Nediya keluar awal dari rumah hari ini. Dia bertekad untuk mencari kerja di sekitar kawasan kampung itu. Agak susah untuk mendapatkan kerja, tetapi dia tidak mahu berputus-asa untuk mencuba. Manalah tahu ada rezekinya. Selepas selesai bersarapan dengan emaknya, lekas-lekas dia bersiap dan bertemu emaknya.
"Mak, Dhia keluar dulu, ye. Doakan Dhia mak supaya Dhia dapatlah kerja." Mak cik Khadijah tersenyum kecil sambil berkata. " Doa mak sentiasa buat anak mak sorang ni. Kalau tak dapat lagi hari ni, Dhia jangan sedih. Allah pasti tolong hambanya yang rajin berusaha." kata Mak cik Khadijah. Nediya terus bersalaman dengan emaknya dan berkata. " Baik, mak. Dhia ingat pesan mak. Dhia pergi dulu ye, mak. Assalamualaikum." Salam itu terus disambut oleh Mak cik Khadijah. Teksi sudah pun sampai di perkarangan rumahnya. Nediya lekas masuk ke dalam teksi tersebut.
Seketika di dalam teksi, Nediya hanya termenung panjang. Selepas dia sudah tidak lagi bekerja di salon Kak Dira, sudah banyak tempat dia memohon pekerjaan, namun satu pun dia tidak dapat. Termasuklah hari ini, entah kali ke berapa dia berusaha mencari pekerjaan yang sesuai dengannya. Kalau dulu hidupnya senang kerana duit dan barang-barang yang dia nak semuanya dapat hasil daripada teman-teman lelakinya. Namun kini, dia terpaksa mengharungi dunia luar yang penuh dengan perangai dan gelagat manusia yang sebenar.
Semalam, Nediya sempat membuat research pasal kerja yang dia ingin mohon pagi ini. Dia takut bahawa dia kena reject lagi. Dia benar-benar berharap agar diterima untuk bekerja di situ. Jika tidak, mungkin dia terpaksa mencari pekerjaan di ibu kota. Oh tidak! Dia tidak sanggup meninggalkan emaknya seorang diri di kampung memandangkan emaknya sudah tua. Selama ini, emaknya hidup dengan duit daripada bantuan kerajaan. Oleh itu, dia berfikir sejenak, sudah tiba masanya dia memberi kesenangan kepada emaknya dengan duitnya sendiri.
Share this novel