3 Kerana Musang King

Family Series 57531

Demi perjalanan jauh meredah hutan dan bukit bukau, lumpur becak dan jalan tak berturap seperti barusan dilanda gempa bumi, Rhett Raffendy telah menempah sebuah kereta yang dikatakan paling lasak untuk jalan teruk iaitu sebuah Isuzu Single Cab 3.0 berwarna putih.

Tak mungkinlah dia sanggup bawa kereta mahal buatan luar negaranya itu meredah jalan kampung. Kereta kesayangan dia tu dijaga macam jaga nyawa sendiri. Calar sikit pun terasa macam kulit sendiri terobek. Dia juga ikut nasihat Tok Teh yang siap bagi dia sebaris peribahasa ‘Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak’ yang bermaksud pandai-pandailah kau bawa diri ikut tempat dan keadaan.

Kereta penuh dia sumbat dengan barang-barang keperluannya kerana risau urusannya mungkin memakan masa beberapa hari. Beberapa katon air mineral dia ikat kemas di trunk kereta. Cuma satu kelalaian dia, terlupa bawa makanan! Sekeping roti tawar pun tiada dibawa untuk mengalas perut.

Hampir seharian memandu, dia sudah terlalu lapar! Sangkanya adalah warung-warung atau kedai runcit di tepi jalan yang boleh dia singgah untuk isi perut. Malangnya, sepanjang jalan hanya dikelilingi hutan belantara. Setakat ini, tiada sebuah kampung pun dia jumpa. Ada jugalah simpang yang berkemungkinan jalan masuk ke perkampungan tetapi entah kan dekat atau jauh lagi masuk ke dalam. Dia tidak berani melencong takut tersesat terus tidak jumpa jalan pulang.

Dek kerana jemari mulai terketar dan peluh dingin juga mulai membasahi dahi, Rhett ambil keputusan untuk berhenti sebentar di bahu jalan. Selepas menarik handbrake, Rhett bergegas turun lalu mengambil sebotol besar air mineral. Menggigil tangan ketika meneguk air mineral. Dia benar-benar kelaparan. Mujur gastrik tidak timbul.

Setelah habis sebotol besar air mineral ditumpahkan ke dalam perut, barulah terasa lega sedikit. Rhett pandang sekeliling. Sekarang dia rasa mahu terkencing pula. Nak membuang di mana? Rhett bergerak menuju ke arah kawasan belukar tebal. Kalau pun kebetulan ada kereta lalu, sekurang-kurangnya dia terlindung oleh semak samun ketika sedang membuang nanti.

Tengah membuang cecair yang tak diperlukan oleh tubuh, bebola mata melekat di satu arah. Terkuak luas mata. Perut yang sememangnya tengah lapar spontan menjerit. Rhett teguk air liur. Setelah menyudahkan urusan peribadi, Rhett menarik zip seluar dan bergegas menuju ke satu arah di mana berdiri gah sepohon pokok durian yang sedang berbuah lebat.

Setelah berdiri di bawah pokok tersebut, Rhett kembali memandang sekeliling. Tak mungkin kebun orang. Kawasan tersebut dipenuhi hutan belukar. Tiada tanaman lain selain sebatang pokok durian di depannya itu. Dia yakin durian tu tumbuh sendiri. Sama ada biji durian dibuang secara rawak oleh manusia yang menggunakan jalan raya di situ atau dibuang oleh haiwan dan burung.

Rhett mendongak. Kemudian bebola mata turun memerhati batang pokok durian. Dia yakin dia boleh memanjat naik. Dia cuma mahu ambil sebiji buah durian. Cukuplah untuk mengalas perut. Bukan mencuri tau, pokok itu bukan milik sesiapa. Itulah bisikan batin Rhett sebelum berkira-kira mahu mula memanjat naik.

“Yuhuuu! Buat apa tu?”

BUK!

Belum sampai sejengkal batang pokok durian dipanjat, Rhett jatuh tergolek di atas rumput. Mata ditutup rapat sambil berzikir dalam hati. Ya Allah, jauhkanlah diri dari sebarang gangguan makhluk halus, bunian, pontianak, penunggu hutan dan segala sesuatu yang sewaktu dengannya ya Allah...

Semakin galau jadinya bila Rhett dengar bunyi tapak kaki yang makin menghampirinya. Teringat pesan orang tua-tua, jangan dilayan. Buat tak tahu dan dekatkan diri kepada Allah melalui doa. Rhett teruskan membaca doa yang separuh dia main hentam sebut kerana tidak hafal.

“Hoi! Kau baca doa apa tu? Macam doa makan je!”

Serius?! Hantu pun tahu doa yang dia baca tu salah? Perlahan-lahan, sebelah mata dicelik. Ya Allah! Rhett kelam kabut menutup semula matanya. Itu… puteri bunian ke? Dia menyambung kembali bacaan, tetapi hanya dalam batin. Tau juga dia malu diejek penunggu hutan tu.

“Hey! Kau buat apa ni? Saya manusialah, macam kau jugak!”

Rhett celik sedikit mata. Oh, manusia! Teringat lagi kata orang tua-tua bahawa makhluk halus pun bijak menyamar sebagai manusia. Gadis berambut panjang diikat ekor kuda itu diteliti dari rambut ke kaki. Yup, manusialah kot! Kaki nampak jelas memijak tanah. Kalau tidak, dari mana datangnya bunyi ranting kering berpatahan bila dipijak oleh gadis itu ketika menghampiri dia tadi.

Rhett melompat bangun lalu melibas-libas punggungnya untuk menjatuhkan kotoran yang melekat di seluar.

“Buat apa tadi? Nak curi durian ke?” Tegak kuping telinga dengar tuduhan tak berasas gadis itu. Rhett pandang kurang senang.

“Curi? Saya bukan pencuri!”

“Habis tu yang kau panjat tadi kenapa? Nak berak atas pokok durian supaya tiada yang nampak ke?” Jatuh rahang Rhett dengar. Tidak pernah dia jumpa gadis main cakap lepas macam yang sedang terpacak di depan dia sekarang ini.

Wajah gadis itu ditenung sebentar. Manis juga budaknya. Berambut lebat hitam pekat, kening terang dan terbentuk cantik, mata bundar dihiasi bulu mata lebat, panjang melentik. Tapi, nampak sangat kekampungan! Hurm, not my taste.

“Kau tengok aku macam tu kenapa?!” Gadis itu menempelak sambil membeliakkan mata. Terherot senget bibir Rhett. Dia mulai rasa jengkel.

“Tengok betul-betul. Durian tu bukan milik sesiapa. Saya tahu ianya tumbuh sendiri dari biji durian yang dibuang, bukan ditanam! So, tiada istilah mencuri. Siapa cepat, dia dapat!”

Rhett mengalihkan mata, tenung durian tu lebih baik dari pandang gadis yang menjengkelkan itu. Gadis itu merapat, berdiri di samping Rhett lalu ikut sama merenung durian di depan mereka. Buat seketika, masing-masing terleka memandang ke arah yang sama. Sebiji durian yang paling menonjol. Paling besar di antara buah durian yang lain. Hampir serentak kedua-dua mereka teguk air ludah, membayangkan isi berwarna kuning yang pastinya padat dan tebal menjamah lidah dan masuk ke dalam kerongkong.

“Kau nampak tak buah yang paling besar tu? Rasanya dah ranum dan tinggal tunggu masa nak jatuh.” Rhett angguk, turut bersetuju dengan pendapat gadis di sebelah.

“Macam nila, kita berdua dah terlanjur berada di sini kan? Bermakna, kita sama-sama jumpa pokok ni. Jadi, untuk lebih adil, apa kata kita bagi dua? Besar buah tu, kau seorang makan tak mungkin habis kecuali kau pelihara anak gajah dalam perut.” Gadis itu menyambung kata. Rhett berfikir sejenak lalu mengangguk lagi. Gadis di sebelah tersengih, puas hati melihat keakuran Rhett.

“So… kau panjat dan saya kutip buah tu nanti!” Rhett angguk. Eh! Kepala pantas dipusing ke sisi.

“Why me? Asal tak kau je pergi panjat dan biar saya yang kutip buah?” Bidas Rhett dengan nada kurang senang. Pandai-pandai je nak mengatur dia kan? Macamlah mereka berdua ni dah lama kenal. Cis, yang dia ni pun, asyik angguk-angguk macam pak turut dah kenapa?

“Saya tak boleh panjatlah. Itu pantang larang orang tua-tua. Kau tak pernah dengar ke? Orang perempuan tak boleh panjat pokok yang pertama kali berbuah. Nanti buah seterusnya akan rosak. Terbelah sana, terbelah sini!”

Rhett pandang pelik seraut wajah di sebelahnya. Ada ke macam tu? Minah ni serius atau memang kaki kelentong?

“Habis tu kalau orang lelaki yang panjat, buah seterusnya membesar dan memanjang dengan jayanya ke?!” Perlian Rhett buat si gadis jatuh rahang mendengar. Cilakak punya jantan! Orang cakap betul apa, itu kata opah dia. Walau pun dia sendiri tidak pernah melihat bukti depan mata tapi dia percaya petua orang dulu-dulu harus dituruti kerana mereka lebih dulu makan garam.

“Kau jangan buang masa boleh tak? Kita ni berada di tengah hutan, tau tak? Kawasan ini kawasan tumpuan monyet dan tupai! Kejap lagi muncullah makhluk-makhluk tu dan ikut berebut durian tu. Kau nak bergaduh dengan haiwan pulak lepas ni?”

Mendengar kata-kata gadis itu, laju bebola mata Rhett bergolek memandang sekeliling. Melihat persekitarannya, ada kemungkinan kata-kata gadis itu bukan sekadar untuk menakut-nakutkan dia. Rhett mendengus. Kalau bukan kerana perutnya sedang kelaparan, tak mungkin dia mahu menurut perintah gadis asing itu.

“Ambil yang paling besar tu je tau! Yang lain biarkan dulu. Sayang kalau kau jatuhkan, belum matang lagi tu.” Sempat lagi gadis itu titipkan pesan. Rhett menjeling dengan rasa sebal menggunung.

“Kau jaga di bawah, jangan sampai hilang buah tu!” Rhett beri amaran sebelum mula memanjat batang pokok durian sebesar pemeluknya itu. Memanjat bukanlah masalah besar, pujian harus diberi kepada diri dia sendiri kerana rajin pergi gym.

Hanya beberapa minit diambil untuk sampai ke dahan di mana buah durian paling besar dan mengeluarkan bau yang benar-benar membangkitkan selera itu tergantung, menunggu masa untuk jatuh. Rhett memijak dahan itu dengan penuh berhati-hati. Setelah berada hampir dengan buah durian tersebut, Rhett cuba menjatuhkan buah itu dengan hentakan deras tapak kasut sportnya.

BUK!

Rhett menyeringai dengan bangga. Bebola mata jatuh ke bawah. Dapat dia lihat gadis itu berlari anak menuju ke kawasan semak dipenuhi belukar.

“Jumpa tak?” Jerit Rhett dari atas pokok.

“Got it!!!” Rhett tersengih melihat gadis itu mengangkat buah durian untuk ditunjukkan kepada dia. Sejurus selepas menayangkan buah tersebut, gadis itu berpaling lalu berlari anak menuju ke arah jalan raya. Rhett mengerut dahi.

“Hoi! Kau nak ke mana tu?!”

“Of courselah nak bawa balik Musang King ni!”

“Hey!!! Habis tu aku?!”

“Kau?! Kan kau di atas pokok tu? Pandai-pandailah cari buah lain! Good luck kah! Kah! kah!”

Cilakak! Mati-mati Rhett menyumpah dalam hati bila lihat gadis itu terus masuk ke dalam kereta Kancil berwarna pink terang dan memecut pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience