SH 1 Lembaga Hitam???

Romance Completed 102231

"SEKALI dengan daging kambing tu juga ye kak," kataku sambil menunjuk ke arah hirisan kambing perap yang sudah siap dibakar. Hanya menunggu untuk dibungkuskan sahaja jika ada yang mahu membeli.

Zila mengangguk. Semakin lebar senyumannya kerana aku telah membeli banyak jualannya pada petang itu. Ada kerang bakar, kambing bakar, sotong bakar, juga beberapa jenis kuih-muih. Rancanganku mahu berbuka puasa di rumah ibu mentuaku nanti.

"Ni, Wa. Alhamdulillah rezeki akak. Banyak kamu beli hari ni," kata Zila sambil menghulurkan beberapa bungkusan plastik kepadaku.

"Nak berbuka terus kat rumah mentua nanti, kak. Hannah pun masih kat situ," jawabku sambil tersenyum.

"Tadi dari tempat biri-biri tu ke? Lambat pulak kamu balik hari ni. Biasa kamu kat situ setengah hari je kan?" soal Zila lagi sambil tangannya sibuk membungkus.

"Ha'ah. Tolong Hussien. Baru balik sebab hari ni sibuk sangat, kak. Ada pemborong datang beli anak kambing, lepas tu nak tunggu kontraktor datang hantar barang lagi. Hussien kata nak buat kandang baru."

"Ooo, masyukkk lah tu. Tak apa, sibuk tu kira rezeki juga. Hasil sibuk tu lah yang akan jadi duit nanti."

"Betul tu kak. Syukur kak, rezeki Hannah. Hehe, " Aku mengangguk, aku tersengih tanda mengiakan kata-kata Zila itu. Hulurannya aku sambut, dibalas pula dengan beberapa kepingan wang kertas. "Saya minta diri dulu ye, kak. Belum mandi lagi ni."

"Hati-hati, Wa. Terima kasih dah berbeli dengan akak," Zila melaung lembut, aku pula terus bergerak ke arah motosikal kapcai milik Rayyan Hakimi yang selalu aku guna. Hasil pembelianku tadi aku letakkan di dalam bakul motosikal dan setelah itu, barulah aku memecut laju meninggalkan kawasan itu.

Menunggang motosikal di waktu petang sememangnya satu hal yang sangat menyeronokkan bagi aku. Angin petang meniup wajah, terasa sejuk dan nyaman. Semakin aku terkhayal dengan suasana indah itu, semakin laju aku memecut. Sedar diri tidak berlesen, tetapi semua itu aku abaikan sahaja. Selagi tidak ditangkap oleh pihak polis, selagi itu jugalah aku akan terus menikmati semua ini. Ah, bermotosikal kapcai ternyata lebih menyeronokkan berbanding dengan berkereta. Cara yang sederhana, tetapi sangat membahagiakan.

Setiap kali melewati jalan yang sunyi, sengaja aku memulas pendikit motosikal itu dengan lebih kuat, lalu, semakin bising dan semakin laju jugalah kenderaaan beroda dua itu bergerak. Sesekali, ada juga aku terserempak dengan para penduduk kampung di sepanjang perjalananku itu. Ada yang berkereta, bermotosikal, berbasikal dan ada juga yang berjalan kaki. Hanya senyuman dan anggukan sahaja yang aku berikan kepada mereka kerana tidak sempat pula untuk menegur.

Hubungan aku dengan para penduduk kampung semakin hari semakin baik. Berbeza benar dengan keadaan sewaktu aku baru memunculkan diri dari bandar suatu ketika dulu. Semua ini membuatkan aku bertambah kuat dan bersemangat untuk meneruskan hidup walaupun tanpa seorang suami di sisi. Ya, walau hakikat yang sebenarnya aku sunyi tetapi aku tidak mahu menayangkan semua itu. Rasa rinduku hanya mampu aku luahkan dalam doaku sahaja kerana aku tahu, Dia yang lebih layak dan setia untuk mendengar. Hanya Dia.

Aku mengeluh sedikit sebaik sahaja aku tiba di simpang masuk rumah mentuaku. Belum puas sebenarnya hendak merempit, memecut tetapi tidak mungkin untuk aku membuat pusingan yang kedua kali. Sudahlah sebentar lagi akan masuk waktu berbuka.

Kepulanganku pada petang itu disambut oleh Mak Zainab bersama Hannah yang sedang duduk bersantai di luar rumah. Hannah langsung bersorak gedik sementara ibu mentuaku pula seperti biasa akan bergeleng kepala setiap kali melihat aku membawa motosikal kapcai ini. Aku tahu, wanita tua itu sedang menahan perasaan geram.

"Mama! Mama! Nak... nak!" Hannah menadahkan tangannya ke arahku sebaik sahaja aku turun dari motosikal.

Aku tersenyum, hasil pembelianku tadi aku keluarkan untuk dibawa masuk ke dalam rumah. "Anak mama dah mandi dah? Cantiknya baju dia." Aku cuit, aku cium pipi Hannah untuk melepaskan rasa rinduku yang seharian itu. Harum semerbak bau bayinya membuat aku berasa berat hati untuk melepaskan pelukan kami.

"Bagi mama kamu mandi dulu, Hannah. Mama penat tu."

Suara lembut Mak Zainab menegur kami anak-beranak. Aku kembali bangkit sambil tersengih. "Mereka belum balik lagi ke, mak?" Aku menyoal tentang Iza, Hisyam dan Fifi. Kata Mak Zainab, mereka bertiga pulang ke kampung orang tua Hisyam awal pagi semalam.

"Iza kata balik esok. Nenek Fifi masih rindukan Fifi lagi tu," kata Mak Zainab.

Aku terangguk-angguk seraya mengikuti langkahan ibu mentuaku masuk ke dalam rumah, seterusnya bergerak ke arah dapur. Bungkusan-bungkusan plastik yang sedang aku pegang lantas aku letakkan di atas meja makan.

"Banyak ke makanan yang kamu beli tu, Wa? Kamu nak mak masak lagi ke?" Mak Zainab melaung lembut dari arah ruang tamu.

"Eh, banyak ni mak. Rasanya tak perlu nak masak lagi dah. Saya ingatkan mereka balik hari ni. Tu yang beli banyak," kataku seraya bergerak semula untuk mendapatkan keberadaan Mak Zainab bersama Hannah.

"Tak apalah, boleh simpan untuk sahur esok. Kamu dengan Hannah tak tidur sini? Mak sorang-sorang je Wa. Bukan takut, tapi sunyi." Sayu suara Mak Zainab kedengaran membuatkan aku laju menggangguk tanpa berfikir lebih.

"Boleh juga mak, tapi nanti saya nak balik jenguk rumah kejap. Nak pasang lampu. Kesian pula rumah tu kalau terbiar dalam gelap-gelap nanti."

"Haaa, eloklah tu. Kamu pergilah mandi dulu, kejap lagi nak masuk waktu berbuka dah."

"Baik, mak. Hannah dengan nenek dulu ye? Mama nak mandi."

Faham dengan kata-kataku, Hannah kemudiannya lantas mengangguk senyum. Geram aku melihat muka Hannah. Memiliki gigi yang hanya beberapa sahaja, montel dan nakal pula. Semakin mendaki usia, wajah Hannah semakin seiras benar dengan wajah ayahnya. Daripada caranya tersenyum, tertawa, mencebik rajuk atau marah memang serupa sungguh dengan gaya Khir Adli. Pendek kata; Hannah ialah Khir Adli dalam versi perempuan. Sudah berbulan-bulan aku dengan Hannah tidak bertentang wajah dengan bekas suamiku itu. Tetapi walaupun begitu, Khir Adli ada juga bertanya khabar kami melalui panggilan dan pesanan ringkas cuma tidaklah selalu. Dalam sebulan, mungkin hanya beberapa kali sahaja.

SELESAI sahaja pekerjaan mengemasku di dapur itu, aku terus mendapatkan keberadaan Hannah dengan ibu mentuaku di ruang tamu. "Mak, Hannah tidur dah ke?" soalku. Aku pandang ke arah Hannah yang ketika itu sedang berbaring di sisi duduk Mak Zainab. Letih sungguh gamaknya, seperti dia yang berpuasa dan seharian membantu Hussien di tempat penternakan biri-biri milik ayah tirinya.

"Ha'ah, baru terlelap ni. Kamu jadi ke nak pergi jenguk rumah tu? Lewat dah ni." soal Mak Zainab. Riaknya jelas sedang mengkhuatirkan tentang diriku.

Aku laju mengangguk. Memang rancanganku mahu pulang sebentar setelah berbuka tadi. Semenjak dua menjak ini, sikap pelupaku semakin sahaja menjadi-jadi. Aku risau jika ada pintu, tingkap atau suis-suis elektrik yang belum aku tutup. "Kejap je, mak. Tak lama. Mak tolong jagakan Hannah lagi ya? Saya janji takkan lama," kataku sambil tersengih.

"Hrmmm, " Mak Zainab membuang keluhan. "Mak bukan apa, mak cuma risau tengok kamu jalan sorang-sorang malam-malam macam ni, Wa. Tak payah jenguk pun tak apa agaknya."

"Eh, kena jenguk juga mak. Saya risau kalau jadi macam hari tu. Nasib tak terbakar rumah tu," gigih aku memujuk. Membuka cerita beberapa minggu lalu itu membuatkan Mak Zainab akhirnya mengangguk akur juga. Cerita di mana aku telah terlupa mematikan api dapur gas. Ketika itu, aku sedang memasak sup ayam tetapi boleh-boleh pula kakiku gatal membawa Hannah keluar berjalan-jalan mengelilingi kampung. Mujurlah petang itu, Iza dengan Hisyam datang melawat ke rumah. Hisyamlah yang menjadi hero memecah masuk ke dalam dapur rumahku untuk menyelamatkan keadaan. Hampir terbakar telingaku mendengar ibu mentuaku membebel. Tetapi aku tidak melawan, aku sekadar tersengih dan terus tersengih sehinggalah wanita tua itu berhenti dengan sendiri. Bukannya aku tidak biasa dibebeli dan dileteri oleh Mak Zainab. Telingaku sudah lali akan semua itu.

"Saya keluar sekarang ye, mak?"

"Pergilah, ke kamu nak mak dengan Hannah temankan?" soalnya lagi.

"Eh, tak boleh mak. Motosikal tu entah kuat ke tak untuk bawa tiga orang sekali. Ada pula kita terkandas kat tengah-tengah jalan nanti mak." Tertawa aku ketika membalas kata-kata ibu mentuaku tadi. Membayangkan keadaan motosikal kapcai yang hampir menjadi rangka mati itu benar-benar membuatkan aku mahu ketawa. Untuk membawa aku dengan Hannah mungkin ya, tetapi untuk membawa Mak Zainab sekali, aku tidak yakin.

"Itulah mak tak suka kamu bawa motosikal tu. Buang bagi kambing makan pun mereka tak nak, Wa. Balik nanti kamu bawa kereta laki kamu tu. Berbuih dah mulut mak ni cakap dengan kamu, Wa. Degil, sebijik macam perangai laki kamu tu jugak!"

"Hrmmm, tengoklah nanti macam mana mak. Hehe... " Tanpa mempedulikan bebelan Mak Zainab, aku terus melangkah ke arah luar. Kunci motosikal dengan telefon bimbit sahaja yang aku bawa. Sambil bernyanyi riang, aku segera mendekati keberadaan motosikal kapcai kesayanganku itu dengan perasaan sudah tidak sabar lagi mahu merempit sendirian.

Keadaan sepanjang perjalanan dari rumah ibu mentuaku ke rumah kami, tidaklah menyeramkan. Selain lampu jalan, lampu dari rumah para penduduk kampung juga sudah cukup menerangi jalan. Malah, ramai juga remaja kampung yang sedang melepak dan bermain bunga api di luar rumah pada waktu-waktu seperti ini.

Seperti biasa, aku akan mengeluh sedikit kecewa apabila sampai ke lokasi tujuan. Belum puas rasanya hendak menunggang motosikal itu, tetapi apakan daya, masa amat mencemburui aku. Jika aku terlewat pulang, bertambah lagilah bebelan ibu mentuaku nanti.

Keadaan di rumah kami ketika itu hanya gelap kerana petang tadi aku tidak sempat memasang lampu. Dengan gerakan yang laju, aku segera turun dari motosikal itu. Pandang ke kiri kanan dengan perasaan yang berdebar-debar, sambil-sambil itu juga aku gigih membukakan kuncian pada pintu rumahku.

Aku menarik nafas lega sebaik sahaja kakiku menapak ke dalam rumah. Semua lampu aku pasangkan. Suasana yang suram tadi lantas bertukar menjadi meriah ditambah pula dengan kerlipan lampu warna warni di luar itu. Aku bergerak ke seluruh pelusuk rumah untuk memastikan keadaan selamat. Gas dapur diperiksa, suis-suis, pintu belakang dan tingkap juga aku periksa.

"Fuhhh, selamat semuanya." Aku mendesah lega. Kali ini, tiada yang aku lupakan.

Setelah yakin benar dengan keadaan di dalam rumah itu, aku pun terus melangkah ke arah luar semula. Sempat bibirku mengulum senyum saat melihat suasana meriah di luar ketika itu. Semangat untuk menyambut Hari Raya yang akan menjelang beberapa hari lagi semakin kuat terasa. Aku benar-benar sudah tidak sabar lagi hendak memasak pelbagai jenis juadah, aku mahu melihat Hannah bergembira biarpun tanpa ayah-ayahnya di sisi.

"Cantik, pandai aku hias. Meriah sangat. Ah, tak sabar nak raya!" Aku berujar riang sendirian, ligat memerhatikan kelipan lampu warna-warni itu dan sambil-sambil itu juga aku menyusun langkah untuk mendekati motosikal kapcai kesayanganku itu. Namun baru sahaja hendak bergerak naik, tiba-tiba aku teringat pula pada amaran keras ibu mentuaku tadi yang meminta agar aku membawa pulang kereta, bukan motosikal.

"Aduh, malas pula aku nak masuk balik ambil kunci kereta kat dalam tu. Seram." Aku merungut sambil tertawa kecil sendirian. "Ishhh, mak ni pun satulah, benci sangat kat motosikal ni dah kenapa? Best apa naik moto. Jimat segala benda. Minyak jimat, ruang kat jalan raya tu pun jimat. Eh, tak faham aku dengan ibu mentuaku itu."

Mahu tidak mahu, aku akhirnya mengalah juga. Dengan gerakan kaki dan hati yang berat, aku melangkah mendekati rumah itu semula untuk mengambil kunci kereta. Aku pandang ke kiri kanan ketika tanganku gigih membuka kuncian pintu rumah itu. Tipulah jika aku kata yang aku tidak berasa seram atau takut. Sudahlah hari semakin gelap, rumah kami pula jauh daripada para penduduk yang lain. Jika ada Hannah, tidaklah aku berasa seseram ini.

Uhukkk! Uhukkk!

Terkedu aku, dan saat itu juga gerakanku langsung mati. Sekali lagi aku mencuba untuk memasang telinga kerana aku yakin, ada suara garau yang sedang terbatuk tadi. Dari arah mana, aku tidak tahu tetapi yang pasti, suara itu amat menyeramkan. Angin malam ketika itu berhembus sedikit kuat, ditambah pula dengan bunyian cengkerik membuatkan aku semakin berasa kalut.

Pranggg!

Kali ini, kedengaran pula bunyi sesuatu terjatuh berderai dari arah taman bunga kecilku, dan aku yakin yang terjatuh itu adalah pasu bunga. Dengan tubuh yang menggigil, juga dengan perasaan yang berdebar-debar, aku terus menoleh ke arah punca bunyian itu tadi. Saat itu aku merasakan nafasku hampir sahaja terhenti sebaik sahaja aku melihat ada lembaga hitam yang sedang terbongkok-bongkok mengusap kepalanya.

"Makkkk, hantu mak!!!"

Aku menjerit sekuat hatiku, tetapi biarpun berasa amat takut, aku tidak melarikan diri sebaliknya aku terus bergerak ke suatu arah. Sebuah penyiram yang bersaiz agak besar dan berat, aku capai lalu aku baling kuat ke arah lembaga hitam itu. Untungnya sasaranku itu tepat mengena sehingga menghasilkan bunyi yang agak kuat.

Bubbb!

"Pergi dari rumah aku, setan! Balik ke tempat asal kau! Kau ingat aku takut?! Pergi sebelum aku... "

Belum habis lagi kata-kata amukanku itu, lembaga hitam tadi terus berlari menghilangkan diri. Aku tidak tahu, dia manusia atau syaitan sungguhan tetapi yang pasti, hatiku benar-benar puas melihat dia mengusap kepalanya tadi. Biar dia menjadi seorang hantu yang lupa ingatan!

biri/biri

Share this novel

Bagas Seteel
2023-07-04 20:39:48 

kasian nyaa tengok hawa ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience