SEHELAI kain dicampak ke wajahku dan mataku terpejam sekejap. Kain itu jatuh tepat di atas kepala dan terus jatuh melorot ke ribaku. Aku pandang kain berwarna putih itu dan aku angkatnya.
“Ke… kenapa, Puan Sri?” soalku tergagap-gagap.
Aku takut untuk memandang wajahnya pada saat ini. Wajah yang penuh dengan kemarahan dan kebencian. Entah apalah salahku kali ini? Aku reda apa yang bakal terjadi sekejap lagi.
Puan Sri Aira melangkah dengan deras dan kasar ke arahku. Aku hanya mampu menelan liur sahaja. Aku dapat mengagak apa yang dia ingin lakukan pada tubuhku.
“Kau tengok apa yang kau dah buat dengan baju anak aku?!” tempelaknya dengan jari telunjuk ditundingkan ke arah baju kemeja yang berada di tanganku. Matanya usah dicakap lagi. Terjegil-jegil memandangku.
Aku membelek baju itu untuk mencari di manakah kesalahan yang telah kulakukan. Terbutang mata aku bila mataku menangkap kesan terbakar pada baju kemeja itu. Aku mengeluh dan menggigit bibirku sendiri. Pasti waktu aku menyeterika baju ini, aku tidak perasan tahap kepanasan yang digunakan hingga menyebabkan kainnya terbakar sedikit. Ingin aku ketuk kepalaku sendiri atas kesilapan kecil ini.
“Maaf… Warda tak sengaja… arghhh!!!” Belum sempat kata-kataku habis, rambutku telah direntap dengan kasar sehingga kepala aku terdongak ke atas.
“Kau memang tak guna! Buat kerja sikit macam tu pun tak boleh! Sekarang ni anak aku nak pakai baju apa?! Esok dia nak masuk court macam mana?! Baju dia kau dah rosakkan! TAK GUNA! Hidup tahu menyusahkan orang je. Patutnya kau mati dengan mak kau dulu. Tak adalah menyusahkan aku!” herdiknya sambil mengayunkan kepalaku seperti bola keranjang.
Aku meringis kesakitan akibat cengkaman yang kuat pada rambutku. Terasa rambutku hampir tercabut dari akarnya hasil dari cengkaman ibu tiri aku itu. Air mataku, jangan ditanya memang sudah berjurai.
“Am… ampun…Puan Sri…” rayuku bersama dengan tangisanku.
“Ampun? Ampun kau kata?! Ini ampun kau!!!”
Dihayunkan kepalaku dengan kasar dan di hentak sekuat hatinya kepalaku ke dinding. Wajahku sudah terlekap pada dinding dan Puan Sri Aira sekuat tenaganya menekankan kepala aku di situ. Kalau boleh ingin dia tanam kepala aku dalam dinding itu. Setelah puas dia melepaskan cengkamannya. Aku tidak berani mengangkat wajahku. Hanya rintihan sahaja yang mampu aku luahkan. Aku memejamkan mata dan tubuh aku merengkok melekat pada dinding.
“Tak guna! Tak guna! Tak guna!” jeritnya lagi sambil memukul-mukul tubuh aku menggunakan bantal.
Aku tidak melawan dan hanya membiarkan sahaja dia melakukan apa sahaja terhadap diriku sehingga dia puas. Tidak puas memukul tubuh aku dengan bantal, dia mencari sesuatu yang lebih pejal untuk pukul aku. Aku melihat dari hujung mataku, dia mengambil buku yang paling tebal di atas meja lalu dijulangkan ke atas untuk menghentakkan buku itu ke atas diriku ini. Aku dengan pantas melindungi wajahku menggunakan lenganku. Hanya itu sahaja aku mampu lakukan. Dia memukul aku dengan buku yang tebal dan keras itu sekuat hatinya. Sakit? Memang sakit. Tapi apa yang boleh aku lakukan? Tiada apa-apa. Aku hanya menerima sahaja amukan Puan Sri Aira.
“Kau patut mati! Mati! Mati!” pekiknya, sekali lagi.
“MAMA!!!”
Dapatku rasakan pergelutan di antara dua beranak itu. Zuhaira telah datang untuk meleraikan tindakan mamanya dari terus menyeksaku. Aku masih tidak berani memandang mereka berdua. Rambutku yang serabai aku biarkan sahaja menutup wajahku agar air mataku tidak kelihatan.
“Sudahlah tu, mama! Warda tak salah pun. Zu boleh pakai baju lain!” Terdengar suara Zuhaira cuba membela diriku.
“Budak ni tak guna, Zu! Hidup dia hanya menyusahkan orang je! Biar aku bunuh dia!” pekiknya lagi dan dia ingin menyambung semula memukul diriku. Tapi, dengan pantas Zuhaira menghalangnya.
“Bawa istighfar, mama! Ma, please… jangan pukul Warda lagi. Warda tak salah pun. Cukup-cukup la tu… kesian dekat dia.”
Aku melihat pandangan kasihan Zuhaira terhadap diriku melalui balik rambutku.Ya! Dua beranak ini memang berbeza. Zuhaira sangat baik dan dia tidak pernah memarahi dan menyalahi diriku. Malah dia melayanku seperti adik. Adakalanya dia akan memberikanku hadiah secara senyap-senyap dan mana pakaian yang dia tidak boleh pakai lagi, dia berikan kepadaku. Tapi, kalau diketahui oleh mamanya, pasti mamanya akan merampas semula barang-barang itu lalu dibuangnya. Katanya, aku tidak layak guna barang itu walaupun barang itu merupakan sisa. Begitu hina sekali aku dimatanya. Namun tidak pada Zuhaira. Ah! Mulianya hati Zuhaira. Dia bukan tidak tahu apa yang berlaku dulu tetapi dia tidak pernah membenciku.
“Budak ni penyebab keluarga kita yang bahagia ni kucar-kacir! Budak ni penyebab mama dan papa hampir bercerai! Budak ni penyebab mama ada depression dan anxiety. Budak ni penyebab segala-galanya berlaku!”
Air mata aku mengalir lagi mendengar segala cacian itu. Semua salahku, padanya.
“Ma, Dahlah! Benda dah lepas pun. Kita lupakan jelah,” pujuk Zuhaira, lembut. Dia menarik tangan Puan Sri Aira agar keluar dari dalam bilik itu.
“Aku takkan lupa! Sampai mati pun aku takkan lupa apa yang mak dia dah buat dengan aku! Aku akan pastikan hidup anak dia terseksa!”
Itulah ayat yang selalu keluar dari mulut Puan Sri Aira.
“Mama, dahlah!”
“Apa yang kecoh-kecoh ni? Sampai ke atas boleh dengar,” celah satu suara garau dan pemilik suara itu sudah semestinya milik Tan Sri Zubari. Siapa lagi.
Aku terus menyorokkan wajahku di balik rambutku, tidak mahu menentang mata dengannya kerana aku tahu pasti pandangannya padaku lagi jijik daripada Puan Sri Aira.
“Tak ada apa-apa, pa…” dalih Zuhaira.
“Budak tak guna ni dah rosakkan baju anak kita! Entah sakit hati apa dia dengan Zu sampai dia bakar baju Zu. Esok Zu ada kes nak attend, tapi sebab hati busuk budak ni, dia rosakkan baju Zu,” adu Puan Sri Aira.
“Ma! Warda tak sengaja, mama. Jangalah tuduh dia macam-macam.” Sekali lagi Zuhaira cuba membela aku.
“Huh! Budak tak guna! Tak habis-habis nak menyusahkan aku,” getus Tan Sri Zubari bersama dengan dengusannya.
Aku yang mendengar kata-kata kesat daripada bapaku sendiri buatku tersenyum sinis. Sampai bila aku akan dibenci dan dipandang hina oleh ayah kandung sendiri? Mungkin sampai bila-bila. Hampir tergelak aku dibuatnya. Gelak yang menyakitkan.
“Zu ada banyak baju lain. Zu boleh pakai baju lain esok. Tak payahlah nak besarkan hal kecil ni.” Zuhaira cuba menenangkan keadaan yang masih hangat ini.
Dia menolak tubuh Puan Sri Aira memaksa keluar dari dalam bilikku. Aku mendengar dengusan yang keluar dari mulut Puan Sri Aira. Aku terasa badanku disentuh oleh seseorang sehingga tubuhku memberikan reaksi terkejut dan ketakutan. Takut aku diapa-apakan lagi. Namun, sentuhan itu aku rasa menghangatkan dan menenangkan. Aku mengintai di sebalik rambut dan Aku melihat Zuhaira yang menyentuh tubuhku dengan cukup lembut sekali.
Aku terdengar dia mengungkap kalimah yang sangat agung iaitu maaf. Selepas itu, dia melangkah keluar dari dalam bilikku dan menutup pintu bilik itu. Aku memejamkan mata seketika dan mula meraung sepuas hatiku. Sakitnya hatiku lebih sakit daripada pukulan tadi. Atas sebab kesalahan yang kecil, aku dihukum sebegini rupa. Aku mengongoi dalam kesedihan.
Kenapa aku diuji sebegini rupa?
Kenapa aku tidak mati bersama ibu dulu, agar hidup aku tidak menyusahkan Tan Sri Zubari?
Kenapa aku dilahirkan di dunia ini sebagai Warda Sofea bukan Zuhaira?
Tidak sanggup menghadapinya lagi? Ya! Aku sudah tidak sanggup tapi… aku juga tidak mampu lari dari sini. Sampai bila aku akan bertahan, aku sendiri tidak tahu. Takdir yang sudah tertulis ini, terpaksaku telan juga.
“Untuk sekali sahaja. Aku ingin merasai apa yang kau rasa, Zuhaira! Aku ingin sekali merasai kasih sayang dari seorang yang bergelar ayah.” Itulah yang kuharapkan selama ini. Aku… cemburukan Zuhaira.
TUBUHKU tersentak apabila ada seseorang menepukku dari belakang. Aku melihat Vanida sudah duduk bersila di sebelahku.
“Kau menungkan apa tu?” soalnya.
“Tak ada apa-apa,” jawabku, ringkas. Aku menyebamkan wajahku pada kedua lututku dan aku memeluk kedua kaki dengan erat untuk menyorokkan perasaanku yang sedang bersedih ini.
Pagi tadi, aku dimarahi lagi gara-gara aku memarkirkan motor skuter aku bersebelahan dengan kereta Zuhaira, sehingga menyebabkan dia susah untuk masuk ke dalam keretanya. Punyalah mengamuk Puan Sri Aira sehingga dia menendang motor aku hingga jatuh ke tanah. Habis patah cermin sisi motor aku. Dahlah motor itu satu-satunya kenderaan yang aku ada untuk pergerakkanku. Aku ingat lagi kata-kata caciannya pagi tadi, “Menyemak jelah motor buruk ni macam tuannya juga. Patut kena buang dalam gaung dengan tuan-tuannya sekali.”
Aku hanya mampu mengeluh. Tiada apa yang boleh aku lakukan. Aku tahu yang aku memang menyemak dalam rumah itu.
“Kau ni apahal?” soal Vanida sedikit menekan nada suaranya.
Aku terus berpaling dan memandangnya polos, “Kenapa?” aku memulangkan semula soalan kepadanya.
“Aku dengar kau mengeluh dari tadi. Kau ada masalah ke?”
Kuat sangat ke aku mengeluh sampai Vanida boleh dengar?
“Tak ada apa-apalah…” dalihku. Aku malas ingin mengongsikan apa-apa masalahku kepada Vanida. Bukan apa sudah banyak aku luahkan kepadanya, jadi biarlah yang ini aku simpan sendiri.
Aku melirikkan mataku memandang Vanida yang tidak berpuas hati itu.
“Aku tau kau ada masalah, kan. Baik kau cerita dengan aku.” Vanida mula memaksa diri aku.
Aku terus berpaling dan tidak mengendahkan permintaanya itu. Sekonyong-konyong, tangan aku di tarik dengan kasar oleh Vanida sehingga aku tersontak. Aku memandangnya dengan mata yang bulat. Vanida melihat lenganku di dalam genggamannya.
“Kau kena pukul ke?” soalnya dengan wajah yang berkerut. Lengan kananku jelas kelihatan lebam-lebam akibat dipukul dengan buku yang tebal malam tadi.
“Taklah. Aku jatuh,” dalihku.
Aku menarik semula tanganku dari terus dibelek oleh Vanida.
“Kau jangan nak tipu aku, Warda. Kau kena pukul, kan? Siapa pukul kau? Tan Sri? Puan Sri?”
Aku tidak menjawab soalan Vanida itu. Aku hanya mengemamkan sahaja bibirku. Aku terdengar keluhan daripada Vanida.
“Apalah nasib kau, Warda? Dari dulu sampai sekarang macam ni.”
“Dah nasib aku… terima jelah…”
Memang sudah lama aku menerima takdir hidupku begini. Nak ubah pun aku tak tahu macam mana. Memang betul agaknya kata-kata mereka yang aku ni tidak berguna.
“Kau keluar jelah dari rumah tu. Sampai bila kau nak duduk situ? Sampai kau mati ke nak jadi hamba abdi dia orang?”
“Siapa yang nak pindah rumah ni?” celah Dani yang tiba-tiba muncul dan terus duduk bersila berhadapan kami berdua.
“Warda ni! Kau tahu, dia kena pukul dengan mak tiri dia lagi.” Tanpa disuruh, laju sahaja Vanida menceritakan perihal aku kepada Dani. Aku berdecit dengan perangai Vanida itu.
“What?! Dekat mana? Teruk ke?” Kalut betul aku dengar suara Dani.
Terus dia ingin menyentuh badanku, ingin memeriksanya. Namun, dengan pantas aku menepis tangan Dani itu. Sesuka hati dia je nak sentuh aku. Haram!
“Tu ha… dekat lengan dia tu. Lebam sikit.” Vanida memuncungkan bibirnya menunjukkan kawasan tempat aku dipukul. Aku dengan pantas menutup kesan itu dengan telapak tanganku. Aku melihat Dani menggelengkan kepalanya.
“Macam mana kau boleh duduk dengan keluarga yang toksik tu, ya? Orang dah tak terima kau, buat apa kau terhengeh-hengeh lagi?” soal Dani pula.
“Tulah! Aku dah cakap dengan dia ni, tapi macam ni juga. Tetap nak duduk rumah tu,” bentak Vanida, geram.
Aku tersenyum sinis. “Bodohkan aku. Aku dah tahu dia orang takkan terima dan benci dekat aku. Tapi… aku masih lagi stay dekat situ. Memang bodoh!” Aku tergelak dengan pilihanku sendiri. Bukan aku tak boleh pilih sekarang, boleh. Tapi… entahlah.
Dani dan Vanida saling berpandangan melihat aku yang tiba-tiba ketawa. Tapi, tawa aku hanya pura-pura. Mungkin, sebab aku berharap yang Tan Sri Zubari dan Puan Sri Aira akan menerima diriku suatu hari nanti. Menyebabkan aku terus setia dan bersabar untuk tinggal di dalam rumah itu.
“Aku bukan cakap kau bodoh. Aku cuma nak kau keluar dari rumah puaka tu je. Kau dah besar bukan bawah 18 tahun lagi yang memerlukan pemantauan mereka lagi. Kau boleh buat keputusan sendiri dan tinggal sendiri. Banyak rumah dan bilik yang kau boleh sewa sekarang ni,” cadang Vanida sambil mengusap belakang aku. Memujuk diriku.
Aku hanya diam tidak mampu membalas kata-kata Vanida.
“Betul tu, Warda. Baik kau keluar dari rumah tu daripada hidup kau terseksa macam ni. Your deserves to get a better live!” Dani menyokong kata-kata Vanida tadi.
“Ke kau tak ada duit? Kalau kau tak ada duit, aku boleh bantu kau. Yang penting kau keluar dari rumah tu.” Sambung Dani lagi.
Aku menggeleng dan menarik nafas sedalam-dalamnya lalu kuhembus.
“Bukan sebab tu,” jawabku, lirih.
“Habis tu sebab apa?” soal Vanida sudah mencantumkan keningnya.
“Kalau aku nak keluar dari rumah tu, aku nak pergi sejauh yang boleh. Aku tak nak setakat keluar dari rumah tu dan menyewa dekat mana-mana di sekitar kawasan ni juga. Tak guna. Pusing-pusing aku akan jumpa dia orang balik. Sebab tu, aku dah nekad… aku nak sambung belajar ke overseas.”
Aku melihat mata Dani dan Vanida terbeliak, terkejut dengan keputusan mendadak aku.
“Serius? Kau nak sambung belajar dekat mana?” soal Vanida tidak percaya bercampur dengan teruja.
“Hmmm… maybe korea…”
“Wah! Aku nak ikut! Bolehlah aku nak ikut…” Vanida menggoncangkan tubuhku ingin mengikut aku sekali.
“Kau ni… Semua tempat kau nak ikut aku. Jamban dengan gaung kau tak nak ikut pula,” rungut aku bersama dengan sindiran, geram dengan perangai Vanida yang satu ini.
"Oooo… Dua tempat tu kau pergi sendiri. Tu aku tak nak ikut. Kalau overseas aku nak ikut. Lagi-lagi pergi korea. Negara k-pop. Mana tahu aku berjodoh dengan Lee Min Hoo nanti?” seloroh Vanida membuatkan aku menggelengkan kepala.
“Banyaklah Lee Min Hoo kau. Kau ingat semua lelaki korea tu handsome ke? Lagi Handsome si Dani ni ha,” puji aku, ikhlas kepada Dani.
Aku melihat Dani tersipu-sipu malu. Tapi memang betul pun. Dani seorang yang kacak dan digilai oleh semua penuntut di sini dan aku ada mendengar ura-ura mengatakan Dani sudah dilamar oleh satu syarikat penerbitan untuk jadikan dia seorang pelakon. Aku melihat Vanida mencebikkan wajahnya mendengar perlian aku tadi.
“Tapi… Kalau kau pergi sana pun memang kau layak. Tengok jelah pointer kau setiap sem. Dekan wei! Tak macam budak sorang tu. Cukup-cukup makan je,” perli Dani bersama dengan sengihan nakalnya.
Aku melihat wajah Vanida semakin mencuka kerana disakat oleh kami berdua.
“Kau orangkan. Tak baik cakap macam tu. Aku pun bolehlah dapat dekan kalau aku berusaha sikit,” tukas Vanida dalam nada rajuknya.
“Bila kau nak berusaha? Kita ni dah tahun akhir tau. Tak lama lagi kita nak grad pun,” soal Dani dengan sinis.
Aku melihat Vanida bungkam. Terus aku dan Dani tertawa melihat wajah Vanida yang seperti menyesal kerana dia telah banyak membuang masa selama ini. Melihat wajah itu, aku dan Dani makin meletuskan tawa dan buatkan wajah Vanida makin merah. Tapi seketika selepas itu, Vanida juga ikut tertawa kerana dia tahu dia memang tidak mungkin dapat menebus balik apa yang dia sudah lepaskan.
Melihat rakan-rakanku bergelak ketawa buatkan hatiku senang. Aku bersyukur kerana diberikan sahabat yang cukup baik dan memahami. Merekalah tempatku mengadu dan menghiburkan hati. Sedikit sebanyak, rasa gundah di hati ini lenyap untuk seketika. Bibirku mengukirkan senyuman yang manis kepada mereka berdua.
Share this novel