Prolog

Romance Completed 18503

Basah kakinya memijak pasir yang dipukul ombak di persisiran pantai.

Langit yang biru bertukar jingga kerana tiba masanya untuk sang mentari beradu. Perlahan matahari membenam di kaki langit. Cahaya yang dipancar si suria diserak, menukar warna langit menjadi jingga, semakin lama semakin pekat warna langit berubah.

Sunyi…

Tiada bunyi kedengaran kecuali bunyi ombak yang memukul, membasahi pasir yang berada di persisiran pantai. Kakinya Aria membenam ke dalam pasir yang basah, baru dihempas dengan ombak petang. Tekstur pasir yang halus, kasar dan basah dirasai dengan deria sentuhan pada bahagian kakinya. Pasir yang basah menjadi tempat kedua kakinya berpijak.

Kukuh atau tidak, kuat atau lemah, dia terus berjalan di atas pasir yang lembap. Tangannya lemah berada di sisi. Longlai pergerakan tangannya sambil dia berjalan. Matanya terasa kuyu tetapi dia tidak dapat meredakan ribut di hatinya yang sedang menghancurkan dan menyerabutkan segala-galanya.

Ia tidak pernah seteruk ini, sekurangnya itu apa yang disangkanya. Selama itu, tidak pernah dia sedar yang hatinya sedang diremuk, diludah, dan dilempar sesuka hati dengan yang lain. Seringkali dia memaafkan tetapi adakah yang meminta maaf kepadanya?

“Maafkan je. Kamu pun lemah. Sikit-sikit kena buli. Cuba kuat sikit.”

Itu sahajalah yang sering didengarinya apabila cuba mengadu kasih kepada ibu bapanya. Tiada guna. Kata lah apa pun, sialnya akan berbalik semula kepadanya. Sehingga punah harapannya untuk cuba membaik pulih hubungan dengan keluarganya.

Sia-sia sahaja. Entah bila kali terakhir dia benar-benar gembira berada dengan keluarganya… atau rakan-rakannya. Norma yang sepatutnya, kalau dengan keluarga tidak gembira, sekurangnya dengan kawan pula dia boleh bergantung harap, mencari ‘rumah’ bagi hatinya. Tetapi tidak. Semuanya sama.

Sialnya akan berbalik kepadanya.

Aria berhenti berjalan perlahan. Tubuhnya dipaling ke arah matahari yang semakin tenggelam. Langit di belakangnya sudah mula bertukar warna gelap, menandakan malam akan menjelma.

Bunyi hempasan ombak semakin bingkit memecahi keheningan senja. Nafas Aria langsung tidak putus tetapi tidak disedarinya. Matanya yang berwarna coklat gelap kelihatan lebih cerah terkena sinaran matahari senja.

Mulai terasa panas bebola matanya merenung kaki langit. Tangannya yang berada di sisi dibawa ke hadapan, dipegang dan digenggam erat sebelum diletakkan di dadanya. Terasa ketat dadanya. Emosinya bercampur baur tanpa wujudnya kegembiraan. Hanya ketakutan, kegusaran, keletihan, kemarahan, dan kesedihan yang terpahat di hati.

Ini semua tidak adil.

Ombak hanya membasahi pasir di bawah telapak kakinya dan juga kakinya tetapi pipinya juga turut dibasahi. Keningnya dikerutkan dan matanya dipejam sekuat-kuatnya. Perlahan lututnya lemah sehingga tubuhnya diturunkan.

Melutut di atas pasir lembap, Aria mencengkam dadanya. Tekaknya seperti disagat dengan batu karang. Terasa kasar untuk menelan air liur dan suara. Dadanya terasa sesak dan keras. Nafasnya seperti tersangkut sehingga air mata semakin laju membasahi pipi dan menitik ke laut.

Panas nafasnya dilepaskan. Suaranya enggan keluar, sama dengan bunyi esakkan. Tiada bunyi yang keluar dari mulutnya. Air mata deras jatuh membasahi pipi dan terus menitis ke dalam ombak yang menyapa lututnya yang terbenam ke dalam pasir.

Ombak terus memukul dan langit kini bertukar gelap. Sang mentari tidak lagi berada di kaki langit. Cuma jejak langit jingga kelihatan sedikit di garisan ufuk. Kini ditemani sang purnama di atas kepala, dia hanya kekal melutut di situ seperti meratapi pemergian sang mentari.

Menangislah dia sepuasnya, seesaknya, sambil si ombak memukulnya, menyapanya, berkali-kali, seperti merayu kepadanya untuk berhenti.

Tetapi hatinya semakin sayu. Air matanya semakin laju mengalir, tidak didengari oleh siapa pun yang menyebabkan air matanya mengalir pilu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience