Pantas sahaja aku menurut kata-kata Encik Nazhan. Dia terus menukarkan kedudukan gear ke gear yang sepatutnya, iaitu gear dua. Benarkan aku tersalah masukkan gear? Mengapa aku tidak perasan? Bunyi hon daripada kenderaan lain sudah mula kedengaran. Tetapi aku buat tidak dengar sahaja.
“Maaf, Encik Nazhan. Saya tak sengaja,” ucapku bersungguh-sungguh.
“Tak apa. Saya minta maaf juga sebab termarahkan awak tadi. Tapi lain
kali awak kena fokus,” tegas Encik Nazhan.
“Baik,” balasku sepatah.
*****
Waktu pembelajaranku di pusat latihan memandu ini semakin hampir ke penghujungnya. Hari ini aku akan menghadapi ujian memandu bersama pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan.
Debar di dadaku ini terasa semakin kuat. Saat namaku dipanggil untuk menjalani ujian memandu pada peringkat jalan raya, perasaan takut dan gemuruh semakin kuat melanda diri.
Aku sempat melihat isyarat bagus yang ditunjukkan oleh Encik Nazhan sebagai cara menaikkan semangat dan menenangkan perasaannku.
Aku hanya membalas isyarat itu dengan senyuman yang hambar. Syukur, akhirnya aku lulus dalam ujian peringkat jalan raya itu.
Kini aku sedang bersedia untuk menjalani ujian mendaki bukit pula. Dengan penuh keyakinan, aku menekan pedal minyak dan berhenti tepat di tengah-tengah bukit. Aku sudah pandai di bahagian ini. Sewaktu latihan juga aku jarang membuat kesilapan. Namun nasibku kurang baik pada sesi ujian peringkat bukit ini. Kereta yang aku pandu telah menggelongsor ke belakang sewaktu aku mahu menggerakkannya ke hadapan. Gagal! Aku telah gagal!! Semangat aku terus jatuh merudum.
Lama aku tidak mengambil semula ujian memandu peringkat bukit itu. Aku sudah pernah mengambilnya untuk kali kedua, namun masih gagal. Entah di mana silapnya, sewaktu latihan, lancar sahaja pemanduanku. Puas Encik Nazhan menasihatkan aku agar mengambilnya sekali lagi. Tetapi aku tidak mahu. Aku sudah berputus asa. Aku tidak mahu berhadapan dengan kegagalan buat kali ketiga.
Pada saat ini, tiba-tiba sahaja aku teringatkan prinsipku dahulu iaitu alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang aku belajar memandu, biarlah aku belajar sehingga lulus dan mendapat lesen. Alang-alang belajar A, biarlah belajar sampai Z. Ya… dahulu aku pernah berfikir seperti itu. Kini aku sedar, aku harus menyelesaikan apa yang telah aku mulakan. Aku tidak boleh membiarkan sesi ujian memanduku terus tergantung tanpa lesen.
Dengan semangat yang baru, aku menghubungi Encik Nazhan. Aku katakan padanya bahawa aku mahu mengambil ujian memandu itu sekali lagi. Dan akhirnya berkat doa, kesedaran dan semangat yang tinggi untuk mendapatkan lesen, aku telah lulus. Aku bersyukur kepada Allah yang maha esa kerana memberikan aku peluang dan kesedaran di dalam diri untuk meneruskan perjuangan. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan! Ingatlah peribahasa ini dalam apa jua cita-cita yang ingin dicapai.
Share this novel