Sepanjang perjalanan menuju ke KLIA, Alisa hanya diam sambil merenung di luar tingkap. Fikirannya melayang teringatkan Aryan. Aryan tidak dapat menghantarnya ke KLIA kerana suaminya itu berada di Bali untuk honeymoon bersama madunya, Liyana. Perit untuk ditelan, tapi Alisa harus menerima kenyataan yang kini dia harus berkongsi kasih. Aryan bukan miliknya seorang.
" Lisa? Okay tak ni? " suara Encik Hamzah menyedarkan Alisa daripada lamunan panjangnya.
" Okay ayah. Lisa okay " jawabnya.
Puan Afifah menoleh ke arah Alisa yang berada di tempat duduk belakang. Dia faham keadaan anak tunggalnya itu. Tidak sampai setahun berkahwin, dia sudah dimadukan. Tipulah jika dia tidak marahkan Aryan, namun apa lagi yang mampu dia lakukan jika Alisa sendiri yang setuju Aryan berkahwin lain.
" Lisa jangan fikirkan sangatlah dengan apa yang dah jadi. Anggap ini semua ujian untuk Lisa " kata Puan Afifah.
" Insya Allah ibu " jawab Alisa.
Dia melihat telefonnya. Sejak daripada tadi dia menanti panggilan dan mesej daripada Aryan. Mungkin suaminya itu sedang berseronok honeymoon sehingga lupa hari ini dia akan berangkat ke London untuk menyambung pelajarannya. Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya dia masih ada ayah dan ibu yang menghantarnya ke KLIA.
Mereka bertiga mengatur langkah ke Balai berlepas apabila announcement board menunjukkan sudah sampai masanya untuk para penumpang yang mengambil penerbangan ke London berlepas.
" Lisa, jaga diri kat sana. Jangan lupa solat. Belajar rajin-rajin " pesan Puan Afifah.
" Insya Allah ibu. Doakan Lisa berjaya ya " Alisa terus memeluk erat tubuh Puan Afifah.
Seumur hidupnya dia tidak pernah berjauhan dengan Puan Afifah dan Encik Hamzah. Ketika berkahwin dengan Aryan dulu pun, suaminya itu mencari rumah yang berhampiran dengan rumah kedua orang tuanya itu.
" Lisa kena kuat. Jangan sedih-sedih. Lupakan apa yang terjadi. Anak ayah kuat kan. Lisa kena ingat jugak yang Lisa masih isteri orang. Jangan buat benda yang tak elok ya " pesan Encik Hamzah pula.
Pada awalnya dia memang menentang sekeras-kerasnya keputusan Alisa untuk menyambung pelajaran ke London. Dalam keadaan Alisa sekarang ini, dia risau jika apa-apa terjadi pada anaknya itu. Setelah puas Alisa memujuk akhirnya lembut juga hatinya untuk melepaskan Alisa menyambung pelajaran ke London.
" Lisa pergi dulu ya ibu, ayah. Terima kasih untuk semuanya. Insya Allah Lisa akan ingat apa yang ibu dan ayah pesan. Jaga diri. Assalamualaikum " .
" Waalaikumsalam " jawab Encik Hamzah dan Puan Afifah. Pandangan sayu menghantar kepergian Alisa.
' Tutup buka lama Alisa. Lupakan semua yang menyakiti kau. Kuatkan hati kau untuk lalui semua ini '.
Share this novel