SEMUA mata tertumpu saat dia muncul di muka pintu tapi sedikitpun Arin tidak pedulikan. Kakinya dilajukan ke arah seseorang yang kini sudah berubah wajah terkejut apabila dia muncul di majlis tanpa diundang itu.
Lelaki itu.
Ya lelaki yang sedang duduk bersila di hadapan jurunikah menanti saat disatukan tanpa kerelaan hatinya. Lelaki yang mencintainya tapi terpaksa melakukan pengorbanan untuk keluarga. Bukan saja lelaki itu perlu berkorban tapi Arin juga perlu berkorban walau Arin langsung tidak sudi. Kerana itu Arin sanggup datang ke majlis ini walau hatinya bakal disakiti. Hanya untuk menamatkan segalanya.
Bad!
Tunangnya yang bakal menjadi suami untuk perempuan lain. Bukan suami kepadanya seperti yang mereka rancang sebelum ini untuk menamatkan zaman bujang bersama pada hujung tahun ini tapi lelaki itu terpaksa menamatkan zaman bujangnya dulu demi menutup aib keluarga.
Bad yang ingin pergi dapatkan Arin ditahan oleh Puan Suria. Ibu saudara yang bakal menjadi ibu mertuanya.
Makin dekat langkah Arin makin kuat dengar bisikan antara tetamu di majlis itu berkata tentang kehadirannya pada malam ini. Sudah pasti mereka berfikir Arin datang mahu buat kecoh. Siapa yang takkan buat kecoh kalau tunang sendiri akan berkahwin dengan perempuan lain. Tapi Arin masih boleh berfikiran rasional kerana Arin tahu perkara yang sebenar. Bukannya Bad berlaku curang dibelakangnya sehingga majlis ini boleh terjadi.
“Arin…” panggil Bad sayu.
Kini mereka berdiri berhadapan antara satu sama lain. Puan Suria juga masih setia berdiri di sebelah Bad. Mungkin takut bakal menantunya itu akan berubah fikiran apabila berhadapan dengan Arin sekarang ini.
“Arin ikut aunty. Apa kata kita bincang kat tempat lain,” ajak Puan Suria dengan wajah dibuat mesra.
Puan Suria memang sudah lama Arin kenal kerana Bad tinggal bersama Puan Suria sejak sekolah menengah setelah kehilangan ibunya. Manakala ayahnya pula lumpuh akibat kemalangan. Puan Suria merupakan adik kepada ayah Bad yang menjaga makan minum dan keperluan Bad dan ayahnya. Atas hidup berbudi kerana jasa Puan Suria menyebabkan hubungan cinta antara Bad dan Arin perlu dikorbankan walau hakikatnya Bad tetap tidak mahu memutuskan tali pertunangan mereka.
Perempuan yang telah bergelar seorang isteri pun tidak sanggup berkongsi kasih apatah lagi dirinya yang masih belum terikat dengan gelaran itu.
“Aunty rasa ada perkara lain ke yang perlu dibincang sekarang. Bukan ke keputusan telah dibuat. Kalau tidak masakan saya boleh lihat tunang saya segak berbaju melayu putih persis pengantin lelaki,” balas Arin tanpa perasaan. Matanya kini meliar melihat sekeliling.
Sudah pasti Arin dapat melihat wajah Pak Cik Borhan yang sugul pada hari pernikahan anak sendiri. Ini bukanlah hari yang bahagia untuk dua beranak tersebut.
“Mama…” jerit seseorang.
Arin mendongak ke atas melihat Sofea yang berbaju pengantin berdiri di anak tangga dengan wajah yang mencemaskan.
“Suruh Sofea masuk bilik. Majlis belum mula,” arah Puan Suria pada orang gajinya. Sudah tentu Puan Suria tak nak malukan anaknya di majlis sendiri sebab itu Puan Suria tak nak Sofea masuk campur ketika ini.
“Arin… awak tahukan walau apa pun saya takkan lepaskan awak. Bagi saya peluang berkorban sekali ni je. Jangan minta saya korbankan cinta kita sebab awak tahukan perkahwinan ini tiada makna pada saya.” Bad cuba menyakinkan Arin sekali lagi.
“Dan awak pun tahu yang keputusan saya tetap sama,” tegas Arin.
“Arin tolonglah saya. Jangan buat saya macam ni. Saya tak nak kehilangan awak. Saya dan Sofea dah berjanji yang perkahwinan kami cuma sementara jadi kami akan bercerai selepas ‘selesai’ semua dan saya tetap akan jadi milik awak seorang saja,” terang Bad lagi sampai terkejut Puan Suria mendengar.
“Apa yang Bad merepek ni? Bad nak ceraikan Sofea juga ke,” soal Puan Suria dengan garang.
“Bad minta maaf mak su. Bad mampu berkorban untuk sementara saja. Bukannya selama-lamanya sebab perasaan cinta Bad hanya untuk Arin saja. Macam itu juga Sofea. Perasaan cinta Sofea bukan milik Bad jadi sebab itu kami berdua dah buat keputusan yang perkahwinan ini sementara saja demi maruah keluarga kita.” Suasana menjadi kecoh sekarang ini. Nasib baiklah tetamu hanya kalangan ahli keluarga saja. Jika tidak, malu saja orang melihat dan mendengar apa yang berlaku sekarang ini.
“Bad jangan nak buat kerja gila! Mak su takkan izinkan. Jangan tambahkan malu pada keluarga kita lagi.” jerit Puan Suria kuat.
“Yang buat malukan keluarga kita tu, Sofea. Bukan Abang Bad,” sampuk Sofea lantang. Sofea tak peduli dengan arahan mamanya yang minta dia tunggu saja di dalam bilik sebab itu Sofea berani keluar berhadapan dengan situasi sekarang ini. Wajah Puan Suria bertambah garang dengan kedegilan anaknya itu yang ingkar arahannya.
“Kak Arin…” Sofea tarik tangan Arin.
Arin hanya berdiri kaku.
“Apa yang Abang Bad cakap tu betul. Fea akan minta cerai lepas lahirkan…” Perlahan suara Sofea dihujung ayatnya. Hanya untuk perdengaran Arin saja. Malulah Sofea kalau orang tahu keadaan dirinya ketika ini.”
“Gila!” Sinis suara Arin.
Sofea terdiam mendengar balasan Arin.
“Fea yakin ke yang Fea akan minta cerai?” tanya Arin.
“Apa maksud akak?” tanya Sofea pula.
“Kalau Sofea tak minta pun saya sendiri akan lepaskan Sofea,” sampuk Bad tapi sikit pun Arin tidak peduli. Sekarang ini fokus Arin hanya pada Sofea.
“Akak rasa Fea faham maksud akak. Fea sendiri tahu yang Fea takkan boleh kembali semula pada Fir jadi masakan Fea mahu jadi janda muda.”
Terdiam Sofea. Sungguh dia tidak boleh menipu Arin. Tunang abang suadaranya itu tidak akan termakan dengan janji yang terpaksa dia cipta agar Bad sanggup menikahinya tanpa kehilangan Arin. Sofea fikir setelah mereka berkahwin nanti pandai-pandailah dia merancang benda lain untuk mengekalkan rumah tangganya.
Sofea memang tak kisah kalau Bad tetap akan peristerikan Arin. Sofea hanya kisah dia perlu jaga anak dalam kandungannya tanpa ayah. Dia masih muda dan belum bersedia nak pikul tanggungjawab itu sendiri. Ikutkan mahu saja dia gugurkan apabila teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab tapi Puan Suria akan bertambah mengamuk dengannya. Mamanya tidak akan biar dia menambah dosa dalam hidupnya.
“Jadi jangan buat kerja bodoh atau cabar keikhlasan akak merelakan Fea berkahwin dengan Bad sebab akak tahu Fea takkan sanggup bercerai jadi biar akak yang tamatkan segalanya.” Agak keras nada suara Arin ketika itu.
“Arin… Saya takkan biar awak tamatkan hubungan kita. Kalau macam tu sekarang juga saya batalkan majlis ini kalau betul yang Fea tak nak bercerai nanti.” Bad tarik Arin berdepan dengannya. Bahu Arin dipegang erat seperti tidak mahu melepaskan cinta hatinya itu.
“Saya tak sanggup kehilangan awak, Arin…” Suara sayu Bad meruntunkan hati Arin tapi dia perlu keraskan hatinya agar lelaki itu dapat melepaskannya.
“Bad… Anggap saja yang kita memang tiada jodoh. Saya pun tak sanggup nak lihat awak hidup dalam rasa serba salah.”
“Tapi sanggup ke awak lupakan cinta kita, Arin.” Bad memotong cakap Arin.
Arin angguk. “Saya sanggup. Mungkin awak cinta pertama saya tapi belum pasti awak adalah cinta terakhir dalam hidup saya… Jadi saya sanggup melupakan cinta kita.” Sangat kejam kata-kata Arin.
“Bad… Dengar tu? Arin sendiri dengan mudahnya nak lupakan perasaan dia pada kamu. Lebih baik kamu buat benda yang sama juga,” tegas suara Puan Suria.
“Mak su cakap memanglah senang. Mak su pun tahukan kenapa Arin sanggup buat macam tu. Siapa je yang sanggup berkongsi kasih walau mak su sendiri izinkan anak mak su bermadu asalkan saya bernikah dengan Sofea.” Lantang suara Bad. Terkejut Puan Suria mendengarnya. Buat pertama kali Bad meninggikan suara sebegitu.
“Tapi… mak su…” Tergagap-gagap Puan Suria.
“Sudahlah Bad. Saya tahu awak seorang anak yang baik. Saya tahu awak takkan sanggup biarkan keluarga awak susah jadi jangan disebabkan saya, awak berubah. Lagi satu…”
Mata mereka memandang antara satu sama lain.
“Sebelum ni saya memang dah suruh awak buat pilihan kan? Saya bagi awak buat pilihan sama ada bernikah dengan Sofea atau teruskan pertunangan kita," tanya Arin.
Bad tidak menjawab.
"Kalau awak nak tahu saya dah bersedia dan terima jika awak sendiri bagi tahu keputusan untuk berkahwin dengan Sofea dari apa awak buat pada saya sekarang. Awak tipu saya Bad! Awak fikir saya takkan tahu majlis pernikahan ni kan? Awak tipu saya sebab awak tak nak hilang saya tapi hakikatnya saya benci apa yang awak buat ni. Menipu hanya untuk terus miliki saya," sambung Arin lagi dengan perasaan kesal.
Bad tunduk rasa bersalah. Memang Bad tipu Arin. Bad tak sanggup kehilangan Arin setelah buat keputusan untuk bernikah dengan Sofea demi maruah keluarganya sebab itu Bad rahsiakan keputusannya pada Arin kerana Bad fikir Arin tidak akan dapat tahu tapi sepandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Sebab itu Bad sangat terkejut kehadiran Arin kerana rahsianya pecah juga.
“Saya minta maaf. Cara saya memang salah. Menipu awak hanya kerana tidak mahu kehilangan awak dan pada akhirnya saya tetap kehilangan awak juga.” Menitis air mata lelakinya.
“Saya pun minta maaf Bad. Mungkin cinta saya tak terlalu kuat untuk buat pengorbanan demi awak. Saya doakan awak akan terus bahagia walaupun bukan bersama saya.” Buat kali terakhir Arin pegang tangan Bad.
“Saya ikhlas Bad… Saya ikhlas nak lihat awak bahagia.” Pegangan dilepaskan. Arin terus pusing melangkah pergi untuk membawa diri dari terus menyebabkan majlis pernikahan ini lagi lama tertangguh.
“Cukup Bad. Mak su tak nak lengahkan lagi majlis. Eloklah tu Arin berkeras dengan keputusan dia. Lagi satu Bad, orang macam Arin tu bukan faham pun situasi keluarga bila dilanda masalah. Tengok sajalah keluarga dia yang porak-peranda tu. Ada dia kisah. Ambil peduli semua. Tak ada kan? Dia tu tak membesar macam dalam keluarga kita yang mementingkan saudara- mara jadi macam mana dia nak faham pengorbanan besar yang Bad lakukan ni. Arin tu sendiri tak bahagia dengan keluarga dia jadi Bad fikir mampu ke Arin nak bahagiakan Bad.”
Gugur juga air mata Arin. Kalau tadi dia mampu menahan air mata dia dari mengalir tatkala mengucapkan kata-kata perpisahan tapi kali ini dia tak mampu menahan lagi hanya kerana sekali lagi kekurangan dalam hidup dia diperlekehkan oleh orang lain. Makin laju langkah kakinya seperti lajunya air mata dia mengalir.
“THANK YOU bro tolong hantar aku.”
Emirhan hanya membalas dengan senyuman kecil saja. Apalah sangat pertolongan dia untuk hantar kawannya yang seorang ini pergi ke majlis pernikahan saudaranya. Lagi pun satu laluan perjalanan dia pulang juga.
“Ikutkan hati malas aku nak pergi. Kesian bila fikir nasib tunang dia,” keluh Ray.
Ray memang ada cerita pada Emirhan yang adik saudaranya akan bernikah dengan lelaki yang sudah bergelar tunang orang akibat mahu tutup malu. Kebetulan lelaki itu merupakan abang saudara belah ibu kepada adik saudaranya. Manakala Ray pula saudara sebelah bapa kepada adik saudaranya itu.
“Betul orang cakap, budi ni boleh dibawa sampai ke mati. Tak pasal sebab jasa punya pasal terpaksa korbankan diri. Kalau aku memang tak sanggup tau.”
“Mungkin dah memang bukan jodoh dorang. Kalau bukan sebab ni mungkin sebab lain dorang berpisah,” balas Emirhan. Walau dalam hati terbayang juga nasib wanita yang dikatakan tunang kepada lelaki itu. Entah kenapa Emirhan rasa simpati walau tidak mengenali gerangan siapa perempuan itu.
“Hmmm… Betullah tu… Ni kau tak nak ke follow aku. Dapat juga makan nasi minyak free. Jomlah. Boleh jadi plus one aku.” Ray pelawa sambal tersengih.
“Lain kali cari awek kalau nak bawa plus one. Memang taklah aku nak jadi plus one kau semata nak makan nasi minyak free. Karang lain pula orang fikir,” balas Emirhan. Sebenarnya memang dia nak terus balik sebab itu dia menolak pelawaan Ray.
Ray sudah tersengih-sengih. “Okeylah bro… Aku gerak dulu. Bila cuti lagi jangan lupa roger aku kalau balik sini.”
Emirhan hanya balas dengan anggukan saja sambil mata dia menuruti langkah Ray yang sudah keluar dari keretanya sehingga bayang Ray sudah tidak kelihatan.
“Hmmm…” Emirhan mengeluh perlahan.
Setiap kali melihat majlis perkahwinan pasti memori masa lampaunya terimbau kembali. Sebab itu Emirhan sudah jarang pergi ke majlis sebegitu kerana dia tidak mahu mengingat perkara yang telah melukakan hatinya. Apalagi majlis di dalam rumah hadapannya ini juga telah melukakan hati seseorang. Hati perempuan!
“Semoga luka di hati awak juga akan terubat satu hari nanti,” bisik Emirhan perlahan yang mengharapkan perempuan yang telah dikecewakan atas sebab perkahwinan dalam majlis ini akan turut mendapat bahagianya nanti.
Baru kira-kira Emirhan mahu bergerak pulang tiba-tiba terdengar bunyi telefon bimbit. Pelik bukan bunyi telefon bimbitnya. Emirhan tercari-cari arah bunyi tersebut sehingga terjumpa sebuah telefon bimbit yang terselit di bawah kerusi penumpang sebelahnya.
Emirhan menggeleng kepala. Sudah pasti milik Ray. Macam manalah kawannya boleh terlupa telefon bimbitnya. Nak tak nak kena juga Emirhan keluar untuk pergi hantar telefon bimbit itu pada Ray. Sudahlah dia tidak sempat mengangkat panggilan penting untuk Ray tadi. Jadi dia perlu cari Ray di dalam rumah saudara kawannya itu cepat.
Emirhan keluar dari kereta dan melangkah ke arah rumah itu. Kelihatan beberapa orang berdiri pegun di luar rumah seperti khusyuk melihat sesuatu.
Belum sempat Emirhan melangkah masuk ke dalam pagar rumah tersebut tiba-tiba kakinya terhenti apabila melihat seorang perempuan yang sedang menangis berjalan ke arahnya. Wajah itu basah dengan tangisan yang tidak berhenti. Terkaku Emirhan melihat sehingga baru sedar perempuan tersebut sudah berjalan melepasinya. Lantas Emirhan pusing ke belakang untuk melihat langkah perempuan itu sehingga…
Bam!
Perempuan itu sudah terbaring kaku…
Hai semua, Ana Akina dah kembali aktif di NP. Teruskan membaca novel terbaru saya ya. Jemputlah komen sekali tau. Thanks korang!
Share this novel
sedih yah ceritanya