PINTU bilik diketuk dua kali sebelum dia tolak perlahan-lahan daun pintu itu. Terlihat Lokman yang siap berkaca mata sedang ligat jari-jemarinya menaip di laptop.
"Boleh ibu masuk?"
"Eh, ibu. Masuklah. Ni kan rumah ibu. Buat apa nak mintak izin Lokman pulak."
Mak Cik Zainab lalu melabuhkan punggungnya di atas katil bujang milik anak terunanya itu. Dia hanya tatap sahaja anaknya yang masih sibuk dengan kerja-kerjanya.
"Yelah. Tapi ni kan bilik kamu. Privasi kamu," ujar Mak Cik Zainab.
Lokman hanya tersenyum dan angguk perlahan. Tetapi lain pula dengan Mak Cik Zainab. Dia hanya pancarkan riak wajah yang penuh kerisauan dari tadi.
"Ibu masuk bilik Lokman nak buat apa, bu? Nak bincang sesuatu ke?"
Macam tahu-tahu aje Lokman ni. Memang ada benda yang ingin dibincangkan pun antara dirinya dengan ibunya tu. Kalau tak, tak adanya ibunya tu masuk ke dalam bilik tanpa sebab.
"Ya. Ibu ada benda nak tanya sikit," jawab Mak Cik Zainab.
Lokman pantas menghentikan tugasnya. Pandangannya kini tepat terarah ke wajah ibunda tercinta.
"Benda apa tu, ibu?" Semakin fokus Lokman dengan nada dan wajah seriusnya.
Mak Cik Zainab hela nafas. "Lepas kamu putus dengan budak Pahang tu, kamu memang dah tak jumpak pengganti dah ke?"
Lokman buang pandangan ke arah lain. Soalan yang agak terus-terang dari ibunya itu pasti membuatnya sedikit tersentak.
"Ni mesti ibu nak cakap pasal kahwin, kan?" Lokman terus menyambung kembali tugasnya yang terjeda. Berpura-pura sibuk.
"Lokman, ibu tahu kamu tak suka cakap pasal ni. Tapi sampai bila kamu nak mengelak? Umur kamu dah nak dekat 30 tau. Bukannya muda lagi."
"Lokman bukannya tak suka cakap pasal kahwin, ibu. Tapi Lokman anggap yang diri Lokman ni tak ada rezeki lagi dalam jodoh," balas Lokman.
Putus cinta berkali-kali memang memeritkan. Kadang terasa takut dan malas pulak mahu memulakan hubungan yang baru kerana tak sanggup kecundang lagi sekali. Itulah apa yang Lokman rasakan sekarang ini.
"Ibu faham. Kamu masih mencari bakal isteri yang sesuai untuk kamu. Kamu putus dengan Dayana tu pun sebab ibu, kan? Sebab kamu risau ibu tinggal seorang kat sini?"
Lokman tertunduk "Hmm ..."
Mak Cik Zainab telan liur. Agak gementar jugalah nak beritahu perkara sebenar dengan anaknya ini.
"Ka ... kalau mak jodohkan kamu dengan anak Mak Cik Siti tu, kamu okey tak?"
Mata Lokman terbuntang luas. Dia kenal sangat dengan gerangan Mak Cik Siti dan anak-anaknya tu. Sangat kenal dan disebabkan itulah dia agak terkejut.
"Ibu! Mak Cik Siti tu kan kawan baik ibu. Takkanlah ..."
Belum sempat Lokman habiskan ayat, ibunya memotong, "Tadi Mak Cik Siti datang rumah. Dia yang suruh ibu tanyakan benda ni kat kamu. Sebenarnya, ibu tak kisah kamu nak pilih perempuan mana pun, sebab tu pilihan kamu. Mak Cik Siti siap nak jodohkan lagi kamu dengan anak dia. Sebab tu jugaklah ibu dah tak kisah sangat nak berbesan dengan kawan baik sendiri," pangkas Mak Cik Zainab.
Laju Lokman menggelengkan kepala. "Tak naklah, bu. Ibu bagitahu je la yang Lokman tolak lamaran Mak Cik Siti untuk anak dia. Lagipun Lokman bukannya suka Nadia tu."
Mak Cik Zainab membetulkan posisi duduknya. Nadia? Sejak bila pulak dia cakap pasal gadis seorang tu?
"Bukan dengan Nadialah. Tapi Damia, adik dia."
Mata Lokman terus tertancap tepat pada wajah ibunya. Agak tak dijangka juga dia bakal dijodohkan dengan gadis itu. Seriuslah? Dengan Damia?
Damia Qistina. Entah mengapa, apabila dia dengar sahaja nama itu, membuatkan diri Lokman teringat akan masa kanak-kanak dan remaja antaranya dan Damia.
Dulu mereka memang rapat, biarpun mereka bukan satu sekolah. Saling mengenal hanya kerana ibu masing-masing berkawan baik.
"Tapi kenapa, bu? Kenapa tiba-tiba je ni?" tanya Lokman.
"Entahlah. Ibu tak tahu jawapan dia. Mak Cik Siti pun tiba-tiba je nak kahwinkan Damia tu dengan kamu. Tapi sebenarnya, ibu okey je dengan Damia tu sebab ibu tahu dia budak baik. Dia pun tinggal dekat je dengan kita. Tapi entahlah apa jawapan kamu," ujar Mak Cik Zainab.
Lokman masih tak bereaksi. Termenung kerana teringatkan Damia. Apabila dia imbas sahaja perangai Damia yang dia kenal itu, hatinya umpama digetarkan oleh susuk ceria dan senyuman manis dari gadis itu.
"Ibu bukannya nak memaksa kamu. Tapi ibu nak sangat anak sulung ibu ni dapat pasangan hidup dengan pilihan sendiri. Sebab tu ibu beri kamu pilihan nak tolak atau terima."
Lokman telan liurnya. Kata-kata ibunya seperti cuba meluahkan sinar harapan dari riak wajah dan nada bicaranya.
"Jadi, apa keputusan kamu?" Mak Cik Zainab sambung bertanya.
Lokman masih diam. Tak tahu mahu beri jawapan apa kerana perkara ini seperti cepat sahaja melintas di layar fikiran.
Terima atau tolak? Ya atau tidak?
*****
Hari Sabtu yang dinanti tiba. Damia sudah bersiap-siap dengan cantik dan bergayanya sebelum tetamu istimewa yang dinantinya akan datang sebentar lagi.
Memang tak sabarlah dia tu. Tengok senyuman meleret tu pun dah tahu.
"Mak, Syafiq kata dia dah on the way datang sini. Angah tunggu kat luar dulu tau," umum Damia teruja.
"Ha, yelah." Mak Siti terus berikan jelingan tajam ketika Damia sudah bergegas menunggu di luar rumah.
"Ceh! Nak tunggu penjual sate tu datang, macam nak tunggu anak raja datang meminang. Terhegeh-hegeh," kecam Nadia lalu dia labuhkan punggungnya di sebelah Mak Siti.
Mak Siti masih memasang muka jengkel dengan perangai Damia. Panas pulak hati tengom Damia tu tergedik-gedik dengan kehadiran lelaki tu.
Eii ... kamu tunggu, angah. Lepas ni, mak akan buat kamu dengan laki tu takkan berjumpa dah. Desis hati Mak Siti.
Damia tempatkan duduknya di atas kerusi plastik. Telefon masih tak lepas dari tangan.
Tak sampai lima minit, gerangan yang dinanti terlihat masuk ke pekarangan rumah dengan motosikalnya. Terus dia turun dari motosikal dan mendekati Damia.
"Awak! Sampai pun. Ingat awak dah tak ingat jalan rumah saya ni," ujar Damia yang mengukir senyum lebar.
"Rumah awak mana boleh saya lupa," seloroh Syafiq.
Damia hanya menampar perlahan lengan Syafiq itu. Mengada ya kau.
Mak Siti yang terdengar kekecohan dari luar itu terus tercegat di muka pintu masuk tu. Patutlah bising, gerangan yang 'ditunggu' dah sampai rupanya.
Tatkala tawa dari mereka berdua memudar, Damia menoleh dan memandang ibunya yang tercegat macam puan besar tu. Damia lalu mengajak Syafiq untuk memperkenalkan dirinya.
"Mak, ni la Syafiq tu. Kawan angah."
"Assalamualaikum, mak cik. Saya Syafiq. Mak cik sihat?" Syafiq tunduk dan hulurkan kedua belah tangannya untuk bersalam, tetapi hampa. Mak Siti tidak membalas pun jabat tangan dari lelaki itu.
Mata Mak Siti ditumpu pada motosikal yang diparkir Syafiq di pekarangan rumah. Motor EX5 buruk. Persis seperti yang diperkatakan Mak Cik Zakiah tu. Malah lagi buruk daripada yang digambarkan fikirannya selama ni.
Damia dan Syafiq memandang motosikal di belakang mereka. Tersedar apa yang diperhatikan Mak Siti dari tadi.
Hati Damia terasa sangsi. Takkanlah ibunya ni nak buat perangai? Padahal dia sendiri yang suruh jemput Syafiq ni datang rumah.
"Mak! Syafiq tanya tu." Damia terus menegur ibunya yang masih buat tak endah.
"Tu motor kau ke?" tanya Mak Siti kepada Syafiq tanpa menghiraukan Damia.
"Ya, mak cik." Perlahan-lahan Syafiq turunkan kedua tangannya. Niatnya untuk bersalam terus luntur.
Mak Siti terus jongketkan sebelah kening. Kelakuan seperti mengejek.
"Kalau motor macam tu, baik kau datang jalan kaki je," gumam Mak Siti lalu dia terus masuk ke dalam rumah. Berjalan dengan penuh gaya dan angkuhnya.
Kesabaran Damia terhadap sikap ibunya hampir meletus. Tapi dia tahan jua kerana Syafiq masih di sisinya. Tak naklah tetamu datang ke rumah hanya untuk lihat pertengkaran dia dengan ibunya tu.
Sabar dulu, Damia.
"Awak, jomlah masuk. Jangan hiraukanlah apa yang mak saya cakap tu." Damia kuatkan dirinya.
Syafiq hanya mengangguk. Turut dia lemparkan senyum biarpun penuh kelat. Awal pertemuan dengan ibu Damia sudah dimulakan dengan cemuhan. Hati siapa tak sakit?
Mereka berdua masuk ke dalam rumah. Ruang tamu hanya biasa-biasa sahaja. Tak sempit dan tak luas tetapi bersih dan kemas.
Mak Siti dan Nadia sudah tempatkan duduk mereka di atas sofa. Masing-masing memasang muka sinis dan bengis. Tanpa segaris pun lorekan senyuman.
"Handsome jugak kawan angah ni." Sempat lagi Nadia bergosip.
Perempuan mana boleh menipu. Nampak yang elok sikit, nanti mulalah nak cair, menggatal bagai.
"Handsome je. Tapi puih! Miskin. Tak ingin aku," balas Mak Siti pula dengan nada bisik. Ekspresi muka mengalahkan mak tiri Cinderella pulak.
Nadia segera tersedar bagai dihempas tinggi dari langit. Betul jugak apa yang dikatakan ibunya. Prinsip mereka iaitu fokus kepada harta, bukan rupa semata-mata. Kalau dapat sekali yang ada rupa, dikira bonuslah tu.
Dan Syafiq ni, rupa ada tapi harta tak ada. So, rejected!
"Awak duduklah," pelawa Damia lalu dia duduk di atas sofa yang kini menghadap ibu dan kakaknya. Hanya sebuah meja kecil yang memisahkan mereka.
Syafiq tanpa bicara hanya turuti sahaja kata Damia. Dia kini duduk bersebelahan gadis itu dan betul-betul berdepan Mak Siti dan Nadia.
Tiba-tiba Damia berasa resah. Kenapalah dia percaya dengan ajakan ibunya. Dirinya sangka ibunya benar-benar berubah dan mampu terima Syafiq seadanya tapi rupa-rupanya, ibunya hanya mahu tunjuk belang.
"Pergi ambil air yang kamu bancuh kat dapur tu, angah. Biar mak dengan kak long kamu je kat sini." Mak Siti memberi perintah. Adalah tu benda yang nak dia buat kat Syafiq tu.
"Tapi mak ..."
Damia mahu menolak tetapi ibunya tetap berkeras menyuruh dia pergi ke dapur. Damia sebenarnya tahu sangat dengan niat ibu dan kakaknya itu. Pasti dia orang tu nak menghina Syafiq habis-habisan lagi.
"Pergi cepat! Nak mak halau kawan kamu ni ke?" ugut Mak Siti.
Damia lihat sekilas wajah Syafiq. Syafiq hanya mengangguk kepalanya tanda agar Damia tidak melawan.
Damia tanpa pilihan terpaksa turuti perintah ibunya. Akur. Dia buat begitu pun kerana Syafiq.
Tatkala kelibat Damia sudah menghilang pergi, Mak Siti mulakan ulahnya.
"Kau memang kerja jual sate je ke? Dari dulu?" Soalan pertama Mak Siti diajukan yang sememangnya tak bertapis langsung.
Mujurlah Syafiq tetap sabar biarpun dia tahu, soalan itu satu bentuk untuk menghina keadaan dirinya.
"Ya, mak cik. Lepas mak ayah saya meninggal lapan tahun lepas, saya meniaga sate sendiri. Lepas saya habis SPM je, memang saya jadi ketua keluarga untuk sara adik saya," jawab Syafiq.
"Ala, kesiannya. Mesti susah, kan?" Mak Siti sengaja meleretkan nada bicara. Nak menyindir.
"Tak ada apalah, mak cik. Saya dah biasa."
"Ha, tadi kau kata habis SPM, kan? Kau belajar takat SPM je ke?" Soalan pedas Mak Siti diajukan lagi.
Syafiq hanya menjawab dengan mengangguk. Entahlah, tiba-tiba terasa berat mahu keluarkan suara.
"Lah! SPM je? Tapi kau tahu tak Damia tu belajar sampai tahap apa? Dia sampai STPM. Dan kakak dia kat sebelah aku ni pulak, tahap diploma," ujar Mak Siti lagi. Perkataan 'STPM' dan 'diploma' tu dia sengaja ditekankan.
Nadia yang dipuji tayang muka bangga. Sengaja mahu jengkelkan Syafiq.
"Ya. Saya tahu tu mak cik. Damia dah pernah cerita kat saya." Syafiq senyum paksa.
"Baguslah kalau tahu. Sedar sikit diri tu," sindir Mak Siti.
"Mak!" Tiba-tiba suara Damia menerjah.
Dia dah terdengar kata-kata pedas ibunya. Tahu sangat mulut ibunya itu macam mana.
Damia yang sedang menatang dulang berisi jag air terus letakkan dulang tersebut di atas meja. Lalu dia segera duduk di sebelah Syafiq yang masih kelihatan terkejut.
"Awak, mak saya ada cakap apa-apa ke kat awak?" tanya Damia kepada Syafiq.
"Ala, kamu ni. Mak tanya pasal background dia je. Bukannya cakap apa pun," dalih Mak Siti.
"Tipu. Mak tipu!" Damia semakin berang tetapi Syafiq di sebelahnya segera menenangkannya.
Damia bertenang semula setelah dihalang Syafiq. Nafas ditarik dan dihembus perlahan. Syafiq lalu menggeleng kepala tanda agar Damia tidak buat hal dengan ibunya.
"Mak awak tak cakap apa-apa pun kat saya. Betullah tadi dia tanya pasal saya je."
Mak Siti dan Nadia sudah julingkan mata. Meluat pulak tengok drama depan mata dia orang tu.
Damia hela nafas. Dia pejamkan mata seketika. Dia tahu Syafiq menipu kerana tak mahu memperkeruhkan keadaan tapi kenapa? Kenapa dia terlalu baik?
"Dah, jom kita makan. Air dah sampai, kan?" Mak Siti menyampuk. "Along, pergi ambik biskut kat atas meja tu. Kita bagi tetamu 'terhormat' kita makan," sambung Mak Siti dan sengaja dia lirikkan matanya ke arah Syafiq apabila perkataan 'terhormat' itu disebut.
"Okey, mak!" sahut Nadia lalu kakinya berjalan menuju ke meja makan. Tin biskut dia ambil dan diletakkan di atas meja kecil di ruang tamu di antara mereka berempat tu.
Mata Damia membulat luas apabila dia lihat satu tin biskut kering itu dihidangkan. Bukannya salah apabila tetamu diberi biskut kering tetapi Syafiq adalah tetamu yang dijemput ibunya sendiri. Sekurang-kurangnya bagilah makanan yang mengenyangkan sedikit.
"Mak! Takkanlah nak bagi biskut kering je kat Syafiq? Mak kata mak beli lauk kan tadi?"
"Mak tadi memang nak beli lauk tadi tapi bila terfikir balik, macam membazir pulak. Yelah, Syafiq sorang je yang datang rumah bukannya satu keluarga dia pun," jawab Mak Siti selamba. Memang tak fikir langsung tentang perasaan orang lain.
"Tapi mak dah janji tadi!" Damia meninggi suara.
"Sejak bila mak janji? Mak hanya cakap je nak beli lauk bukannya nak beli betul pun. Lagipun takkanlah Syafiq ni tak makan biskut kering kut. Syafiq makan, kan?"
Syafiq angguk kepalanya. "Saya makan je, mak cik."
Nafas Damia turun naik. Ini dah keterlaluan. Ibu dan kakaknya memang benar-benar menjemput Syafiq untuk membulinya habis-habisan.
Syafiq lalu buka tin biskut tersebut. Sekeping biskut berbentuk segi empat sama itu dia patahkan menjadi dua. Satu bahagian biskut dia cecah ke dalam air teh yang dibancuh Damia tadi dan dia makan sahaja biskut itu. Sekurang-kurangnya, biskut itu masih sedap dan rangup dimakan.
"Ha ... tengok. Syafiq ni makan je bukannya tak. Kamu ni tak payah risaulah, angah. Biskut murah macam tu mestilah dia selalu makan. Kan, Syafiq?" Mak Siti bertingkah lagi.
Kunyahan dalam mulut Syafiq diperlahankan. Hinaan demi hinaan yang dihamburkan Mak Siti membuatkan hatinya terguris. Syafiq hanya mampu mengiyakan biarpun wanita tua di depannya tu benar-benar melampau.
"Mak! Mak ni kenapa kejam sangat? Mak tak serik lagi nak sakitkan hati Syafiq?"
"Hoi, angah! Kalau kamu nak bentak-bentak mak macam ni lagi, kawan kamu ni mak halau dari rumah ni sekali dengan kamu jugak. Nak ke?" bidas Mak Siti pula. Kuasa ugutan dia gunakan.
Damia tak mampu berkata-kata. Biarpun dia benci dan ingkar akan ibunya, perkataan 'halau' atau 'tak mengaku anak' tu membuatnya kalah. Dia jadi kerdil untuk melawan.
"Jadi kamu jangan nak menyampuk perbualan mak dengan Syafiq ni. Faham?" sambung Mak Siti.
Damia telan liur dan tertunduk. Syafiq di sebelahnya sudah semestinya tidak mampu berbuat apa-apa. Setakat Damia sendiri pun kalah dengan ibunya, apatah lagi dia yang tetamu ni.
"Ni aku nak tanya kau. Kau ikhlas ke berkawan dengan adik aku?" Sekarang giliran Nadia pula ajukan soal.
Damia sudah menjeling kakaknya itu. Mahu saja dia tengking kakaknya ketika itu juga tetapi Mak Siti sudah memberi isyarat mata agar Damia tidak bertingkah. Kuasa ugutannya tadi berjaya tundukkan Damia.
"Ya. Saya memang ikhlas berkawan dengan Damia," jawab Syafiq tenang.
Serdak biskut yang melekat di tangan dia sapu. Cukuplah sekeping biskut sahaja yang dia makan. Seleranya sudah terbantut.
"Ye ke? Kau memang betul tak ada niat nak buat Damia sebagai isteri ke, nak melamar ke semua tu, memang tak ada?" Mak Siti pula menyampuk.
Syafiq lihat sekilas wajah Damia. Mata Damia berkaca-kaca. Tapi belum sempat Syafiq menjawab, Damia sudah membalas bagi pihaknya.
"Mak, Syafiq kan datang sini sebagai kawan Damia. Mak tanya soalan apa ni?"
"Betul tu, mak cik. Damia kawan saya. Saya tak pernah terfikir pun nak buat semua tu." Syafiq menyokong.
Biarpun hati kata lain, biarlah hari ini dia tak perlu berkata benar. Biar masa yang menentukan semua.
"Oh, baguslah. Sekurangnya kamu datang sini masih beringat yang kamu ni layak sebagai seorang kawan. Bukan boyfriend dan bukan tunang." Mak Siti ukir senyum di hujung bibir.
Syafiq hanya diam. Tak tahu mahu bereaksi apa.
"Mak cakap apa ni? Syafiq memang datang sini sebagai kawan Damia, kan?" Terpaksa jua Damia menyampuk walaupun sudah diberi amaran.
"Angah, mak kena cakaplah benda ni. Takut ada antara kamu berdua ni yang berharap pulak. Ye la, nanti dari berkawan tiba-tiba nak berhubungan lebih dari tu. Kalau nak berkawan tu, berkawan jelah ye. Tapi kalau nak lebih dari tu, tak bolehlah kut. Nak tahu tak sebab apa?" Mak Siti jongketkan kening.
Damia telan liur. Entah kenapa, kata-kata yang digantung ibunya membuatnya risau semacam.
"Sebab kamu ni dah nak kahwin tau, angah," sambung Mak Siti.
Syafiq dan Damia terus berpandangan antara satu sama lain. Mata terbuntang luas tanda tak percaya.
"A ... apa? Apa yang mak cakap ni?" Tergagap-gagap Damia.
"Kamu dah nak kahwin. Lokman anak Mak Cik Zainab tu bakal jadi suami kamu," jawab Mak Siti tanpa secebis rasa bersalah. Siap buat muka toya lagi.
Damia tidak pernah tahu akan hal ini. Damia tidak pernah jangka akan perkara ini.
Serius, sejak bila aku setuju nak kahwin dengan Lokman! Jerit Damia dalam hati.
"Mak dah gila ka? Angah tak pernah tahu dan tak pernah setuju pun tentang tu!" Api amarah Damia sudah mencapai takat maksimum.
Syafiq tergamam. Bukan kerana perangai Damia yang berubah 180 darjah itu, tetapi kerana pernyataan Mak Siti tadi yang lebih mengejutkan.
Terlalu bencinya wanita tua tu terhadap persahabatan mereka sampai sanggup kahwinkan anak sendiri dengan orang lain secepat mungkin.
Bersambung...
Mak Siti ni tua² tak sedar diri. Next ...
Share this novel