BAB 3

Romance Series 3318

The Gem’s. Sebuah kumpulan muzik band SMK Seri Permata. Terdiri daripada 5 orang anggota; Vokalis band bernama Luth Irsyad Huang, Pemain drum ialah Ryan Haedar, pemain bass ialah Ryna Hazirah, pemain keyboard ialah Attar Nur Iman dan guitaris merangkap ketua kumpulan, Noah El Mateen.
Belakang badan disandarkan pada bangku. Tangan dilepaskan daripada tetikus. Pandangan mata masih melekat pada skrin komputer yang menampilkan laman Fac fan page The Gem’s. Fan page yang dibuat oleh kumpulan peminat The Gem’s.
Dia betul-betul tak sangka yang mereka popular macam ni, siap ada fan page lagi. Sudahlah peminat mereka bukan hanya di sekolah ini tapi juga di sekolah luar. Ke mana dia selama ni? Macam mana dia boleh tak tahu menahu pasal kewujudan The Gem’s dan senior Noah yang shining shimmering spledid tu?
Badan kembali dicondongkan ke arah komputer, dan tangan kembali pada tetikus. Satu persatu gambar diklik, dan mata mesti fokus pada satu orang.
Noah. Ruang komen dibaca.
Dia mengeluh panjang, dan kepala jatuh di atas meja.
“Peminat dia ramai gila, macam mana ni?”keluhnya lagi.

“Kau dah kenapa lesu macam ni?”soalan itu ditanyakan serentak dengan kerusi sebelahnya ditarik.
Dia angkat kepala, tubuh ditegakkan. “Tengok ni…”ucapnya lemah, dengan jari telunjuk menghala ke ruang komen.
Mata Fia tertuju ke situ. Tetikus diambil alih daripada tangan Ivy. Satu persatu komen dibaca sebelum Fia mula tertawa lucu. “Sebab ni kau lesu sangat?”
Ivy angguk masih dengan wajah lesu. “Kalau peminat dia ramai macam ni, macam mana dia nak perasan aku?”
Dia tertunduk lesu. Fia menggeleng-geleng masih dengan bibir tersenyum lucu.
“Kalau dah tahu dia tak akan perasan kau, jadi apalagi…putus asa sajalah. Senang!”Fia berkata enteng, belakang badan disandarkan pada kerusi sambil berpeluk tubuh.
Ivy panggung kepala, dengan mata memandang tajam ke arah Fia. “Putus asa? Tak akan! Kawan jenis apa kau ni, suruh aku putus asa sebelum mencuba. Tak. Aku tak akan putus asa. Aku akan buat sampai senior sendiri nampak aku, kalau boleh sampai dia sendiri sukakan aku!”ucapnya dengan semangat berapi.
Fia pula ketawa besar, “Jadi kalau macam tu, teruskanlah angan-angan kau. Kalau kecewa nanti jangan merengek kat aku.”
“FIA!!!”jeritnya geram, memecah keheningan bilik akses Pusat Sumber sekolah. Fia pula terus ketawa berdekah-dekah.
Kedua lengan di atas meja dan dagu tertumpu di atas lengan. Wajahnya beriak murung. Cikgu Sejarah yang sibuk menceritakan tentang sejarah penjajahan Jepun langsung tidak melekat dikepala. Mata memang pandang cikgu tetapi otaknya sibuk terfikirkan perkara lain. Lari fokus.
‘Macam mana nak buat supaya dia boleh nampak aku? Buat-buat terserempak? Kelas dia pun aku tak tahu…’ dia mengeluh panjang.
Fia yang tadinya fokus mendengar cerita daripada cikgu langsung menoleh memandang Ivy setelah terdengar keluhan Ivy. Dia menggeleng perlahan. Tahu apa yang membuat Ivy mengeluh dan tidak fokus.
Helaian muka surat di buku nota dia selak, mencari helaian kosong. Sebelum dia mulai menulis sesuatu. Setelah selesai, kertas itu dikoyak dan diberikan kepada Ivy.
Ivy memandang Fia dengan wajah bingung lalu memandang kertas di tangan.
Fokus belajar dulu. Nanti aku bagi kau tips macam mana nak wujudkan diri kau depan encik gitaris shining shimmering splendid kau tu..
Wajah muram itu bertukar cerah pantas Fia dipandang. Betul? Soalnya tanpa suara. Dibalas dengan anggukan yakin daripada Fia.
Melihat sahaja anggukan Fia, bibirnya naik menguntum senyum lebar dengan raut wajah bersemangat. Dia duduk tegak, mata pandang cikgu Sejarah. Pen ditangan sudah mulai aktif menandakan poin-poin penting di dalam buku teks.
Fia yang melihat perubahan 360 darjah sahabatnya itu hanya mampu tersenyum lucu dan kembali fokus pada guru mereka.

Waktu rehat. Kawan-kawan sekelas semua sudah keluar rehat, cuma tinggal dia dan Fia sahaja di dalam kelas. Ivy duduk tegak, belakang badan menghadap dinding kelas dan tingkap. Mata dan semua indera difokuskan betul-betul pada Fia.
Raut wajah penuh semangat masa muda ala Guy Sensei tidak dapat disembunyikan terpapar jelas di wajah seorang Ivysha. “Jadi…apa tips untuk mewujudkan diri aku depan senior Noah aku yang shining shimmering splendid tu..?”soalnya penuh intonasi dan kekaguman ketika menyebutkan nama pujaan hati.
Baru sebut nama, sudah macam ni. Parah benar budak ni!
Fia jungkit bibir, senyum licik. “Bilik muzik.”
“Bilik muzik..? tak faham.” Bingung.
Fia senyum lagi. Ivy kerut dahi.
* * * * *
Bilik Muzik. Disitulah dia berada sekarang ini. Menunggu pujaan hati dia di luar bilik Muzik. Tapi dia tidak sendirian. Dia bersama sebilangan kakak-kakak senior berkerumunan di luar bilik muzik yang pintunya terbuka menampakkan 5 orang pelajar di dalam bilik tersebut.
Dia cuba untuk mencelah di antara kerumunan itu hendak menyelit untuk ke barisan hadapan. Namun dia tidak berjaya, malah dia semakin tertolak keluar daripada kerumunan.
Dia mencuba sekali lagi, namun tetap sama. “Kak, tumpang lalu…”dia bersuara sambil mencuba untuk mencelah masuk. Tangannya pula mula ingin membuka laluan untuknya dengan menolak sedikit ketepi orang yang menghalang laluannya, dia mula mencelah masuk namun tidak bertahan lama. Tubuhnya yang kecil molek tertolak keluar sekali lagi.
Ivy berwajah lesu dengan bahu jatuh. Ini tidak adil. Dia yang bertubuh mungil manalah mampu nak menerobos tubuh-tubuh kakak senior yang lebih besar dan tinggi daripadanya. Dia berjinjit ingin mencuba melihat situasi di dalam bilik muzik, namun langsung tidak nampak apa-apa kerana pandangannya dihalangi kepala-kepala kakak senior di hadapannya.
Putus asa.
Kaki dihentak geram. Kalau macam ni, bila baru senior Noah tahu kewujudan dia?

“Macam mana ni, Fia?!”rengeknya dengan muka monyok. Tangan kanan Fia yang dalam genggaman tangannya digoyang-goyangkan sambil kaki menghentak lantai.
Fia yang sedang beratur untuk membeli makanan di kantin mendengus, dengan mata memandang sekeliling. Segan dengan mata-mata yang memerhati Ivy yang merengek macam budak-budak minta mainan pada dia.
“Kau senyap, sekarang. Kalau tak nak aku pecat jadi kawan. Lepas ni baru sembang, tak malu ke orang pandang!”
Ivy terus kunci mulut dengan wajah yang masih monyok. Namun tangannya masih setia memegang tangan Fia. Takut kena pecat jadi kawan, dia nak kawan dengan siapa? Dia dahlah banyak hatters dalam kalangan pelajar perempuan batch mereka terutama budak kelas dia entah apalah salah dia, dia tak rasa pun pernah kacau orang. Nasib baiklah ada Fia kawan semenjak tadika sehinggalah sekolah rendah ni.
“Nak makan apa?”Fia menyoal ketika sudah tiba di kaunter kantin, kepala menoleh memandang Ivy yang berdiri di sebelahnya. Masih bermain-main dengan tangan kanan Fia.
“Marigold mangga je..tak lapar.”jawab Ivy.
Fia menggeleng kecil dan menyatakan pesanan mereka, ketika hendak membayar dia perasan tangannya masih dalam genggaman budak monyok tu.
“Tangan aku, lepaskan. Aku nak bayar ni..”
Ivy diam, lepaskan tangan Fia. Dia perhatikan saja Fia mengeluarkan duit daripada saku lalu diserahkan kepada mak cik kantin. Ivy juga melakukan perkara yang sama. Marigold Mango kotak miliknya diambil. Straw dicucukkan, lalu minuman itu disedut.
Lengan Fia kembali dirangkul. Mereka bersama-sama meninggalkan kantin menuju kelas mereka masing-masing.

“Spill…”sepatah perkataan keluar daripada mulut Fia apabila mereka berdua sudah melabuhkan duduk di atas bangku mereka masing-masing. Roti tuna disuakan ke dalam mulut.
Ivy yang masih dengan wajah keruhnya, mula membuka mulut menceritakan perkara yang dialaminya tadi dengan nada penuh tidak berdaya. Sedih sangat intonasinya sambil sesekali menyedut straw meminum minuman kotaknya.
“Mentang-mentang aku kecil, boleh pulak kakak-kakak tu memperkotak-katikkan aku. Sampai hati, aku cuma nak tengok senior Noah je…huhuhu!”
Fia menggeleng. Betul-betul tak sangka yang Ivy boleh senekad itu, pergi ke bilik muzik yang jauh nun daripada blok kelas mereka semata-mata nak tengok senior Noah. Tak sedar diri dia saja yang junior kat situ. Dekat sekolah ni mana ada pelajar junior berani nak menjejakkan kaki ke kawasan para senior. Inikan lagi kawasan senior The Gem’s yang diketahui memiliki segerombolan peminat fanatik yang terdiri daripada pelajar senior yang garang-garang dan ganas-ganas kesemuanya.
Dan jangan hairan dengan suasana SMK Seri Permata, sekolah yang sangat menjunjung tinggi status pelajar senior dan junior. Setiap pelajar junior wajib patuh pada pelajar Senior. Kasta tertinggi jatuh pada pelajar tingkatan lima, dan ketua kepada pelajar tingkatan lima adalah Noah dan diikuti oleh anggota-anggota The Gem’s. Circle form 5 yang paling berkuasa sepanjang Sejarah.
The Gem’s, music band yang masing-masing pelajar teladan dan bagus dalam akademik, sebab tu semua cikgu sayang. Tengoklah, tak pernah-pernah sekolah ada kumpulan band sendiri, tiba-tiba The Gem’s jadi yang pertama dan satu-satunya. Bilik Muzik bangunan Melati pun jadi milik mereka, mereka boleh keluar masuk sesuka hati tanpa ada yang ganggu.
Fia rasa itu tak adil. Seharusnya semua pelajar mestilah dilayan dengan samarata tanpa membandingkan nilai akademik semata-mata. Sudahlah The Gem’s hampir memonopoli semua pangkat ketua dalam klub organisasi yang mereka ikuti. Macam mana pelajar lain hendak menonjol terutama pelajar Junior. Sungguh Fia rasa tidak puas hati ditambah lagi jawatan ketua kelab fotografi yang dia idam-idamkan sejak pertama kali jejak kaki di sekolah ini dirampas oleh Attar Nur Iman dan ahli-ahli jawatankuasa yang lain turut diisi oleh pelajar senior, tiada langsung peluang untuk yang junior.
Dia dan Ivy sangat berbeza, dia yang sangat menyukai kegiatan sekolah dan seboleh mungkin menyandang jawatan penting dan memenangkan semua pertandingan yang diadakan oleh pihak sekolah dan menjadi wakil, sangat bertolak belakang dengan Ivy yang pasif, tidak gemar mengikuti kegiatan sekolah kecuali terpaksa dan tidak ambil tahu sama sekali dengan apa yang berlaku di sekolah ini jika bukan orang lain yang beritahu. Kerana Ivy yang selama ini hidup dalam dunianya sendiri sedikit pun tidak ambil kisah tentang pelajar lain. Yang Ivy tahu asalkan dia datang sekolah dan tidak buat hal, itu dah cukup bagus dah. Hidup Ivy selama di sekolah ni pun hanya hostel, kelas, kantin dan pusat sumber. Berbahagia tanpa ambil tahu pasal orang lain, hidup dengan caranya sendiri.
Tapi, disebabkan terkena love spell senior Noah, Ivy berubah. Terlebih aktif! Fia sampai tak tahu nak kata apa.
“Aku tak tahu nak cakap macam mana lagi, Ivy. Menyerah sajalah. Senior Noah tu bukan calang-calang orang. Sampai kesudah dia tak akan perasankan kau.”
Ivy lemah selemah lemahnya. Dia tak nak berputus asa secepat ini. Dia masih nak berusaha, tapi macam mana?
Macam mana nak pikat hati dia?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience