Pulang dari jogging tadi, Haifa tidak ke mana-mana. Hanya terperap di dalam bilik hotel sahaja. Tiada mood mahu keluar. Sampul yang diberikan Intan elok terletak di atas almari solek dipandang. Haifa bangun dari katil dan mengambil sampul tersebut lalu isi kandungannya dikeluarkan. Lama Haifa memandang gambar yang tertera. Apa yang kau nak sebenarnya? Haifa cuba ingat kembali pada tugas-tugasnya yang lepas mana tahu wajah Gibran akan muncul, tapi puas difikir dan diingat kembali, tiada pula wajah ini terlayar dalam fikirannya. Haifa simpan kembali isi kandungan ke dalam sampul lalu di bawa tubuh ke katil. Perlahan tubuh di baringkan dan matanya semakin layu lalu terlena.
Haifa tersedar dari tidur yang lama, jam dipandang. Dua pagi, tiba-tiba perut berbunyi. Ye lah, lepas pulang berjogging tadi mana ada dia ambil apa-apa makanan. Lapar la pulak. Tingkap dijenguk melihat restoran di bawah. Mamak pun mamak la.. Haifa bersiap kemudian keluar dari pintu hotel dan berjalan melintas ke seberang jalan.
Sampai sahaja di seberang sana, Haifa kaku seketika. Dapat dia rasakan seperti dirinya diekori. Kepala ditoleh ke sisi, bersama ekor mata dipandang. Ada beberapa orang di belakangnya tapi satu pun tidak dia kenali. Haifa perlahan mengatur langkah, dapat dia rasakan ada orang yang mengekorinya. Haifa buat tidak peduli, kaki terus melangkah masuk ke dalam restoran. Makanan dan minuman dipesan sebaik Haifa mengambil tempat duduk mengadap ke jalan raya. Sambil menikmati hidangannya, Haifa memerhati sekeliling dengan ekor mata.
Lebih kurang tiga puluh minit, Haifa selesai makan dan ke kaunter membuat bayaran. Dengan langkah berhati-hati Haifa keluar dari restoran dan mengambil jalan jauh lalu berjalan berhampiran dinding bangunan. Dapat didengari dengan jelas bunyi tapak kasut yang mengekorinya. Haifa pusing ke belakang lalu sekali dilibas seorang lelaki yang mengekorinya tadi terhantuk ke dinding. Laju Haifa kilas tangan dan grip ke belakang.
"Siapa kau? apa kau nak?" kasar soal Haifa pada lelaki yang sudah dikunci pergerakannya hanya tangan kanan yang tergawang-gawang.
"Hey! aku tanya jawab. Sebelum patah tangan ni aku kerjakan" marah Haifa.
"Ookkaayy.." balas lelaki tadi sambil tangan kanannya mahu mencapai sesuatu dari poket jaketnya.
"Tangan!" tegur Haifa sambil tangan kiri yang dikilas makin ditekan kuat.
"Buku.. buku.." kata lelaki tadi.
"Buku apa?" tekan Haifa lagi lalu lelaki tadi berjaya juga mencapai buku kecil dari poket jaketnya lalu ditunjukkan pada Haifa. Buku kecil tersebut dicapai dan pegangan dilepaskan. Terbatuk-batuk lelaki tadi sambil memicit lengannya yang sakit.
"Saya nak bagi buku ni pada akak, akak terjatuh buku ni masa bayar kat kaunter" kata lelaki tadi yang masih mengadap dinding. Haifa menarik baju lelaki tersebut dengan kasar supaya pusing ke hadapan. Lah, budak convenience store.
"Saya nak bagi buku ni pada akak je. Saya panggil tapi akak tak dengar" balas lelaki tadi takut-takut. Kolar baju lelaki itu dicekak.
"Tapi kenapa ikut saya sejak saya keluar dari pintu hotel?" Haifa tinggi suara. Laju lelaki tadi menggeleng.
"Eh.., mana ada. Saya ikut selepas akak bayar kat kaunter je. Mana ada ikut akak keluar hotel. Saya tak tau pun akak tinggal mana" lelaki tadi sudah angkat kedua-dua tangan sambil menggelengkan kepala.
"Ada apa ni?" tiba-tiba datang beberapa orang ke arah Haifa dan lelaki tadi. Pantas pegangan pada baju dilepaskan.
"Tak ada apa. Salah faham" balas Haifa lalu laju langkah dibuka meninggalkan tempat tersebut. Haifa memang yakin ada orang mengikutnya tadi. Disebabkan perkara itu, sampai pagi Haifa tidak dapat tidur. Terkebil-kebil mata sedar-sedar dia sudah terlelap di atas sofa. Sakit leher terlentuk di situ. Jam pada pergelangan tangan ditilik. Tiba-tiba teringatkan Huzaireen. Telefon di atas meja dicapai lalu nombor Huzaireen melalui kad yang diberi didail.
+++
"Saya tak ganggu ke ni?" soal Haifa sebaik melolos masuk kereta Huzaireen yang berhenti mengambilnya di hadapan hotel.
"Eh, tak. Saya pun dah lama tak cuti. So, saya ambil cuti sehari untuk temankan awak" balas Huzaireen sambil tenang memandu.
"Kita nak ke mana?" soal Haifa sambil menoleh pada Huzaireen di sisi.
"It's up to you" balas Huzaireen. Suka hatinya apabila menerima panggilan telefon pagi tadi. Sungguh tidak dia sangka dapat berjumpa semula dengan first love nya ini. Kali ini peluang tak akan dia lepaskan lagi.
Huzaireen membawa Haifa menonton wayang filem aksi. Tak sangka Haifa tidak menolak.
"Dah lama rasanya tak tengok wayang, last masuk panggung masa zaman study dulu" kata Haifa sambil beriringan berjalan bersama Huzaireen di sisi.
"Iya lah, saya pun dah lama tak masuk panggung. Sibuk kerja, lagi pun tak ada yang nak teman" balas Huzaireen. Haifa terus terhenti langkahnya.
"Eh, saya lupa nak tanya. Awak dah kahwin? tunang? girlfriend?" laju Haifa menyoal. Huzaireen senyum sambil tergeleng kepalanya.
"Saya belum kahwin, single and available. So don't worry, okay" balas Huzaireen yang turut sama berhenti langkahnya.
"Hm.. tanya saya, awak tu tak ada yang marah ke?" soal Huzaireen. Berubah terus wajah Haifa.
"Eh, jom lah. Kita makan dulu" kata Haifa lalu berjalan meninggalkan Huzaireen dengan riak wajah yang keliru.
"Hey, lajunya. Tunggulah" panggil Huzaireen.
"Kita makan kat sinilah" ajak Haifa.
"Boleh" balas Huzaireen pendek. Mereka memilih restoran Nando's Sunway Piramid. Tempat diambil dan pesanan dibuat.
"Awak biasa datang sini?" soal Haifa.
"Tak selalu kadang-kadang rasa nak buang masa, saya datang ke sini. Pusing-pusing, jalan-jalan lepas tu balik tak pun layan bowling" kata Huzaireen. Wajah Haifa dipandang. Manis lesung pipitnya. Itu yang buat mahal.
"Kenapa" soal Haifa.
"Nothing" balas Huzaireen.
"Maaf kalau saya bertanya" Huzaireen mengatur ayat.
"Sopannya dia.." usik Haifa. Memerah wajah Huzaireen.
"Okay.. okay.. awak nak tanya apa?" Haifa lepas ketawa.
"Awak masih single?" soal Huzaireen.
Jika benar, dia mahu sunting Haifa jadi suri hatinya. Silap dia tidak berani luahkan isi hati pada Haifa semasa menuntut dulu. Sangkanya mahu tamatkan pelajaran dahulu tapi lepas study lost contact dan jumpa semula semasa reunion tapi itu pun segan dia mahu bertanyakan nombor telefon Haifa. Hanya dipandang dari jauh sahaja.
Haifa menoleh ke kiri memerhatikan pengunjung yang ada. Kemudian dipandang wajah Huzaireen.
"Saya dah kahwin" kata Haifa dan kemudian menunduk.
"Oh, sorry." tergambar riak kecewa di wajahnya.
"Saya tak tahu. Tapi awak keluar dengan saya ni, tak apa ke? Nanti suami salah faham kalau nampak kita berdua macam ni" kata Huzaireen lagi. Kalau suami dia nampak, tak pasal-pasal lebam biji mata tu Huzaireen oi.. Haifa hela nafas. Serba salah untuk dia ceritakan perihal rumah tangganya.
"Saya dah kahwin enam tahun lepas tapi saya ditinggalkan pada hari pertama bergelar seorang isteri hinggalah ke hari ini" senafas Haifa berkata. Terkejut Huzaireen sebaik mendengar ayat yang keluar dari bibir comel itu.
"Kenapa boleh jadi macam tu?" soal Huzaireen ingin tahu. Kuat digenggam penumbuk. Suami dayus, sanggup tinggalkan isteri. Kalau tak nak putuskan sahaja, jangan dibiar tergantung begini.
"Di mana suami awak?" soal Huzaireen. Haifa angkat kepala tapi waktu itu pekerja restoran datang menghantar makanan dan minuman.
"Itulah tujuan saya ke sini. Saya nak cari suami saya dan uruskan hal ini dengan dia" kata Haifa lalu menyedut perlahan ice lemon tea. Sejuk masuk ke tekak. Huzaireen angguk.
"Nak saya bantu?" soal Huzaireen. Haifa geleng.
"Ini urusan saya dan dia. Saya tak nak nanti awak disalahkan pula dalam hal ini" kata Haifa.
"Awak.. saya harap apa yang saya cakapkan ini belum terlewat" kata Huzaireen. Mata Haifa dipandang tepat.
"Saya cintakan awak sejak dari kita study dulu lagi tapi saya tak berani nak luahkan sebab saya nak tamatkan pengajian dahulu dan baru fikirkan soal rumah tangga. Tapi kita lost contact hinggalah reunion lepas. Itu pun saya hanya mampu pandang awak dari jauh saja" Haifa yang mendengar sudah terkaku. Tidak menyangka Huzaireen meluahkan isi hatinya.
"Saya tahu ini mungkin kejutan pada awak. Saya tak paksa awak terima saya tapi andai jodoh awak dan suami tidak panjang, saya ada untuk awak Wahidah" kata Huzaireen. Haifa terkelu lidah. Tidak tahu apa yang patut dia katakan sekarang.
"Awak tak perlu jawab sekarang" kata Huzaireen. Lama keadaan diam dan sunyi. Tiada kata yang keluar dari kedua-dua mereka.
"Dah, kita makan dulu. Lepas tu saya hantar awak balik" kata Huzaireen. Haifa angguk lalu perlahan menyuap makanan ke mulutnya. Lain pula rasa suasana.
Selesai makan, Huzaireen terus menghantar Haifa pulang.
"Wahidah.. saya minta maaf kalau awak rasa yang saya ni ambil kesempatan di atas hubungan awak dan suami yang.."
"No.." laju Haifa potong cakap Huzaireen.
"Saya tak cakap awak macam tu. Cuma bagi saya masa. Saya terkejut sebab awak tak pernah tunjuk yang awak ada perasaan pada saya masa kita study dulu." pinta Haifa sambil menoleh pandang pada Huzaireen. Lama.
"Ah.. so awkward" kata Haifa lalu tertawa. Huzaireen juga begitu sambil tangan naik menggaru kepala tidak gatal.
"By the way, thanks sudi luangkan masa dengan saya hari ni" balas Haifa sambil tersenyum.
"Tak ada apalah. Perkara kecil je. Ada apa-apa, boleh call saya. Anytime, okay" pesan Huzaireen. Haifa angguk lalu menolak daun pintu kereta dan melolos keluar. Tangan dilambai pada Huzaireen yang memandu pergi.
Tanpa Haifa sedari ada yang memerhatikannya. Tegang sahaja wajahnya.
"Aku nak kau siasat siapa lelaki tu" arah Gibran yang berada di dalam kereta bersama Raffa di seberang jalan.
"Berani dia bawa Haifa keluar!" marah Gibran. Raffa hanya menjeling dari cermin pandang belakang pada Gibran. Kasihan kau Gib, jadi mangsa keadaan hingga terpisah dengan isteri.
Share this novel