33

Romance Completed 132660

Selepas subuh, Hana termenung di tepi jendela. Hajah Azizah yang masih bertelekung sedang khusyuk mengaji di atas katil. Sesekali melihat ke arah Hana yang leka termenung.

Sambil melontarkan pandangan ke luar tingkap, Hana tekun mendengar bacaan ayat-ayat suci kalamullah yang dilontarkan si ibu.

Tenang segenap penjuru hatinya, malah itulah permintaannya setiap pagi Jumaat. Agar dapat mendengar mamanya mengaji di sebelah.

Sambil memejam mata, Hana menghirup udara pagi yang segar. Dalam hati tidak henti dia panjatkan syukur kerana masih berpeluang untuk bernafas pada hari ini.

Selesai mengaji, Azizah didekati oleh Hana. Perlahan-lahan, menggunakan kudratnya sendiri, Hana turut mengambil tempat di atas katil.

Kepalanya dilabuhkan ke bahu ibu, melentok bagaikan seorang kanak-kanak. Azizah pula hanya membiarkan.

"Kalau Hana tak pergi hospital esok tak boleh ke ma?" tanya Hana perlahan.

Azizah sudah menoleh mencari wajah Hana.

"Kenapa pulak? Hana kan kena chemo?" lembut sahaja pertanyaan Azizah.

"Tak larat la, ma. Nanti mesti doktor tu ambik darah lagi. Sampai lebam-lebam lengan Hana, sakit." adu si anak.

Azizah turut bersimpati. Kasihan melihat Hana sering mengadu sakit. Kesakitan itu jelas dapat difahami, apatah lagi sebagai seorang ibu yang melahirkan dan menjaga dari kecil.

"Sabarlah, Hana. Hana kuat kan. Hari ni Hana rehat la banyak-banyak. Inshaallah, banyakkan doa. Minta Allah kurangkan rasa sakit. Kalau tak larat sangat, mama tak paksa." Azizah memeluk tubuh Hana yang didekatnya.

"Macam menyusahkan je semua ni. Masa Hana tak panjang lagi kan, ma..." Hana dirundung sebak lagi.

"Semua manusia akan mati, entah-entah mama yang akan pergi dulu dari Hana."

"Tak nak la mama, tak nak mama tinggalkan Hana." cepat-cepat Hana memeluk erat Azizah.

"Dah tu, kenapa Hana nak tinggalkan mama? Ingat mama tak sedih ke?" tangisan yang ditahan sejak tadi mengalir tenang.

"I'm sorry. I didn't mean it." Hana naik sama sebak.

"Hana pernah tak dengar satu kata-kata? Man loses his wife, he's a widower... Child loses a parent, they're an orphan.... Tapi macam mana kalau parent loses their child? there is no word for it. And it shouldn't be...." bait-bait kata Azizah seakan menikam jiwa Hana.

"Allah..." makin erat Hana memeluk Azizah. Makin kuat juga dia menangis.

"Mama tak dapat bayangkan kalau kehilangan Hana. Sedih tu, hanya Allah yang tahu."

"Dari kecik mama jaga Hana. Kalau Hana sakit, mama pun akan rasa kesakitan tu."

Hana mencari wajah Azizah lalu mencium pipi tua yang sudah berkedut itu. Sayangnya kepada mama, melebihi segala-galanya.

"Maafkan Hana.. Hana sayang mama."

"Mama pun sayangkan Hana. Kita cuba apa yang mampu, ye. Kita tak boleh putus asa."

Halim yang sejak tadi berdiri di balik pintu berpatah balik dari situ. Tidak sanggup mendengar perbualan lanjut dua beranak itu, hatinya masih ralat dengan segala yang terjadi.

Namun segala pengharapan hanya diserahkan pada yang Maha Esa. Halim redha dengan apa pun yang berlaku.

.
.

Hening suasana subuh itu, lain dirasakan buat Hazim Ikmal. Selesai solat subuh, dia masih tidak tenang.

Takung mata yang semalaman basah sudah pedih dirasakan. Hatinya bagai dipanggil-panggil oleh gerangan isteri.

Bayang Hana yang sehingga terbawa ke dalam mimpi benar-benar membuat dia tidak senang duduk.

"Astaghfirullah..." Hazim meraup wajah sendiri sambil beristighfar.

Cincin milik Hana setia di dalam genggaman.

"Tenangkan hati aku, ya Allah.."

Hari ini, dia akan bertemu dengan Hana. Apa pun yang akan jadi, dia mahu ke sana.
Segala kekusutan ini, akan dileraikan satu-persatu.

Usai solat Jumaat, Hazim bersiap untuk ke rumah Haji Halim. Pergi menyerah diri, dengan secebis doa. Sekali-sekala dia berzikir dalam hati. Lumrah manusia, saat genting baru ingatkan Tuhan.

Telefon bimbit di dalam kocek seluar bergetar minta diangkat. Setelah melihat nama pemanggil, Hazim menekan butang hijau. Panggilan diletakkan dalam mod pembesar suara.

"Hello? Assalamualaikum."

"Waalaikumusalam, Aqil."

"Kau tengah busy ke, Zim?"

"Tak lah. Ada apa kau call aku?"

"Betul ke berita aku baca... Kau dengan Mona dah bercerai?" suara Aqil bertanya perlahan di hujung talian, bimbang Hazim tersinggung.

Hazim terdiam sedetik.

"Ya. Dah seminggu, Qil. Itu keputusan terbaik untuk semua pihak." Hazim menjawab tenang.

"Takpe lah, Hazim. Kau dah cukup matang untuk berfikir. Aku yakin kau dah buat yang terbaik. Cuma aku nak tanya sikit, kau jangan marah tau?"

"Apa dia? Tanya je." Hazim ternantikan soalan dari Aqil.

"Macam mana dengan bini pertama kau? Korang masih bersama atau..."

Hazim sudah menjangka pertanyaan itu.

"Kami masih suami isteri. Ada perkara aku kena perbetulkan, Qil. Aku dah banyak lukakan hati dia. Sekarang aku on the way untuk jumpa dia. Kau doakan aku ye, Qil."

"Ayah dengan umi dah tahu ke pasal ni?"

"Dah. Teruk aku kena. Sebab tu Mona mintak untuk berpisah. Aku tak mampu Qil. Hati aku ni langsung tak ada perasaan dekat dia."

"Aku nak nasihat pun aku tak ada kat tempat kau. Yang penting, pertahankanlah rumah tangga kau dengan isteri kau. Aku doakan semua cepat selesai."

"Thanks Qil. Nanti aku cerita lanjut. Aku tengah drive ni."

"Yelah. Hati-hati. Jangan buat kerja gila dah. Malas aku dengar ayah membebel. Ni dah viral kat internet cerita kau, lagi satu Malaysia nak bising." dalam bercanda, Aqil memberi nasihat.

Hazim menyambut dengan gelak kecil. Mana tak gila, dahulu pun dia dan Hana kahwin lari Aqil yang jadi mangsa.

"Terima kasih, Aqil. Inshaallah, tak buat dah."

"Assalamualaikum."

"Waalaikumusalam."

Hazim berdehem kecil. Makin hendak sampai ke destinasi, makin cuak dia rasakan. Seluruh tubuh menggigil kesejukan. Mulut masih tak lekang berdoa.

.

Kereta diparkir di hadapan pagar rumah Haji Halim. Suasana rumah senyap, namun ada dua buah kereta tersadai di halaman. Mungkin penghuninya ada di dalam.

Terketar-ketar bibir Hazim, peluh membasahi tapak tangan. Dengan seribu kekuatan yang dikumpul, salam diberi.

"Assalamualaikum!"

Setelah tidak mahu lagi disuap makan, Hana meminta diri untuk keluar dari dapur. Azizah pula sedang dibantu oleh Halim untuk mengemas dapur.

Badrul sudah terlebih dahulu siap makan, entah ke mana pula abangnya. Baru ingin masuk ke bilik, Hana terdengar suara orang memberi salam. Tidak kuat, sayup-sayup kedengaran.

Hana berhenti sejenak untuk memastikan jika dia tidak salah dengar. Hatinya berdebar-debar ketika mendengar ucapan salam yang kedua kalinya.

Hazim melangkah masuk ke dalam pagar yang terbuka, agar kehadirannya disedari.

"Assalamualaikum!" sekali lagi salam dilaungkan.

Lama, sebelum pandangannya terpaku kepada gerangan yang membuka pintu rumah. Serta merta tubir matanya basah.

"Abang...." ucap Hana, seakan tidak percaya melihat siapa yang kini tercegat di hadapan rumah.

"Ati..!" Hazim memanggil.

Lemah langkahnya menuju ke arah Hana. Bersyukur wanita itu masih mahu melihat dia. Berlari kecil dia mendapatkan Hana.

"Abang!!" Hana menolak kerusi roda sekuat hati, mahu mendekati Hazim juga.

Hazim tersentuh melihat keadaan Hana, menitis air mata tanpa disedari. Tatkala mata mereka saling bertentangan, Hazim lekas membawa Hana ke dalam pelukan.

Segala rindu yang tak tertanggung, terlerai jua. Hazim menangis sambil mendakap erat Hana. Ubun-ubun isterinya dicium beberapa kali.

"Sayang.. maafkan abang... maafkan abang...!"

Merinai air mata Hana ketika berkali-kali Hazim mengucapkan kata maaf.

"Abang, kenapa abang lambat datang...Ati tunggu abang lama..." tersekat-sekat suara Hana.

"Maafkan abang...abang lambat.. Maafkan abang, Hana."

Hazim mengusap wajah Hana yang basah dengan tangis. Wajah itu sudah berlainan, sedih dan menyimpan seribu satu kisah duka.

Belum sempat dia membuka mulut ingin bertanya, terasa bajunya ditarik dari arah belakang.

"Abang..!!" menjerit Hana melihat sebutir penampar hinggap di pipi Hazim.

"Buat apa kau datang sini!!" Haji Halim yang muncul entah dari mana itu menyinga.

Hana yang hampir rebah ke tanah sempat disambut oleh Azizah. Makin kuat Hana menangis apabila melihat ayahnya mula memukul Hazim.

"Jantan tak guna! Berani kau muncul kat sini! Kau nak apakan anak aku?!"

Hazim terus diam membatu. Dibiarkan Halim membantai tubuhnya. Berderau darahnya bila kali ini datang pula seorang lelaki dari luar rumah, yang sama tinggi dengannya.

Tanpa amaran, sebuah penumbuk pula mengenai muka Hazim. Terjelopok dia jatuh ke tanah.

"Angah!!! Jangan!!" Hana menggelengkan kepala sambil meronta dalam pelukan Azizah.

"Abang!" Hana menjerit lagi waktu Badrul menarik kolar baju Hazim.

"Angah jangan angah!! Jangan pukul dia angah!"

Badrul mencengkam kuat t-shirt dipakai Hazim. Ada tompok darah di baju Hazim, datangnya dari hidung yang tadi terkena buku lima Badrul.

"Kau buat apa kat sini! Buat apa kau cari adik aku!! Cakap apa kau nak!" Badrul menghamburkan marah yang tak tertahan.

"Maafkan aku—Aku datang..... nak...minta maaff—" jawab Hazim sambil menahan perit di bahagian pipi.

"Pergi mampus!!" Badrul menolak jasad Hazim yang sama saiz dengannya.

"Kau dah musnahkan hidup adik aku! Senang-senang je kau datang nak minta maaf!! Jantan jenis apa kau ni?!"

"Ampunnn... pak cik... ampunkan saya—"

Tanpa mempedulikan jerkahan Badrul, Hazim mengengsot ke arah Halim yang hanya memandang dari tadi. Dadanya berombak laju kerana menahan marah.

"Saya suami Hana...pak cik... saya yang salahh... Ampunkan sayaa..." rayu Hazim sambil meraih kaki Halim.

Halim berganjak, tidak mahu disentuh Hazim. Hatinya masih sakit.

Badrul bengang mendengar pengakuan Hazim. Masih juga dia ingin membantai Hazim sampai lembik.

"Eh, sini kau!! Adik aku tak ada suami tak guna macam kau! Tak payah merayu!!"

"Mama, lepaskan Hana—" Hana berjaya melepaskan diri dari Azizah lalu meluru ke arah Hazim.

"Angah jangan! Pukul je Hana!! Pukul Hana, jangan pukul dia!" Hana sempat melarikan Hazim dari terus disakiti.

Azizah memandang dengan sayu Hana memeluk tubuh Hazim yang lemah longlai.

"Jangan hukum dia, ayah! Hana pun salah! Ampun ayah! Jangan pukul dia!" Hana meratap.

"Abang..." Hana mengesat darah yang mencemari wajah Hazim.

"Abang tak apa-apa?" Wajah suami diusap dengan pilu. Laju air mata mengalir melihat bibir Hazim yang pecah.

"Abang okey...." suara Hazim tersekat di kerongkong.

Masih mampu untuk bangun walaupun dalam kesakitan. Kesakitan itu tidak setanding apa yang pernah dia lakukan terhadap Hana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience