Teja Untuk Arjuna 1

Short Story Series 2756

Gadis yang berbaju kurung serba putih itu duduk seorang diri di atas batu tepian sungai. Batu besar itu selalunya dijadikan tempatnya berjemur di petang hari kini telah ditakluki oleh gadis itu. Kakinya dibiarkan berjuntaian, menyepak perlahan air sungai yang mengalir lesu. Hampir setiap petang gadis itu menghabiskan masa di situ, dan hanya akan pulang apabila matahari mula terbenam.

“Ini tempat saya.” Gadis itu kelihatan terkejut. Cepat-cepat dia bangun tanpa berkata apa-apa. Dia hanya memandang gadis itu berlari anak meninggalkan dirinya yang terpinga-pinga. Beberapa hari dia menunggu kehadiran gadis itu di situ. Dia tahu gadis itu ada menghampiri tempat berjemurnya itu, namun mungkin kerana melihat kehadirannya di batu besar itu membuatkan gadis langsung berpatah balik. Telinganya cukup peka dengan kehadiran gadis itu setiap petang, tetapi malangnya kelibat gadis itu langsung tidak kelihatan.

Hari itu dia tidak mahu lagi berdiam diri. Dan petang itu seperti biasa gadis itu berjalan menghampiri tempat berjemurnya. Dan seperti tanggapannya, gadis itu berhenti di satu sudut di sebalik pokok sena yang besar, bersembunyi mengintai ke arah batu besar. Dia ketawa kecil. Langsung dia menghampiri gadis itu dari belakang.

“Apa yang awak cuba lakukan sebenarnya?” Dan dia ketawa lagi apabila melihat tubuh gadis itu terkejut, tegak tanpa berpaling kepadanya.

“Awak mengintai saya ya?” Dia terpaksa membongkokkan sedikit tubuhnya untuk berbisik pada telinga gadis itu yang hanya paras dadanya. Pantas gadis itu menggeleng tanpa berpaling kepadanya.

“Awak nak duduk sana ya?” Gadis itu mengangguk kepala.

“Awak suka duduk situ ya?” Sekali lagi gadis itu mengangguk kepala.

“Jadi kenapa awak dah lama tak datang sana?” Gadis itu diam tidak berkutik.

“Sebab saya ada?” Perlahan gadis itu mengangguk kepala.

“Saya tak kisah kalau awak nak duduk bersama dengan saya…” Pantas gadis itu berpaling kepadanya dengan mata yang bersinar.

“Tapi dengan dua syarat.” Sinaran pada mata gadis itu menyuram.

“Pertama awak kena bagi saya makan…” Belum pun dia habis berbicara, gadis itu berlari anak meninggalkannya terpinga-pinga, dan selang beberapa ketika gadis itu muncul semula dengan satu bekas plastik makanan langsung dihulurkan kepadanya. Dia ketawa besar, gadis itu spontan orangnya. Penutup plastik makanan itu dibuka, dan dia meneguk air liur. Cucur udang. Dia tersenyum simpul. Kecur air liurnya melihat udang besar pada cucur itu. Apabila dia mengalihkan pandangan, kelihatan gadis itu sedang memandangnya dengan pandangan berharap.

“Syarat kedua, awak kena jadi kawan saya.” Pantas gadis itu mengangguk kepala. Dan dia dengan senang hati menarik tangan gadis itu menuju ke batu besar tempat berjemurnya.

“Ni semua saya punya seorang?” Gadis itu mengangguk kepala.

“Awak tak nak?” Digelengkan kepalanya, matanya menembusi dasar sungai yang mengalir perlahan itu.

“Nama awak siapa?”

“Teja.”

“Saya Arjuna.”

“Abang Arjuna.”

“Tak boleh, panggil saya Arjuna.” Gadis itu menangguk kepala.

* * *

Seperti selalu gadis itu suka berteleku di atas batu yang paling besar di tepi sungai. Dan seperti biasa, gadis itu gemar mengenakan pakaian putih, dan kali ini tubuh genit itu disalut dengan gaun kembang labuh dengan riben merah terikat kemas di pinggang. Comel. Sesuai sungguh dengan warna kulit gadis itu yang kemerahan. Rambutnya hitam berkilat, lebat paras pinggang dibiarkan lepas.

Sesekali angin bertiup mengerbangkan rambutnya, namun kembali ke kedudukan asal, licin dan lembut tanpa kusut. Perlahan-lahan dia menghampiri gadis itu, yang leka memandang tembus ke dasar anak sungai yang cetek itu. Dicuit sedikit bahu gadis itu, membuatkan gadis itu berpaling kepadanya dan tersenyum manis.

“Awak lewat hari ni, Arjuna.” Dia tersenyum melihat cebikan pada bibir mungil gadis itu.
“Teja yang awal hari ni.” Gadis itu tersenyum nipis. Tangannya menghulurkan sandwich sardin kepadanya.

“Hari ni Umi datang rumah. Dia bawa Abang Tuah.”

“Sebab tu Teja keluar awal?” Gadis itu menangguk kepala. Dia tersenyum nipis. Gadis itu sukar untuk berbicara dengan orang lain selain darinya. Baik dengan Mak Pah, ataupun Ayah Tok, Teja hanya membuka mulut apabila perlu sahaja. Selebihnya hanya anggukan dan gelengan diberi sebagai jawapan.

“Abang Tuah tu dah habis sekolah. Umi kata Abang Tuah tu nak tinggal dengan Umi sampai dapat keputusan SPM.” Gadis itu berbicara tanpa memandang kepadanya seperti selalu. Rambutnya pang panjang itu dibiarkan menutupi wajahnya yang comel itu.

“Baguslah, Teja akan ada kawan nanti.”

“Sekarang ni pun Teja ada kawan dah.” Gadis itu masih tidak memandang kepadanya. Jemarinya memintal-mintal hujung gaunnya. Keadaan gadis itu membuatkan semua kanak-kanak seusia dengannya takut mahu menegurnya. Gadis itu gemar mengenakan pakaian putih, berjalan dalam keadaan sedikit membongkok dan menundukkan kepala, rambutnya yang hitam lebat paras pinggang itu dibiarkan mengurai menutupi wajahnya dan kesukaran dia membuka mulut membuatkan kanak-kanak di kampung itu mengatakan dia bisu.

“Arjuna, sebenarnya umur Arjuna berapa ya?”

“Kenapa?” Dia tersenyum, kerana pertama kalinya gadis itu memandangnya apabila berkata-kata.

“Kalau dilihat dari tubuh badan, mungkin sebaya dengan Abang Tuah, tapi kenapa Arjuna melarang Teja memanggil Arjuna abang?”

“Kerana Teja sahabat Arjuna. Sahabat tak perlukan panggilan lain kan?” Dan dia cukup bahagia melihat gadis itu tersenyum dengan mata yang bersinar-sinar gembira. Seperti selalu, setelah penuh perut di isi dengan bekal yang dibawa Teja, dia melabuhkan kepala ke paha gadis itu, dan seperti biasa gadis itu akan mengusap kepalanya sehingga dia terlena.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience