KISAH 2 - DELIMA MERAH

Horror & Thriller Series 23829

Memang tak dinafikan, apabila aku terlalu letih, seringkali aku terlelap di stereng kereta. Aku tahu perkara tersebut berbahaya, namun, kadangkala aku merasakan bahawa aku tiada pilihan lain kecuali untuk memandu ke rumah saat selesai sahaja pekerjaan aku.

Petang itu sama seperti hari-hari yang lain. Saat orang lain mula pulang ke rumah, aku berseorangan sahaja tinggal di pejabat, menghabiskan sedikit lagi pekerjaan yang tertangguh sejak beberapa hari lepas.

Bukan aku terlalu obses akan pekerjaanku, tetapi aku berusaha untuk bekerja sedaya upaya supaya nanti orang atasan akan menaikkan gajiku. Manakan tidak, isteriku tidak bekerja, dan aku mempunyai 2 orang anak yang bersekolah. Semuanya memerlukan wang. Jam 9.45 malam, aku mengemas beg dan bersedia untuk pulang.

Aku terlalu letih, tetapi aku memaksa diriku untuk memandu pulang ke rumah. Bukan jauh mana, hanya 4 kilometer sahaja jaraknya, getus hatiku apabila fikiran aku tiba-tiba ibarat menyoal aku patutkah aku pulang memandu keretaku sendiri atau patutkan aku menempah GrabCar sahaja. Namun, apabila aku memikirkan jaraknya yang tidak jauh mana, aku membuat keputusan untuk memandu pulang.

Malam yang gelap serta hujan renyai menyebabkan penglihatan aku sedikit terganggu. Aku mula memecut saat tiba di sebatang jalan yang agak lengang dan lurus. Dalam hatiku, aku mahu cepat pulang, makan dan kemudiannya tidur. Aku membelokkan kereta ke satu persimpangan, kurang 2 kilometer sahaja untuk sampai di rumahku. Jalan lurus dan tiada lampu itu menyebabkan semuanya gelap. Aku menghidupkan lampu tinggi.

Aku mula menekan pedal minyak. Kenderaan berenjin 4 lejang itu menuruti kehendak aku yang ingin sampai rumah cepat. Pendingin hawa yang menghembus udara sejuk terus-menerus menyebabkan aku nak terlelap. Aku cuba memaksa untuk membuka mata. Cuma beberapa ratus meter sahaja lagi tinggal.

Aku rasakan keadaan sekeliling jadi gelap. Apabila aku membuka mata sahaja, sekilas mata memandang terlihat akan sebuah motosikal dan penunggangnya yang berjubah putih dan beserban. Aku tidak sempat mengelak, aku menekan brek kereta sekuat-kuat hati

"Bommmm!!", bunyi kenderaan aku melanggar motosikal itu.

Aku dapat lihat penunggangnya melambung dan tercampak di cermin hadapan keretaku. Kereta aku masih lagi gagal berhenti, dan aku dapat lihat sebatang pokok di sisi jalan semakin lama semakin dekat. Aku tidak boleh berbuat apa-apa. Aku memejam mata.

"Bang!", sekali lagi bunyi kuat yang membingitkan.

Gegaran yang sebegitu kuat menyebabkan airbag aku terbuka, menyerap momentum kepalaku dan menolak ke belakang semula dengan sebegitu kuat sehingakan aku tidak sedar. Kemudian, semuanya gelap gelita.

Bunyi siren ambulans mengejutkan aku. Aku tersedar dan kaki kananku terasa sangat sakit.

"Encik!. encik okay?", kata seorang anggota paramedik sambil menekan-nekan dadaku.

"Ya, ya, saya okay", jawabku.

"Kaki kanan encik ni patah, kita hantar ke hospital Muar ya", ujarnya lagi seraya memperkenalkan dirinya sebagai Luqman, seorang medical assistant.

Aku diangkat ke atas stretcher, mungkin pada saat itu, deruan adrenalin yang membuak-buak dalam darahku menyekat segala kesakitan yang aku alami. Tiba-tiba sahaja aku teringatkan penunggang motosikal itu tadi. Aku cuba nak duduk taktala MA tersebut meletakkan topeng oksigen kepadaku. Tujuanku adalah untuk menjengah di balik pintu belakang ambulans yang terbuka itu.

Aku terkejut apabila di sisi MA tersebut, ada sebuah kerusi, dan seorang lelaki beserban duduk di situ sambil senyum terhadapku. Aku dapat lihat bahagian mukanya, dan badannya berdarah. Jubah putih dan serbannya juga dipenuhi darah. Ya, sudah tentu dialah mangsa kemalangan tadi.

"P...Pakcik, pakcik tak apa-apa?", aku bertanya

"Tenang... tenang, anak ni nama siapa?", tanya dia.

"Nama saya Firdaus, pakcik nama apa?", aku mula bertanya. Dalam hatiku sedikit lega, kerana sekurang-kurangnya, orang yang aku langgar itu masih hidup, dan masih boleh berkata-kata.

"Ibrahim. Anak rehat ya, jangan risaukan keadaan pakcik, pakcik okay. Anak kena rehat, teruk tu patah kaki", jawabnya sambil tersenyum.

"Saya minta maaf pakcik, saya terlelap tadi, lagipun jalan tu gelap, tak sempat nak elak motosikal pakcik", jawabku, menerangkan dan mengaku bahawa kemalangan ini adalah salah aku sendiri.

"Tidak mengapa, yang penting kita dapatkan rawatan dulu ya. Mungkin awak bekerja terlalu berat dan penat sampai terlelap memandu", katanya.

Setibanya aku di hospital, aku diturunkan di atas stretcher dan terus ditolak ke zon merah. Beberapa minit kemudian, selepas mereka mencucuk kedua-dua belah tanganku, dan diberikan air, mereka menolak aku ke bilik Computed Tomography Scan (CT Scan) pula.

Aku dibaringkan di atas katil, sambil menunggu rawatan yang hendak diberikan. Aku dapat lihat Pakcik Ibrahim yang tadinya berada di dalam ambulans, turut turun berjalan menuju ke zon kuning.

"Encik Firdaus, kami dapati ada pendarahan sedikit di bahagian otak encik, jadi kami perlu dapatkan kebenaran untuk melakukan pembedahan", kata seorang pegawai perubatan terhadapku.

"Bedah otak ya? Kalau tak bedah jadi macamana?", aku bertanya.

"Kita takut pendarahan makin teruk, jadi saya sarankan untuk encik bersetuju dengan pembedahan ini", katanya lagi.

"Tak bolehkah menunggu isteri saya datang terlebih dahulu, kemudian baru operate?", tanyaku.

"Bukan apa encik, kita takut pendarahan tu semakin lama semakin teruk, jadi lagi awal kita bedah, lagi tinggi peluang untuk encik sembuh tanpa apa-apa komplikasi", terang doktor tersebut.

Aku mengambil borang kebenaran pembedahan yang dihulur tadi, serta menandatanganinya. Walaupun aku ada pendarahan dalam otak, Alhamdulillah sewaktu itu, aku masih lagi boleh berfikir dan bergerak.
Aku ditolak ke wad pembedahan. Seorang doktor pakar bius memberikan aku sejenis gas yang mengalir di dalam topeng oksigenku, serta menyucuk ubat-ubatan melalui jarum yang tertusuk di tanganku.

Segala-galanya jadi gelap.

Apabila aku tersedar, aku dapati Pakcik Ibrahim berada di sisi katilku. Dia terlihat aku seraya memberi salam.

"Esok esok anak boleh balik hospital, bolehlah berkunjung ke rumah pakcik", katanya memperlawa aku.

"Baik sungguh hatinya", aku terfikir hatiku. Walhal aku baru sahaja melanggarnya akibat kecuaian aku.

Setelah aku berjaya sembuh, aku ke rumah Pakcik Ibrahim yang terletak hanya beberapa ratus meter sahaja daripada rumahku. Rumahnya terletak di belakang surau, dan aku baru sedar bahawa dia merupakan imam di surau tersebut.

Rumahnya tersergam indah di balik suaru yang bewarna biru itu. Di belakangnya terdapat berekar-ekar kebun buah delima. Sedikit pelik kerana kulit buah delimanya bewarna merah terang, tidak seperti buah delima yang terdapat di tempat lain.

Apabila aku tiba dan masuk ke dalam rumahnya, dia memperlawa aku secawan teh, beserta buah-buahan dari kebunnya. Betapa manis dan enaknya buah tersebut. Tak pernah aku merasai kemanisan sebegitu. Sambil makan, dia berkata kepadaku,

"Anak, lepas ini jangan terlalu pentingkan pekerjaan sangat sehingga tiada masa untuk keluarga. Kerja di pejabat itu memang tidak akan selesai tak kira macam mana banyak pun masa kita habiskan", katanya menasihati aku.

Aku akur, memang aku sedikit obses terhadap pekerjaanku. Hubungan kekeluargaan antara aku dan isteriku juga semakin renggang. Aku mengangguk sahaja mendengar Pakcik Ibrahim bercakap.

Banyak nasihat diberikan, salah satunya adalah untuk berjemaah di surau. Masakan tidak, surau yang terletak berhampiran rumahku ini tidak pernah aku jejaki. Aku terlalu sibuk mengejar duniawi, sehingga amal ibadatku tunggang terbalik.

Setelah makan dan minum, aku meminta kebenaran untuk pulang. Pakcik Ibrahim membungkuskan aku beberapa biji buah delima daripada kebunnya yang dimasukkan ke dalam satu beg kain bewarna hijau. Aku mengucapkan terima kasih dan meminta maaf sekali lagi atas perbuatanku yang cuai.

Dia juga memesan supaya nanti, aku kongsikan buah tersebut buat isteri dan dua anakku. Katanya, buah tersebut mengandungi pelbagai khasiat, dan boleh membantu aku untuk sembuh.

Aku bertekad untuk sekurang-kurangnya, walau sesibuk mana sekalipun, aku perlu solat berjemaah. Aku menetapkan sekurang-kurangnya 2 kali sehari untuk solat jemaah, dan aku juga bertekad untuk pulang kerja seawal mungkin supaya aku boleh menghabiskan masa bersama keluargaku.

Aku melangkah keluar, dan terlihat akan seorang perempuan tua yang bongkok sedang sibuk membersihkan rumahnya. Dia tersenyum melihatku. Aku senyum kembali. Aku melangakah ke arah keretaku.

"Firdaus...", satu suara menerjah daripada belakangku.

Aku menoleh. Aku tak semena-mena terlihat puluhan manusia di situ. Bukan manusia yang hidup seperti biasa, tetapi lebih kepada mayat!

Ada yang berulat, ada yang sudah mulai reput. Lebih mengerikan apabila ada yang memakai kain kafan serta mengesot-ngesot ke arahku. Mereka semua ingin menerjah dan menerpa ke arahku.

Bau busuk, serta langau dan ulat berenga mula menguit-nguit di tubuh mereka. Aku memandang ke arah rumah pakcik Ibrahim, rumahnya tiada lagi di situ, sebaliknya hanyalah tanah merah dan kawasan perkuburan. Mayat tersebut menerpa ke arahku. Semakin lama semakin hampir mereka mengerumuni tubuhku.

Aku terkaku, tidak boleh membuat apa-apa. Mereka menghimpit-himpit tubuhku. Tangan-tangan mereka bersama kuku yang reput serta bertanah itu mengguris badanku, mukaku dan belakangku. Dadaku berasa sungguh sakit, ibarat ditekan-tekan. Aku berteriak meminta pertolongan.

"Ya Allah, tolong aku!!"

"Abang! Abang, bangunlah!", tiba-tiba sahaja suara isteriku muncul.

Tiba-tiba aku terasa genggaman erat di tangan kananku. Aku tersedar di dunia yang nyata. Aku membuka mata, melihatkan keadaan sekeliling. Isteriku memegang tanganku dengan erat.

"Ya Allah! Abang", kata isteriku sambil memeluk tubuhku.

Aku masih bingung. Aku terlihat 2 orang jururawat beserta seorang doktor, dan troli kecemasan berada di sisi katilku. Dadaku terasa sakit. Doktor tersebut menghampiriku sambil menyuluh anak mataku. Otak aku sudah mula dapat memproses bahawa aku sedang berada di hospital.

Pelbagai soalan di tanya oleh doktor kepadaku. Masa, tempat, siapa adalah siapa dan adakah aku masih lagi sakit atau tidak. Setelah semua beredar saat aku nampak stabil, isteriku yang tadinya tersedu-sedu, kini menangis teresak-esak.

"Kenapa ni sayang?", aku bertanya.

"Tadi abang dah flatline, mereka semua buat CPR, nasib baik abang okay dan dah sedar balik", katanya.

Aku memeluk kembali tubuh isteriku. Kaki kananku sakit. Tiba-tiba sahaja terlintas mengenai Pakcik Ibrahim. Segera aku bertanya kepada isteriku,

"Macamana dengan pesakit yang abang langgar tu? ", tanyaku

"Eh, abang tahu tak pesakit tu sebenarnya...", belum sempat isteriku habis bercakap, aku memotong.

"Ya, Pakcik Ibrahim, imam surau Al-Rahman tu kan?", kataku membuatkan isteriku bingung.

"Macam mana abang boleh tahu dia siapa?", jawab isteriku dengan satu persoalan yang lain.

"Lepas kemalangan, dia teman abang sepanjang perjalanan dari tempat accident tu ke hospital. Banyak juga kami bersembang. Abang nak tahu juga keadaanya", aku berkata.

"Apa abang merepek ni, Pakcik Ibrahim mati di tempat kejadian selepas kemalangan! Terputus dua badan dia. Mana ada dia naik ambulans sekali. Masa saya dapat tahu, saya ke sana, tengok ambulans yang bawa abang tu dah pergi, dan mayat arwah masih berada di atas jalan raya. Cebisan-cebisan mayatnya orang ramai tutup dengan surat khabar!", jawab isteriku.

Aku menjadi semakin bingung. Mata aku terpaku pada objek di atas cardiac table aku, iaitu satu beg kain yang bewarna hijau dan sedikit terbuka, menampakkan isinya iaitu beberapa biji buah delima yang mempunyai kulit bewarna merah terang.

TAMAT

Share this novel

sandra
2020-08-13 15:24:44 

Japp.. Jadi buah delima tu memang ada??? Macam mane? I need explanation


NovelPlus Premium

The best ads free experience