BAB 3

Romance Completed 9808

“DENNA ANISA.”

Siapa pula yang sebut nama penuh aku tu? Merdu pula aku dengar nama aku disebut macam tu. Dengan begitu lunaknya. Haih, nak marah tadi tak jadi marah pula. Aku yang baru nak tengok gerangan manusia mana yang panggil nama aku tu, tiba-tiba dah muncul Devid pula depan mata aku ni. Dia nak apa?

“Denna Anisa?” Aku mendongak melihat Devid.

Aku diam. Malas nak banyak bunyi. Asal si Devid ni boleh sesat dekat sini? Dah baik-baik dua hari aku tak jumpa dia, boleh pula hari ni dia muncul. Encik Zainal ni mana pula perginya. Lama sangat nak sampai. Ini dah pukul 5:20 petang, ayah tak sampai lagi. Selalunya dia yang tunggu aku dekat bawah. Ini dah 20 minit aku pula tunggu ayah. Memang jaranglah. Bukan jarang aje, tak pernah selama ayah jadi tukang angkut aku ni, aku yang kena tunggu ayah.

Encik Zainal ni naik kereta ke, atau naik lembu? Haih, geram betul!

“Denna Anisa.” Lagi sekali suara Devid menyapa nama aku. Devid masih berdiri sambil kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar sleck hitamnya. Rupa macam baru balik dari kerja. Iyalah, dengan berkemaja merah hati dan pergelangan baju dilipat hingga ke siku. Wow, serius, aku tak nak puji dia, tapi aku tetap juga nak cakap yang dia nampak hot! Tapi dia kerja mana? Tak kerja dekat syarikat papa dia ke?

Aku buat tak tahu. Aku pusing ke belakang. Tunggu ayah dekat sebelah pondok pak guard ajelah. Aku terus melangkahkan kaki ke pondok pak guard, meninggalkan Devid keseorangan di sana.

“Pak Jalil! Saya tumpang tunggu ayah saya dekat sini tau.” Aku menegur Pak Jalil, yang bekerja sebagai pak guard di bangunan syarikat tempat aku bekerja ni.

Pak Jalil yang berada di dalam itu bersuara, membalas sapaan aku tadi. “Nak tunggu kat dalam pun boleh Nisa. Pak Jalil boleh keluar.”

Eceh!! Iyalah tu nak keluar. Silap-silap dia join sekali dekat dalam tu. Ish, yang aku ni pun satu, suka fikir buruk-buruk. Pak Jalil ni baiklah. Lagi pun dah lama dah Pak Jalil jadi pak guard dekat sini, tak ada pun sebarang perkara buruk yang berlaku.

Tapi aku rasa akan ada sesuatu yang berlaku. Aku nampak Devid turut sama menghampiri aku. Nak apa dia ni?

“Nama awak Denna Anisa, kan?”

Aku angkat bahu. Tanda tak tahu.

“Tak boleh tolong jawab ke?”

Dasar pelat!

“Mana saya kenal Denna Anisa. Carilah dia sendiri.” Balas aku malas, sambil mengeluh.

“Denna oh Denna. Mana kau ni.. Ada orang gila tengah cari ni.” Aku sengaja buat-buat begitu. Tak pernah dibuat orang cari diri sendiri! Yang dia ni nak jumpa aku buat apa? Aku tak nak jumpa dialah.

Tiba-tiba ada suara pontianak ketawa. Yang Devid ni ketawa kenapa? Ada muka Jep sepahtu ke kat sini?

“Hahahaha, kelakarlah awak ni. Denna Anisa awak. Kenapa awak cara diri sendiri. Itu nama awak.”

Aku jeling tajam. “Ha ha ha ha, awak pun kelakar juga. Awak tak payah cakap, sebab bahasa melayu awak berterabur!” Aku buat-buat gelak sambil tutup mulut. Macam perempuan gedik habis aje!

Dia tersenyum memandang aku. “Ini hari biar saya hantar awak balik itu rumah. Ayah awak tak ada angkat datang sini looo.”

Apa kes ayah aku nak angkat aku? Bukan larat pun Encik Zainal tu nak angkat aku bawa balik rumah. Silap-silap, patah sepuluh tulang ayah aku tu. Haih, bahasa melayu dia memang hancur!

“Angkat-angkat! Saya dah cakap, awak jangan cakap. Sakit telinga saya dengar ayat awak yang berterabur. Awak cakap lagi, huh, gigi awak pula yang berterabur saya tumbuk. Biar mulut katup macam orang tua tak ada gigi.”

“Hahahahaha.” Kali ni si Devid ketawa teruk. Siap tertunduk-tunduk sambil pegang perut lagi dia ketawa.

“Bisinglah awak ni. Mulut banyak. Mari saya tolong angkat awak balik itu rumah. Jangan risau, awak selamat sampai.”

Ayah memang nak kena ni. Aku terus saja menyeluk tangan aku masuk ke dalam beg tangan untuk mencari telefon bimbit aku. Ayah aku ni kenapa sejak akhir-akhir ni asyik lambat aje! Jumpa Dr Tan lagi ke?

Baru aje aku nak dail ayah, tiba-tiba telefon aku berbunyi. Tertera nama ayah di skrin telefon bimbit aku tu. Jimat kredit!

“Waalaikumusalam... Ya, ayah mana?” Tanya aku di hujung talian. Devid masih lagi berada di depan aku yang turut sama melihat ke arah aku yang sedang bercakap di dalam telefon.

“Apa?! Dahlah bye! Assalamualaikum.” Terus aku mematikan panggilan tersebut.

“Hari nak hujan dah ni. Jom naik kereta saya. Saya angkat awak balik.”

Tak habis-habis dengan angkat dia tu. Jangan nanti aku geram, kereta dia aku angkat sekali sudah! Jagalah Encik Zainal nanti. Balik rumah memang ayah aku tu kena rotan.

Aku mendengus geram. “Dah cepat, saya nak balik!” Nak tak nak, aku memang kena tumpang dia, sebab ayah dah cakap tadi yang....

“Oh, ayah dah balik ni. Tadi masa tunggu kamu, ayah jumpa Devid. Bukan ke kamu balik dengan Devid? Tadi Devid jumpa ayah, dia cakap dia hantar kamu balik. Kacak juga anak Encik Kevin tu eh? Ayah tunggu kamu dengan Devid aje dekat rumah ni.”

Aku yang dengar suara ayah di hujung talian dah rasa nak pitam. Encik Zainal memang bikin panas! Itu sebab aku setuju aje naik si Devid ni. Lagipun memang cuaca macam nak hujan aje ni. Haih.

“Yes sure my flower.”

“Tak payah nak bunga sangatlah. Saya ni bunga tahi ayam aje!” balas aku sambil masuk ke dalam kereta. Haih, ni nak pikat aku ke? Siap bukakan pintu kereta bagai. Aku ada tangan kut, boleh buka sendiri.

Tapi tak akanlah dia nak pikat kut. Aku tak akan terpikat. Sebab tengok dari cara Devid ni, dia lelaki yang nakal. Hari itu aje dia dah nak jatuhkan maruah aku pasal nak bersalam tangan tu. Dasar gila! Lagipun dia bukan islam. Memang patut pun kulit dia macam ni. Kulit dia ikut mama dia, Puan Rumala. Puan Rumala adalah bangsa india dan berkahwin dengan Encik Kevin, lelaki berbangsa cina Sarawak. Tapi keluarga mereka ni mengamalkan agama bebas. Contohnya, Puan Rumala masih tetap mengamalkan dengan agama kristian dan Encik Kevin agama Buddha. Itu aje yang aku tahulah. Patutlah rupa Devid ni kacukan sikit. Rupa macam hero hindustan, tapi pelat macam orang cina.

Aku melihat Devid yang berlari anak sehinggalah tiba di pintu pemandu. Dia membuka pintu kereta dan terus masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan.

“Baguslah. Tak ada siapa suka bunga tahi ayam, tak ada siapa akan pandang bunga tahi ayam. Biar kumbang macam saya aje hinggap dekat bunga tahi ayam macam awak.”

Aku terpana kejap. Dia nak buat ayat bergula. Tapi tak boleh ke dia tukarkan aku jadi bunga ros ke, bunga matahari ke, ni tetap mengaku aku bunga tahi ayam. Haih, pelat ni nak bermadah pula dah!

“Saya nak balik ni. Cepat sikit!”

“Bisinglah awak ni!”

Pula dah! Suka sangat cakap aku bising.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience