“Budak kecik,” Sekali lagi aku tersentak. Mana Kak Nabila, penyelamatku?
“Tak payah cari. Nabila ada urusan di pejabat pentadbiran.” Dia menyindir aku. Seolah-olah tahu apa yang sedang bermain di mindaku. Mana teman-teman baruku di sini? Tadi kami bersama-sama masuk ke dewan serbaguna ini. Mataku melilau. Berselerakan teman-temanku di hujung dewan. Mungkin mereka juga sedang berusaha untuk mendapatkan tanda tangan senior sebanyak mungkin.
“Dah tahu nama abang?” Abang? Hey, tolong sikit. Hanya abang aku yang aku panggil abang. Tapi, untuk menjamin keselamatan diri, prinsip itu terpaksa kukuburkan.
“Hem…abang Samdol,” sahutku terketar-ketar.
“Apa? Samdol? Senang sungguh engkau mempermainkan aku, ye?” Kulihat senior itu menyinga. Apa? Tak betul ke?
“Tapi, Kak Nabila cakap….,”
“Nabila? Percaya sangatlah tu. Cari nama abang yang sebenarnya,” Suaranya kian mengendur. Jadi, Samdol itu bukan nama sebenarnyakah?
Menggelekek tawa Kak Nabila sewaktu kuceritakan peristiwa itu.
“Samdol tu nama panggilan dia masa minggu orientasi kami dulu. Diberikan oleh senior kami tapi ntah macam mana, melekat sampai sekarang,” terang Kak Nabila panjang lebar.
“Habis tu kak, nama sebenarnya?”
“Muhammad Irfan Hakimi.”
“Wah, sedap nama dia. Pandai-pandai aje akak men’Samdol’kan nama dia, ye.”Aku tertawa kecil.
“Tapi kak, ada sorang abang senior tu namanya Irfan juga ye?” Tanyaku lagi.
“Tak adalah. Dia sorang saja yang bernama Irfan kat sini buat masa ni. Jangan percaya sangat dengan tanda nama dan panggilan tu. Mereka sengaja menukar tanda nama dan panggilan nama sesuka hati untuk mengelirukan freshie,”
Aku mengangguk-angguk tanda faham. Semua senior sama saja, mengambil peluang nak mengenakan pelatih-pelatih baru. Tapi senior “Samdol” ini paling mengarut. Suka mengenakan aku berlebih-lebihan. Menyampah aku jadinya.
Sudahnya Minggu Orentasi itu berubah menjadi Minggu Berlari-lari Menyorokkan Diri bagiku. Sepanjang minggu selepas kejadian dulu, aku berusaha sedaya mungkin untuk melarikan diri daripada lelaki itu. Biar dia tak nampak aku. Biar dia terlupa akan kewujudanku di kolej ini.
Share this novel