Bab 20

Young Adult Completed 7336

"Cukup, Suhaila!"

Jeritan suara sang ibu tidak menyempatkan Suhaila untuk meneruskan niatnya tadi. Mata pisau itu kekal berada di atas cuping telinga Mawar yang berlapik tudung. Sepasang mata Suhaila dan cikgu Haizi berhubung pandang.

Badannya kaku beberapa saat dengan wajah bertampal riak geram. Suhaila lalu menjengahkan pandangannya ke arah Tina yang dilihatnya sedang tertunduk melihat bumi sementelah sebelah tangannya memegang tombol pintu makmal itu. Tidak susah untuk Suhaila rumuskan bahawa Tinalah yang telah membuka pintu itu.

Diintai pula gerangan pelajar lelaki yang berdiri di belakang ibunya. Wajah itu Suhaila kenali namun tidak pula namanya. Pun begitu, tangannya yang memegang pisau lipat masih berada di tempat yang sama.

Haizi melangkah masuk ke dalam makmal lama itu. Perlahan-lahan dia menggenggam tangan anaknya yang memegang pisau lipat itu dan mengalihkannya. Rakan-rakan Suhaila yang tadi berdiri sekeliling berhampiran Mawar melangkah ke belakang perlahan.

Sambil tertunduk, wajah Haizi disimbah kesuraman dan kekecewaan semasa dia melepaskan Mawar daripada ikatan tali nilon tersebut.

Tanpa disuruh, Ahmad Firdaus membantu guru itu memapah Mawar yang tiada daya untuk berjalan sendiri.

"Kenapa, ibu?" soal Suhaila.

"Kamu berempat pergi ke bilik guru disiplin sekarang!" Teriak Haizi itu menimbulkan gentar di hati tiga sekawan itu kecuali Suhaila seorang. Dadanya berombak menahan kemarahan. Pertanyaan Suhaila yang dimamah emosi itu dibiarkan tergantung.

Dia kekal berdiri di tempat yang sama dengan tubir mata yang mulai basah. "Ibu sanggup nak tolong betina ni yang dah bunuh anak ibu?" soal Suhaila lagi. Namun, kali ini pertanyaannya dengan suara yang lantang dan penuh rasa tertekan.

"Berdendam takkan bawa kita ke mana-mana, Suhaila," jawab Haizi perlahan lalu dia memandang ke arah Ahmad Firdaus, "tolong iring diorang berempat ni ke bilik cikgu Bashir. Pastikan diorang sampai ke situ. Cikgu dah maklumkan apa yang jadi pada dia. CIkgu nak bawa Mawar ke hospital dulu."

Ahmad Firdaus mengangguk seraya melaksanakan dengan kadar segera arahan guru itu. Dengan tegas dia memanggil empat sekawan itu mengekorinya ke bilik guru disiplin seperti arahan cikgu Haizi.

Suhaila yang masih terpempan menurut jua arahan ibunya itu dengan penuh keterpaksaan. Dari jauh, dia memerhati dengan tajam ibunya yang sedang memapah Mawar ke arah tempat letak kereta.

Dadanya berombak.

Amarahnya bergejolak.

***

"Okey, dah siap semua. Nanti boleh ambil ubat dekat farmasi, ya?" Mesra jururawat itu mengingatkan. Mawar sekadar mengangguk kecil tanda dia memahami dan mengingati pesanan jururawat itu.

Cikgu Haizi tegak berdiri di hadapan Mawar yang sedang duduk di atas kerusi. Guru itu lalu dijeling oleh Mawar sekilas. Meski berat rasanya hendak bersuara, Mawar menggagahkan jua mulutnya.

"Saya minta maaf, cikgu. Semua ni salah saya. Kalau saya dengan kawan-kawan saya tak buli arwah anak cikgu dulu dengan teruk, mesti Suhaila takkan berdendam dan bertindak sejauh ni," kata Mawar sambil tertunduk.

"Kenapa awak tak melawan, Mawar? Kenapa awak biarkan Suhaila bertindak sesuka hati? Kenapa awak dengan rela jadi mangsa macam ni?" Jelas nada tertekan di dalam suara wanita itu.

Bahu Mawar mula terhenjut. "Sebab saya dah berdosa besar pada cikgu dan Suhaila. Mungkin ni salah satu cara Allah nak menghukum saya, sebab tu saya reda." Mawar senyap seketika.

Apabila tiada balasan yang diungkapkan oleh cikgu Haizi, Mawar menganggap itu satu ruang untuknya meneruskan luahan hati.

"Memang betul kata cikgu tadi. Saya lebih dari mampu nak melawan Suhaila dengan kawan-kawan dia, dengan sejarah saya yang kuat membuli dulu. Tapi, saya faham perasaan Suhaila. Dia sedih sebab kehilangan. Saya baru kehilangan mak ayah saya. Sebab tulah, saya biarkan Suhaila buat je apa yang dia nak. Mungkin itu akan meredakan kesedihan dia," bicaranya terhenti di situ.

Haizi yang tadinya berdiri agak jauh daripada Mawar kini mendekati gadis remaja itu. Sebuah nafas yang berat dia hembus sebelum dia mula berbicara.

"Sakit sangat hati cikgu ni, Mawar, bila dengar pengakuan kamu hari tu. Bertambah sakit setiap kali cikgu teringat apa yang Suhaiza tulis dekat diari dia tentang pembulian kamu dengan kawan-kawan kamu." Perlahan sahaja bicara cikgu Haizi namun ia tetap berjaya merenggut hati Mawar.

"Cikgu memang ada terfikir nak ikut cadangan Suhaila supaya laporkan kamu pada polis. Ada juga cikgu terfikir nak saman kamu dekat mahkamah." Tenang Haizi menjelaskan buah fikirannya dengan jujur.

Mawar di sebelah tidak terkejut. Dia sudah pernah menjangkakan hal itu.

"Tapi, mengenangkan kamu yang baru kehilangan mak ayah. Kamu yang sekarang dah jadi anak yatim, menumpang di bawah teduhan kasih mak saudara kamu ... Cikgu tak sampai hati. Cikgu rasa itu satu tindakan yang zalim. Tak adil untuk kamu."

Wajah Haizi kini ditampal senyuman pahit.

Mawar kini memandang ke arah guru itu dengan air mata yang menitis dengan semakin lebat dan laju. Dia perasan tidak pernah sekali cikgu Haizi memandang ke arahnya. Pasti wanita itu terlalu membencinya.

"Cikgu sanggup maafkan kamu, cuma cikgu ada satu permintaan. Tolonglah. Cikgu minta sangat, tolonglah pindah ke sekolah lain. Cikgu tak mampu nak tengok muka kamu. Sakit sangat rasanya, Mawar. Cikgu rindu pada arwah anak cikgu." Air mata yang Haizi tahan sejak tadi kini mengalir.

Mawar mengangguk penuh mengerti. Permintaan itu akan dia turuti.

Dah habis baca? Jemputlah komen, ya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience