Epilog

Romance Completed 32271

Epilog

Sebuah kereta Perodua Myvi berwarna jingga melusur perlahan di kawasan Taman Pinggiran Aman. Kereta itu kemudiannya berhenti di hadapan sebuah rumah yang tersergam indah. Farhan menekan punat alat kawalan jauh pintu pagar rumahnya. Kereta itu dipakir dan enjin dimatikan.

Ya Allah, penatnya!

Farhan membentak dalam hatinya. Dia menyandarkan dirinya di kerusi pemandu kereta itu seketika. Nafasnya dihela panjang. Mata bundarnya yang tersembunyi di sebalik kaca mata ditutup rapat. Beberapa ketika, kunci kereta dicabut daripada tempatnya. Beg komputer riba berjenama ACER diambil keluar daripada tempat duduk di sebelahnya sebelum dia membuka pintu dan keluar daripada keretanya.

Kerja yang menimbun di sekolah tadi membuat kepalanya sedikit berpinar. Terasa sesak fikirannya. Perlahan-lahan dia menarik nafas, mengumpulkan oksigen supaya terasa segar otaknya setelah penat berkerja seharian. Halaman rumah yang dihias indah menenangkan jiwanya. Tangan kanannya mengurut lehernya yang sedikit lenguh.

Dia mengatur langkahnya ke ruang rehat yang terletak di perkarangan rumahnya. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi kayu jati. Kepalanya mendongak ke langit petang yang mula menggariskan senyuman jingganya. Tanda hari semakin hampir melabuhkan tirainya. Sekumpulan burung berterbangan mesra pulang ke sarang.

“Abang sudah lama sampai?” Satu suara lembut menyapa gegendang telinga Farhan. Kepalanya ditoleh ke arah suara gemersik yang sentiasa membuat dirinya merindui suara itu.

Seorang wanita berkaca mata, bertudung labuh warna merah jambu, melangkah sopan ke arah Farhan.

“Emm, baru sahaja.” Matanya dipakukan ke wajah wanita yang kini berada dihadapannya. Auni Marha bt Razali. Nama bidadari yang dikurniakan Allah buat dirinya.

“Maafkan Marha ya abang. Marha tak perasan tadi.” Bicara wanita itu sambil menarik tangannya untuk disalam.

“Mari sini duduk sebelah abang.” Farhan menarik pinggang isterinya untuk duduk di sebelahnya.

“Awal sayang balik hari ni?

“Kelas tambahan batal. Jadi boleh balik awal. Dapatlah masak yang sedap-sedap untuk Cikgu Farhan Hakimi.”

“Ala. Selalu pun sedap juga. Untung abang dapat isteri macam Marha.” Farhan memuji isteri yang dikasihinya.

“Puji melangit ya? Nanti Marha melayang-layang tak turun-turun baru tahu.” Marha ketawa kecil.

“Lewat pula abang balik hari ni. Selalu pukul lima sudah sampai rumah. Marha yang selalu balik lewat.”

“Kerja banyaklah sayang, intan payung. Fail panitia, badminton dan kelab bahasa tak siap update lagi. Minggu depan nazir hendak datang memantau. Maklumlah, abang kan Ketua Panitia Bahasa Inggeris yang berdedikasi, berkaliber, komited dan bertanggungjawab.”

“Amboi, amboi. Angkat bakul diri sendiri.” Peha Farhan dicubit isterinya.

“Aduh, sakitnya. Tangan Marha ni macam ketam.” Farhan mengaduh, berpura-pura sakit. Sengaja hendak bermanja dengan bidadari hatinya.

“Eleh, drama betul abang ni. Sudahlah tu Cikgu Farhan Hakimi. Jom kita masuk rumah. Tak elok duduk luar waktu senja ni.” Marha bingkas bangun dan memimpin tangan suaminya.

“Hmm.” Balas Farhan mengikut isterinya masuk ke dalam rumah.

“Yea, ayah dah balik!” Seorang anak sekitar 12 tahun meluru keluar daripada biliknya. Tangannya cepat menarik tangan Farhan untuk disalamnya. Seorang lagi anak lebih kecil berusia sekitar sembilan tahun berjalan membuntuti anak yang tua tadi.

“Ayah, ayah... nak dukung!” Seorang anak kecil sekitar empat tahun memeluk kaki Farhan. Tangan kirinya memegang teddy bear berwarna coklat.

“Ya, ayah sudah balik. Anak-anak ayah sudah mandi?” Farhan ketawa senang melihat telatah anak-anaknya yang comel. Tangannya mendukung puteri bongsunya, Hamra Batrisyia. Wajah comelnya mirip Marha.

“Sudah. Kita dah mandi awal-awal lagi.” Balas putera sulungnya. Musyrif Faqeh. Mengikut Marha, wajah Musyrif mirip wajahnya.

“Ala, kita pun dah mandi awallah ayah.” Khairin Naqib tidak mahu mengalah. Putera keduanya sangat comel. Ada yang kata wajahnya jambu seperti dirinya.

“Yalah. Semua sudah wangi. Ayah sahaja yang tak wangi lagi.” Marha muncul daripada dapur. Dia ketawa kecil melihat suami dan anak-anaknya sedang bermanja-manja.

“Ala, ibu cemburulah tu.” Farhan mencuit dagu bidadarinya.

“Mana ada. Marha bahagia kalau abang dan anak kita bahagia. Abang pergilah mandi. Hampir maghrib ni. Kami semua tunggu abang di bilik sembahyang ya?” Marha merenung wajah suaminya. Dia mengusap lembut pipi Farhan.

Kini dia bahagia. Sudah hampir 13 tahun dia dan Marha melayari kehidupan sebagai suami isteri. Hanya kerana Allah, dia mampu menikmati kurniaan ini di dalam hidupnya. Dia menzahirkan kesyukurannya dengan perbuatan dalam kehidupan seharian.

“Ya Allah, terima kasih di atas nikmat kebahagiaan yang kau limpahkan kepadaku dan keluargaku.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience