengih.
“Yalah...”
Selepas makan, aku mengangkat pinggan mangkuk untuk dicuci
namun ummi menghalang. Ummi menyuruh aku menonton televisyen tetapi aku
tetap berkeras mahu mencuci. Aku berasa bersalah tidak menolong ummi
memasak tadi. Akhirnya ummi mengalah dengan syarat, aku hanya dibenarkan
mencuci pinggan dan gelas yang telah aku gunakan saja. Aku hanya akur.
Dari satu siaran ke satu siaran aku tukar namun tiada satu
rancangan pun yang berjaya menarik minatku. Mataku mulai terasa berat
dan aku mula menguap. Perlahan-lahan aku bangkit untuk ke bilik. Ketika
ingin menaiki tangga, ummi memanggilku.
“Mia...”
Aku menoleh. “Ya ummi?”
“Nak pergi mana tu?”
“Nak masuk bilik. Mengantuklah ummi. Makan banyak sangat
tadi.” Aku meneruskan langkah untuk menaiki tangga.
Bilik Mia kan kat bawah.” Ummi mengingatkan.
Langkahku terhenti.
“Hehehe... lupa pulak.” Aku segera
melangkah ke bilik yang terletak bertentangan dengan ruang tamu. Pintu
bilik kukuak. Langkah kuatur ke katil lalu merebahkan badan.
Perlahan-lahan mataku tertutup.
*****
Aku terjaga apabila terdengar bunyi bising. Perlahan-lahan aku bangkit
dari katil lalu melangkah ke pintu. Pintu bilik kukuak sedikit lalu
mengintai ke luar. Aku lihat Zarif sudah mundar mandir di ruang tamu.
“Ummi,” panggil Zarif.
“Ada apa yang bising-bising ni Rif?” Ummi muncul di ruang
tamu dengan memakai telekung, manakala walid pula dengan berkain pelekat
dan berkopiah.
“Mia, ummi... Mia dah hilang. Dia tak ada dalam bilik.”
Zarif sudah duduk di sofa sambil memicit kepalanya.
“Rif dah cari betul-betul ke?” tanya ummi.
“Dah... Rif dah cari tapi tak jumpa pun Mia. Mana dia
pergi?” Zarif meramas rambutnya.
“Rif cari kat mana?”
“Kat balkoni... bilik air pun tak ada...” Zarif mengeluh.
“Kat bilik tu Rif dah cari?” sampuk walid sambil
menundingkan ibu jari ke arah bilik yang kuhuni sekarang.
Aku mengecilkan lagi pintu bilik apabila terlihat Zarif
merenung ke pintu bilik.
“Takkan dia ada kat bilik tu kot, sebab dia janji tak nak
turun ke bawah.”
“Cubalah cari dulu,” kata walid lagi.
Aku menutup pintu perlahan apabila aku terlihat Zarif sedang
bangun dan mula menghampiri bilik ini. Perlahan-lahan aku melangkah ke
katil lalu duduk sambil menunggu Zarif sampai ke bilik. Beberapa saat
menunggu, pintu bilik terkuak. Aku memaniskan muka sebaik saja wajah
Zarif berada di hadapan mata.
“Ya Allah... kat sini rupanya Mia!” Zarif menghampiriku lalu
melabuhkan punggung di sebelahku. Dia meraup wajahnya. “Sayang tahu tak
betapa risaunya abang tadi mencari sayang. Kenapa turun? Kan sayang
janji tak nak turun...” Wajahnya serius. Aku tahu dia sedang menahan marah.
“Abang, Mia mintak maaf. Mia pindah bilik ni pun sebab tak
nak menyusahkkan ummi. Kalau Mia pindah bilik bawah, tak payahlah ummi
asyik turun naik tangga hantar makanan je.” Aku mengulang jawapan yang
kuberikan pada ummi tadi.
“Mia tak ada buat kerja rumah, kan?”
“Tak ada...” Aku menggeleng.
“Dahlah, abang nak pergi mandi dulu.” Zarif mula bangkit
mahu melangkah keluar. Baru saja sampai di pintu, dia berpaling semula.
“Malam ni Mia tak payah pergi sembahyang tarawih la,” katanya.
“Kenapa pulak?” soalku tidak puas hati.
“Mia kan dah sarat... dengar cakap abang ya?” pujuknya.
Aku mengangguk.
Dia terus melangkah ke bilik mandi.
Share this novel