OLEH kerana syarikat pengimport itu baru sahaja beroperasi, jadi tidak banyak fail yang perlu dia susun. Lagipun, kebanyakkan data ada di dalam sistem komputer.
Dia berdiri menghadap rak fail yang baru disusunnya sambil membaca satu per satu label yang baru dia buat tadi. Kepalanya diangguk-anggukkan tanda dia berpuas hati.
Hari ini, sudah genap seminggu dia bekerja di syarikat itu dan setakat ini, dia bekerja dengan tenang dan lancar. Tugasnya bukan setakat menyusun fail sahaja, tetapi termasuk tukang fotostat dan tukang bancuh air untuk bosnya. Jadi, bilik simpanan fail dan fotostat itulah ruangan kerjanya.
Bunyi pintu dibuka membuatkan Ain Azreen segera mengalihkan pandangannya ke arah pintu.
"Cik Ain, bos panggil dalam bilik mesyuarat," kata Sherry yang hanya menjengulkan kepalanya di muka pintu.
"Hah? Haa, okey, okey," balas Ain Azreen lalu dia cepat-cepat keluar dari bilik penyimpanan fail dan fotostat itu menuju ke bilik mesyuarat. Kenapa dia panggil aku ke bilik mesyuarat pula ni?
Perlahan-lahan dia menolak daun pintu bilik mesyuarat itu lalu menjengahkan kepalanya ke dalam. Bola matanya bergerak pantas mencari sosok tubuh lelaki bernama Syamel Zaqwan.
Tidak susah pun untuk dia mencari lelaki itu, kerana lelaki itu duduk di kerusi paling hujung menghadap semua orang yang ada di dalam bilik itu iaitu di tempat duduk khas untuk CEO. Setelah pandangan mereka bertembung, Syamel Zaqwan memberikan isyarat tangan menyuruh wanita itu datang ke tempatnya.
Ain Azreen pun segera berjalan menuju ke tempat lelaki itu sambil menunduk dengan perasaan tidak selesa, kerana semua mata yang ada di situ, tertumpu kepadanya.
"Ada apa, tuan panggil saya, tuan?" soal Ain Azreen dengan suara berbisik.
Syamel Zaqwan memberikan isyarat tangan menyuruh Ain Azreen mendekatkan wajahnya.
"Sit, listen and write," ujar Syamel Zaqwan lalu dengan selambanya dia menolak belakang tubuh Ain Azreen mendekati kerusi di sebelahnya. "Sit," arahnya lagi.
Terkedip-kedip mata Ain Azreen memandang muka bersahaja lelaki itu. Dia sendiri sedar dan tahu, tempat dia bukan di sini. Semua yang ada di dalam bilik mesyuarat itu pada ketika ini adalah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi syarikat dan juga rakan-rakan niaga syarikat. Semuanya berduit, berpangkat dan berkuasa. Dia pula? Dia hanyalah seseorang yang tidak layak dan tidak penting langsung untuk berada di dalam bilik itu.
"Tuan..." Ain Azreen memanggil dengan suara berbisik dan muka bingung.
"Okay, kita boleh mula sekarang," kata Syamel Zaqwan kepada semua yang ada di dalam bilik itu tanpa mempedulikan panggilan daripada Ain Azreen.
Mesyuarat itu berakhir setelah memakan masa hampir dua jam dan pada ketika ini, waktu menunjukkan tepat pukul 12.00 tengahari.
Sementara menunggu yang lain keluar dari bilik mesyuarat itu, Ain Azreen kekal duduk di kerusinya sambil memandang Syamel Zaqwan yang masih belum berganjak dari tempat duduknya dan sedang sibuk dengan telefon pintarnya.
Setelah hanya tinggal mereka berdua, Ain Azreen bingkas berdiri. Kekok pula berdua-duaan dengan lelaki itu.
"Anne."
Ain Azreen menoleh sambil mengetap gigi. "Tuan, nama saya bukan Anne, nama saya..."
"Suka hati saya nak panggil awak apa. Ain ke... Anne ke, tak jauh beza pun bunyi dia, kan?" Syamel Zaqwan turut berdiri lalu menyingsing lengan kemejanya sehingga ke paras siku. "Ikut saya." Lantas, langkah kakinya dihayun menuju ke pintu.
Terkial-kial Ain Azreen mengejar langkah lelaki berwajah dingin itu tanpa sempat dia bertanya.
"Kita nak pergi ke mana ni, tuan?" soal Ain Azreen setelah dia perasaan lelaki itu membawanya menuju ke lif.
Syamel Zaqwan terus menekan butang lif tanpa menjawab soalan yang diajukan kepadanya.
"Amboi, kereknya!" gumamnya perlahan. Mentang-mentanglah aku orang bawahan, dia buat aku macam tak wujud je!
Ain Azreen memandang skrin digital lif sambil bermain-main dengan hujung kuku pendeknya. Sesekali dia melirik sisi wajah Syamel Zaqwan yang kaku berdiri tegak tidak bergerak langsung di sebelahnya. Dia nak suruh aku ikut dia pergi mana sebenarnya ni?
Ain Azreen segera mengejar langkah Syamel Zaqwan yang sedang menuju ke pintu keluar bangunan menuju ke kawasan meletak kenderaan.
"Kita nak pergi mana ni, tuan?" soalnya sebaik sahaja mereka berdiri di tapi sebuah kereta sport berwarna kuning berlambang kuda hitam itu.
"Masuk," arah lelaki itu tanpa menjawab soalannya sekali lagi.
Keluhan kecil terpacul dari mulut Ain Azreen kerana tidak berpuas hati soalannya tidak dijawab, tetapi dia tetap patuh dengan arahan lelaki itu dan terus masuk ke dalam kereta.
Sepanjang perjalanan, Ain Azreen hanya menunduk. Sesekali, dia membuang pandangan ke luar jendela. Rasa canggung yang dia rasakan pada ketika ini benar-benar membuatkan dia berasa tidak selesa. Apatah lagi lelaki itu bagaikan patung tidak bercakap. Entah ke mana lelaki itu hendak membawanya.
Syamel Zaqwan memberhentikan kereta di persimpangan lampu isyarat yang sedang menyalakan lampu merah. Dia menoleh memandang sisi wajah Ain Azreen lalu berdeham. "Darwish cuti emergency hari ni, jadi saya nak awak temankan saya lunch."
Ain Azreen mengangkat wajah lalu memandang wajah lelaki kacak berjambang nipis dan berkulit cerah itu. "Kenapa saya?"
"Saja."
Berkerut dahi Ain Azreen selepas mendengar jawapan sepatah dari mulut lelaki itu.
"Pasal di bilik mesyuarat tadi, kenapa tuan tiba-tiba suruh saya ikut mesyuarat penting tu?"
"Saja."
Ain Azreen mengetap gigi kerana geram mendengar Jawapan sepatah acuh tak acuh itu. Kalau aku karate tulang halkum kau ni, memang keluar berita teruslah dalam sejarah ada orang mati tercekik tertelan halkum, marahnya dalam hati.
Selepas beberapa minit, Syamel Zaqwan memberhentikan keretanya di depan sebuah hotel. "Jom!" Dia terus keluar dari kereta selepas mematikan enjin.
"Tuan," panggil Ain Azreen yang masih terpacak di tepi kereta.
"Kenapa? Nak saya pimpin tangan awak ke?" soal lelaki itu dengan muka serius sambil menyangkutkan cermin mata hitam di leher bajunya.
"Eh, tak. Saya..."
"Jalan cepat!" ujar Syamel Zaqwan lalu terus melangkah menuju ke pintu bangunan.
"Hisy, mamat ni!" gumam Ain Azreen lalu berlari anak mengejar langkah lelaki itu.
"Baca menu pun boleh mengelamun ke?"
Teguran lelaki itu membuatkan Ain Azreen segera mendongak. "Err, tak... Bukan mengelamun, tapi harga semua makanan kat sini ni, ermmm..."
"Saya tak suruh awak bayar pun. Saya suruh awak order je tadi, kan?"
Ain Azreen mengemam bibir lalu menutup buku menu dan menyerahkan buku tersebut kepada pelayan. "Steak and salad... Drink, ermmm... iced milk tea," ujarnya lalu memandang wajah lelaki yang sedang berpeluk tubuh di depannya.
"About your question earlier..."
Ain Azreen menumpukan perhatiannya menanti apa yang bakal diperkatakan oleh lelaki berwajah dingin itu.
"Starting from today, you will be my assistant, so you will be with me wherever I go, whenever I want," ujar lelaki itu dengan loghat inggeris Amerika.
"Tapi, tuan..."
"Awak cakap awak perlukan duit untuk tanggung keluarga awak, kan? So, here you go. Awak akan jadi pembantu saya menggantikan Darwish, sebab dia hanya akan jadi pemandu dan pengawal saya je lepas ni. I will pay you triple, but..."
"But?" Ain Azreen menjongketkan kedua-dua keningnya yang terukir cantik semulajadi.
"But you must quit your night job."
Ain Azreen membungkam buat seketika. "Tuan... Saya ada sebab kenapa saya kerja di kelab malam tu."
"Tell me."
Ain Azreen menghela nafas dalam-dalam dan berusaha sedaya upaya untuk berlagak tenang di depan lelaki itu setenang yang dia mampu. "Saya ada hutang yang perlu dilunaskan dengan bos kelab malam tu," ujarnya lalu melepaskan keluhan lega selepas menjawab pertanyaan itu dengan jujur.
"How much?"
Berkerut dahi mulusnya selepas mendengar pertanyaan lelaki itu. Sibuk je nak tanya. Kalau dia tolong bayarkan, tak apa juga!
"I will pay your debt, but you must stop working there," ujar Syamel Zaqwan sebelum sempat Ain Azreen menjawab soalannya tadi.
Serta merta membulat matanya. "No! Err... maksud saya, tak apa. Saya boleh usahakan sendiri untuk bayar hutang tu, lagipun itu hutang saya."
"Well... Saya bagi awak pilihan. Awak pilih untuk terus bekerja di syarikat saya dengan tawaran tadi atau berhenti kerja di kelab malam tu. Kalau awak tak nak berhenti kerja di situ, then awak kena berhenti kerja di tempat saya. Macam mana?"
Aduh! Macam mana ni? Yang dia ni pun, kenapa tiba-tiba sibuk nak bayar hutang aku pula? Ke dia ada agenda tersembunyi? Dia nak aku terhutang budi sebab nak body aku macam bos-bos pervert aku sebelum ni ke? No, no, no! Perkara tu takkan berlaku!
"Awak fikir saya nak tolong bayar hutang awak ni sebab nak awak terhutang budi ke? The answer is no! Hutang tu akan masuk ke dalam buku saya, cuma saya tak nak awak kerja di situ sebab saya nak pekerja saya fokus bekerja dengan saya je. No side work. Got it?"
Erk! Dia ni ada kuasa baca fikiran orang ke? Hujung blouse bercorak bunga yang dipakainya ditarik-tarik di bawah meja. "Tak... Saya tak fikir macam tu. Err... Saya faham, tuan," ujarnya dengan muka serba salah. Serba salah kerana sudah berprasangka buruk dengan lelaki itu tadi.
"Good. So, malam ni, awak kena bawa saya berjumpa dengan bos kelab malam tu."
"Errr... baik, tuan," balas Ain Azreen bersama dengan anggukan lemah. Harap-harap, janganlah ada agenda tersembunyi dia ni. Kalau ada, memang aku angkat kaki terus. Angkat kaki sepak muka dia!
Share this novel
dah topup.. tp x bersambung ceritanya?
ada dlm k?, klau ada sis nak beli..best ceta ni..