BAB 15

Romance Completed 344019

PETANG hari di ibu kota disirami hujan renyai. Ian berjalan memasuki sebuah kafe yang terletak di persimpangan berdekatan Bukit Bintang. Suasana tempat itu dilatari muzik jazz yang beralun di segenap sudut. Beberapa orang pengunjung kelihatan duduk di meja yang tersedia sambil melakukan hal sendiri.

Mata Ian melilau mencari kelibat seseorang. Dan ternyata wajah yang dicari memang berada di tempat itu.

Dari jauh Ian melihat susuk tubuh seorang gadis sedang duduk sendirian sambil menongkat dagu di meja panjang berhampiran cermin kaca. Di hadapan gadis itu ada secawan kopi serta sepotong kek di piring yang sudah tinggal separuh. Pandangan si gadis pula leka memerhati suasana di luar kafe yang kedinginan serta dibasahi hujan.

Spontan Ian mengatur langkah menghampiri. Di bibirnya terukir senyuman lebar. Tidak sabar ingin menemui gadis yang dirindui.

Sebetulnya Ian muncul di sini selepas menerima balasan mesej daripada Aly tadi. Mesej Aly cukup ringkas.

‘5 petang di tempat biasa’.

Puaslah dia meneka di mana ‘tempat biasa’ yang dimaksudkan oleh Aly.

Permulaan tadi selepas meninggalkan butik perkahwinan, Ian bergegas memandu kenderaannya ke lobi hotel tempat pertemuan terakhir mereka berdua tempoh hari. Malangnya, tiada langsung bayangan kelibat Aly berada di situ.

Keluar dari hotel, Ian menuju pula ke beberapa tempat lain di mana dia dan Aly pernah bertemu sebelum ini. Sehinggalah akhirnya dia teringat untuk berkunjung ke kafe ini. Dan ternyata gadis yang dirindui itu memang berada di sini.

“Hi, Ms Pluviophile. I teringin nak jadi hujan tu. Supaya you boleh pandang I sama macam you pandang hujan tu.”

Ian menyapa si ‘Pluviophile’. Dia masih ingat kegemaran Aly yang satu itu. Amat menyukai apa sahaja yang berkaitan dengan hujan. Agak pelik. Tapi, itulah keunikan dimiliki gadis kesayangannya.

Alyka tersentak lalu menoleh ke kiri. Senyuman ceria terukir di bibirnya yang tercalit gincu warna lembut.

“Hey, Ian. Maaf, saya tak sedar awak dah sampai. Come, duduklah.” Dengan mesra Alyka menjemput lelaki itu.

Ian lantas mengambil tempat di kerusi bersebelahan Alyka. Sama seperti sewaktu mereka berdua menghabiskan malam yang indah di tempat ini beberapa minggu yang lalu. Seorang pelayan kemudian datang untuk mengambil pesanan sebelum berlalu pergi.

Jambangan mawar merah yang dibawa Ian dihulurkan kepada Alyka. Sempat dibeli di sebuah kedai florist ketika dalam perjalanan ke sini tadi. Istimewa untuk gadis pujaan hatinya.

“For you. I harap you suka.”

Dalam senyuman dan riak wajah yang berpura-pura teruja, Alyka menyambut jambangan berkenaan sebelum menghidu bau harum dari salah satu kelopak bunga tersebut. Walaupun dia bukan penggemar mawar merah, namun pemberian ini tetap dihargai.

“Terima kasih. Saya suka sangat,” balas Alyka.

“Sorry I sampai lewat ke sini. Ada hal sikit tadi.”

“Oh, it’s okay. Saya pun baru je sampai. Awak dari mana tadi?” Alyka bertanya sekadar berbasa-basi.

“I dari…”

Ayat Ian bagaimana pun terhenti seketika saat teringat dari mana dia muncul tadi. Butik perkahwinan serta perihal berkaitan si tunang yang ‘gedik’ terbayang di minda. Hurm, mustahil untuk dia ceritakan semua itu kepada gadis di hadapannya. Tak boleh. Bakal mengundang pergolakan besar nanti.

“Erm I dari office. Ada urusan kerja yang perlu diselesaikan tadi.”

“Oh. On weekend pun awak ke office juga? Workaholic rupanya awak ni ye.”

“Well, sekali-sekala bila ada hal penting I memang kena masuk office walaupun on weekend. Even, tengah malam pun I akan ke office. Kadang-kadang ada urgent matter yang I perlu uruskan.”

“Wah, bos yang bagus awak ni. Your girlfriend tak marah ke awak lebih pentingkan urusan kerja?” Alyka bertanya begitu untuk melihat reaksi Ian.

“Tak ada siapa nak marah. Kan I pernah cakap I tak ada girlfriend. I’m single and available, Aly.” Tutur Ian bersungguh-sungguh.

Jawapan palsu sebenarnya. Memang dia tak ada girlfriend. Tapi, hakikatnya dia dah ada bakal isteri yang harus dikahwini hujung tahun nanti. Ah, pedulikan soal perkahwinan yang tidak diinginkan itu. Dia cuma mahu bersama Aly waktu ini.

“Awak tak ada girlfriend? Betul ke ni?” Alyka sengaja menguji Ian.

“Kenapa? You tak percaya I tak ada girlfriend?”

“Hurm lelaki kacak dan sempurna macam awak tak ada girlfriend. Susah nak percaya sebenarnya.”

Tawa Ian meledak kuat. Terasa lucu dengan bicara Alyka.

“So, you rasa I ni playboy? Jadi, sebab itu you belum terima lamaran untuk menjadi kekasih I?”

“Ya. Saya takut dikecewakan sama seperti sebelum ni.”

Ian mengerti apa yang Alyka sebutkan. Memahami bahawa gadis itu masih kecewa dan bersedih apabila menjadi mangsa jerat percintaan bersama lelaki berwajah Turki yang ditemui tempoh hari. Dan dia tahu tidak mudah untuk gadis ini menerima cinta baharu dalam tempoh yang singkat.

“Aly, I mengaku I bukan lelaki yang baik. Bukan juga lelaki yang sempurna. Tapi, I akan cuba untuk ubati kekecewaan yang you rasa sebelum ni. I janji akan happykan you. I janji akan bahagiakan hidup you.”

Ian menutur janji yang entah mampu ditunaikan atau tidak. Namun, jauh di sudut hati sejujurnya dia tidak berbohong. Dia memang ingin membahagiakan satu-satunya gadis yang dicintai ini.

Alyka sebaliknya tidak membalas kata-kata itu. Masih mahu membiarkan Ian berteka-teki sendiri. Tidak semudah itu dia akan menerima lamaran Ian biar pun cuma untuk menjadi kekasih lelaki ini. Kena jual mahal sikit. Nak tengok usaha memikat si jejaka ‘terhangat di pasaran’ ini beraksi.

“I sebenarnya… I betul-betul dah jatuh cinta pada you, Aly. I sanggup buat apa saja untuk bersama you. I juga akan berikan apa saja yang you mahu dan minta asalkan you sudi menjadi kekasih I.” Ian meluahkan perasaan lagi. Mungkin benar dia memang sudah ‘mabuk kepayang’ terhadap Alyka.

Hah! Itu dia. Ayat itulah yang Alyka tunggu-tunggu. Apabila Ian sendiri mengaku yang dia sanggup berikan apa sahaja untuk seseorang yang dicintai. Dan Alyka merasakan ini adalah peluang keemasan yang terbentang luas untuk dia teruskan rencana yang sedang diatur.

“Awak terlalu baik, Ian. Saya bimbang tak dapat mencintai awak seperti mana awak mencintai saya. Lagipun, saya ada banyak kekurangan.” Alyka berpura-pura naif.

Lantas Ian meraih jemari Alyka yang berada di atas meja. Digenggam perlahan sambil pandangannya tidak lepas daripada melihat ke wajah dambaan hatinya itu.

“Bagi I you tak ada apa-apa kekurangan. You terlalu sempurna, Aly. Please, jadi kekasih I ye?”

Ian terus merayu. Kalau Alyka mahu dia berlutut sekali pun dia sanggup saat ini. Dia tak ingin kehilangan gadis ini. Malah, tidak mahu Alyka menjadi milik lelaki lain.

Alyka masih menyepi tanpa jawapan. Sebuah keluhan berhembus keluar dari bibirnya. Mempamerkan raut yang penuh duka.

“Sebenarnya saya bukan tak sudi untuk terima lamaran awak. Tapi, saya ada masalah yang perlu diselesaikan buat masa sekarang. Mungkin selepas masalah itu selesai, saya akan bagi jawapan pada awak.”

Ian menyedari reaksi berlainan yang terlukis di wajah Alyka.

“Why, Aly? You ada masalah apa? Please, ceritakan pada I. I akan cuba bantu apa saja.”

“Erm saya serba salah nak cerita pada awak. Saya tak nak susahkan awak, Ian.”

“Aly, I tak pernah anggap you menyusahkan I. Apa saja untuk you I akan lakukan. Please, tell me apa masalah yang you tengah hadapi tu?” Soal Ian sambil menatap ke raut Alyka.

Alyka senyap seketika untuk menyusun ayat yang bersesuaian. Dia menghembus nafas perlahan. Merencana sesuatu di dalam minda.

“Erm awak masih ingat bekas teman lelaki saya yang awak jumpa tempoh hari kan?”

“Kenapa? Dia masih ganggu you?!” Ian pantas memintas bersama riak muka yang bertukar kemarahan. Memang panas hatinya apabila teringatkan raut lelaki tak sedar diri itu. Terkandung juga rasa cemburu.

“No, bukan macam tu. Dia dah tak ganggu saya. Sebenarnya sebelum ni saya bekerja di syarikat dia. So, sebab saya dah berpisah dengan dia, sekarang saya tak dapat bekerja di situ lagi. Saya dah kehilangan pekerjaan. I’m jobless,” ucap Alyka dengan cerita rekaan dalam nada sedih untuk memancing perhatian Ian.

Dan ternyata reaksi Ian terus berubah. Perasaan simpati bertandang di benaknya. Jika itu masalah yang sedang dihadapi gadis kesayangannya, ia bukanlah isu yang besar. Lantas tanpa perlu berfikir panjang, Ian terus menyatakan satu cadangan.

“Don’t worry, Aly. You boleh kerja di syarikat I. I akan hire you. Itu pun kalau you sudi.”

Wajah Alyka bertukar bercahaya. Yes! Nampaknya pancing dah mengena. Semudah itu. Dia bagaimana pun menyembunyikan senyuman penuh makna di sebalik mimik muka serba salah yang dipamerkan.

Memang itulah niat Alyka sedari awal. Agar Ian membuat tawaran sedemikian. Jadi, lebih mudah untuk dia menyusup masuk ke dalam syarikat lelaki itu bagi mendapatkan maklumat sulit seperti yang dikehendaki.

Namun, Alyka harus terus mempamerkan lakonan yang mantap agar tampak berkesan dan tidak mendatangkan sebarang curiga kepada Ian.

“Awak jangan salah faham, Ian. Saya tak bermaksud nak susahkan awak dalam hal ni. Lagipun, saya tak rasa saya layak nak masuk ke dalam syarikat besar awak.”

“Aly, listen. Macam I cakap tadi, you tak pernah susahkan I. Lagipun, kalau bukan I yang tolong you, siapa lagi. I takkan biarkan you kesusahan. Please, terima pertolongan I ni ye. Kerja di syarikat I?” Ian membuat tawaran sekali lagi.

“Tapi, Ian. Saya tak ada kelulusan yang tinggi. Saya juga tak ada pengalaman kerja yang hebat. Saya risau akan kecewakan awak nanti dan memalukan syarikat awak.” Alyka masih berpura-pura dengan gaya naif dalam lakonannya.

“You jangan risau. Semua tu I akan uruskan nanti. Apa yang penting sekarang ni you sudi terima pertolongan I yang tak seberapa ni, Aly.”

Alyka serta-merta mempamerkan reaksi wajah yang penuh rasa terharu serta sebak. Hurm, ‘drama queen’ sangat.

“Ian, awak terlalu baik. Saya rasa serba salah sangat nak terima tawaran awak ni.”

“Jangan rasa serba salah okey? Tawaran ni istimewa untuk you seorang. Kerja di syarikat I ye?” Ian mendesak dalam nada lembut.

Dah tentulah dia teramat teruja untuk menerima Alyka bekerja di syarikatnya. Dapatlah dia menatap wajah yang dirindui ini setiap hari nanti.

Dan setelah dipujuk berkali-kali, Alyka akhirnya mengangguk sebagai tanda bersetuju dengan tawaran yang diberikan Ian. Apa lagi yang dia boleh katakan? Memang itulah hajat di hati sejak tadi kan.

“Okey. Saya terima tawaran awak. Terima kasih banyak, Ian. Saya berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh di syarikat awak nanti. Saya gembira dan hargai sangat pertolongan awak ni,” ujar Alyka mempamerkan penghargaannya terhadap lelaki itu.

“I lebih dari gembira dengan persetujuan you, Aly. Tapi, sebelum tu I ada satu permintaan. Boleh you tunaikan?”

“Permintaan apa?”

“Jadi kekasih I?”

Pertanyaan Ian membuatkan Alyka terkesima seketika. Dia tidak berencana untuk menjadi kekasih lelaki ini. Tetapi, jika itu yang harus dilakukan demi untuk menjayakan sebuah lakonan pementasan, maka dia tiada pilihan lain.

Lalu perlahan-lahan Alyka mengangguk buat kali kedua serta disertai bersama senyuman yang penuh kepalsuan. Ini bukan kehendak hatinya. Demi tugasan dan imbuhan yang menanti, dia terpaksa menerima semua ini. Tak mengapa. Dia yakin semuanya akan selesai tidak lama lagi.

Manakala Ian pula mempamerkan senyuman yang penuh bahagia. Reaksi Alyka itu sudah cukup membuatkan hatinya teramat gembira. Terasa ingin dikhabarkan kepada dunia bahawa pada akhirnya dia berjaya mendapatkan jawapan balas daripada Alyka. Satu-satunya gadis yang membuatkan dia merasai cinta sebenar.

“I love you, Aly…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience