Eric memaku pandangan kepada wanita cantik di hadapannya. Wajah wanita itu kelihatan sangat serabut. Sejak dari awal pertemuan mereka di Dome’s Cafe ini, tiada langsung ayat yang keluar dari bibir wanita itu. Hanya tangannya yang ganas memegang garfu dan mencarik-carik kertas tisu di atas meja. Sekali tengok, macam orang sakit jiwa pun ada klien barunya ini. Eric mula bosan. Garfu di tangan Aulia segera dirampas.
“Masa aku terhad. Kalau kau ada kerja untuk aku, baik kau cakap sekarang. Kalau tak, aku nak balik!” Gertak Eric. Mata Aulia bulat memandang Eric. Ternampak urat-urat merah di dalam matanya. Nampak marah sangat. Eric tersengih kerana gertakannya menjadi.
“Aku nak kau bunuh perempuan ni.” Laju tangannya melempar satu sampul surat kepada Eric. Eric mengeluarkan gambar di dalam sampul surat itu. Liur ditelan.
“Kenapa kau nak aku bunuh perempuan ni?” Tanya Eric, cuba mencungkil rahsia.
“Kau tak perlu tahu apa sebabnya. Dah siap kerja kau, bagitahu aku.”
Eric mengangguk. Gambar Najla Arissa kembali disimpan ke dalam sampul surat coklat itu. Dia segera bangun, berkira-kira untuk meninggalkan Aulia. Baru saja dia mahu melangkah, Aulia kembali memanggil namanya.
“Kenapa kau tak nak ambil bayaran dari aku? Mana ada orang buat kerja dalam dunia ni secara percuma. Sekarang cakap. Berapa harga kau? Aku boleh bayarlah.”
Eric merenung tajam ke arah Aulia. Dia kembali merapati meja.
“Aku akan ambil bayaran bila kerja aku dah selesai. Kalau kerja aku tak selesai lagi, aku memang takkan ambil duit klien. Faham?”
“Hahaha…kau ingat aku nak percaya? Nah RM 30,000. Lepas ni…kau boleh berambus. Call aku bila kerja kau dah selesai.”
Tanpa menunggu balasan Eric, Aulia terus meninggalkan kawasan pertemuan mereka. Sakit hatinya semalam masih berbekas. Sejak Elman meninggalkan dia di dalam pejabat seorang diri, Aulia terpaksa menggunakan cahaya dari telefon bimbitnya untuk keluar dari situ.
Bila elektrik terputus, serta-merta perkhidmatan lif pun turut tergendala. Terpaksalah dia menggunakan tangga kecemasan untuk turun ke bawah. Takutnya, hanya dia saja yang tahu. Elman betul-betul tak berhati perut! Lebih memalukan, dia terserempak dengan pegawai-pegawai pencegah maksiat di aras bawah. Dengan berpakaian menjolok mata begitu, Aulia berasa dirinya hina sekali. Apa lagi, semakin membara dendamnya pada Najla Arissa. Dan dia tekad, nyawa Najla harus ditamatkan. Dia tak sanggup melihat Elman bersama-sama dengan perempuan yang paling dibencinya itu. Elman hanya miliknya seorang!
Eric memandang tajam ke arah Aulia yang semakin jauh meninggalkannya. Telefon bimbitnya dikeluarkan dari kocek baju. Nama bekas majikannya segera dicari dan apabila terjumpa, Eric terus mendail nombor itu.
“Hello…Dato’ Seri Tajul Ariffin? Saya Eric, ingat lagi?”
“Yes, Eric. Of course I remember you. What are you doing now? Masih dengan kerja pengintipan?”
Eric tergelak. Bekas majikannya ini masih baik dengannya. Mana mungkin dia hilang hormat kepada lelaki berpengaruh ini?
“Still with my current job but Dato’ Seri….Kali ni saya dapat job yang sangat menakutkan.”
“Apa dia? Dare to tell me?”
“Ia melibatkan hidup dan mati menantu Dato’ Seri, Najla Arissa. Anak Tan Sri Badlisham.”
Tawa Dato’ Seri Tajul Ariffin terus mati. Telinganya mula fokus pada cerita Eric. Menggigil tangannya apabila mendengar bekas kawan baik Najla dan kawan sejak kecil Elman berniat untuk membunuh Najla. Dato’ Seri Tajul Ariffin tidak akan membiarkan anak, menantu dan cucunya di dalam bahaya. Perancangan segera dibuat dengan Eric, bagi memastikan rancangan Aulia tidak berjaya.
Share this novel