EHSAN menerima pesanan WhatsApp daripada Muiz. Wajahnya berkerut ketika membaca pesanan tersebut. Hatinya tiba-tiba walang dan jadi tak menentu.
"Tuan kat mana? Eirfan ada kat rumah. Dia cari tuan. Dah macam orang gila dah lagaknya. Berbekalkan kayu bagai. Kita orang semua takut. Tuan Kassim pun tak berani nak melarang"
Gulp! Ehsan menelan liur. Eirfan dah macam orang gila? Dan atok pun tak berani nak melarang?
Dahi yang berdenyut dipicit berkali-kali. Kalau Tuan Kassim yang digeruni sudah kibar bendera putih untuk melawan Eirfan, bagaimana pula dengan dia? Kuatkah dia untuk melawan Eirfan?
"Tuan balik tak? Kalau tuan balik, keadaan akan jadi kacau-bilau. Tapi kalau tuan tak balik, keadaan akan jadi semakin panas. Eirfan tak nak balik selagi tak jumpa tuan"
Pesanan seterusnya dari Muiz diterima lagi. Dan itu membuatkan hati Ehsan semakin laju berdegup. Eirfan yang selama ini selalu mengalah dan menunduk kini sudah berani melawan?
Apa yang harus dilakukannya? Terus bersembunyi dan membiarkan Eirfan menabur segala benih kemarahan kepada mereka yang tak tahu apa-apa?
Atau dia berdepan dengan Eirfan yang angin taufannya sudah sudah melebihi tahap gila?!
Ehsan berdiri di hadapan cermin. Wajah di sebalik cermin ditatap tanpa berkelip. Riaknya berubah serius dan ketat. Dia tahu, dia tak perlu bersembunyi lagi. Dia yang melakukan kesalahan, jadi biarlah dia yang menanggungnya.
Dia yang memulakan semuanya. Maka biarlah dia juga yang meletakkan kemelut ini ke penghujungnya. Dia tidak perlu takut untuk berdepan dengan Eirfan. Seperti Eirfan yang sanggup melakukan apa sahaja untuk Natrah, begitu juga dirinya. Yang rela menyerahkan nyawa dan segala-galanya demi gadis tercinta.
Pesanan Muiz dibalas dengan satu ayat.
"Aku balik dan biar aku berdepan dengan Eirfan"
Klik! Pesanan dihantar.
"Time for action!" tukasnya seraya bergegas keluar.
"KAU jangan nak memandailah nak menuduh anak aku yang bukan-bukan. Takkan anak aku sanggup nak rosakkan maruah seorang perempuan yang bertaraf rendah seperti..."
Datin Jenny pandang Eirfan dari atas ke bawah.
"Look at you! Tengok kau pun aku tahu yang taste kau sangat rendah!" cemuh Datin Jenny lagi.
Masakan Ehsan mahu merosakkan maruah seorang wanita dan memalukan keluarga mereka yang sentiasa dipandang tinggi oleh segelintir golongan.
"Betul tu. Takkanlah Ehsan sanggup buat kerja bodoh?" sampuk Datuk Elias pula.
Eirfan mendengus. Suami dan isteri sama sahaja! Menegakkan benang yang basah!
"Orang sanggup buat apa saja demi cinta. Walaupun dalam hal yang bodoh sekalipun!"
"Fan!! Cakap betul-betul. Kamu tak tipu ke?" Tuan Kassim mendekati Eirfan. Dia inginkan kejujuran dari cucu yang seorang itu.
"Atok, selama atok jaga dan bela Eirfan, pernah ke Eirfan tipu atok untuk perkara yang serius? Yang melibatkan maruah dan hidup seseorang?"
Mata Eirfan yang berkaca menjadi sasaran Tuan Kassim. Dia tahu, Eirfan tidak berbohong. Namun untuk dia menerima kebenaran itu,juga terasa begitu payah. Kerana dia tahu meskipun Ehsan sangat sombong dan tidak mesra orangnya, dia tidak mungkin akan melakukan perkara terkutuk seperti itu.
Tetapi tidak mungkin juga Eirfan berbohong. Untuk apa juga dia hendak menipu semua orang?
"Kita kena tunggu Ehsan sampai dan tanya dia sendiri" putus Tuan Kassim. Itu sahaja caranya untuk mengetahui kebenarannya.
Datuk Elias dan Datin Jenny tersentak.
"Ayah..."
Tuan Kassim mengangkat tangan apabila Datuk Elias hendak bersuara. Tindakan itu menyebabkan Datuk Elias tidak jadi hendak berkata-kata.
"Kalau betul apa yang kamu cakap, dan Ehsan mengaku, apa yang kamu nak buat? Nak Ehsan bertanggungjawab dan kawen dengan bakal isteri kamu?"
Pertanyaan Tuan Kassim menyentakkan semua yang ada di situ. Dan Eirfan, mulai kehilangan kata-kata. Sesungguhnya dia tak rela Natrah menjadi milik Ehsan. Tetapi dia juga tidak sanggup untuk membiarkan Ehsan lepas tangan sebegitu sahaja. Dia ingin menghukum Ehsan dengan caranya sendiri. Tetapi dia lupa kalau akal Tuan Kassim lebih bijak darinya.
"Fan cuma nak Ehsan mendapat hukumannya"
Akhirnya itu yang diputuskan oleh Eirfan. Tidak sesekali dia akan menyerahkan cinta hatinya kepada lelaki sekejam Ehsan.
KERETA diparkir jauh dari kediaman. Dia menapak keluar dari perut kereta dengan berhati-hati. Langkah terus diatur menuju ke rumah. Entah kenapa hatinya berdebar setiap kali dia melangkah. Padahal dia dikenali dengan gelaran yang berani sebelum ini.
Dari kejauhan, dia lihat kereta Myvi milik Eirfan terpacak di hadapan rumah. Benarlah kata Muiz. Eirfan tidak akan berganjak selagi dia tidak munculkan diri. Pintu gerbang rumah terbuka luas. Lampu chandelier menerangi setiap pelosok rumah. Itu bererti penghuni rumah belum lagi lena.
Melangkah masuk ke ruangan tamu, dia dapat rasakan aura negatif yang tidak pernah dia alami sebelum ini. Dari mana datangnya aura sebegini?
"Kau cari aku kan?"
Suara garau milik Ehsan mematikan perbualan mereka semua di situ.
Eirfan menoleh lalu mengukir senyum sinis. Melihat figura tersebut berdiri di hadapannya dan menayangkan wajah tidak bersalah, hatinya semakin bungkam dan geram. Kalau tidak mengenangkan Tuan Kassim, sudah lama dia bunuh si mangkuk hayun itu.
"Kau cari aku. Jangan cari pasal dengan keluarga aku!"
"Apa yang kau dah buat pada Ara??" tanya Eirfan dalam nada yang terkawal. Dia harus bertenang dahulu sebelum menyerang.
"Hmmm, dia tak bagitau kau?" Ehsan menyoal kembali dengan senyuman nakalnya.
Eirfan menggenggam penumbuk. Mahu saja dia layangkan kayu tersebut ke wajah Ehsan. Atau paling tidak pun, dia 'hadiahkan' sebuah penumbuk ke wajah itu.
"Atau dia terlalu happy sampai tak boleh nak bagitau kau apa-apa?" Sinis soalan Ehsan membuatkan hati Eirfan semakin membara.
"Jadi betul ke apa yang budak ni cakap? You dah rosakkan future wife dia?" Datin Jenny menyampuk dengan wajah terkejut. Seakan tak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Dia sudah berdiri di hadapan Ehsan dengan riak yang sukar untuk digambarkan.
"Iya" jawab Ehsan sepatah. Riak wajahnya berubah serius.
"What??" Riak Datin Jenny serta-merta berubah. Semua yang ada di situ turut sama terkejut.
Datuk Elias sudah menapak ke hadapan. Lantas sebuah tamparan dilayangkan ke wajah Ehsan.
"You are bastard!!"
"You!!" jerit Datin Jenny sambil menolak kasar tubuh suaminya.
Ehsan memegang pipinya yang terasa sakit. Air mata yang hendak jatuh berguguran ditahan sahaja. Dia tidak mahu menangis di hadapan semua orang. Pertama kali dalam hidupnya dia ditampar dan dipermalukan di hadapan Eirfan.
"Mummy. Daddy. Ini hal Ehsan. Let me settle this. You guys stay back and do not interfere. Please!"
"Come! Dia tak perlukan kita. Dia dah malukan keluarga kita yang terhormat. I don't want to bother his business anymore" Datuk Elias sudah menarik tangan isterinya untuk pergi dari situ. Namun Datin Jenny enggan menuruti. Dia mahu kekal di situ dan mendengar serta melihat apa yang bakal terjadi. Sudahnya, dia ditinggalkan oleh Datuk Elias di situ.
"SO apa yang kau nak sekarang dari aku?" soal Ehsan dengan riak penuh angkuh.
"Aku nak kau bertanggungjawab ke atas apa yang kau dah buat pada Ara!" jawab Eirfan dengan suara yang keras.
Wajah Ehsan penuh sinis.
"Kau nak aku kawen dengan dia dan gantikan tempat kau pada wedding korang tak lama lagi? Well, I'm ready for that!"
"Jangan harap!" bentak Eirfan pantas. "Aku nak kau serah diri pada pihak berkuasa atas apa yang kau dah buat pada Ara"
"Not that soon!"
Ehsan tidak mahu mengaku kalah. Jika dia menyerah, bererti seluruh hidupnya hancur. Dia tak mahu kehilangan Natrah, maka jalan terbaik adalah dengan memilikinya secara paksa.
"Aku takkan serah diri atau mengaku pada pihak berkuasa. Yang aku nak, adalah wedding aku dengan Natrah. Biar aku bertanggungjawab dengan cara tu"
Eirfan menghela nafas dalam-dalam. Amarahnya semakin membara. Sudah puas dia bersabar. Namun tidak lagi sekarang. Jika Ehsan mahu berlawan, maka dia tidak akan sesekali tunduk lagi.
"Perkahwinan aku dengan Natrah akan tetap berlangsung tak kiralah apa pun yang dah berlaku. Apa yang kau dah buat pada Ara takkan sesekali mengubah perasaan dan kasih aku pada dia. Kau jangan bermimpi yang aku akan mengalah semudah tu!"
Tanpa membuang masa, Eirfan menyerang Ehsan dengan melayangkan kayu ke udara. Hampir mengena ke wajah Ehsan namun lelaki itu tampaknya lebih tangkas mengelak.
"Sial!!" dengus Ehsan kasar. Dia juga tak mahu menyerah kalah. Dengan kekuatan yang ada, dia menyerang Eirfan dan merampas kayu dari tangan lelaki itu. Tak semudah yang disangka apabila kayu yang ingin dirampas, sikit lagi mengena ke wajah Ehsan.
Akibat tersalah langkah, Ehsan jatuh ke tanah. Peluang itu diambil oleh Eirfan dengan segera. Tubuh Ehsan ditindih lalu dia melayangkan tumbukan bertalu-talu ke wajah tersebut.
"Stop it! Ehsan! Eirfan! Stop!!" jerit Datin Jenny. Dia sudah basah dek air mata. Perit rasanya melihat Ehsan seakan lemah di atas tanah.
"Ayah!" Datin Jenny menapak ke arah Tuan Kassim. "Please stop them!"
Tuan Kassim hanya membatu menyaksikan pergaduhan tersebut.
"Ayah!" panggil Datin Jenny lagi.
"Aku takde kuasa nak leraikan mereka. Apa yang Ehsan dah buat sangat memalukan aku dan keluarga ni! Biar Eirfan yang hukum dia!"
"Ayah, how could you?! Ehsan cucu ayah. Kalau apa-apa jadi pada dia, apa ayah akan buat?"
Laju saja Tuan Kassim menoleh memandang menantunya. Wajahnya serius saja.
"Eirfan pun cucu aku! Selama ni aku diam je bila korang anak beranak hina dan caci dia. Kali ni, aku tak nak dah berdiam diri. Apa pun yang Eirfan buat, aku sokong dia 100%! Dan kamu jangan risau. Sejahat-jahat Eirfan, dia takkan bunuh anak kesayangan kamu!"
"Ayahh..." Berderai air mata Datin Jenny dengan kata-kata Tuan Kassim itu. Hancur luluh hatinya apabila ayah mentuanya tidak mahu menyebelahi Ehsan.
Eirfan menumbuk wajah Ehsan tanpa belas. Wajah tersebut sudah lebam dek tumbukannya. Setelah berpuas hati dengan keadaan Ehsan , barulah dia melepaskan lelaki itu dengan keluhan panjang.
Dia berdiri berhadapan Ehsan yang terbaring lemah di atas tanah. Kayu digapai lalu diacukan ke wajah Ehsan.
Datin Jenny tersentak lantas berlari mendekati mereka berdua. Dia berlutut di hadapan Eirfan dan memegang kedua kakinya. Wajahnya sudah sembam dek air matanya.
"Eirfan. I merayu sangat dengan you. Jangan bunuh anak I. Cukuplah apa yang you dah buat pada dia. I mintak maaf atas apa yang dia dah buat pada you dan Natrah. I janji, Ehsan akan serah diri. I akan pastikan dia serah diri. Please, let him go!"
Melihat dan mendengar rayuan Datin Jenny, hati Eirfan terusik hebat. Betapa beruntungnya seorang lelaki bernama Ehsan kerana ada kasih sayang dari seorang ibu. Melihatkan wajah kasihan Datin Jenny dan betapa eratnya dia memegang kedua kakinya, Eirfan mencampakkan kayu tersebut jauh darinya.
"Aku lepaskan kau sebab mummy kau! Kau beruntung sebab ada dia yang masih support kau walaupun semua tak berani maju. Kau dengar sini Ehsan! Lepas ni, aku tak nak kau ganggu Ara lagi. Jangan pernah muncul depan dia lagi. Kalau tak..." Eirfan menoleh ke arah Datin Jenny lalu menyambung lagi...
"Kau tahulah nasib kau!" Pandangannya kembali terarah kepada Ehsan yang tercungap-cungap menarik nafas.
"And for you Datin" Dia memandang Datin Jenny kembali. "I hope you keep your words! If not, you know what I'm capable of!!" Eirfan mengugut.
Datin Jenny mengangguk-angguk kepala lalu mendapatkan Ehsan. Belas hatinya melihat keadaan Ehsan seperti itu. Dia membantu Ehsan untuk duduk.
Eirfan bergerak mendekati Tuan Kassim. Tangan tua itu digapai lalu dikucup perlahan.
"Atok. Maafkan Eirfan atas keriuhan yang Eirfan dah buat. Eirfan balik dulu. Please, make sure yang Ehsan tak lari lagi. Kalau tak, lebih dari ni Eirfan akan jadi gila!" ujar Eirfan lantas melepaskan tangan Tuan Kassim.
Sejurus selepas itu, dia berlalu pergi meninggalkan vila tersebut. Amarahnya sudah beransur reda dan dia akan pastikan Ehsan menerima hukuman yang setimpal. Jika tidak, ke lubang cacing pun dia akan cari lelaki itu!
Share this novel