BAB 6

Humor Completed 6445

Sekali lagi Nurul Ain tersipu dan wajahnya memerah, menahan malu. Huwaa!

Tok wan, Ain menyesai mai sini hari ni! Malunyaaaaaaaaaaa!!! Mesti dia

nampak aku terjenguk-jenguk bawah pokok besar tu! Adeh!

Zeek ketawa dalam hati. Comel!

Nurul Ain duduk di sebelah Zeek yang sudah mula melukis permandangan di

kawasan itu. Tak mahu mengganggu konsentrasi Zeek, Nurul Ain keluarkan

buku nota yang agak tebal dan sebatang pen warna biru. Sesekali matanya

mengerling Zeek. Dia tiba-tiba kerutkan dahi, “Zeek...”

Zeek memandang Nurul Ain sekilas. Kening kanan dijungkit, bertanya kenapa.

“Awak tak panas pakai baju tu?” Nurul Ain menuding ke arah hoodie yang

tersarung di badan Zeek.

Zeek tengok badan sendiri lantas dia menggeleng.

Nurul Ain anggukkan kepala. Aku yang panas tengok dia. Baru dia mula nak

menulis, bahunya tiba-tiba dicuit.

Dia berpaling kepada Zeek. Tanpa memandang kepada Nurul Ain, Zeek

mengunjukkan tupperware berisi karipap yang umi goreng tadi kepada si gadis.

“Oh, bekas sambal bilis hari tu ke?”

Zeek angguk.

Nurul Ain capai tupperware warna merah jambu itu. Dia buka pula beg

sandangnya lalu sebungkus roti Gardenia dikeluarkan. Sebiji tupperware

lagi turut dikeluarkan dari begnya.

Zeek mengerling dari hujung mata. Ain bawa sambal bilis lagi? Hampir

saja dia tersenyum namun senyumannya tak jadi memekar bila Nurul Ain

membuka penutup tupperware. Isi di dalamnya tak seperti yang dia harapkan.

“Awak nak?” Nurul Ain bertanya bila dia nampak Zeek pandang saja roti

dan sardin yang baru dia keluarkan.

Zeek pantas menggeleng. Tak nak roti dengan sardin. Dia nak roti dengan

sambal bilis.

“Sebenarnya saya tak suka sangat sardin sebab dia hanyir tapi sebab stok

ikan bilis kat rumah tok wan dah habis, saya bawa ajelah sardin,” tanpa

dipinta Nurul Ain bersuara, “Saya tak gemar sangat roti makan dengan

sardin. Saya lagi suka makan roti dengan sambal bilis.”

Zeek tersenyum mendengar celoteh Nurul Ain. Saya pun suka roti dengan

sambal bilis... sejak saya kenal awak.

Sabtu berikutnya...

“Awak ada berapa orang adik-beradik?" Tanya Nurul Ain pada Zeek.

Zeek angkat empat batang jari.

Nurul Ain mengangguk, "Saya anak tunggal. Satu-satunya kesayangan ayah

dan ibu."

Zeek mengangguk tanpa memanggung kepala. Tangan cekap melukis gambar

seorang pengunjung taman itu yang memancing di tasik.

“Kenapa awak suka melukis?”

Zeek pandang Nurul Ain sekilas sebelum dia angkat bahu. Dia tak ada

jawapan untuk itu. Kenapa dia suka melukis eh? Entah! Sebab dia sukalah kot!

“Awak kerja apa?" Nurul Ain bertanya lagi tanpa memandang Zeek.

Tangan Zeek yang sedang melukis terhenti seketika. Haih, banyak cakap

sungguh budak ni! Macam Alif. Dia pandang Nurul Ain lalu dia senyum,

“Jurugambar."

Nurul Ain mengangguk. Oh, jurugambar... EH?! Nurul Ain berpaling kepada

Zeek yang dah kembali melukis. Matanya membulat, “Awak... boleh bercakap?"

Zeek kerut dahi lalu dia angguk, “Bila saya beritahu awak saya bisu?"

Nurul Ain rasa nak pitam. Si pelukis bisu ni tak bisu rupanya! Dan..

dan... suara pelukis bisu ni sangat merdu. Alahai... “Er...”

Zeek senyum. Kening dijungkit sikit. Wajahnya kelihatan sangat nakal,

“Selama ni awak anggap saya bisu?”

Nurul Ain mengangguk, “Dah awak tak bercakap pun! Saya assume lah awak

bisu.”

“Never assume. Ask,” ujar Zeek sebelum kembali melukis.

“Dah? Awak nak saya tanya terus, awak bisu ke? Tak ke macam kurang ajar?”

Zeek ukir senyum lalu dia mengangguk. Nurul Ain kerut dahi, “Kenapa awak

tak pernah nak buka mulut pun selama ni?”

Zeek jungkit bahu, “Malas.”

Nurul Ain makin kerutkan dahi. Malas? Malas?! “Awak...”

“Saya lebih suka mendengar, saya tak suka bercakap.”

Terus Nurul Ain mengangguk. Macam tu pulak. Peliklah Zeek ni tapi...

pelik yang comel! Baru dia nak senyum sorang-sorang, Zeek cuit bahu dia

dengan pensil.

“Kenapa?”

“Sambal bilis... ada?” Zeek bertanya.

Nurul Ain senyum, “Ada!”

Nurul Ain tersenyum sendirian. Entah kenapa, setiap kali dia berjumpa

Zeek, dia rasa itulah hari paling gembira untuknya. Sambal bilis yang

masih berasap, dia letakkan di dalam bekas. Hari ni dah genap enam

minggu dia dan Zeek berkenalan. Dia tengok jam di tangan. Sudah pukul

9.30 pagi. Tak sabarnya nak jumpa Zeek. Sejak dia dapat tahu Zeek tu

boleh bercakap, dia rasa macam nak dengar Zeek tu bercakap setiap hari.

Merdu dan sedap suaranya. Kadang-kadang dapatlah dia tengok Zeek ketawa

tapi sangat jarang. Selalu pun dia senyum saja.

“Hai, anak ibu! Masak apa ni? Sedap bau. Masak nasi lemak ke?”

Nurul Ain berpaling ke belakang. Ibu sedang tersenyum memandang dia,

“A’ah, ibu. Ibu nak makan?”

Ibu mengangguk, “Boleh juga.”

“Ibu tunggu kejap, ya? Biar Ain hidang dulu.”

Ibu mengangguk lalu dia duduk di meja makan. Tiba-tiba dia terpandang

bekas tupperware yang berisi sambal bilis di atas meja, “Ain...”

“Ya, ibu?” Tanpa memandang ibunya, Nurul Ain menyahut.

“Sambal bilis dalam tupperware ni untuk siapa? Banyak sungguh ni,” komen

ibu.

Nurul Ain tersentap. Alamak! “Er... Ain nak pergi taman tasik, ibu.”

“Nak berkelah ke?”

Nurul Ain menatang mangkuk berisi nasi lemak ke meja makan lalu dia

sengih pada ibu, “Taklah berkelah pun. Mencari ilham,” dan jumpa Zeek!

Sambung Nurul Ain dalam hati.

“Ilham menulis?”

Spontan Nurul Ain mengangguk.

Ibu ukir senyum, “Bila agaknya ibu dapat tengok buku anak ibu di kedai

buku, ya?”

Nurul Ain jungkit bahu. Dia sendiri tak tahu bila. Sudah banyak kali dia

menghantar manuskrip ke syarikat penerbitan tapi semuanya ditolak.

Mungkin manuskripnya masih kurang rasa dan kurang jiwa. Mungkin, “Tak

ada rezeki Ain lagi, ibu.”

Ibu mengangguk. Nurul Ain, satu-satunya permata yang dia ada hasil

perkongsian hidupnya bersama arwah suaminya. Anak itu punya cita yang

sama seperti arwah ayahnya yakni untuk menjadi seorang penulis. Walaupun

Nurul Ain belajar dalam bidang pengurusan hotel tetapi dia lebih suka

menulis. Pernah dia baca karya Nurul Ain. Cerita Nurul Ain semuanya

bagus tapi terasa bagai kurang sesuatu. Entah apa yang kurang, dia pun

tak tahu.

“Ain?”

“Ya, ibu?”

“Ibu harap Ain takkan berputus asa untuk menulis.”

Nurul Ain mengangguk, “InsyaAllah ibu.”

Pada waktu yang sama...

Zeek baru bersiap untuk keluar ke taman tasik sewaktu Amli membuka

pintunya dari luar, “Along!”

Zeek terkejut. Dia buat wajah tegang tanda tidak suka dengan cara Amli

yang menerjah masuk ke biliknya, “Kenapa?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience