HANNA memandang ke wajah wanita berusia awal empat puluhan di hadapannya dalam-dalam. Wajah yang penuh kelembutan. Namun, di sebalik wajah itu terpancar seribu kekerutan, kekecewaan dan kesedihan.
Wanita yang tidak disangka-sangka itu muncul di pejabat pada suatu pagi ketika dia baru selesai punch card. Belum sempat dia menghidupkan komputer apabila Jenny si penyambut tetamu datang memberitahu berkenaan kehadiran seseorang yang bersungguh-sungguh ingin menemuinya.
“Maaf saya mengganggu Cik Hanna. Saya Zarina, isteri Farouk.”
Wajah Hanna lantas berubah. Terkejut dan tergamam.
“Er... isteri Farouk? Farouk yang mana satu ye?”
“Farouk Emir...”
Hanna terdiam. Benar-benar terkejut. Terasa jantungnya berdegup laju.
“Saya tahu siapa Cik Hanna dalam hidup suami saya. Saya dah lama tahu tentang hubungan Cik Hanna dan suami saya.”
Hanna menelan liur.
“Err tapi, Farouk tak ada isteri… Farouk cakap dia belum kahwin...”
“Saya tahu Cik Hanna terkejut dengan apa yang saya beritahu ni. Tapi, saya adalah isteri Farouk yang sah. Kami dah kahwin sejak sepuluh tahun lepas.”
Hanna terkedu tak tahu nak cakap apa.
“Tujuan saya datang jumpa Cik Hanna hari ini untuk mohon Cik Hanna tinggalkan suami saya. Tolong tinggalkan Farouk,” ucap wanita itu sambil menyentuh perlahan ke tangan Hanna.
Dahi Hanna berkerut. Lansung tidak menduga perkara yang sedang dihadapi saat ini. Antara ingin percaya atau tidak, keduanya bergolak di dalam jiwa.
“Apa bukti puan ni isteri Farouk?” Laju soalan itu keluar dari bibir Hanna.
Seakan sudah bersedia, wanita itu mengeluarkan sesuatu dari tas tangan yang dibawa. Sekeping sijil nikah bersama beberapa keping gambar disusun di atas meja.
Hanna merenung satu demi satu sijil nikah dan gambar-gambar tersebut. Ternyata nama yang tercatat di dalam sijil serta gambar adalah milik seorang lelaki yang sangat dikenali.
Lelaki itulah yang selalu berada di sampingnya. Mencintai dan menyayanginya setulus hati. Sering memberikan semangat kepadanya. Malah, pernah berjanji untuk sehidup semati bersamanya. Lelaki itu juga yang paling dicintai Hanna.
Sikap Farouk yang matang, peramah, kelakar dan baik menyenangkan Hanna. Tidak pernah terfikir saat Farouk mengaku masih bujang walau usia sudah menjangkau lewat empat puluhan. Juga tidak pernah terfikir apabila Farouk sering memberikan berbagai alasan setiap kali Hanna bercerita tentang hal perkahwinan walaupun hubungan mereka berdua sudah melebihi lima tahun.
Dan hari ini, semua perkara yang tidak pernah terfikir itu membuka satu jawapan pasti. Hanna rasakan momen indah dan bahagia bersama Farouk bagaikan terbang satu-persatu dengan perkhabaran yang diterima daripada wanita bergelar isteri Farouk.
“…saya bersabar dan bertahan demi menyelamatkan rumah tangga kami. Saya dapat tahu tentang hubungan Farouk dan Cik Hanna setahun yang lalu daripada salah seorang staf di sini. Saya dah jangka dan redha. Saya minta Farouk nikahi Cik Hanna jika betul dia cintakan awak. Saya boleh terima. Tapi, Farouk letakkan syarat kami berdua perlu berpisah kerana dia tak nak Cik Hanna tahu dia dah ada isteri. Saya rayu supaya kami tidak berpisah demi anak-anak. Saya tak nak anak-anak menjadi mangsa penceraian. Biarlah saya dimadukan, asal tidak diceraikan. Saya sanggup...”
Wanita itu tidak dapat meneruskan kata-kata. Dadanya sebak. Air mata yang mengalir di pipi menggambarkan kesedihan dan kekecewaan.
Hanna memandang sayu. Segunung perasaan bersalah dan berdosa seakan menghempap diri. Hanna menahan sebak. Diakah yang bersalah selama ini? Diakah punca terhadap semua yang berlaku?
"Saya tak salahkan Cik Hanna. Cuma saya minta kalau Cik Hanna ada sikit rasa simpati, tolong tinggalkan Farouk agar dia kembali kepada saya dan anak-anak. Demi rumah tangga kami, demi anak-anak kami. Saya harap Cik Hanna sebagai seorang perempuan dapat faham apa yang saya alami."
Hanna menarik nafas dalam-dalam. Kurang pasti apa yang perlu dilakukan. Hakikatnya dia sendiri kecewa dan sedih. Hatinya sakit dan pedih saat mengetahui lelaki yang paling dicintai selama ini sebenarnya berstatus suami orang.
Haruskah Hanna mengalah dan memberikan laluan kepada wanita ini? Sanggupkah dia mengorbankan perasaan sendiri demi kebahagiaan orang lain? Namun, dia juga punya perasaan. Dia berhak untuk mencintai dan dicintai. Kenapa dia yang harus mengalah di dalam perhubungan ini?
Hanna serba salah. Antara rasa simpati kepada wanita lain dan juga perasaan sendiri, yang mana harus diutamakan? Dia cuba mencari keputusan yang terbaik. Lantas Hanna menyentuh tangan wanita itu.
“Puan Zarina jangan risau. Saya akan lakukan apa yang sepatutnya.”
Wanita itu memandang ke wajah Hanna lalu mengangguk perlahan. Terukir senyuman penuh harapan di bibirnya.
“Terima kasih banyak, Cik Hanna. Saya akan doakan kebaikan untuk Cik Hanna.”
Hanna membalas senyumannya. Bagaimana wanita sebaik itu disia-siakan oleh seorang lelaki selama ini? Apakah yang dicari dan masih tidak mencukupi? Hanna tidak memahami.
“Saya juga doakan yang terbaik untuk puan. Saya mohon maaf atas semua yang berlaku. Jaga diri puan baik-baik.”
Selepas bersalam, wanita itu meminta diri untuk pergi. Hanna sekadar menghantar di pintu depan. Kemudian Hanna kembali ke meja kerja. Seribu rasa bermain di jiwa. Bagaikan baru terjaga dari mimpi indah yang panjang, kini realiti yang menyakitkan harus dihadapi.
FAROUK merenung ke arah sekeping foto yang terpapar di skrin telefon pintar milik gadis yang duduk di kerusi bertentangan. Kelihatan dirinya yang lengkap bersongkok dan berpakaian sut baju Melayu berwarna putih berdiri di samping seorang wanita berpakaian sedondon. Riaknya serta-merta bertukar terkejut. Farouk memandang ke wajah Hanna.
“Mana Hanna dapat gambar ni?”
Hanna tersenyum tawar. Sudah menjangka soalan tersebut akan keluar dari bibir Farouk. Sebetulnya Hanna meminta gambar tersebut daripada wanita yang datang menemuinya pagi semalam. Sengaja ingin ditunjukkan kepada Farouk dan melihat reaksi lelaki itu.
Ikutkan hati semalam juga Hanna nak serang Farouk dan meminta penjelasan. Namun, Farouk tiada kerana bertugas di luar kawasan. Hanna sabar menanti sehingga Farouk kembali semula ke pejabat. Lalu dia menggunakan kesempatan waktu rehat hari ini untuk bertemu Farouk.
Dua hari lalu semuanya masih sama. Masih bahagia dan ceria. Tapi, siapa menduga hari ini segalanya telah berubah. Perhubungan yang disangka suci selama ini hakikatnya dipenuhi penipuan dan pembohongan.
“...abang... abang boleh jelaskan semua ni pada Hanna...” Tergagap-gagap Farouk memulakan bicara.
“Okey...” Hanna menanti.
Farouk meraup wajah cuba menghilangkan keresahan. Terpamer riaknya yang penuh kekesalan. Kesal kerana tidak mengakui perkara sebenar. Kesal kerana akhirnya pembohongan itu terbongkar jua. Kesal kerana Hanna terlebih dahulu mengetahui rahsia yang disimpan selama ini daripada orang lain.
“Betul, abang sebenarnya dah kahwin. Sejak sepuluh tahun lepas,” ujar Farouk dalam sekali nafas. Apa guna dia berahsia lagi.
Hanna senyap membiarkan Farouk terus berkata-kata. Hanya ingin mendengar semua penjelasan daripada lelaki itu.
“…kami berkahwin atas pilihan keluarga. Abang tak cintakan dia. Abang dalam proses nak bercerai. Abang minta maaf sebab selama ni abang tak beritahu Hanna. Tapi, percayalah abang memang cintakan Hanna...”
Saat itu, Hanna ragu-ragu dengan setiap ucapan Farouk. Masakan tak cinta tapi boleh bertahan sehingga sepuluh tahun usia perkahwinan dan dikurniakan tiga orang anak? Baru kini Hanna menyedari dia tersalah tafsir tentang Farouk.
“…abang tak ada niat nak sembunyikan semua ni. Abang memang tunggu masa yang sesuai untuk ceritakan pada Hanna. Abang janji akan cepatkan proses penceraian kami. Dan selepas tu abang akan kahwin dengan Hanna," ucap Farouk sambil memegang tangan Hanna.
Hanna mengetap bibir sambil mendengus perlahan. Lima tahun dia percayakan lelaki itu dan mencintai setulus hati. Namun, hari ini semua kepercayaan dan rasa cinta itu bagai sudah tiada.
Farouk tidak jujur. Perhubungan mereka berdua selama ini dipenuhi penipuan. Hanna tidak ingin meneruskan semua itu lagi. Tangan Farouk ditolak ke tepi.
“Hanna rasa abang patut kembali kepada isteri dan anak-anak abang. Mereka lebih perlukan abang. Jangan sia-siakan mereka. Mungkin hidup abang senang dan berjaya selama ini atas doa mereka. Tolong hargai mereka selagi masih ada kesempatan.”
“Tapi, abang ikhlas cintakan Hanna…”
“Kalau abang boleh buat macam tu pada isteri abang, tak mustahil suatu hari nanti abang boleh buat yang sama pada Hanna kan? Hanna tak nak teruskan hubungan kita lagi. Sampai sini aje.”
Hanna bangun berdiri. Cukup setakat itu perbincangan mereka. Hanna tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Hakikatnya dia tidak ingin terus terluka. Hatinya sakit, pedih, kecewa, marah dan sedih. Semuanya menjadi satu.
Farouk cuba menahan Hanna daripada pergi. Namun, Hanna berkeras. Dia terus melangkah meninggalkan Farouk. Tidak ingin melihat wajah itu lagi. Wajah yang selama ini amat dicintai tetapi kini melukai hatinya.
KELUHAN terhembus di bibir. Skrin komputer dipandang dalam-dalam. Laman sesawang Jobstreet terpapar. Pantas jemarinya menekan klik ke tetikus. Apa sahaja jawatan kosong yang bersesuaian dengan pengalaman dan kelulusan akademik yang dia miliki dipohon.
Hanna nekad. Keputusan itu sudah difikirkan sejak beberapa hari lalu. Dia tidak ingin berada di tempat itu lagi. Dia ingin pergi jauh. Dia ingin melupakan segala yang berkaitan dengan Farouk. Semua yang berlaku dalam tempoh lima tahun ini dianggap seperti ilusi dan tidak pernah wujud. Kisah cinta bersama Farouk bagai mimpi buruk.
Selepas puas membuat permohonan mencari kerja baharu, Hanna bersandar di kerusi. Dia memandang sekeliling ruang pejabat. Lima tahun dia bertugas di sini. Banyak pengalaman diperolehi. Jujur dia sayangkan tempat ini. Namun, segalanya telah berubah sekelip mata.
Hanna tidak boleh berada di situ lagi. Dia harus meneruskan kehidupan. Biar apa pun halangan yang bakal mendatang, Hanna akan hadapi tanpa gentar. Hanna yakin ada sesuatu yang lebih baik menanti dirinya di luar sana.
Share this novel
sayang awak Hanna. moga jumpa kekasih sejati