BIASAN wajahnya pada cermin diamati dengan teliti. Nak kata comot seperti yang diungkapkan ibunya tadi, taklah sangat. Cuma sememeh sikit aje.
Jari-jemari diseluk ke dalam beg tangan. Sehelai tisu basah ditarik lalu disapu tisu itu pada setiap inci wajahnya. Solekan yang ditepek tadi habis tertanggal. Tapi tak apalah, lebih baik ditanggalkan semua kesan solekan itu daripada solekannya kelihatan tak sekata macam tadi.
Kerana malas mahu mengenakan solekan baru, Damia biarkan sajalah wajahnya tanpa secalit pun solekan.
Malas. Buat apa nak cantik-cantik di hari pernikahan paksa ni! Damia merengus.
Damia capai beg tangan yang diletak di tepi singki. Belum sempat langkahnya melepasi pintu tandas, terasa sesuatu bergetar di dalam beg tangan. Cepat-cepat Damia buka zip beg dan dikeluarkan telefon pintar miliknya.
Disangka Syafiq, tetapi bukan. Semangat Damia jatuh menjunam semula apabila dilihat nama yang terpapar pada skrin itu. Padahal hatinya baru sahaja berkobar-kobar.
Dalam benaknya, mungkin benar apa yang diduga. Syafiq sudah tekad mahu memutuskan tali persahabatan antara mereka berdua.
Tapi tidak mengapa, Damia cuba abaikan dulu lelaki itu. Sekarang ini, dia perlu utamakan panggilan masuk itu. Lagipun si pemanggil itu juga merupakan antara gerangan yang agak rapat dan baik dengannya.
"Assalamualaikum, Najihah."
"Waalaikumussalam, Damia. Maaf call awak tiba-tiba. Majlis nikah awak dah selesai ke?" tanya Najihah.
Damia diam seketika. Kalau diikutkan, dirinya amat berharap majlis ini tak akan terjadi pun.
"Belum. Tok kadi belum sampai lagi," jawab Damia jujur.
Najihah angguk. Getaran yang kedengaran pada suara Damia turut dirasa. Dia tahu, pernikahan ini bukan yang Damia inginkan. Tetapi siapalah dia mahu mencampuri urusan keluarga orang lain. Lagipun bukan ke selepas pernikahan Damia ni, peluangnya untuk mendapatkan Syafiq semakin luas?
"Ye ke. Tak apalah. Tapi alang-alang saya call awak, saya nak ucap selamat pengantin baru, Damia. Walaupun kita baru kenal beberapa bulan je, tapi saya seronok berkawan dengan awak," ucap Najihah seikhlas hati.
"Terima kasih, Najihah." Damia senyum pahit. Tersentuh dengan kata-kata Najihah biarpun dirinya mahu segera lenyapkan diri dari pernikahan ini.
Najihah masih tak bosan untuk menghubunginya. Tak disangka, dia berpeluang untuk berkawan dengan orang yang sebaik Najihah ini. Sedikit sebanyak Najihah sentiasa ada untuk kurangkan rasa keluh-kesah.
Tapi jauh di sudut hati Damia juga, timbul satu rasa ketidakpuasan. Najihah setia menghubunginya, tetapi Syafiq? Takkanlah sampai sekarang Syafiq masih mahu mengabaikannya? Macam dirinya tak pernah wujud dalam hidup lelaki tu pulak. Kelakuan Syafiq itu umpama mengantung dirinya tak bertali.
"Lagi satu ..." Najihah jeda bicaranya. "Tadi saya ada call Syafiq," ucap Najihah. Bercakap mengenai Syafiq kepada Damia itu amat berat bagi dirinya tetapi apakan daya, dia harus sampaikan jua apa yang dipinta oleh lelaki tu tadi.
Dengar je nama Syafiq, Damia buntangkan mata. Baru saja dia terfikirkan tentang lelaki itu. Perasaannya bercampur-baur antara lega, sedih, marah dan kecewa. Tetapi rasa marah mendominasi perasaannya. Kenapa baru sekarang?
"Awak cakap apa dengan dia?" Perlahan sahaja suara Damia.
"Syafiqah demam, sebab tu saya call dia untuk tanyakan keadaan Syafiqah. Saya nak tanya tu je sebenarnya. Tapi belum sempat saya tutup panggilan, dia pulak mahu sampaikan sesuatu. Dan benda tu dia mahu sampaikan kat awak, Damia."
Hati Damia bagaikan dipanah sesuatu. Kenapa baru sekarang kau mahu sampaikan sesuatu? Kenapa tak dari dulu je? Damia terkilan.
"Dia ucap selamat pengantin baru kat awak, Damia. Dia doakan awak semoga kekal bahagia bersama Lokman hingga ke jannah. Dia pun nak mintak maaf sebab selama ini buat tak kisah dengan panggilan dari awak. Saya dah cuba tanya dia kenapa dia buat macam tu, tapi dia diam. Dia abaikan soalan saya tu." Najihah bercerita panjang lebar.
Kolam mata terasa panas. Takungan air yang berat memaksa ia jatuh berderai. Mengalir dengan mencurah-curahnya. Damia tekup mulutnya agar mampu mengawal esakannya.
"Ja ... jadi tadi dia ada cakap tentang saya?"
Najihah angguk. "Hmm ... ya."
"Tapi dia tak bagitahu sebab dia tak angkat call saya selama ni? Kenapa dia tak call saya terus je?"
"Tak ada pun. Saya cuba tanya dia sejak awak mengadu kat saya minggu lepas. Tapi setiap kali tu ..."
Panggilan segera terputus.
"Hello, Damia? Damia?"
Najihah lihat semula skrin telefon yang sudah dilekap pada telinga. Ya benar, panggilan sudah dimatikan. Damia putuskan talian tanpa sebarang kata.
*****
Teksi yang baru sahaja mahu melintasi dirinya ditahan. Sebelah tangan diangkat dan digoyang berkali-kali agar teksi itu segera berhenti.
Mujurlah nasib menyebelahi Damia. Teksi itu berhenti seperti yang diinginkan. Pantas Damia masuk ke dalam perut teksi itu tanpa sempat pemandu teksi itu mempelawa.
"Cik nak pergi mana ni?" tanya pemandu teksi lelaki yang berumur dalam lingkungan 40-an itu. Terkebil-kebil matanya melihat pakaian yang dikenakan penumpangnya itu. Dengan nafas yang tercungap-cungap dan tingkah gelabahnya, ini mesti kes mahu lari dari kahwinlah ni ...
"Bawa saya masuk ke Kampung Haji Taib sekarang."
"Tapi kampung tu terlalu ke dalam sangat. Jalan ke sana pun tak berapa elok. Saya tak ..."
"Cepatlah, pak cik! Saya dah tak ada masa ni. Tolonglah hantar saya ke sana," rayu Damia dengan air mata yang tak henti mencurah.
Dia harus pergi dengan segera sebelum sempat hadirin di dalam masjid mencari dan mengejar. Mungkin sekarang mereka tak menyedari lagi dirinya melarikan diri. Tetapi kalau tok kadi sudah tiba kat masjid nanti macam mana?
Pemandu teksi itu menghela nafas. Kalau diikutkan nak aje dia menghalau Damia itu keluar. Sudah ditanya dan diberitahu elok-elok, lepas itu dibentak pulak. Tapi melihat Damia yang kelihatan terdesak, dia terpaksa mengalah. Lagipun, gadis di belakangnya itu sedang membawa rezekinya.
Tanpa melengahkan masa, teksinya meluncur laju membelah jalan. Pemandu teksi itu hanya menuruti sahaja panduan dari Damia untuk menuju ke destinasi yang diingini. Dalam 10 minit sahaja, akhirnya teksi diberhentikan. Berhenti betul-betul di pekarangan sebuah rumah kampung.
Sekeping not bernilai 50 ringgit dihulur kepada pemandu teksi itu. Biarpun Damia tahu harga tambang menuju ke sini tidaklah setinggi itu, tetapi dia peduli apa. Janji dia sudah selamat sampai ke lokasi yang dituju.
Dan gerangan yang dirindui juga, kini sedang berada di depan mata. Gerangan seorang lelaki itu ditatapnya lama.
Syafiq yang sedang membasuh motosikalnya terus tercengang. Tindakannya tiba-tiba mati apabila melihat Damia yang kelihatan tak terurus itu keluar dari sebuah teksi yang sudah menghilang pergi.
Gadis itu datang ke rumahnya tanpa khabar berita. Di luar kotak jangkaannya.
"Damia?" Syafiq masih tak percaya apa yang dia saksikan sekarang ni. Dari atas hingga ke bawah dia amati tubuh Damia yang tersarung dengan persalinan berwarna putih itu. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang.
Dengan teresak-esaknya, Damia berjalan mendekati lelaki itu. Matanya semakin sembap. Mukanya kian merona merah. Air yang jatuh dari tubir mata tak henti-henti mengalir. Langkahnya terhenti apabila dia benar-benar berada di depan mata Syafiq.
"Kenapa awak datang sini? Majlis nikah awak macam mana?" tanya Syafiq lagi.
Tanpa menjawab soalan, Damia terus menampar kuat dada bidang Syafiq berkali-kali. Rindu bersulamkan geram. Mungkin dengan cara itu sahaja dia mampu melepaskan rasa itu kepada Syafiq.
"Kenapa awak buat saya macam ni? Sanggup awak lepaskan saya demi lelaki lain. Saya terkilan dengan awak!" Tangan Damia masih tak henti memukul.
Syafiq segera genggam pergelangan Damia sehingga tindakan gadis itu segera terhenti. Hanya esakan kuat yang semakin galak terdengar dari gadis itu.
"Damia ... saya mintak maaf. Tapi awak tak boleh macam ni."
"Tak boleh macam ni apa? Awak saja abaikan panggilan dan mesej saya. Disebabkan tu, saya sanggup lari dari pernikahan saya demi berjumpa dengan awak. Saya takkan kahwin dengan mana-mana lelaki selain awak!" luah Damia dengan nada yang meningkat seoktaf.
Mata Syafiq membulat luas. Terkejut bukan kerana tempikan Damia itu, tetapi kerana luahannya. Perasaan dari isi hati yang sudah lama dipendam. Dia sepatutnya gembira dengan sesi luahan itu tetapi entah kenapa dirinya dihurung rasa bersalah.
"Saya cintakan awak, Syafiq. Dari dulu lagi, saya dah sukakan awak. Awak pun ada perasaan kat saya, kan?" sambung Damia yang diselangi sedu-sedan.
Syafiq tertunduk. Hatinya umpama ditusuk sesuatu. Kata-kata Damia itu memang benar belaka, dia tak dapat nafikan semua itu. Tapi dirinya terasa berat mahu mengiakan.
"Bawak bertenang, Damia. Istighfar banyak-banyak. Kita ..."
"Jawab soalan saya, Syafiq!" tempik Damia lagi tanpa sempat Syafiq menghabiskan bicaranya.
Syafiq telan liurnya. Fikirannya buntu. Jika dia meluahkan perasaan sebenarnya, dia takut dirinya menjadi punca terbatalnya pernikahan Damia dan Lokman itu. Tapi jika dia rahsiakan isi hatinya, bukan ke dirinya seperti seorang penakut? Bahkan Damia saja dah meluahkan rasa cintanya dengan penuh perasaan.
"Ya. Saya pun sukakan awak. Saya cintakan awak, Damia. Pada mulanya saya ingatkan perasaan tu hanya perasaan yang biasa-biasa saja, tapi makin lama perasaan suka itu makin menebal. Saya mulai sayangkan awak. Tapi saya tak sanggup nak luahkan. Sebab saya tak layak untuk awak." Akhirnya, Syafiq putuskan untuk jujur sahaja. Tanpa dia sedar, pandangannya mulai kabur dengan air yang sudah mulai bertakung di mata.
Damia senyum dalam kesakitan. Kepalanya tertunduk sambil memandang ke tanah gersang. "Apa yang tak layaknya, Syafiq? Kita saling mencintai, kan? Kalau bercakap pasal darjat, kita setaraf je. Kita sama-sama orang kampung. Kenapa awak terlalu merendah diri?"
Syafiq terdiam seketika. "Tapi pasal mak awak ..."
Damia pejamkan mata. Ya, ibunya yang menjadi tunjang utama penghalang antara hubungan mereka. Jika ibunya tak menghalang, konflik mereka tak akan menjadi sejauh ini.
"Awak sayangkan saya, kan? Kenapa awak abaikan panggilan saya?" Soalan itu dilontarkan kembali dari mulut Damia.
Syafiq angguk. "Saya sayang awak. Saya tak mahu berhubung dengan awak lagi sebab ... saya tak nak hati saya makin pedih. Saya tahu, bila saya dengar saja suara awak, hati saya makin berharap agar awak jadi milik saya." Cepat-cepat dia gosok matanya yang terasa berkaca-kaca itu.
Akhirnya terjawab juga punca Syafiq enggan menghubunginya. Jika itu jawapannya, maka memang benarlah sedalam itu cinta lelaki itu kepada Damia.
"Kalau macam tu, gantikan tempat Lokman. Kita kahwin. Saya tak boleh terima kalau kita berpisah disebabkan mak saya je," tutur Damia dengan suara yang timbul tenggelam.
Terkelip-kelip mata Syafiq memandang Damia. Otaknya gagal untuk mentafsir semula permintaan berani mati Damia itu. Berkahwin secara tiba-tiba menggantikan Lokman? Itu permintaan gila namanya!
"Damia! Jangan macam ni. Awak kena terima jugak Lokman dan tunaikan permintaan mak awak tu. Awak sekarang ni hanya nampak Lokman tu jahat, tapi percayalah masih ada sisi baik dalam diri dia."
"Tak! Saya tak akan terima Lokman sebab awak je yang ada dalam hati saya sekarang ni ... tolonglah."
Hati Syafiq semakin melebur. Luluh hatinya melihat Damia yang merayu kepadanya begini. Hatinya merintih memohon petunjuk.
Ya Allah ... patut ke aku terima Damia? Patut ke aku bersetuju untuk menyunting Damia sebagai pendamping hidupku? Rintih hati Syafiq.
Syafiq tak meragui akan perasaan cintanya itu tetapi dia takut. Takut untuk memikul tanggungjawab yang berat. Ditambah dengan halangan daripada keluarga Damia, itu bukan sesuatu yang mudah baginya.
"Damia ..." Syafiq mendekati untuk memujuk dan menambat semula Damia yang sedang menekur ke tanah.
Pin!
Ketika itu juga, bunyi hon sebuah kereta menyapa gegendang telinga. Sebuah kereta Myvi berhenti tatkala mereka berdua sedang bersemuka. Apa itu kereta milik ...
"Angah!" Turun sahaja dari kereta, Mak Siti terus menapak perlahan-lahan mendekati mereka berdua.
Seperti tidak percaya apa yang disaksikannya sekarang ini, Mak Siti tercengang. Bahkan, Nadia, Lokman dan Mak Cik Zainab yang turut keluar dari perut kereta turut membisu.
"Kenapa angah buat macam ni kat mak?" Terketar-ketar bibir Mak Siti umpama menahan rasa amarah. Sempat dia kerling seketika Syafiq yang sudah tundukkan pandangan.
Damia bungkam. Air matanya semakin laju mengalir. Tak diduga ibunya boleh mengetahui keberadaannya di sini. Tetapi sedikit sebanyak dengan kehadiran ibunya itu, Damia mampu utarakan niatnya tadi.
Ya, dia mahu Syafiq yang menjadi suaminya. Bukan Lokman!
"Kenapa?" jerit Mak Siti.
Terhenjut sedikit bahu mereka dengan jeritan lantang itu. Kalau Mak Siti dah begini, memang terima ajelah nasib yang bakal menimpa.
"Maaf, mak. Angah tak nak kahwin dengan Lokman, mak. Angah cintakan Syafiq. Angah nak kahwin dengan Syafiq," rayu Damia sambil merapatkan kedua belah tangannya. "Mak cik, Lokman, Damia mintak maaf. Damia tak dapat teruskan perkahwinan ni."
Rayu dan rintihnya kali ini sememangnya seikhlas dari hati. Bukannya rayu mahu meminta simpati dan lakonan semata-mata.
Wajah Mak Siti menjadi merah padam. Mahu pitam rasanya mendengar pengumuman anaknya itu. Sudahlah ada kawan baiknya di belakang. Mana dia mahu letak mukanya lepas ni?
Mak Cik Zainab memandang Damia dengan pandangan kosong. Lokman pula dari tadi mengarahkan mata helangnya kepada Syafiq. Tipulah kalau mereka tu tak berasa kecewa.
"Jadi kau pun setujulah nak kahwin dengan anak aku ni?" tanya Mak Siti kepada Syafiq tanpa menghiraukan sedikit pun anaknya.
Syafiq mengangkat wajahnya. Kepalanya diangguk. "Ya, mak cik. Saya cintakan anak mak cik jugak. Saya cuba kuatkan hati saya untuk terima Damia berkahwin dengan orang lain tapi lepas Damia bersungguh-sungguh luahkan perasaan dia kat saya tadi, saya tahu saya gagal. Saya sebenarnya tak boleh hidup tanpa dia ..."
Pang!
Tanpa sempat Syafiq menghabiskan katanya, terasa satu tamparan hinggap di pipi kanannya. Segera Syafiq usap pipinya yang terasa perit itu.
"Kau jantan tak guna! Perampas! Kau dah musnahkan majlis kahwin anak aku tahu tak?" Mak Siti terus tinggikan suaranya.
"Mak ..." Damia cuba menghentikan ibunya.
Bahkan, Mak Cik Zainab juga agak terkejut dengan tindakan melulu kawan baiknya itu. Dia memang agak kecewa dengan tindakan Damia tu tetapi dirinya amat benci melibatkan kekerasan.
"Kalau tamparan ni mampu redakan kemarahan mak cik. Saya terima. Kalau mak cik nak belasah saya cukup-cukup, saya terima asalkan saya diberi peluang untuk jadi suami Damia. Saya tak nak tengok Damia terseksa lagi, mak cik." Syafiq terus suarakan isi hati biarpun detakan jantungnya macam nak meletup ketika itu.
Mak Siti genggam tangannya. Matanya sedang menikam Syafiq dengan api kemarahan. Hampir sahaja Mak Siti lampiaskan berang dengan cabaran berani mati Syafiq itu, Damia segera menarik ibunya. Langkah yang hampir dimajukan menjadi kaku.
"Sudahlah, mak. Angah yang salah. Bukan Syafiq."
"Kamu diam!" Mak Siti terus menolak anaknya dengan kudrat kedua-dua belah tangannya.
Damia segera tersungkur ke tanah. Tangan yang sempat menyokong tubuhnya dari sepenuhnya terjatuh habis calar-balar. Sedikit rengekan kecil dilepaskan kerana rasa pedih.
Tak habis dengan kesakitan itu, Mak Siti dengan api amarah yang membahang segera menampar-nampar kepala anaknya. Diniatnya tadi mahu menyerang Syafiq, tetapi Damia menghalang. Sekarang rasakannya sendiri. Mati kau, Damia.
Mulut tak henti-henti mengeluarkan kata-kata makian. Tangan menarik tudung yang dipakai Damia sehingga terkoyak.
"Siti, sudahlah." Mak Cik Zainab terus menghentikan kelakuan kawannya yang melampau itu. Jika dibiarkan, boleh masuk ICU Damia tu.
Syafiq pula segera mendapatkan Damia yang lemah selepas puas diganyang ibunya.
Damia masih setia merayu. Jika itu adalah bayaran atas apa yang dilakukan tadi, Damia terima.
Mak Cik Zainab peluk Mak Siti. Kawannya itu sudah terduduk kerana tak mampu lagi menanggu bebanan yang dipikul. Dalam amarah yang menggunung, air mata Mak Siti segera mengalir. Air mata kecewa dan benci.
"Aku malu, Zainab. Anak aku buat hal lagi. Aku dah salah didik anak aku sampai dia jadi macam ni." Air mata Mak Siti semakin mencurah-curah turun.
Sepanjang perjalanan hidupnya, ini adalah kali pertama Damia melihat ibunya meraung sedemikian. Bahkan, ketika kematian ayahnya 13 tahun lalu pun, ibunya tidak meraung sebegini.
Tangisan ibunya kali ini jelas menunjukkan kekecewaan yang menghambat jiwa. Kedegilannya kali ini mungkin sudah di luar batasan sehingga dia menjadi punca seorang ibu menitiskan air mata.
"Maafkan angah, mak. Maafkan angah," ucap Damia tanpa putusnya.
Bersambung...
Damia kena ganyang kali kedua dengan maknye. Hahah cari pasal lagi. Tapi demi cinta, dia sanggup. Maybe next chapter ... Damia n Syafiq kahwin?
Share this novel