4. SURATAN ATAU KEBETULAN

Romance Completed 575904

Hana berjalan kembali ke pejabatnya sambil menepuk-nepuk pipinya yang kebas kerana malu. Ya Tuhan, di mana mahu dia sorokkan muka setelah Aariz melihat perlakuan gilanya tempoh hari.

“Kalau macam tu jangan belasah dia. Kesian.”

Terasa habis darah di tubuhnya menyerbu ke muka mendengar kata-kata itu dari mulut Aariz. Tentu Aariz mentertawakannya saat itu, atau menganggapnya perempuan gila, atau hilang akal, atau meroyan.

Arrrggghhh! Malu! Malu! Malu!

Sesampai ke biliknya, Hana mencampak fail ke atas meja, lalu menghempaskan punggungnya ke kerusi sebelum menyembamkan wajahnya ke meja; cuba membuang rasa malu yang masih menguasai fikirannya.

Raqeef pula terkebil-kebil memandang aksi Hana. Tertanya-tanya juga dia, apa yang dilakukan oleh CEO sehingga Hana balik dalam keadaan begitu? Ingin dia bertanya, tetapi takut dikata menyibuk. Jika tidak bertanya, takut dikata tidak peduli pula, sedangkan mereka sebilik.

Ketika Raqeef masih berkira-kira mahu bertanya atau tidak, Hana tiba-tiba mengangkat muka lalu menoleh ke arahnya.

“Raqeef!” Hana bersuara.

“Ya?”

“Kalaulah awak dalam kereta dekat parking lot, kan? Lepas tu dari dalam kereta awak tu, awak nampak ada sorang perempuan yang nak kata cantik, tak cantik sangatlah, dia baru putus cinta. Yalah…Baru putus cinta…Frust, marah, geram dengan ex boyfriend dia kan…Jadi, nak lepas geram, tiba-tiba dia belasah kereta dia, sepak-sepak tayar kereta, mengamuk-ngamuk macam orang gila…Ermmm…Apa pandangan awak pada perempuan tu?”

“Kalau saya, saya rakam dulu.”

Buntang mata Hana mendengar jawapan selamba Raqeef. Pantas dicapai kotak tisu di atas mejanya lalu dibaling ke arah Raqeef. Namun, balingan itu tidak mengena apabila Raqeef dengan cekap menangkap kotak tersebut.

“Saya ingat awak lelaki budiman. Rupanya awak pun sama. Lelaki memang makhluk pembohong, pendusta, pengkhianat, pemusnah…huh…Buang masa tanya awak! Baik cakap dengan kambing.” Hana menegakkan tubuh, membuka komputer dan berniat mahu memulakan kerjanya. Tidak mungkin seharian dia melayan rasa malu sehingga satu kerja pun tidak terbuat. Malu letak tepi dulu. Dah habis kerja, baru sambung malu semula. Selalunya, kesibukan tidak pernah gagal mengalihkan perhatiannya daripada perkara-perkara yang mengganggu fikiran.

Raqeef pula hanya tersenyum nipis dengan reaksi Hana.

“Lepas rakam saya akan tengok video tu ulang-ulang,” ujar Raqeef tanpa mempedulikan kemarahan Hana.

“Lepas tu awak viralkan dekat FB, IG, Tiktok, Tweeter dengan caption, perempuan gila gagal move on selepas ditinggal teman lelaki.”

“Tak baik viralkan benda macam tu.”

“Wah…” Hana pamer wajah kagum dan senyum palsu kerana dia masih marah dengan jawapan yang diberikan Raqeef tadi.

“Suci bunyinya jawapan awak, tapi tak sesuci perbuatan awak,” ujarnya sebelum menarik balik senyum pada wajahnya. Matanya dipicingkan lalu dia menyambung lagi, “Kalau bukan untuk viral, kenapa awak rakam?”

“Untuk mengingatkan diri saya, betapa bahayanya wanita yang ditinggalkan teman lelaki, so that bila saya ada girlfriend, saya takkan kecewakan dia.”

Kali ini kekaguman Hana bukan dibuat-buat. Menganga dia dengan mata yang bersinar demi mendengar jawapan dari mulut Raqeef itu.

“Dengan ini saya kembalikan title lelaki budiman pada awak,” ujarnya.

“Well, thank you.”

Suasana kembali sunyi apabila Hana membuat semakan akhir kertas kerja yang dihantar Raqeef semalam. Raqeef juga mula fokus dengan mac booknya.

Sejenak, bilik itu bagai tidak berpenghuni sehinggalah setengah jam kemudian, Hana bangun dari tempat duduknya.

“Okay, saya nak jumpa GM sekejap, hantar proposal kita ni,” ujar Hana sambil memeluk fail di depan dadanya, bersedia untuk keluar.

“Kenapa tak terus bawak jumpa CEO tadi?”

“Mana boleh. Tu dah melangkau proses kerja. CEO dah turun kuasa pada GM untuk luluskan semua proposal berkaitan rebranding dengan bajet bawak 100k, so saya akan jumpa GM.”

Raqeef mengangguk-angguk sambil tersenyum tipis. Hana ternyata sangat teliti dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya walaupun kadangkala dia nampak agak kalut dan kelam-kabut.
. .
. Setelah mendapat kelulusan daripada Pengurus Besar tentang cadangan mereka menganjurkan pertandingan mencipta tagline untuk Stillvol, Jabatan Penjenamaan bersama Jabatan Pemasaran mula mempersiapkan promosi di semua rangkaian sosial media mereka iaitu Fac, Instagram, dan Tweeter. Tempoh yang diberi adalah sepuluh hari seperti perancangan awal mereka.

“Ada satu company, setuju nak taja Gold wafer dinar 24k, 5 dinar dengan nilai 5000 plus-plus. Company lain macam kurang berminat. Alasan, syarikat kita kurang famous, so they think they won’t get any benefit from the sponsorship,” ujar Madam Nicole sambil memandang Hana yang mengetuk-ngetuk dagu.

“Berapa company Marketing Department dah call?” tanya Hana.

“Enam company. Lima reject, satu je yang setuju, yang I cakap tadi tu.”

“I rasa, Gold Wafer Dinar dengan nilai lima ribu dah okay sebenarnya sebab pertandingan ni pun masanya singkat dan tak ada yuran penyertaan. Macam mana Raqeef?” tanya Hana.

“Saya setuju dengan Cik Hana. 5k should be okay.”

“Right? Kalau lelaki yang dapat, boleh buat mas kahwin apa. Daripada 5k, beberapa tahun akan datang, nilainya akan naik lagi, kan? Betul tak?” Hana tidak begitu mahir tentang emas, cuma ada sedikit pengetahuan berdasarkan apa yang didengar dan dibaca melalui media sosial.

Raqeef mengangguk. “Betul.”

“Okay, madam. Proceed.”

“All right. Sebelum pukul 12 tengah hari ni, kita akan keluarkan iklan serentak di FB, IG, dan Tweeter.”

“Thank you.”

Setelah Madam Nicole keluar, Hana menoleh ke arah Raqeef.

“Awak rasa, dengan 5k tu boleh tarik banyak penyertaan tak?”

“Inshaa’Allah. We have advertised the benefits of gold dinar together with the advertisement for the competition, so Insha'Allah we will be able to attract many entries.” Raqeef berkata yakin.

Hana mengangguk-angguk. Setiap kata-kata yang keluar dari mulut Raqeef sentiasa membuatnya yakin. Seperti ada satu aura pada Raqeef yang memberinya rasa percaya.

“Awak macam banyak pengalaman dengan branding, sebelum ni awak kerja kat mana?” tanya Hana.

“Company macam Stillvol jugak.”

“Company apa?”

“Kalau saya sebut pun, Cik Hana tak kenal sebab company tak glamour.”

Hana mahu bertanya lanjut, namun melihat Raqeef yang sudah bangun dari duduknya, membuat Hana membatalkan niatnya.

“Saya nak tengok Bad dengan Syahir,” kata Raqeef sebelum melangkah keluar.

Badrul dan Syahir ditugaskan untuk menaik taraf laman web rasmi Stillvol. Hana akhirnya turut bangun dan menuju ke ruang tengah, tempat mereka selalu berkumpul jika perlu bekerja sehingga lewat malam.

“Saya rasa artikel tentang sejarah penubuhan Stillvol ni terlalu panjang. Mungkin perlu padatkan sikit sebab saya tak rasa pengguna akan baca keseluruhan artikel.”

Terdengar suara Raqeef membuat teguran kepada Syahir. Segera Hana menuju ke arah itu.

“Masukkan tarikh penubuhan je, and koleksi jam tangan yang kita pernah keluarkan, ikut urutan tahun,” kata Raqeef lagi.

Syahir mengangguk.

“So the rest ni buang?” tanya Syahir sambil menggerakkan tetikus, menunjuk ke arah beberapa perenggan artikel yang minta dipadamkan oleh Raqeef.

“Yup.”

“Okay, lebih kemas,” ujar Raqeef.

“Syahir, don’t forget to emphasize, our services are far higher quality, including some online services and so on than ever before,” ujar Hana sambil menarik kerusi lalu melabuhkan duduk di sebelah Syahir.

Syahir akur. Mengubah kandungan laman web rasmi baru mereka itu mengikut arahan Hana dan Raqeef. Laman web baru itu akan dilancarkan serentak dengan pelancaran penjenamaan semula Stillvol.

“Kalau sale kita naik lepas rebranding ni, aku rasa kita boleh cadangkan pada company untuk ambik brand ambassador,” ujar Hana.

“Good idea,” ujar Raqeef.

“Of course. This is Hana. Always come up with fresh and brilliant idea.”

Terdengar tepukan gemuruh dari serata ruang Jabatan Penjenamaan sebaik sahaja Hana berkata demikian. Dari mana datangnya kalau bukan daripada Rita, Puva, dan Badrul.

“Thank you…Thank you…” ujar Hana.

“Aku takut jugak kalau plan kita ni gagal. Sale tak naik, takde sambutan. Kalau company buang pekerja, aku rasa department kita yang kena dulu. Mana aku nak cari makan wei. Kereta, rumah, tak habis bayar lagi." Hana menyuarakan kebimbangannya. Dulu dia tidak terlalu memikirkannya, kerana fikirnya jika dia berkahwin dengan Nazeem, dia boleh menjadi suri rumah sahaja sementara mencari kerja lain.

“Senang je. Kau cari lelaki kaya, kahwin…” sahut Badrul dari dalam kubikelnya.

“Eh, korang tahu tak? Lelaki kaya ni lah manusia paling tak boleh percaya di muka bumi. Dia orang ni, kalau tak kahwin lebih dari satu, dia simpan perempuan. Lagikan yang tak berapa nak kaya macam Nazeem pun berani curang, apa lagi yang berduit,” balas Hana.

“Mengikut statistik…” Puva yang sejak tadi hanya diam, akhirnya bersuara. “Lelaki berduit memang akan cenderung curang.”

“Statistik dari mana tu?” tanya Rita.

“Statistik kajian aku sendiri. Hahahahahahaha.”

“Dey Puvaneswary..Vasu termasuk tak dalam statistik tu?” tanya Hana.

“Suami aku tak berduit. Dia berwang.”

“Bukan sama je ke berduit dengan berwang?” Syahir kelihatan berfikir-fikir.

“Lain oii. Berduit tu maksudnya banyak duit. Berwang banyak bulu.”

Krik! Krik!

Hening sejenak sebelum akhirnya mereka dapat menangkap maksud kata-kata Puva itu dan mula ketawa terbahak-bahak. Badrul sampai menepuk-nepuk meja. Hana pula merah mukanya sambil memegang perut. Begitu juga Rita dan Puva. Raqeef pula hanya tersenyum nipis. Dia suka suasana kerja seperti ini. Santai dan mereka semua kelihatan enjoy sahaja melakukan tugas masing-masing tanpa rasa tertekan dengan bebanan yang banyak dan menuntut komitmen yang bukan sedikit.
. .
.

Lapangan Terbang Changi, Singapura

Seorang lelaki melangkah keluar dari balai ketibaan. Dengan hanya membawa satu beg galas hitam yang diletak di bahu kirinya, kaki panjangnya dibawa sehingga ke bahagian luar terminal di mana pemandunya sudah sedia menunggu di situ. Beberapa pasang mata yang memandangnya tidak diendahkan.

Dia masuk ke perut kereta setelah pintu kereta dibuka oleh pemandunya. Sebaik pintu kereta ditutup, dia mengeluarkan telefon dari kocek seluar lalu membuka mobile data setelah diletakkan dalam airplane mode semasa di dalam penerbangan tadi.

Berpusu-pusu mesej dan panggilan tidak dijawab masuk, membuatkan dia terpaksa menunggu seketika sehingga kesemua mesej yang dihantar ketika dia di dalam penerbangan tadi masuk sepenuhnya.

“Encik Aariz nak terus balik ke?” tanya pemandunya.

“Ya.”

Kereta mula bergerak meninggalkan lapangan terbang menuju ke kediaman keluarga Aariz. Aariz membuka mesej di telefonnya. Kebanyakan daripada pembantu peribadinya kerana selain keluarga, hanya PAnya itu sahaja yang tahu nombor telefon peribadinya.

Jemarinya menekan mesej yang dihantar mama lebih setengah jam lalu.

‘Jangan lambat Riz. Malam ni mama ajak Auntie Zubaidah dengan Zarith dinner dengan kita.’

Aariz menghela nafas. Tubuhnya disandarkan dengan mata terpejam. Mama masih tidak berputus asa mahu mencari jodoh untuknya walaupun entah sudah berapa kali menolak gadis yang diperkenalkan kepadanya. Bukan dia menolak untuk berkahwin, tetapi dia memikirkan Auni.

“Auni.” Menggumam nama itu, fikirannya melayang kepada anak kecil berusia lima tahun yang didiagnosis autism ketika berusia dua tahun.

Auni anak istimewa. Jadi wanita yang dipilih menjadi isterinya kelak mestilah seorang wanita yang istimewa dan mampu menerima tidak hanya dirinya atau kekayaannya, tetapi juga mesti menerima Auni.

Bukan mudah mencari wanita yang ikhlas menerima anak seperti Auni jika ibu kandungnya sendiri pun meninggalkannya tanpa khabar berita. Sebab itu, dia sangat berhati-hati memilih wanita yang ingin dijadikan teman hidupnya.

Pada usia lima tahun, Auni masih tidak boleh membina ayat ringkas seperti 'saya lapar', namun sudah boleh membaca dan mengingat setiap fakta yang dibacanya. Jika ditanya, dia tidak akan menjawab soalan yang ditanya, sebaliknya dia akan mengulang cerita atau fakta-fakta yang dibaca dari buku.

Banyak karenah Auni yang memerlukan kesabaran dalam membesarkannya. Mana dia akan menjerit jika lampu biliknya terlalu terang, mengamuk jika baju yang biasa dipakainya tidak ada di almari. Tidak selalunya Auni bertindak agresif. Hanya sesekali jika dia berasa terancam atau tidak selesa.

Pengasuh pun sudah beberapa kali bertukar kerana tidak tahan dengan karenah Auni. Ya, pengasuh bolehlah ditukar. Kalau isteri?

Entahlah. Sudah puas dia menerangkan kepada mamanya supaya tidak mencampuri urusan perjodohannya, namun nampaknya mama masih berdegil. Mungkin malam ini dia perlu lebih bertegas supaya tidak ada lagi anak kenalan mama yang diperkenalkan kepadanya. Ini bukan zaman 70-an, di mana jodoh ditetapkan oleh ibu bapa. Dia sudah cukup dewasa untuk memilih sendiri teman hidupnya.

Lebih setengah jam membelah jalan raya, Aariz akhirnya tiba di kediaman ibu bapanya. Selangkah memasuki ruang utama telinganya disapa oleh suara mamanya yang baru keluar dari dapur.

“Riz…”

“Ma…”

“Cepat bersiap, ya? Lepas ni turun makan,” ujar Hayati dengan senyum penuh makna.

“Ermm…” Aariz menjawab malas.

“Janganlah macam tu.” Hayati mengusap lengan Aariz, cuba memujuknya. “Kenal-kenal dulu. Mana tahu suka.”

“Auni mana?” tanya Aariz, malas melanjutkan bicara tentang jodoh yang diatur mamanya.

“Auni dah tidur. Penat tadi lepas balik terapi.”

“Ermmm…” Tanpa melanjutkan kata, Aariz meninggalkan mamanya di ruang itu lalu terus melangkah ke biliknya di tingkat atas.

Sesampai di tingkat atas, Aariz singgah ke bilik Auni yang terletak bersebelahan biliknya. Gadis kecil itu sudag tidur dengan memeluk patung buaya yang sama besar dengannya. Auni tidak seperti kanak-kana perempuan yang lain yang sukakan patung beruang yang comel. Anak kecil itu sangat obsess dengan patung buaya. Hampir keseluruhan ruang dalam bilik ini dipenuhi dengan patung-patung buaya. Cadarnya juga bergambar buaya.

Aariz melabuhkan duduk di sisi katil Auni lalu menghadiahkan kucupan di dahinya.

“Good night, angel.” Rambut panjang Auni diusap lembut sebelum dia bangun dan melangkah keluar.

SELESAI mandi dan bersiap seadanya, Aariz menuju ke ruang makan. Walaupun kurang senang dengan makan malam yang diatur ini, namun demi menjaga hati mamanya, dia turutkan juga.

Semakin menghampiri ruang makan, semakin jelas dia mendengar suara mama, berselang-seli dengan suara dua wanita lain yang dia percaya itu adalah suara Auntie Zubaidah dan Zarith.

“Ha Aariz…Muncul pun,” ujar Hayati lalu bangun dan menarik tangan Aariz untuk duduk di sebelah Zarith.

Aariz hanya mengangguk sopan ke arah Zubaidah sebelum duduk.

“Aariz, ni Zarith, anak auntie Zu.” Hayati memperkenalkan.

“Hai.” Aariz menyapa seadanya lalu menghadiahkan senyum tipis.

“Hai.” Zarith menjawab sapaan Aariz.

“Zarith ni baru habis belajar. Dia ambik apa tadi Zu?”

“Ekonomi Antarabangsa,” jawab Zubaidah.

“Ha ah ya…Dah kerja?” Hayati bertanya Zarith, namun matanya melirik Aariz yang nampaknya tidak begitu berminat dengan perbualan ini, membuat hatinya mendongkol geram.

“Belum, auntie.”

“Oh tak apa. Aariz baru beli company dekat KL. Kalau Zarith berminat, Aariz boleh tolong tengokkan posisi yang sesuai untuk Zarith kat company tu.”

“Semua posisi dah penuh. Takde kekosongan,” jawab Aariz.

Tidak mungkin dia membawa Zarith bekerja di Stillvol. Mengganggu saja.

“Oh…” Terkemut-kemut mulut Hayati, antara mahu senyum dan mahu marah dengan tingkah Aariz. Tidak bolehkah dia memberi jawapan basa-basi sedikit? Contohnya, ‘ Nanti saya tengokkan’. Atau ‘Rasa-rasanya macam semua position dah penuh. Tapi, kalau ada nanti saya bagitahu.’ Kan sedap bunyinya tu.

“Tak apa. Zu pun kalau boleh tak nak Zarith keluar dari Singapore. Biarlah dia kerja kat sini je, dekat dengan saya.” Zubaidah bersuara, mengikis sedikit rasa bersalah di hati Hayati walaupun dia sendiri juga menahan sebal dengan perlakuan Aariz.

“Yalah kan. Anak perempuan pulak tu. Lebih baik dekat dengan kita.”

Zubaidah mengangguk dan tersenyum. Dia kemudiannya memandang Zarith lalu memberi isyarat mata supaya Zarith cuba berbual dengan Aariz.

Zarith keberatan sebenarnya, apatah lagi melihat Aariz yang kelihatan tidak begitu berminat untuk berbual. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang emosi. Tidak sombong, tetapi tidak juga ramah membuat Zarith segan mahu menegur. Bukankah sepatutnya dalam pertemuan seperti ini, lelaki yang memulakan perbualan terlebih dahulu?

Zubaidah mengetap bibir tanda geram dengan Zarith. Kalau Aariz diam, Zarith diam, bagaimana mahu berkomunikasi? Tiada komunikasi, bagaimana mahu membina hubungan?

"Aariz masih single kan? Bila nak cari mommy untuk Auni?" Mahu tidak mahu terpaksalah Zubaidah yang membuka suara.

"Auni boleh hidup tanpa mommy," jawab Aariz datar.

"Semua anak perlukan mommy. Apatah lagi anak istimewa macam Auni tu," kata Zubaidah. Wajah anaknya, Zarith dikerling sekali lagi. Senget-senget bibirnya memberi ‘hint’ supaya Zarith menyambung perbualan yang dia sudah mulakan. Zarith pula menggeleng, bimbang dengan reaksi Aariz. Boleh jadi lelaki itu akan memberi jawapan yang meyakitkan hati, atau lelaki itu menjawab acuh tak acuh, atau tidak menjawab langsung. Dia juga yang malu nanti.

Aariz meletakkan sudu dan garpunya. Dia sudah faham arah perbualan itu dan dia tidak berminat untuk meneruskannya.

"Kalau saya nak cari isteri, saya akan cari perempuan yang ikhlas menerima Auni."

Aariz melirik Zarith. Wanita yang masih muda, cantik, bergaya, dan menjaga penampilan. Sekali pandang, dia tidak yakin Zarith mampu menerima Auni. Auni bukan kanak-kanak biasa. Dia anak istimewa dan wanita yang akan menjadi ibunya mestilah wanita yang paling istimewa. Berkali-kali dia menegaskan perkara itu kepada mamanya.

"Saya suka perempuan yang bijak, energetic dan berfikiran tajam. Saya tak suka perempuan lembik, dan manja sebab perempuan macam tu buat saya rimas."

Saat dia menyebut bijak, energetic, dan berfikiran tajam, fikirannya memutarkan wajah Hana. Dia tidak begitu mengenali Hana, namun dia suka dengan sikap gadis itu yang bersahaja. Tidak terlalu menjaga keayuannya, tetapi tidak juga terlihat biadap atau kasar.

Dia juga tidak bermaksud mahu mengatakan Zarith lembik, dan manja, tetapi luarannya dia nampak Zarith memang seperti itu. Ibu kandung Auni, Aina namanya, juga begitu. Lemah lembut bicaranya, ayu, manja, tetapi saat diduga dengan anak autism, wanita itu malah memilih pergi meninggalkan Auni terkapar-kapar tanpa kasih sayang ibu. Walaupun sudah berkali-kali diberitahu, autism bukan satu kecacatan, namun wanita itu tetap tidak terima. Sehingga sekarang Aariz masih tidak habis fikir dengan jalan fikiran Aina. Bagaimana seorang ibu yang mengandung dan melahirkan, sanggup meninggalkan anaknya?

“Saya mintak diri dulu.” Aariz bangun dan meninggalkan meja makan.

Tidak betah dia berlama-lama di meja makan itu, bukan hanya dia bosan dengan persoalan tentang kahwin, tetapi takut jika dia mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar.

Aariz bersantai di balkoni. Asap rokok disedut dalam sebelum menghembusnya, membentuk kepulan asap yang akhirnya hilang dalam kepekatan malam. Dia bukan perokok tegar, cuma sesekali jika fikirannya resah, atau tertekan, dia akan merokok.

Satu tangannya memegang telefon, menonton video gadis gila membelasah keretanya dengn beg tangan. Beberapa minggu ini, video itu kerap ditontonnya. Entah kerana apa. Mungkin puas melihat cara gadis itu melepaskan geram, walaupun kereta tidak berdosa menjadi mangsa. Suratan atau kebetulan, gadis itu rupanya pengurus jenama di Stillvol, sebuah syarikat pengeluar jam tangan yang dibelinya beberapa bulan lalu. Oh, mungkin bukan suratan, bukan juga kebetulan. Jodoh, mungkin?

Dia tertarik dengan Hana. Ya, tertarik, walaupun dia tidak tahu sama ada Hana layak menjadi mommy Auni atau tidak. Masih terlalu awal untuk menilai, namun Hana nampak jujur dan tidak berpura-pura.

Rokok yang masih menyala di celah jari, di bawa ke bibir, namun belum sempat dia menyedutnya, rokok itu dirampas oleh seseorang. Tidak perlu mendongak atau menoleh, dia tahu siapa yang melakukannya. Hanya dia dan mama di rumah sekarang ini. Papa masih di LA atas urusan kerja. Cepat-cepat Aariz menutup video tadi supaya mama tidak bertanya banyak.

Hayati melabuhkan duduk di sebelah Aariz selepas menekan puntung rokok yang masih bersisa separuh tadi ke dalam bekas abu rokok.

“Auntie Zu dah balik?” tanya Aariz.

“Hmm…” Hayati hanya menjawab dengan gumaman.

“Tak baik Aariz jawab macam tu tadi dengan Auntie Zu. Kecik hati dia.”

Aariz diam. Ya, dia sedar dia agak biadap, namun hanya itu caranya untuk dia menegaskan pendiriannya yang dia tidak berminat untuk menjalin hubungan dengan sesiapa buat masa sekarang.

“Kalau ya pun tak suka, tunggulah sampai selesai makan. Auntie Zu tu dahlah kawan baik mama.”

“Riz mintak maaf. Tapi, lepas ni tolong jangan kenalkan sesiapa lagi pada Riz. Riz tak suka. Sampai masa, Riz sendiri akan bawa perempuan pilihan Riz jumpa mama.”

Hayati diam, cuba merangkai kata yang sesuai untuk dia menjelaskan maksud hatinya kepada Aariz memandangkan Aariz sangat sensitif dengan perkara
yang bersangkut paut dengan Auni.

“Aariz…Auni tu kan…” Lagi-lagi Hayati terdiam, tidak berani meneruskan kata-kata kerana Aariz selalunya akan marah jika dia mengungkit tentang itu.

Keluhan berat dia lepaskan sebelum dia menyambung bicara.

“Riz tak perlu risaukan Auni. Mama papa akan jaga Auni. Riz fikirkan hidup Riz dulu.” Akhirnya itu yang terluah, sedang yang dirangka otaknya tadi bukan begitu bunyinya.

“Auni tu sebahagian daripada hidup Riz, mama. Bahagia Auni akan jadi bahagia Riz. Sebab tu Riz nak perempuan yang boleh terima Auni dan paling penting, Auni pun boleh terima dia.”

“Hmmm…Kalau dah Riz kata macam tu, terserahlah. Nanti kalau dah jumpa perempuan yang Riz suka, terus bawak jumpa mama.

Lagi-lagi fikirannya memutar wajah Hana. Kecantikannya tidak terlalu luar biasa. Biasa-biasa sahaja, seperti gadis melayu kebanyakan. Namun, wajahnya manis. Senyuman, kata-kata serta perlakuannya juga nampak ikhlas dan tidak hipokrit.

Ah, adakah ini yang dinamakan angau? Atau gila bayang? Atau cinta pandang pertama? Entahlah. Yang pasti, mengenang Hana membuatnya senang dan tenang.

hai semua. awal Cik hana dtg hari ni. happy reading ya..

Share this novel

ramlah
2024-05-02 10:47:44 

best cerita n

Anie
2021-09-28 04:38:33 

Best cerita ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience