BAB 6

Romance Completed 9573

Aku pandang kanan nampak Sany. Pandang kiri nampak Sany. Pandang siling pun nampak Sany! Dasyat sangat aku ni…

Aku dah jatuh cinta? Dengan Sany?... macam tak masuk akal tapi itulah kenyataannya. Aku tekup muka dengan bantal. Pipi rasa berbahang setiap kali wajah Sany terlintas di fikiran.

“ Ini tak betul… aku tak boleh suka dia. Dia kawan baik aku.” aku geleng kepala di sebalik bantal.
Apa yang perlu aku buat? Perasaan ni tak patut ada! Terasa bagaikan aku mengkhianati persahabatan kami dengan perasaan yang tak sepatutnya wujud!

Aku gigit bibir. Kalau aku cakap kat Sany mesti dia bantai gelakkan aku nanti. Itu aku sanggup terima tapi macam mana kalau Sany keluar terus dari hidup aku sebab dia tak suka tentang perasaan aku yang baru muncul ni? Mengingatkan Sany pergi dari hidup aku saja sudah membuatkan air mata aku mula bergenang di kelopak mata.

Baru aku sedar yang selama ini aku tak mampu hidup tanpa Sany…

******************************

Sesekali aku curi pandang wajah Sany yang berada di depanku. Dengan hanya memakai t-shirt polo berwarna biru laut dan juga seluar jeans sudah menyerlahkan ketampanan Sany. Dulu tengok banyak kali tak ada rasa apa tapi sekarang ni bila tengok rasa nak terkeluar jantung. Parah juga aku ni…
Kalau macam nilah gayanya, memang sampai bila-bila pun aku tak boleh nak study sebab dari tadi mata aku tak sudah-sudah nak pandang Sany.

Renunganku terhenti bila ada seseorang datang ke meja kami.

“ Awak, terima kasih sebab pinjamkan nota ni kat saya.” Zira iaitu junior kami, budak part 4 memulangkan nota CRG Sany di atas meja. Senyuman manis dilontarkan kepada Sany. Hati aku dah gelisah semacam melihatkan renungan Zira yang penuh makna kepada Sany.

“ No problem. Hal kecik aje pun.” Sany membalas.

“ Jom, saya belanja awak makan.” Pelawa Zira pula. Ajak Sany seorang je? Tak nampak ke yang aku pun ada kat sini? Tak nak ajak aku sekali ke?

“ Awak tunggu saya kat luar. Kejap lagi saya datang.”

“ Sejak bila kau kawan dengan dia? Aku tak pernah tahu pun.” Aku mula menyoal siasat Sany bila Zira berlalu pergi. Aku ingat aku seorang aje kawan perempuan yang dia ada. Tak sangka pula ada perempuan lain yang mula rapat dengan Sany.

“ Takkan semua benda aku nak kena cerita kat kau.” Selamba Sany bersuara sambil tangannya lincah mengemas bukunya yang berada di atas meja.
Aku tarik buku yang berada di tangannya. Menghalang Sany dari terus mengemas.

“ Tapi aku kan kawan kau. Selama ni kau tak pernah sorok apa-apa dari aku. Semua benda kita share. Takkanlah kau boleh terlupa nak cerita pasal Zira dekat aku?” Ujarku perlahan. Agak tersentap dengan Sany sebenarnya.

“ Takkan pasal benda ni pun kau nak merajuk. Jangan jadi budak-budaklah. Aku tak ada masa nak layan kau, aku nak cepat ni.” keras Sany membalas. Dia merampas semula bukunya yang aku ambil.
Aku cuba pujuk hati yang mula terasa dengan sikap Sany. Sabar Linda… Sany tak perasan yang kau tengah kecik hati dengan kata-kata dia.

“ Kalau aku follow boleh tak?”Aku bertanya dengan harapan Sany tak keberatan untuk membenarkan aku mengikutinya. Aku tak rela Sany berdua-duaan dengan Zira. Cemburu menjentik tangkai hati.
Sany mendengus perlahan.

“ Tak payahlah. Apa pula Zira cakap nanti.” Sany bangun meninggalkan aku keseorangan. Pergi tanpa sekalipun menoleh ke belakang…

Sampai hati Sany… hanya kerana seorang perempuan yang baru dia kenal, dia kecilkan hati aku. Aku tak tahu dia sedar atau tidak yang aku terasa. Atau aku yang sebenarnya terlebih sensitif disebabkan perasaan sayang yang mula berkembang mekar di dalam hati aku.

Aku tunduk kepala. Tanganku genggam kuat, sedikit menggeletar kerana perasaan yang bercampur baur... Dada aku pula rasa nak pecah kerana sakit… sakit melihat Sany berlalu pergi. Tanpa sedar, air mataku jatuh menuruni pipi.

******************************

Sejak daripada itu hubungan di antara aku dan Sany semakin renggang. Bukan aku seorang saja yang merasakannya tetapi budak kelas aku juga ada menegur tentang hubungan kami. Tiada apa yang aku boleh ucapkan, sudahnya aku hanya senyap bila mereka menyoal.

Aku juga tidak ingin ini yang terjadi di dalam perhubungan kami namun apa yang aku boleh lakukan. Sany sering kali mengelak daripada aku. Jika dulu hampir hari-hari ada mesej dari dia untuk aku tetapi kini… usahkan mesej, aku nak bercakap dengan dia pun ada saja alasan yang dia bagi. Aku sendiri buntu untuk menjernihkan hubungan kami.

Sany tidak lagi menghabiskan masa bersama aku, sebaliknya dia lebih rela bersama Zira. Dia memang betul-betul dah lupakan aku. Langsung tak hargai persahabatan yang sudah lama terjalin.

Aku melepaskan keluhan berat. Biarlah… biarlah dia pergi andai itu boleh membahagiakannya. Aku rela lihat dia tersenyum bersama perempuan lain biarpun hati aku berdarah…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience