Bab 2 - Kenangan ||

Drama Series 122116

Dian menutup pintu keretanya lalu menekan butang 'lock' yang ada pada kunci keretanya. Tali tas tangannya yang terlorot dibahu diperkemaskan sambil jarinya menyelit sebahagian rambutnya ke cuping telinga. Mulutnya terkuap sedikit kerana masih berasa mengantuk segera ditekup.

Baru hendak melangkah memasuki ke pejabat kecilnya, telinganya menangkap satu suara yang sedang merintih dan satu lagi sedang membentak seperti mengugut. Dicari sumber suara itu sehinggalah matanya tertancap pada sekumpulan pelajar perempuan sedang berkumpul di seberang jalan.

Langkah tidak jadi dibawa mara ke pejabat. Sebaliknya tanpa disedari, kakinya menapak selangkah demi selangkah ke hadapan untuk melihat apa yang terjadi. Matanya terbeliak sedikit apabila melihat seorang pelajar yang merintih tadi menangis teresak-esak apabila wang saku di dalam dompetnya diberkas habis oleh pelajar perempuan di hadapannya.

Pelajar perempuan yang dia boleh anggap sebagai 'ketua' geng acah samseng itu ketawa terbahak bersama rakan-rakannya yang lain sambil menunjukkan segulung wang yang agak tebal. Dian tidak berapa dengar apa yang dikatakan oleh si ketua itu namun dia pasti yang pelajar perempuan tersebut sedang menghamburkan makian pada mangsa buliannya.

Mereka lantas meninggalkan si mangsa menangis tersedu-sedan seorang diri. Oh bala apakah pagi ini? Duit sakunya diambil kesemuannya sehingga tiada sesen pun tersisa di dalam dompet. Mata Dian yang terbeliak tadi perlahan-lahan menjadi redup sayu.

Dia berpaling semula meneruskan langkah untuk ke pejabatnya yang sudah berada di hadapan mata. Gadis tadi? Bagaimana dengan gadis tadi? Apakah dia akan membiarkannya saja menangis seorang diri sambil berfikir apa nak makan jika tiada sesen pun wang? Dan membiarkan saja gadis itu berlapar seharian di sekolah tanpa menjamah sebarang makanan atau menitiskan setitik air ke tekak untuk mengelak kehausan?

Dian berhenti melangkah. Bibir terketap kuat. Entah mengapa hatinya terasa disiat-siat sekarang ini. Air matanya juga mula bergenang hangat di tubir mata. Dia mendongak dan melepaskan keluhan berat. Dia berpatah balik semula dan segara mengorak langkah mendekati gadis yang menjadi mangsa peras ugut itu.

"Adik! Adik!" laungnya sesaat gadis itu sudah perlahan-lahan memulakan langkah menuju ke sekolah dengan wajah yang basah dengan air mata. Gadis genit tersebut berhenti melangkah dan menoleh. Terpinga sekejap dirinya apabila seorang wanita yang tampak bekerjaya itu menghampirinya.

"Ya, kak? Ada apa-apa ke?" soalnya sambil mengesat sedikit air matanya dan cuba mengawal suaranya yang masih bergetar. Dian berhenti melangkah dan menghela nafas. Terdiam dia sekejap melihat gadis remeja bertudung sekolah warna putih itu. Manis saja wajah gadis itu. Namun sayang, kemanisan yang ada pada wajahnya ditutup dengan raut wajah yang sedih.

Dian membuka tas tangannya dan mengambil dompetnya. Sekeping not warna hijau tua bernilai RM50 dikeluarkan lalu dilipat dalam genggaman. Tangan kanan gadis itu diraih lembut. Duit didalam genggamamnya tadi diletakkan ke dalam tapak tangan gadis tersebut.

"Eh, apa ni kak?" soalnya lagi bertambah terpinga-pinga. Duit tersebut digenggam kemas dalam genggamannya oleh wanita yang berdiri di hadapannya ini.

"Ambil je duit tu. Buat belanja dekat sekolah nanti." jawab Dian menyentakkan gadis itu. Segera gadis itu menggeleng tidak mahu dan menyerahkan semula wang tersebut pada Dian.

"T-tak apalah, kak. Tak payah susah-susah. Saya ada duitlah." tolaknya dan menggelengkan kepala lagi. Dian tidak bodoh untuk termakan dengan kata-kata penipuan gadis di hadapannya ini. Dia lihat dengan mata kepalanya sendiri tadi bahawa tiada satu sen pun yang tinggal. Yang ada habuk saja.

"Tak apa, dik. Adik ambil je. Akak ikhlas nak bagi."

"Tak apalah, kak. Ni duit akak. Buat apa akak nak bagi saya?" tolaknya lagi dan kali ini Dian terpaksa menolak terus wang tadi ke arah gadis itu. Matanya dijegil.

"Sebab akak memang kena bagi dekat A
adik. Kalau akak tak bagi hati akak jadi tak tenang. Tolonglah dik..." kata-katanya jeda seketika. Matanya tertancap pada tanda nama yang dijahit di bawah lencana sekolah di tudung gadis tersebut.

"Tolonglah adik Sofia... ambil duit ni. Ya?" pujuknya bagi menyakinkan gadis bernama Sofia itu supaya menerima wangnya. Lambat-lambat Sofia mengangguk dan menerima wang yang diberikan oleh Dian. Bibir Dian membentuk senyuman tipis.

"Tapi... kenapa?" tanyanya untuk kali ketiga. Dia tidak faham. Mengapa wanita di hadapannya ini beria-ria hendak memberikan wang kepadanya? Wanita di hadapannya ini kenal dia ke? Atau dia ternampak dirinya dibuli tadi?

Dian menghela nafas. Seketika dia mendiamkan diri menikmati angin lembut yang menerpa ke wajah. Wajah comel yang dimiliki oleh Sofia itu membuatkan hatinya berasa tenang. Dia menjatuhkan pandangan melihat dedaun kering yang gugur di atas jalan.

"Sebab akak ternampak adik kena 'pau' tadi. Akak nak tolong tapi dia orang dah ambil duit adik dulu. Jadi, akak tak sampai hati nak biarkan adik balik sekolah nanti dengan perut kosong tak makan apa-apa. Sebab tu... akak kasi duit tu." jelasnya membuatkan Sofia sedikit terkedu.

Jadi betullah wanita di hadapannya ini ternampak akan kejadian tadi. Dia tertunduk wajah. Tidak tahu untuk berasa malu, segan atau sebaliknya. Bibirnya bergetar sedikit.

"Te-terima kasih." ucapnya perlahan dan memaling wajah ke arah lain. Terlihat oleh Dian bahawa gadis itu hendak menangis sekali lagi. Dia tersenyum lemah. Tangannya naik mengusap kepala berlapik dengan tudung itu.

"Sama-sama, Sofia." balasnya lembut. Sofia kembali menghadap wajah ke arahnya. Kali ini, air mata gadis itu sudah mengalir deras. Tidak terjangka oleh Dian bahawa gadis itu tiba-tiba saja merangkul tubuhnya erat. Hairan seketika dirinya saat tubuhnya dipeluk kemas.

Sesaat mendengar luahan dan ucapan
terima kasih dari gadis itu, tanpa ragu-ragu Dian membalas pelukan gadis tersebut. Saat itu jugalah, kenangan lama kembali terimbas di hadapan matanya.

"Weyh Fattah, bagilah balik dompet aku!" jeritnya terlompat-lompat cuba mencapai dompet kecilnya dari genggaman pelajar lelaki yang bernama Fattah itu. Fattah tersengih sinis dan terus membaling dompet tersebut kepada rakannya, Hadi.

Hadi menyambut dengan baik dan terpinga seketika. Mendapat isyarat mata dari Fattah, Hadi turut tersenyum sinis. Maka, terjadilah situasi dimana Dian seperti seekor monyet sedang cuba menangkap sebuah pisang yang dibaling-baling oleh dua ekor monyet itu.

Seronok mereka mengetawakan Dian yang tercungap-cungap melompat ke kiri dan kanan cuba untuk mengambil dompetnya semula. Aktiviti baling membaling itu terhenti tatkala Fattah tidak sengaja mensasarkan balingan tersebut jauh dari Hadi dan terkena pada seseorang. Serentak Hadi dan Dian menoleh ke belakang.

Mata Dian membulat besar apabila dompetnya itu sudah berada dalam genggaman si 'ketua' kepada Hadi dan Fattah. Dia menolak tubuh Hadi ketepi dan terus menghampiri lelaki tersebut.

"S-Syah ... t-tolong bagi balik. Please!" rayunya tergagap-gagap di hadapan lelaki itu. Pelajar lelaki yang dipanggil Syah itu terjongket kening dan melihat semula dompet di tangannya. Terasa berat. Terbentuk senyuman sinis di bibirnya.

"Kau nak?"

Dian mengangguk laju. Syah mengangguk kecil dan tersenyum manis ke arahnya. Dia menyerahkan semula dompet tersebut pada Dian. Dian tersenyum lega dan segera menggapai dompet tersebut. Namun, tidak semena-mena Syah menarik kembali dompetnya itu lalu dicampak ke arah Fattah. Terlongo Dian dibuatnya. Dia memandang Fattah dan Syah bergilir-gilir.

"Jangan harap, Darling. Terima kasih daun keladi, harap dapat lagi." dia mencuit lembut dagu Dian lalu menghampiri rakan-rakannya dan mengajak mereka beredar dari situ bersama-sama dengan dompet Dian yang ada dalam genggaman Fattah.

Terasa lemah kedua otot lututnya sekarang ini. Dia jatuh terduduk sambil matanya tidak lepas memandang sosok-sosok tubuh yang sudah menghilang dek bangunan sekolah itu. Duitnya. Duit upah hasil dia bekerja menolong kakaknya sudah... tiada.

"Hah Dian, lambat kau masuk? Tadi aku nampak dah kereta kau parking depan office. Pergi mana?" soal Nana sambil mulut masih mengunyah. Dian yang baru saja masuk ke ruangan pantri kecil itu sekadar mendiamkan diri dan terus duduk ikut serta acara sarapan pagi yang masih berlangsung di dalam pejabat itu.

"Tolong budak tadi." jawabnya perlahan tanpa memandang wajah Nana. Entah dengar ke tidak si Nana tu. Kak Azi yang baru selesai mencuci tangan menghampiri dua orang gadis itu. Tangannya yang basah dilap dengan tisu yang disediakan di atas meja.

"Dah breakfast, Dian? Kalau belum ni akak ada beli nasi lemak lebih ni. Makanlah." pelawa Kak Azi dan duduk menyisip menghabiskan air kopi susunya.

"Ha weyh kau nak tak? Kalau nak, ambil cepat. Kalau lambat tak pasal-pasal masuk dalam perut aku dulu." sampuk Nana sambil mengambil bekas polistren berisikan nasi lemak itu dan diletakkan di hadapan Dian.

Dian merenung bekas makanan itu lama sebelum menggeleng perlahan. Ditolak perlahan ke arah Nana lalu bangun berdiri. "Kau ambillah. Aku dah sarapan kat rumah tadi. Kak Azi, Dian masuk bilik dulu, ya? Nak sambung sketch." pintanya meminta diri dan terus melangkah keluar dari pantri tersebut.

Nana dan Kak Azi memandang sesama sendiri sebelum kedua-duanya menjongket bahu serentak. Tidak berapa faham dengan angin gadis itu pagi ini. Macam tiada mood saja. Kak Azi mengeluh perlahan. Takkan gadis itu rasa tertekan kerana desakkannya semalam untuk mengetahui kata putus? Tak apalah, bila lapang saja nanti dia akan bertanya kepada Dian.

***

"Terima kasih, kak. Semoga Allah sentiasa memurahkan rezeki Akak. Sofia tak tahu nak kata macam mana lagi. Terima kasih sangat-sangat kak. Sofia pergi sekolah dulu ya? Assalamualaikum!"

Kata-kata gadis itu masih terngiang-ngiang dalam kepalanya. Teringat semula ucapan dan tangisan yang dilepaskan di bahunya tadi. Dian menghela nafas perlahan sambil menyandarkan diri ke kerusi. Lakarannya hampir siap sepenuhnya dibiarkan seketika.

'Akak tahu awak kuat orangnya Sofia. Sebab akak pernah alami sendiri apa yang awak alami sekarang ini.' kata hatinya sambil matanya ralit memerhati siling bilik berwarna putih dan bercorak sedikit itu. Dia mengangkat tangan kanannya lalu direnung kembali tangannya itu.

Tangannya ini dahulu sentiasa cuba untuk menundukkan, menjatuhkan dan mematahkan si dia. Tapi apakan daya, tangannya itu tidak cukup kuat untuk melawan dan akhirnya kalah jua. Tetapi sekarang, tangannya ini sudah dipersiapkan dengan kekuatan yang dikumpul selama bertahun-tahun.

Dia takkan lupa ikrar janji yang dibuatnya sendiri. Dia takkan sesekali lupa. Jika Tuhan telah mentakdirkan bahawa satu hari nanti dia dan lelaki itu dipertemukan semula, dia akan pastikan janjinya untuk menundukkan semula lelaki itu terlunas. Walau apa cara sekali pun, dia akan menundukkan lelaki itu.

Lamunannya termati sebaik saja mendengar ketukan pintu dari luar. Terjengul kepala berlitup hijab berwarna biru lembut itu dibalik pintu. Dia berdiri tegak semula apabila seniornya itu sudah masuk ke dalam biliknya.

"Busy?" soal Kak Azi ramah dan duduk di hadapannya. Kertas lakaran Dian di atas meja diambil dan diperhati seketika. Dian tidak menghalang sebaliknya lebih menggalakan wanita itu untuk memerhatikan sebarang kesilapan yang ada.

"Tak sangat. Macam mana kak? Okay ke?" soalnya apabila seniornya itu masih mendiamkan diri memerhatikan lukisannya. Kak Azi terangguk dan meletakkan semula kertas tadi di atas meja.

"Okay dah ni. Jangan lupa ambil Nana punya sikit then adjust tau. Pastu proceed yang lain." kata Kak Azi mendapat anggukan faham oleh Dian. Suasana di dalam bilik pejabat kecil itu kembali dicengkam sunyi.

"Dian," panggil Kak Azi membuatkan gadis itu mengangkat wajah dan menjongket sedikit keningnya. Kak Azi melepaskan keluhan.

"Pasal semalam... Kak Azi nak minta maaf. Akak tak ada niat nak desak Dian cuma..." kata-katanya menjadi jeda buat seketika. Tidak tahu untuk menyambung atau dibiarkan tergantung. Dian berpaling membuang pandangan ke luar tingkap.

"Akak tak ada buat salah pun. Tak perlu meminta maaf. Dian yang kena minta maaf sebab tak reply mesej akak semalam." wajah wanita itu dipandang semula dengan rasa serba salah. Sedar akan semalam dia langsung tidak membalas mesej senior kolejnya itu dan terus terlelap ke alam mimpi.

Kak Azi menggeleng perlahan. "Siapa-siapa yang kena macam tu pun takkan reply Dian. Kalau Akak pun sama. Entah-entah, kena block terus." guraunya dan ketawa kecil. Dian pula sekadar tersenyum nipis.

"Dian... Dian bukan tak nak, kak. Dian kurang yakinlah. Benda yang ada depan mata pun tak settle lagi. Macam mana Dian nak handle kalau Dian terima untuk bekerjasama dengan dia orang? Apa pula kata bos dia orang kalau bekerjasama dengan budak landscape gardening? " soal Dian sudah tidak dapat menahan rasa tidak yakinnya itu.

Walaupun mereka sebagai pereka landskap ini dianggap mempunyai 'similarity' yang lebih kurang, tetap juga ada perbezaannya. Mampukah dia untuk mengendali projek besar itu dengan kemahirannya yang masih perlu dipertajamkan ini?

"Dian, tak payah risaulah kalau bos dia nak kata apa. Kita ni lebih kurang je cuma projek yang dikendalikan oleh mereka adalah berlesen sedangkan kita tidak. Tapi, dengan kemahiran yang ada, kita ni akan setaraf tau dengan dia orang. Lebih-lebih lagi Dian. Akak nampak prestasi Dian makin hari makin baik. Client tak putus-putus call kita. So, apa salahnya Dian ambil keputusan untuk bekerjasama dengan syarikat tu sebagai niat untuk menambah ilmu?" jelas Kak Azi panjang lebar disertakan saranan.

Dian diam membisu sebentar. Berkerut keningnya cuba menghadam dan berfikir dengan saranan Kak Azi itu. Ambil keputusan untuk bekerjasama dengan landskap arkitek membuatkan fikirannya sedikit berselirat. Hendak memerlukan masa, teringat pula bahawa seniornya itu sudah memberi masa sehingga 2 minggu untuk menunggu jawapannya.

Sekarang, perlu atau tidak dia setuju? Kalau dia setuju, projek yang baru hendak berjalan ini bagaimana? Takkan nak biarkan Nana handle seorang diri? Kalau dia tidak setuju, apa pula kata pihak sebelah pada dirinya? Baru jadi landscape designer dah berlagak. Ish pening!

"Erm, projek yang baru ni macam mana? Takkan nak biar Nana handle seorang dia?"

"Kan Akak dah cakap tadi, tak perlu risau. Kita ni memang tak ramai Dian tapi bukan awak seorang je yang partner dengan Nana selalu. Haikal ada. Nanti akak suruh dia sambung projek Dian dan Nana ni." jelas Kak Azi lagi membuatkan Dian tersengih malu.

"So, apa keputusan Dian?" soal Kak Azi sekali lagi.

Dian menghela nafas. Bibir dikemam seketika sebelum mulutnya kembali terbuka.

"Dian rasa..."

Bersambung...

Share this novel

YAZNI-ERNIE
2021-03-05 19:07:21 

waalailummussalAm wbt dear. i baru start reading. best. congratn good luck to.my lovely dear


NovelPlus Premium

The best ads free experience