Bab 3

Romance Completed 154183

SETELAH Afwan keluar dari bilik pejabatnya, dia melepaskan satu keluhan panjang. Bibirnya diketuk-ketuk menggunakan jari telunjuk sambil berfikir. Wajah wanita yang dilihatnya di telefon Afwan sebentar tadi menambahkan lagi galau perasaannya yang sudah sedia galau sejak minggu lepas.

Setelah agak lama berfikir, dia akhirnya membuat satu keputusan. Dengan pantas Haqeem mencapai telefonnya di atas meja lalu membuat satu panggilan.

"Hello Mr. Bob, can we meet?" soalnya sebaik sahaja panggilannya dijawab.

* * Di Sisi Lain * *

"Bos, dah nak masuk waktu rehat ni bos. Saya dahlah tak sempat sarapan tadi, takkan nak kena pergi meeting lagi? Lepas waktu rehat tak boleh ke bos?" soalnya dalam nada merayu agar majikannya mempertimbangkan permintaannya itu.

"Saya dah lama tunggu nak bekerjasama dengan syarikat dia ni tahu? Dia bukan ajak bincang kat pejabat lah. Klien tu ajak jumpa kat restoran hotel. Boleh je bincang sambil makan kan? Tapi saya tak dapat pergi, sebab saya ada hal. Kalau awak tak nak pergi seorang, awak boleh ajak Reena. Awak boleh pergi sekarang, klien tu jenis yang tak suka menunggu lama. Ni nombor telefon klien tu," balas Mr. Bob lelaki kacukan cina-melayu itu dengan nada tegas sambil menghulurkan sekeping kertas yang tertulis nombor telefon di atasnya.

Aliyah melepaskan keluhan berat. Mahu tak mahu, terpaksa juga dia akur. Dengan langkah yang berat, dia melangkah keluar dari bilik pejabat majikannya itu.

"Reena, jom temankan aku keluar jumpa klien," ajaknya sambil memandang wajah Azreena yang sedang tekun menekan-nekan papan kekunci komputer di mejanya.

Azreena mengerling sekilas ke arah jam di pergelangan tangannya lalu merenung wajah Aliyah dengan kerutan di dahi.

"Seriuslah babe? Lagi setengah jam nak masuk waktu rehat ni," kata Azreena. Wajah Aliyah di renung dengan pandangan tidak percaya.

"Ya, aku tahu. Jumpa kat restoran, bukan kat pejabat. Jomlah teman aku," rayu Aliyah.

"Mengada-ngadalah klien ni. Macam dah tak ada hari esok," sambung Aliyah dengan bebelan. Dua buah fail dilekap kemas di dada dalam pelukannya.

"Laa.. sorry Liya, aku tak dapat temankan kaulah, sebab aku dah janji dengan Daniel nak lunch sama-sama tengahari ni. Sorry sangat-sangat," balas Azreena sambil memegang lengan Aliyah dengan riak wajah serba-salah.

"Tak apalah. Hmm, terpaksalah juga aku pergi seorang," ujarnya disusuli dengan satu keluhan. Terkilan.

- - - - - - - -

Aliyah memandu kereta Perodua Vivanya menuju ke tempat meletak kenderaan khas untuk pengunjung hotel 5 bintang itu sambil mendongak dari dalam kereta memandang ke arah bangunan hotel 20 tingkat yang tersergam megah di depannya.

Sejak dari tadi, hatinya sakan mengutuk klien yang bakal ditemuinya sebentar lagi. Dengan bebelan yang berterusan di dalam hati, dia melangkah masuk ke dalam lobi hotel dan terus mengorak langkah kakinya menuju ke bahagian restoran.

Dia memanjangkan leher melilau-liau ke sekeliling mencari kedudukan meja yang diberitahu oleh kliennya melalui mesej Whatsapp tadi sambil bersilih-ganti mengetap dan mengherot bibir. Dahinya dikerutkan mencantumkan kedua-dua alis lebat dan terukir cantik semulajadi yang tidak perlu dilukis lagi.

"Ya Miss? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" tegur seorang pelayan restoran wanita rambut bertocang satu yang sudah berdiri di depannya dengan sopan.

"Err, meja nombor 12 kat mana ye?" soalnya sambil memandang wajah pelayan restoran itu dengan sebelah kening terangkat.

"Oh, meja nombor 12 kat situ. Mari ikut saya," jawab pelayan restoran itu sambil menuding ke arah satu ruangan yang agak terlindung menggunakan ibu jarinya lalu mengatur langkah menuju ke situ diekori oleh Aliyah dari belakang.

Aliyah berdiri di sebelah meja bernombor 12 itu dengan kerutan di dahi. Sekeping kertas yang tertulis perkataan RESERVED di atas meja itu direnung lama. Dia menyangkakan dia sudah terlewat tadi, ternyata dia datang lebih awal daripada si klien yang kononnya tidak suka berlengah dan menunggu itu. Kutukan dan bebelan semakin rancak bertempikan di dalam hatinya.

"Ceh! Ingatkan dah sampai! Cakap tak suka menunggu, ingatkan jenis orang yang menepati masa lah konon. Mengada-ngada!" cemuhnya dengan suara separuh berbisik lalu duduk di atas kerusi. Fail-fail yang dipeluknya tadi diletakkan di atas meja, manakala tas tangannya pula diletakkan di atas riba.

Aliyah melihat-lihat di sekeliling restoran hotel yang besar dan mewah itu sambil sesekali melihat jam di pergelangan tangannya. Beberapa kali dia mengeluh kerana 15 minit sudah berlalu sejak dia sampai tadi. Tidak lama kemudian, beberapa orang pelayan datang menghantarkan makanan.

"Err, saya tak order semua ni," kata Aliyah cemas dengan mata yang terbeliak sambil memandang ke arah makanan-makanan yang sedang di hidangkan di atas meja dan wajah pelayan wanita yang menegurnya tadi silih-berganti.

"Oh, encik yang tempah meja ni yang order," balas pelayan wanita itu dengan senyuman lalu mengambil kertas yang tertulis perkataan RESERVED di atas meja kemudian beredar dari situ bersama dua orang pelayan yang lain.

Aduh! Kalau dia tak datang, habislah aku kalau kena bayar semua ni, getusnya dalam hati lalu memandang ke arah makanan, kemudian mengalihkan pandangannya ke sekeliling.

Tiba-tiba perasaan risau datang menjengah di sanubari. Hujung-hujung bulan sebegini, dompetnya seakan-akan terkunci. Berjimat cermat adalah perkataan dan perbuatan yang sangat dia tekankan dan tegaskan pada dirinya di saat-saat genting sebegini. Berhutang adalah perkara yang paling dia cuba elakkan kerana tidak mahu menambah hutangnya yang sedia ada.

Kelibat prospek syarikatnya itu masih belum kelihatan dan setakat maklumat yang dia tahu, kliennya itu adalah seorang lelaki. Ruangan restoran itu kelihatan agak sepi walaupun masa ini adalah waktu rehat. Hanya ada beberapa meja yang diduduki oleh manusia di dalam restoran itu.

Aliyah merenung satu-persatu makanan yang terhidang sambil menelan liur. Semuanya nampak sedap dan menyelerakan, tambahan pula perutnya sekarang sedang meraung minta diisi, namun dia tahankan sahaja dengan hati yang sakit kerana dia tidak akan menjamu makanan yang dianggap bukan miliknya sendiri. Giginya diketap menahan rasa.

"Hai, sorry, dah lama tunggu ke?" tegur satu suara dari belakang.

Bahunya sedikit terenjut dan dengan pantas dia berpaling ke belakang untuk melihat si pemilik suara.

"You?" matanya terbeliak dan memandang si pemilik suara tanpa berkedip dan mulut yang sedikit ternganga.

"Yes, me," balasnya dengan senyuman lalu mengambil tempat duduk yang berdepan dengannya.

Aliyah masih memandangnya dengan mata yang terbuka luas dan mulutnya terkunci tidak mampu berkata apa-apa kerana masih terkejut.

"Kenapa you tak makan?" Haqeem menyoal dengan lagak tenang sambil menaikkan kedua-dua kening dan bibir menyungging senyum. Entah kenapa dia merasa terhibur melihat reaksi wajah Aliyah pada ketika ini.

"Hello?" Haqeem menggerakkan tapak tangannya ke kiri dan ke kanan di depan muka Aliyah setelah tiada respon darinya.

"You pemilik syarikat SPcars Cooperation?" soal Aliyah dengan kerutan seribu di dahi.

Haqeem menaikkan kedua-dua tangan sehingga ke paras dada menjongketkan bahu sambil menaikkan kedua-dua kening tebalnya lalu melakar senyuman segaris di bibir. Dalam hatinya merasakan, itulah gaya paling macho yang boleh dilakukannya selain menjawab dengan kata-kata.

Aliyah melepaskan satu keluhan panjang. Adakah pertemuan mereka ini hanya secara kebetulan atau lelaki itu mengekori dan mengintipnya untuk mencari tahu mengenai dirinya? Tetapi itu kedengaran agak tidak logik.

Otaknya sedang ligat memikirkan tentang persoalan itu. Sejak malam pertemuannya dengan lelaki itu, dia sebenarnya berdoa supaya tidak bertemu dengan si lelaki miang itu lagi, namun hampa. Takdir menemukan mereka di dalam situasi yang dia tidak mampu elakkan.

"You just need to sign the agreement kan?" soal Aliyah dengan lagak profesional sambil membuka salah satu fail yang dibawanya tadi.

Seboleh-bolehnya, dia mahu menyelesaikan urusannya dengan kadar segera. Lantaklah dengan perutnya yang sudah berdendang minta diisi itu asalkan dia boleh cepat-cepat pergi dari situ.

"Siapa cakap? I nak you terangkan tentang pakej pengangkutan syarikat you. Tempoh hari I dah dengar tentang pakej pengiklanan korang, but I'm not intrested at all," balas Haqeem sambil merenung wajah Aliyah dengan mata yang disepetkan.

Dasar penipu! Aliyah mencemuh dalam hati sambil mengetap gigi lalu membuka fail yang lagi satu.

Padahal Mr. Bob sendiri yang memberitahunya tadi bahawa kliennya yang rupa-rupanya si lelaki miang ini mengatakan yang dia akan terus menandatangani perjanjian tanpa perlu dia memberikan penerangan panjang lebar lagi.

"Okay, pasal pakej pengangkutan...."

"I tak boleh tumpukan perhatian kalau I tengah lapar. Lagi pun, tak elok biarkan makanan yang dah terhidang macam ni tidak dimakan. Jom makan dulu," potong Haqeem lalu mula menjamah makanan yang sudah terhidang di atas meja itu dengan selamba.

Dalam hati, dia sedang tertawa melihat riak wajah cemberut Aliyah. Memang sudah niatnya untuk melengahkan masa wanita itu supaya dia boleh berlama-lama dengannya.

Kau ingat kau boleh lepas macam tu je dari aku? Ni Haqeem lah! gumamnya dalam hati dengan penuh rasa bangga. Tanpa sedar, bibirnya meleret senyuman senget.

Aliyah mendengus geram. Fail yang dipegangnya ditutup kasar lalu dia letakkan di atas ribanya bersama dengan tas tangannya. Dia tahu dia harus bersikap profesional walaupun terpaksa.

"Kenapa? Tak sedap ke?" soal Haqeem sambil mengunyah makanan di dalam mulutnya dan memandang ke arah Aliyah yang kelihatan seperti teragak-agak untuk menjamah makanan di depannya.

"Jangan risau, I tak suruh you bayar. It's on me. I ni lelaki budiman, takkan lah I nak suruh perempuan yang bayar kan? Makanlah," pelawanya lagi lalu tersengih dan meneruskan suapan ke dalam mulutnya.

Usai makan, Aliyah segera meletakkan fail di atas meja. Sesekali dia mengerling ke arah Haqeem yang sedang menyandarkan belakangnya di kerusi dan berpeluk tubuh memandang ke arahnya.

"Okey, pasal pakej pengangkutan tu..." Aliyah mula menyelak helaian kertas di dalam fail dan mencari halaman yang akan membantunya dalam memberikan penerangan.

"Macam ni..."

"You dah berapa lama kerja dengan Mr. Bob?" Haqeem menyoal memotong kata-katanya sambil mengangkat kedua-dua kening memandangnya.

Aliyah melepaskan keluhan halus sambil mengetap gigi dan memejam matanya untuk beberapa saat.

"Empat tahun. Erm, macam ni, pakej yang...."

"Berapa umur you?" potong Haqeem lagi.

Sabar Liya, sabar, getus Aliyah di dalam hati cuba untuk menenangkan dirinya sendiri.

"Sorry Encik Haqeem. It's too personal to answer," balas Aliyah sambil memaksa bibirnya untuk tersenyum, namun senyumannya kelihatan hambar.

"Okey, I will continue. Pakej syarikat kami ada menyediakan....."

"Malam nanti you free tak?" soal Haqeem yang tanpa henti mencelah setiap kali dia hendak memberikan penerangan.

Aliyah mengetap kuat giginya sambil merenung tajam ke mata Haqeem. Kedua-dua penumbuknya dikepal lalu dia bingkas berdiri.

"I'm sorry Encik Haqeem, I cannot continue. Our meeting ends here!" ujarnya geram dengan suara yang ditekankan lalu dia memeluk fail-fail yang dibawanya tadi dan bersedia untuk pergi. Dia sudah tidak peduli lagi walaupun dia bakal dimarahi oleh bosnya nanti. Yang dia tahu dia hendak segera pergi dari situ.

"Thanks for the lunch," ucap Aliyah dengan suara mendatar tanpa memandang wajah lelaki itu dan terus beredar pergi dari situ dengan perasaan sakit hati dan marah.

Haqeem tergamam dengan mata yang terbuka luas tidak berkedip menyoroti langkah kaki Aliyah yang kian menjauh.

"Again?" Haqeem berbisik di dalam hati dengan perasaan tidak percaya.

Sekali lagi dia ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga seperti yang dilakukan oleh wanita itu pada malam tempoh hari.

Giginya diketap dan matanya dijegilkan memandang ke arah pintu restoran. Nafasnya turun naik kerana diterjah emosi yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Dia merasa semakin tercabar dengan sikap wanita yang memandangnya dengan sebelah mata itu.

Share this novel

DHIA AMIRA
2022-10-08 20:20:22 

xpe qeem , mcabar dowh

DHIA AMIRA
2022-10-08 20:19:27 

heee dlm bincg pasal prospek smpat tnya umo

DHIA AMIRA
2022-10-08 20:17:50 

mmgla lki macho mmg suka gaya cenggitu ahakz


NovelPlus Premium

The best ads free experience