Kemeriahan kenduri makin terasa. Dari semalam, Nuha dah tak boleh keluar rumah walaupun ke bangsal. Tah apa rationalnya pantang larang begitu, pelik betul aku. Itu tak boleh, ini tak boleh. Rimas aku.
Di bangsal, sudah ramai kaum lelaki melapah daging lembu. Manakala kaum ibu pula sibuk memotong bahan rencah masakan. Khemah kenduri juga sudah terdiri. Meja juga turut terpasang untuk memudahkan mereka yang menolong, menjamu selera. Tin berisi biskut dan kuih kuih kering serta jag air memang tersedia di situ.
"Kakak, ni mak andam dah sampai. Bawa masuk bilik", laung kak Zah dari luar rumah.
Aku menjemput mak andam yang dimaksudkan. Mak la sangat. Pondan! Ni mesti along tak tahu. Nuha, Nuha. Aku malas nak jadi kepochi. Karang siapa pula nak mekap Nuha untuk majlis nikah sebentar lagi.
"Dik, kau kalau nak salin baju. Suruh mak andam kau keluar dulu", bisikku pada Nuha yang baru berjalan terkedek kedek keluar dari bilik air menuju ke bilik.
"Ha?? Kenapa pulak? Dengan kak Amy pun je pun", soalnya terkejut. Sah! Nuha pun tak tahu itu bukan mak tapi pak.
"Ha... ye kak Amy kau. Buat je la apa aku suruh", pesanku sebelum meninggalkan Nuha. Aku dah minta cucu maklong yang baru darjah satu temankan Nuha di bilik pengantin.
Di bangsal, aku menyelit di sebelah maklong Timah, isteri arwah abang mak yang sulung sibuk mericih serai untuk digunakan dalam memasak rendang. Hidangan wajib setiap kali kenduri kawin.
Pahaku ditepuk sebaik punggungku dilabuhkan, "Ha, ni bila pula nak kawin?".
Aku tersengih. Jika aku jawab yang sebenar, mau kecoh jadinya kenduri Nuha. "Nanti la maklong. Belum sampai jodohnya", jawabku bohong sunat.
"Maklong harap jodoh kakak sampai cepat. Kalau jumpa yang berkenan, terus je bawa balik tau. Jangan tunggu lama lama".
Aku ketawa, "kalau kakak berkenan dengan abangla ke oppa korea, agak agak mak bagi greenlight tak, maklong?". Saja aku mengusik mak yang berdiri tak jauh dari kami.
"Ish kamu ni. Pilih sikit kalau nak buat laki. Kita ni kalau boleh biarlah kawin tu sekali je. Bukannya terai en errer, kata omputeh. Itulah suami kita di dunia dan akhirat. Andai kata dia pergi dulu dan jika mampu, kita bertahan la sampai ke akhir nafas. Semoga dapat bersama dia semula di sana kelak". Jawapan yang sangat mendalam. Aku tahu maklong jenis setia, walau ramai masuk meminangnya setelah paklong pergi, tak diterimanya.
"Abangla hensem hensem tau maklong. Ada abangla guard kat office kakak, macam Amir Khan", selorohku.
"Cari bangsa kita kak. Selamat". Ada pula mak sedara yang lain menyampuk.
"Selamat apa nya?", tanyaku tak faham. Sedang bercerita tentang rupa paras tiba tiba timbul soal keselamatan pula. Tau la ada sebut pasal abang guard.
"Kalau bangsa kita ni, kau masih boleh bangun pagi macam biasa kak. Tapi kalau dengan bangsa Amir Khan dan seangkatan tu, silap gaya kena merangkak kau bangun pagi. Kalau dapat berjalan, terkengkang kengkang. Tu pun kalau nasib baik. Ada kawan maksu tak dapat bangun dari katil dua hari", jawab sepupu mak yang dulu berkerja sebagai jururawat di Arab Saudi. Aku terkebil kebil mendengar makcik makcik di bangsal ketawa. Riuh! Kemudian mulalah masing masing bercerita, macam macam versi aku dengar. Seram sejuk dibuatnya.
Maklong mengambil tanganku, dibelek jari gebuku satu persatu. Cincin Arif kusimpan, tak mahu menjadi tanda tanya buat mereka. Aku tak mampu nak menjawab nanti.
"Kakak, perkahwinan ni biarlah kita bina atas dasar tanggungjawab dan amanah. Kawinlah kerana Allah dan bukan hanya kerana nafsu. Cepat atau lambat bertemu jodoh tu pasti ada sebabnya. Allah saja yang tahu. Biarpun banyak persengketaan dalam perhubungan atau perkahwinan, pertahankanlah. Jangan sesuka hati minta cerai. Orang muda sekarang, salah sikit je minta cerai. Ego tu tinggi sangat. Cerai tu memang halal tapi dibenci Allah. Bergegar arasy Allah. Rumahtangga mana tak dilanda badai, pandai pandai la tangani. Maklong sendiri dengan arwah, tiap tiap bulan bergaduh tapi kami tak la sampai bercerai berai".
"Maklong ni, nasihat kakak pula. Yang kawinnya Nuha". Aku ketawa dan aku akui kata kata maklong menusuk di hati.
"Ala.. tak kesah la. Lambat laun kakak akan kawin jugak kan?". Aku mengangguk perlahan. Aku perasan jelingan maut mak. Segala pertuturan aku perlu kujaga demi air muka mak dan kenduri Nuha. Kepala angin aku pun kena kawal.
"Maklong, kalau suami tu ada orang lain sebelum kawin dengan kita macam mana?", soalku. Aku masih terkesan dengan wanita idaman Arif. Wanita yang dia nantikan selama ini. Betapa bertuahnya dia.
Maklong tersenyum dengan soalanku lalu menjawab, "Tapi dia kawin dengan kita kan? Bukan dengan orang tu. Maknanya kita la jodoh dia. Kadang kadang kita pun ada juga orang lain sebelum dia kan?". Aku tersengih.
"Tak payah nak ingat pada jodoh yang tak jadi tu. Sebagai isteri, kita pikat dia. Buat sampai dia lupakan orang tu. Tapi bukan la guna ilmu hitam, nasi kangkang bagai. Dalam al-Quran banyak ayat ayat untuk keharmonian rumahtangga. Macam mana pun rupa pasangan kita, kerja apa, terima seadanya sebab itu amanah Allah. Jaga sebaiknya. Jangan cemburu bila suami kawan lebih handsome, lebih kaya dari suami kita. Itu rezeki dia", tambah maklong lagi.
Aku melepaskan nafas dalam. Teringat cerita nasi kangkang yang pernah kutonton, ada juga yang aku baca. Loya terasa di tekak. Cepat cepat aku ambil gelas berisi sirap limau di depan maklong dan kuteguk. Tak sanggup aku buat macam tu.
"Ada ye orang buat gitu? Ilmu hitam ni betul betul menjadi ke maklong?", soalku berminat nak tahu. Berbual dengan orang tua tua ni, banyak ceritanya.
Maklong mengangguk lalu menjawab "Namanya manusia kan? Jika bertongkatkan nafsu, memang syaitan itu sekutu. Kakak tak ingat tak masa kakak kecil dulu?"
"Kaklong, baju untuk malam ni dah gosok belum? Alang nak suruh Milah gosok baju kita nak pakai malam ni". Tiba tiba maklang memotong perbualan kami berdua.
"Ada dalam beg aku. Ambil yang warna biru gelap tu. Tudung kelabu batu batu tu Lang", jawab maklong.
"Eh, kaklong pergi masuk rumah, ambilkan. Kalau harap ke Milah, sampai esok pun tak jumpa baju tu", balas maklang.
"Ye lah. Allah, susahnya aku nak bangun. Kakak, tolong tarik maklong". Aku bangun dan menyambut tangan maklong, membantu dia berdiri.
"Kakak, pergi tolong Kak Zah kat rumah", arah mak.
******
Saat mendengar lafaz terima nikah dari Zaf, hatiku dilanda sayu. Namun kutahan air mata dari mengalir. Aku tahu mataku merah. Aku tunduk. Kak Zah di sebelah menghulurkan tisu, "sabar ye kakak. Insya Allah jodoh kakak tak lama lagi".
Aku mengangguk perlahan. Aku bukan sedih sebab itu, aku sedih teringatkan Arif. Ketika nikah tempoh hari aku menangis juga, bukan tangisan gembira tapi tangisan sedih kerana bernikah tanpa mak ada di sisi. Tanpa restu mak.
Saat Zaf memakaikan gelang di tangan Nuha, hatiku bagai digenggam kuat. Sakit. Sejak di Batangas, Arif langsung tak menghubungi aku. Dia tak rindu kat aku dah ke? Atau dia dah jumpa cinta hatinya di sana? Mungkinkah salah seorang talents pengambaran kali ini adalah cinta hatinya?
"Kau kenapa kak?". Cuit angah. Entah bila masa dia datang duduk di sebelah aku. Aku mencebik sedih. Kepala kurebahkan dibahunya.
"Suami kau mana?", tanyanya berbisik.
"Batangas", bisikku.
"Jauh tu. Berapa lama?".
"Dua minggu".
"Kesian pengantin baru ni. Tak puas berbulan madu. Malam ni kau jangan intai adik pulak", kata angah menahan ketawa.
"Angah!!". Aku cubit perutnya. Dia menyeringai kesakitan. Ditolaknya kepala aku agar tak lagi menumpang bahunya.
"Macam budak budak". Kami berdua menahan perit, dicubit mak. Rupanya mak perasan gelagat kami berdua.
"Kakngah tak balik?", tanyaku pada angah sewaktu menunggu giliran bergambar dengan pengantin. Keluarga pihak lelaki beriya iya bergambar pada waktu itu.
"Esok katanya. Anak anak aku tak biasa tidur takde aircond", bisiknya terdengar seperti kecewa bukan riak.
"Kau nanti kak, ajar anak anak kau susah walaupun laki kau tu anak orang kaya. Jangan jadi macam aku", tambah angah. Aku terpinga, Arif anak orang kaya ke?
Perbualan kami terhenti di situ bila jurukamera meminta kami bergambar dengan pengantin. Aku memakai baju yang aku pakai ketika bernikah dengan Arif tempoh hari. Rasa sayu menyelubungi diri, rasa pilu di hati bagai pengantin perempuan bersanding sendirian.
Malam itu, selepas tetamu pihak lelaki pulang, sanak saudara memenuhi rumah kami dan maklang mencari ruang untuk merebahkan badan.
Aku berbaring di sebelah Nuha yang dah hanyut dalam lena, Zaf telah pulang ke hotel. Tak dibenarkan bermalam bersama Nuha sehingga selesai kenduri. Maklong kata nanti hilang seri pengantin.
Dalam terkebil kebil cuba melelapkan mata, aku teringat kata kata mak long siang tadi, soal jodoh. Aku berfikir sejenak, aku dan Arif tak bercinta. Kami bertemu kerana kerja. Perkahwinan kami juga bukan kerana nafsu. Aku kenal dia hanya dari luaran, bukan asal usulnya. Begitu juga dengan dia.
Allah berikan Arif padaku dan Allah amanahkan aku kepada Arif, bukan cinta hatinya yang dia kedekut nak tunjukkan gambar. Maknanya aku tulang rusuk kiri Arif, akulah yang melengkapi dia. Begitu juga dia, sentiasa ada untuk aku sejak akhir akhir ini.
Tiba tiba aku teringatkan dia. Aku ambil telefon yang sedang dicas baterinya. Aku tutup suis dan menyelinap keluar dari bilik. Aku keluar dari rumah mengikut pintu belakang yang masih belum berkunci. Masih ramai pak saudara dan mak saudara di bangsal, memasak hidangan untuk majlis besar yang akan berlangsung esok. Riuh rendah dengar suara mereka bersembang.
Aku berjalan perlahan lahan melepasi kawasan khemah kenduri dan menuju ke simpang rumah lalu aku memilih untuk berdiri di sebalik pokok kelapa gading di simpang rumah. Aku pastikan tiada yang melihat aku. Rokok yang tersimpan di dalam kocek seluar aku keluarkan dan kubakar hujungnya. Pada nama Arif di telefon, kutekan call. Tiada nada deringan langsung. Aku hantar mesej, mengharapkan Arif membalas segera seperti selalu. Hampa. Lalu aku mencangkung sambil lepaskan asap nikotin. Gambar kami sebelum bergelar suami isteri kutatap satu persatu samada berdua atau dengan team produksi. Gambar berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu buat aku tersenyum. Itu kali pertama kami berbual mesra.
"Kakak! Kau buat apa ni?"
Share this novel
Baca teaser kat IG, Nura borak dengan Maklong, ingatkan Maklong Yam isteri Paklong Sudin, itu heran dah berbaik ke dua family ni.. Rupanya Maklong lain.. huhu..
ngan sapa kantoi niii