“DARI tadi ibu tengok kamu ni asyik termenung aje? Ada masalah besar ke?” tegur Puan Zaitun . Dia kemudian duduk di hujung katil Zarinaz . Zarinaz tidak terus membalas panggilan ibunya, surat tawaran dari politeknik itu di tatapnya lama. Ada rasa terkilan. Ada rasa pahit. Permulaan dunia baru yang teruk. Hampir kesemua rakan sekelas mendapat tempat di universiti. Dia pula? Sekadar politeknik? Zarinaz tertunduk lemah. Surat di tangan, di beri kepada Puan Zaitun .
Puan Zaitun hela nafas panjang. “Kenapa ni? Ini bukan Zarinaz yang ibu kenal. Cepat sangat berputus asa. Kenapa kalau dapat politeknik pun. Tempat menimba ilmu juga kan?”
Zarinaz mengumam perlahan, “Memanglah... tapi pada mulanya Zarinaz minta universiti, tapi tengoklah yang dapat politeknik.”
“Nak buat macam mana lagi. Mungkin rezeki Zarinaz belajar di universiti tidak kesampaian. Ramai lagi yang tidak dapat menyambung pelajaran. Anak ibu antara yang bertuah tahu? Ingat! Tak kira di mana kita belajar, kalau niat kita betul dan tekad serta azam kita kuat, pasti akan berjaya juga.” pujuk Puan Zaitun dengan lembut.
AKHIRNYA Zarinaz termakanlah jua dengan pujukan ibunya dan tercampaklah dia di salah sebuah negeri di pantai timur. Hari-hari di sini amat memenatkan. Zarinaz rasa macam mahu menghilangkan diri dan terbang keluar dari daerah yang asing ini. Kuliah pertama sudah pun bermula. Kantuk di mata sudah tidak mampu di tahan lagi.
Rakan sekuliah di sebelahnya menggoncang kuat bahu Zarinaz . “Zarinaz , bangunlah!! Pensyarah panggil kau tu.” Zarinaz tersentak. Panik. Dalam kelam-kabut dan separuh sedar, dia berdiri tegak dan membuat tabik hormat. Seisi kelas ketawa dengan aksi kartunnya itu.
“Nur Zarinaz Murni , awak kalau hendak tidur sangat, sila keluar dari kelas saya! Kalau tidak, sila tumpukan perhatian.” tempik Puan Nik Sarah, pensyarahnya itu mula memberi kata dua padanya. “Kali ini, saya maafkan awak tetapi lain kali tiada maaf bagimu. Sudah turunkan tangan kamu tu. Sini bukannya markas tentera nak tabik spring segala.” Puan Nik Sarah berlelucon dalam tegasnya. Gamat terus dewan kuliah dengan tawa para pelajar. Zarinaz tertunduk.
MALU gila! Hishh, sakit hati aku. Ini Encik Allan punya pasallah. Bagi kerja punyalah banyak! Sampai tak menang tangan aku jadinya. Zarinaz membebel sendiri. Sesampainya di kantin, beg galas di hentaknya kuat ke atas meja, tanpa menyedari tali begnya itu, terkena seorang pelajar lelaki yang sedang menjamu selera.
“Hoi, perempuan! Kalau iya pun tengah marah, nak melepas geram ke hapa. Mata tu tolong pandang belakanglah! Itu pun nak kena ajar ke hah?” jerit pelajar lelaki itu.
Share this novel