Bab 3:Bisikan Bayangan

Mystery Series 181

Haris terbangun lagi dari mimpi yang sama, kali ini wajah lelaki itu sudah sedikit jelas. Namun, entah mengapa, ia tetap sukar dihafal. Seperti bayangan yang hampir nyata tetapi masih kabur di tepi memori. Haris mengeluh, mengusap wajahnya dengan kedua tangannya. Jam menunjukkan sudah hampir tengah hari, tetapi kepala Haris masih terasa berat, denyutan yang mengganggu seperti memukul-mukul pelipisnya. Dia berjalan ke sudut studio dan mengambil kanvas yang sudah ada garis coretan sebelum ini.Dia menambah sedikit lapisan warna cat asas. Dengan sisa ingatan yang ada, dia mulai melukis, cuba menangkap bayangan lelaki dari mimpinya.

Namun, sapuan pertama cat di kanvas saja sudah membuatnya semakin resah. Bisikan itu datang lagi, bergema di dalam kepala. "Lukis aku," suara itu berulang kali menyuruh. Haris berhenti sejenak, menutup mata, berusaha menghalau suara tersebut. Tapi ia tetap ada, seperti irama yang terus-terusan bermain di telinga.

Di tempat lain, Rina baru saja selesai kerja. Dia duduk di dalam keretanya, menghela nafas panjang sambil membuka telefon. Dengan pantas, dia menaip mesej kepada Haris.

"Haris, jumpa aku di kafe petang ni. Kita borak-borak, okay? Aku belanja." Tetapi setelah beberapa minit, mesej itu hanya menunjukkan tanda biru. Haris telah membacanya, tetapi tidak membalas.

"Haris ni, kadang buat aku rasa macam cakap dengan dinding," gumam Rina sambil menggeleng. Tak berputus asa, dia membuka kontak Fahri. Mesej segera dihantar.

"Fahri, jom kita ke rumah Haris. Aku rasa dia perlukan kita."

Tak lama kemudian, Fahri membalas. "Okey, aku datang ambil kau sekarang. Tapi jangan lupa belikan aku kopi, ya? Aku tengah low energy ni."

Rina tersenyum tipis membaca mesej itu. Fahri memang selalu tahu cara untuk menghidupkan suasana.

Tidak lama kemudian, mereka tiba di studio Haris. Seperti biasa, pintu tidak berkunci. Mereka masuk dan mendapati Haris sedang termenung di depan kanvas yang penuh dengan coretan warna gelap.

"Oi, bro," sapa Fahri sambil menjatuhkan badannya ke sofa yang terletak di sudut bilik. "Kau lukis apa ni? Lukisan atau peta harta karun zaman dinosaur?"

Haris hanya menjeling Fahri tanpa berkata apa-apa. Dia terlalu tenggelam dalam fikirannya sendiri. Fahri, bagaimanapun, tidak menyerah. Dia bangkit dan mendekati kanvas.

"Haris, aku betul-betul kena tanya ni. Kau pasti lelaki dalam mimpi kau ni manusia? Bukan... makhluk lain? Kau tahu, macam alien ke, pontianak ke, atau... Doraemon versi gelap?"

Rina, yang berdiri di tepi pintu, ketawa kecil mendengar celoteh Fahri. Dia kemudian menyampuk, "Atau mungkin makhluk dari dimensi lain? Fahri, jangan tambah takut dia lah."

Fahri mengangkat bahu. "Aku cuma cuba nak tolong dia fikir. Kadang-kadang masalah ni lebih mudah kalau kita anggap benda kelakar. Contohnya, mimpi tu sebenarnya pesan untuk Haris supaya dia pergi bercuti. Mungkin lelaki tu nak ajak kau melancong, Haris. Destinasi pilihan? Pulau paling dekat yang ada spa dan makanannya sedap."

Haris akhirnya bersuara, meski suaranya lemah. "Kalau kau tak ada idea yang membantu, kau diam saja, Fahri. Kepala aku dah cukup sakit dengan bisikan ni, tambah lagi kau."

Fahri menepuk bahu Haris dengan lembut, masih tersenyum. "Relax, bro. Aku cuma nak lighten the mood. Tapi serius lah, kau kena ceritakan apa yang kau rasa. Jangan simpan sorang-sorang."

Haris menghela nafas panjang, menatap kanvas dengan mata yang sayu. "Aku rasa... lelaki dalam mimpi tu macam hidup. Tapi dia bukan hidup dalam dunia nyata, faham tak? Aku macam... macam jadi penghubung dia dengan sesuatu. Aku tak tahu apa. Tapi aku rasa aku kena siapkan lukisan ni. Kalau tak, kepala aku tak akan berhenti sakit."

"Ohhh," Fahri mengangguk-angguk dengan wajah serius yang dibuat-buat. "Maksud kau, lelaki tu macam watak dalam anime yang terperangkap dalam dunia lukisan? Haris, kau confirm tak tengok cerita macam tu sebelum tidur? Kalau kau tengok, patutlah kau mimpi."

Rina ketawa terbahak-bahak, sementara Haris hanya memandang Fahri dengan ekspresi datar.

"Fahri, kalau aku pukul kau guna kanvas ni, kau rasa boleh hilang tak bisikan dalam kepala aku?" sindir Haris akhirnya.

"Cuba dulu," balas Fahri sambil mengangkat kedua tangannya, berpura-pura ketakutan. "Tapi aku rasa kalau kau pukul aku, suara dalam kepala kau akan marah sebab kau alihkan fokus."

"Dia ni memang tak pernah serius," keluh Haris sambil menggeleng, namun ada sedikit senyuman di wajahnya. Fahri memang begitu, selalu punya cara untuk mencairkan suasana, walaupun situasinya berat sekalipun.

Rina, sambil memandang kedua sahabat itu, menyedari bahawa meski Fahri banyak bercanda, dia sebenarnya membantu mengurangkan tekanan Haris. "Haris, aku setuju dengan Fahri kali ni. Kau tak perlu simpan semua benda ni sorang. Kami ada untuk tolong. Kalau kau perlu masa, tak apa, tapi jangan biar benda ni makan kau hidup-hidup."

Haris menunduk, merasa sedikit tersentuh dengan keprihatinan mereka. Namun, sebelum dia sempat menjawab, Fahri sekali lagi menyelitkan komedinya.

"Kau tahu apa yang kita patut buat? Kita buat sesi terapi. Rina jadi moderator, aku jadi pelawak, dan Haris jadi client pertama. Aku rasa terapi macam ni boleh buat bisikan dalam kepala dia surrender terus."

"Fahri!" Rina memandangnya dengan ekspresi separuh serius, separuh ketawa. "Beri dia ruang, boleh tak?"

"Baiklah, baiklah," Fahri mengangkat tangannya menyerah. "Aku diam. Tapi serius, Haris, kalau kau perlukan apa-apa, kau tahu aku ada."

Haris hanya mengangguk perlahan, tak mampu berkata banyak. Kepalanya masih berdenyut, dan fikirannya masih terganggu oleh suara yang tak henti-henti memanggilnya kembali ke kanvas.

Sementara itu, di satu lokasi lain, suasana berubah menjadi tegang. Dua lelaki bertemu di lorong yang gelap. Salah seorang mengenakan topi, kaca mata hitam, dan pelitup muka. Lelaki satu lagi mengenakan hoodie hitam yang menutupi hampir seluruh wajahnya. Mereka bertukar barang, satu beg kecil diberikan kepada lelaki bertopi, sementara lelaki berhoodie menyerahkan sebuah peti.

"Jangan sampai ada yang tahu," lelaki bertopi berbisik perlahan, suaranya serak dan dingin.

Lelaki bertopi mengangguk, senyumnya tersembunyi di balik pelitup muka. Setelah lelaki berhoodie pergi, dia membuka sedikit peti itu. Kilauan wang yang menumpuk di dalamnya membuat matanya bersinar licik. "Sampai bila pun ini semua tak akan ada pengakhirannya.Memang polis kat negara ni bodoh.." gumamnya sebelum menutup peti itu kembali.

Kembali di studio Haris, Rina dan Fahri memutuskan untuk membiarkan Haris berehat. Sebelum pergi, Fahri sempat berkata, "Haris, kalau mimpi kau tu semakin pelik, cuba minta dia kasi hint macam teka silang kata. Mana tahu senang nak selesaikan misteri ni."

Haris hanya menggeleng kepala, setengah kesal, setengah terhibur. Fahri memang selalu begitu, menjadikan segala hal sedikit lebih ringan, meski kadang-kadang terasa tidak pada tempatnya. Namun, malam itu, saat Haris kembali ke kanvasnya, dia merasakan sesuatu yang berbeza. Bisikan itu semakin kuat, dan wajah lelaki dalam mimpinya terasa semakin dekat, seperti sedang memerhatikannya dari balik kanvas.

Haris tahu, ada sesuatu yang besar sedang menantinya. Dan dia harus bersedia, apa pun risikonya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience