Bab 49
Semua staf yang ada di dalam bilik itu memandang sahaja jejaka yang kacak, berambut pendek dan kemas. Wajahnya cerah. Hari ini dia tidak lagi mengenakan uniform biasa… kemeja putih dan seluar hitam. Sebaliknya dia mengenakan lounge-suit biru gelap dipadankan dengan kemeja biru lembut. Tali lehernya berwarna putih susu.
“Kamu semua pasti terkejut kenapa Leo duduk di kerusi Datuk Omar. Biar saya jelaskan… Mulai hari ni, Leo adalah Pengarah Urusan baru Omara Holdings. Sudah lama tempat itu kosong. Mulai sekarang jawatan itu sudah pun terisi.”
Semua terkejut mendengar kata-kata Affendi. Ada suara yang riuh bercakap sesama sendiri.
“Bertenang! Biar saya terangkan kenapa dan mengapa. Sebenarnya Leo adalah Muhammad Zakuan bin Datuk Omar, pewaris tunggal kepada Datuk Omar dan juga ke atas semula harta peninggalannya. Ada sebab-sebab tertentu kenapa selama ini Leo tidak menonjolkan dirinya.”
Sekali lagi terdengar suara bising, semua kakitangan syarikat terkejut mendengar kenyataan itu. Mereka saling bercakap sesama sendiri.
Leo tidak ingin bercerita segalanya. Ada perkara-perkara yang perlu dia simpan dari pengetahuan orang. Cuma dia menyatakan dia bukannya benar-benar ‘hilang’. Peguam Wong menambah menyatakan dia ke luar negara untuk belajar. Desas desus menyatakan dia tidak pernah ditemui adalah tidak benar. Peguam Wong menyatakan ada masalah dalam keluarga Datuk Omar berkaitan dengan kehilangan Zakuan. Tiada sesiapa pun yang meragui ceritanya lagi dan menerima dia sebagai pengganti Datuk Omar dalam Omara Holdings.
“Saya harap anda semua akan terus bekerja dengan penuh dedikasi dan rajin seperti mana semasa ayah saya masih hidup. Syarikat akan terus berjalan seperti biasa. Malah saya berjanji akan memberikan bonus hujung tahun ni!” kata Leo.
Semua tiba-tiba bersorak gembira. Mereka menerima berita itu dengan senang hati.
“Hari ni semua orang dijemput menghadiri makan tengahari di restoran yang sudah saya tempah. Semua mesti hadir. Hari ini juga setiap staf diberikan kesempatan untuk bersenang-senang. Anggap saja hari ni cuti, semua orang bebas buat apa saja. Cuma tidak dibenarkan pulang sebelum pukul lima,” kata Leo lagi.
Mendengar kata-kata itu semua orang bersorak gembira.
“Sekarang kita bersurai. Terima kasih semua.” ucap Leo mengakhiri rapat itu.
Semua staf berpusu-pusu keluar. Kebanyakannya berwajah gembira dan ceria keluar dari bilik persidangan. Mendengar suara bising, Puan Suriati segera keluar dari bilik dan berjalan laju menghala ke bilik persidangan. Ruang itu sempit, kerana semua orang menuju ke luar. Puan Suriati terjenguk-jenguk ingin melihat siapakah yang mempengerusikan mesyuarat tersebut. Dia terus menerpa ke arah pintu bilik persidangan yang terbuka. Namun dia tidak melihat sesiapa di dalam. Dia nampak sebuah pintu bahagian dalam bilik persidangan yang menghubungkan dengan bilik Pengarah Urusan baru saja tertutup.
Puan Suriati tidak puas hati. Dia terus berjalan ke arah bilik Pengarah Urusan yang terletak di sebelah bilik persidangan. Dia cuba menerjah masuk. Rupa-rupanya pintu tidak berkunci, dia hampir-hampir saja tersungkur, apabila pintu dibuka dari dalam.
Di kerusi Datuk Omar dia melihat Leo. Tapi rupa Leo sudah berubah sama sekali. Rambut Leo pendek dan kemas. Dia kelihatan jauh lebih berkarisma dan bergaya dari dulu. Raut wajahnya tidak akan Puan Suriati lupa. Dialah yang mendidik anak itu sejak kecil. Bila dia berambut pendek dengan dahi yang terbuka begitu dia segera dapat mengecamnya. Dahi dan hidung Leo memang mirip sangat dengan adik perempuannya, Zaidah isteri Datuk Omar.
“Zakuan?”
“Makcik! Makcik baru cam saya?”
Wajah Puan Suriati pucat lesi. Dia memandang ke arah Affendi yang ada di sisi Leo.
“Puan, apa yang saya cakap pada puan dulu? Zakuan masih hidup, kan? Zakuan dah lama balik, ada bersama kita. Hari ni puan nampak Zakuan kan? Bukan lagi Leo, lelaki dari Gunung Ais. Hari ni dia akan mengambil kembali semua haknya.”
“Tidak! Tidak! Aku tak percaya ini semua!!!” jerit Puan Suriati.
“Lebih baik puan percaya! Sebab ini semua bukannya mimpi. Ini satu kenyataan puan.” kata Affendi dengan tegas.
Puan Suriati menjerit-jerit lalu terus berlari keluar dari bilik itu.
Leo dan Affendi saling berpandangan kemudian sama-sama tertawa.
Leo memerhati para pekerja yang berkumpul di restoran itu, menikmati makan tengahari. Mereka semua berwajah ceria. Affendi juga gembira menegur dan melayani mereka dengan baik. Ada beberapa orang staf yang datang mendekati Leo lalu mengucapkan tahniah. Ada beberapa orang yang sebelum ini agak mesra dengan Leo semasa dia menjadi pemandu peribadi Affendi, amat gembira dengan perubahan baru ini. Mereka berjanji memberikan kesetiaan kepada syarikat.
Leo tidak sangka segalanya dapat dia raih semula. Kehidupannya yang hilang suatu masa dulu kini sudah kembali.
...bersambung
Bab akan datang
Apakah nasib Puan Suriati seterusnya? Bagaimana pula hubungan Leo dan Amalina?
Share this novel