TH2 - 3

Drama Series 113650

— "Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: 'Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya.' yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.'' (QS An-nur : 30) —

"My answer is..."

Khairil sabar menanti. Sesekali keningnya terjongket melihat si Ketua Pegawai Eksekutif di hadapannya itu sengaja melambatkan jawapannya. Ah, kalau dah berkenan tu kata sajalah setuju. Janganlah buat dia tertunggu sebegini. Khairil melepaskan keluhan kecil.

"Yes," jawab Harraz. Khairil terdiam buat seketika. Berkerut dan terkebil-kebil biji matanya memandang wajah Harraz. Yes? Maknanya...

"Yes? T-tuan setuju?" soalnya tidak percaya. Harraz menoleh ke arahnya lalu melepaskan tawa halus. Kerusi beroda tiga yang sedang didudukinya itu berpusing menghadap ke arah Khairil. Dokumen tadi ditutup lalu diletakkan di atas meja. Bibirnya menguntum senyuman kecil.

"Yes. Saya setuju," jawab Harraz lagi membuatkan Khairil kali ini mula tersengih dan melepaskan tawa kecil.

"Thank you. I know you will agree for that," kata Khairil masih tersenyum lega. Harraz terangguk kecil kemudian melepaskan helaan nafas panjang. Dia memang terima untuk bekerjasama membantu Khairil. Namun, ada seperkara lagi yang perlu dia perkatakan kepada lelaki itu. Dia berdehem sedikit.

"Tapi, saya minta satu je dengan awak. Saya minta awak jujur, amanah dan yang paling penting tak ada selitkan niat yang sebaliknya. Maksud saya, yelah... banyak je jadi kes rakan kongsi niaga berbalah, projek yang dilaksanakan berhenti tengah jalan, matlamat tak tercapai...," Harraz menekur pandangan ke arah mejanya.

Fikirannya mula teringatkan Dato' Razak. Lelaki tua itu ternyata mahu bekerjasama dengannya bukanlah kerana perniagaan semata-mata. Namun, lelaki itu membawa dendam padanya bersama. Masih boleh terasa nyeri dan pedih di bahu kanannya yang ditembak oleh lelaki tua itu. Bahkan, tangisan Stella yang mendayu-dayu kerana hampir-hampir dirogol oleh Dato' Razak pun juga masih terngiang-ngiang di dalam kepalanya. Harraz mengeluh perlahan sambil meraup wajahnya.

Khairil menjongket kening. "Are you okay?" soalnya pabila sedari tadi bahawa wajah lelaki yang lebih kurang sebaya dengannya itu sedikit muram. Harraz berhenti meraup wajahnya lalu mengangguk perlahan. Memori yang kembali menerjah itu segera ditepis jauh-jauh. Perkara sudah lama, kan?

Khairil tersenyum senget. Dia memerhati sekali lagi pada Harraz yang kembali membuka fail dokumen yang dibawanya.

***

"Abang janganlah teringatkan sangat. Benda pun dah lama kan? Nanti abang jadi macam dulu balik macam mana? Abang nak sayang hentam kepala macam dulu?" soal Stella sambil mencekak sebelah pinggangnya. Sebelah tangannya lagi kemas memegang telefon yang dilekapkan ke telinga.

Terdengar suara Harraz tergelak kecil dan mengeluh panjang di hujung talian. Stella membuat muka cemberut. Orang tengah nasihat dia, dia boleh pula gelak kemudian buat suara manja-manja? Memang suaminya itu minta nak kena hentam dengan botol kaca lagi agaknya.

"Dahlah bang, jangan fikir sangat pasal hal tu. Orang tu pun dah meringkup dalam penjara. Sekarang abang fokus pasal kerja abang, pasal anak-anak abang. Tu je. Tak payah ingat benda-benda yang dah lepas," bebel Stella lagi sambil tangannya mengambil senduk dan mengacau perlahan kuah tomyam yang sedang mula galak menggelegak.

Stella meletakkan telefonnya di atas meja makan sebaik saja Harraz mematikan panggilan. Terukir senyuman dibibirnya apabila suaminya itu sempat memberi pickupline dan ucapan cinta kepadanya. Haih, Harraz... Harraz... sukalah buat dia tak keruan tiba-tiba.

"Siapa call, Stella?" soal Puan Maria sebaik saja tiba di dapur. Tadi masa sedang turun ke bawah dia terdengar akan suara menantu kesayangannya itu seperti sedang bercakap seorang diri. Rupa-rupanya ada orang menghubunginya. Oh ya, Stella hari ini bertandang ke rumah mertuanya sebaik saja mengambil Haris dan Suzana di tadika.

Anak kembarnya itu pun apalagi, seronok tak terkatalah bila dapat berjumpa dengan nenek mereka. Puan Maria pun tidak jangka yang Stella ingin datang ke rumahnya tengah hari itu. Sudahlah dia belum masak apa-apa lagi. Untung menantunya itu memberitahu bahawa dia sudah membeli bahan masakan siap-siap untuk dimasak di rumahnya.

"Anak kesayangan Mama tulah call," balas Stella lalu tertawa kecil. Dia menoleh ke belakang lalu mematikan api dapur apabila melihat kuah tomyam yang dihasilkan sudah sedia untuk dihidang. Puan Maria mengerutkan sedikit keningnya.

"Aih, nak apa budak tu?"

"Biasalah ma, dia kata kalau tak dapat dengar suara Stella atau dengar suara anak-anak dalam sehari tu boleh sasau katanya. Terus tak boleh buat kerja," beritahu Stella sambil mencebik bibirnya. Ada-ada ajelah jawapan si Harraz tu setiap kali menelefonnya. Puan Maria yang sedang mengambil bekas jag kaca terkikih kecil.

"Haih tak dapat dengar suara bini pun boleh sasau? Pelik-peliklah anak aku ni," tergeleng-geleng kepala Puan Maria dibuatnya. Stella tergelak kecil. Pandangannya dialihkan ke arah Haris dan Suzana yang terkedek-kedek menghampirinya.

"Mummy, Haris want to eat!"

"Suzana too! Suzana too!" terloncat-loncat Suzana apabila mendengar kata-kata abangnya. Matanya juga sengaja dipejam celik pada Stella. Kononnya mahu mengelipkan matalah tu. Tapi tak reti lagi. Stella menggelengkan kepala perlahan. Kenapalah anak-anaknya ini comel sangat? Kalau nampak dek Harraz ni, dah kena gomol teruk kot.

"You want to eat? Jap eh mummy ambil nasi," kata Stella lalu terus mencapai pinggan di rak pinggan. Puan Maria yang sudah siap membuat minuman terus melutut di hadapan cucu kembarnya.

"Haris dengan Suzana lapar eh? Alo sian cucu Tokma ni lapar. Jom makan dengan Tokma sekali, nak? Siapa nak Tokma suap?"

"Me! me! me!" terangkat-angkat tangan dua orang kanak-kanak itu, berebut mahu disuapkan oleh nenek mereka. Meledak tawa Puan Maria melihat gelagat Haris dan Suzana yang mula bergaduh kecil. Sekejap abang, sekejap adik. Haih, pening.

"Heyy abang, tak mahu pukul adik," tegur Stella apabila perasan tangan Haris sudah naik ke atas mahu memukul Suzana. Suzana pun apalagi, nampak kembarnya begitu tercebik-cebiklah bibir dia hendak menangis. Sebelum keadaan lebih huru-hara, Stella cepat-cepat menarik Suzana jauh dari kembarnya. Puan Maria mengeluh perlahan.

"Dah, Tokma suap Haris eh? Do you like it?"

Haris bersorak riang. "Yes, I like it Tokma!" soraknya dengan bernada pelit sedikit. Tawa Puan Maria meletus lalu dia terus mengendong Haris. Stella pula sudah menyuap Suzana nasi putih yang dicampur dengan isi ayam goreng dan kicap. Memang dia akan simpan lebihan ayam untuk digoreng bagi memberi makan kepada anak-anaknya. Yelah, takkan nak bagi anaknya hirup kuah tomyam yang pedas bagi dia orang tu kan?

Sedang enak mereka menjamu selera, Puan Maria menghentikan kunyahannya. Haris yang masih berada di pangkuannya galak cuba menyuap nasi ke dalam mulut sendiri. Wajah menantunya itu dipandang.

"Stella," panggil Puan Maria. Stella yang sedang mengutip butir nasi yang melekat di pipi Suzana menoleh ke arah mertuanya. "Ya, ma?" sahutnya. Puan Maria berdehem sedikit. Badannya didekatkan ke meja makan.

"Papa ada bagitahu mama. Minggu depan dalam hari jumaat macam tu, papa nak buat kenduri tahlil untuk arwah Tok Daddy. Nanti Stella bagitahu dekat Raz ya pasal ni? Suruh dia jemput orang office yang mana rapat sekali," pinta Puan Maria kepada Stella. Stella mengangguk faham dan kembali menyuap Suzana.

***

Hari yang dikatakan oleh Puan Maria tempoh hari pun tiba. Biarpun ianya sekadar majlis kenduri tahlil biasa namun tetap dapat dirasakan suasana kemeriahan itu dengan kehadiran sanak saudara belah Encik Hazman, rakan-rakan kerjanya dan juga pekerja-pekerja di syarikat yang Harraz kendalikan, teman-teman rapat pun turut hadir.

Selepas saja selesai membuat bacaan yasiin dan tahlil, para hadirin dijemput untuk menjamu selera. Tidak ketinggalan Khairil dan juga ibu bapanya yang hadir ke kenduri itu. Sejak sudah mula berkenalan dan menjalankan kerja bersama, hubungan Harraz dan Khairil semakin rapat. Nak pula Encik Hazman memang sudah mengenali ibu bapa Khairil.

Ternyata, Khairil ini bukanlah sekadar orang biasa. Antara yang berada dan lebih kurang saja tarafnya. Namun, itu bukanlah jadi sebagai pengukuran buat Harraz mahupun Encik Hazman dalam mengeratkan hubungan sesama saudara islam. Jika baik budi bicaranya, pasti sesiapa pun akan suka dan tidak memandang akan status yang dibawa.

Sebaik saja selesai menjamah juadah yang dihidangkan di luar bersama dengan tetamu yang lain, Khairil melangkah masuk ke dalam rumah agam bagi mahu mencari ibu bapanya. Namun, lain pula yang dia terpandang. Pandangannya kaku melekat ke arah satu pasangan suami isteri yang duduk di ruang makan di dalam rumah agam itu sedang seronok menyuap antara satu sama lain dan kadang kala menyuap pada si kecil yang berada di kendongan mereka.

Harraz dan keluarga kecilnya.

Khairil sudah tahu bahawa rakan niaganya itu memang sudah berkahwin dan juga sudah bergelar seorang bapa. Namun, dia tidak tahu pula bahawa orang rumah rakan niaganya itu mampu membuatkan matanya hampir terbeliak. Apa taknya, punyalah manis si isteri Harraz tu berbaju jubah biru gelap dan juga mengenakan tudung bawal yang mempunyai bentuk corak yang tampak elegan. Bertambah-tambah lagi dia punya cantik berseri tu.

'Boleh tahan orang rumah dia ni,' getus Khairil di dalam hati saat terlihat senyuman manis Stella yang masih menghadap ke arah suaminya itu.

Bersambung...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience