Tiga bulan telah berlalu, seperti yang diduga oleh Areen, ahli keluarganya mengahalau dirinya keluar daripada rumah apabila mengetahui bahawa dirinya mengandung anak di luar pernikahan. Areen dihalau sehelai sepinggang dan tidak mahu diakui sebagai ahli keluarga mereka lagi. Areen sempat dipaksa untuk menggugurkan kandungan itu jika Areen masih mahu tinggal bersama ahli keluarganya tetapi Areen tidak mahu melakukan perkara terkutuk itu. Dia sentiasa ingat pesanan Rina mengenai azab Allah. Biarlah dahulu dia pernah terhayut dengan dunia ini janganlah dia melakukan lagi sesuatu yang dimurkai Allah.
Dia bersyukur kepada Allah kerana masih diberikan kesempatan untuk bertaubat sebelum dia meninggal dunia. Haikal yang sudah mengetahui mengenai soal kandungannya mahu bertanggungjawab. Mereka berkahwin secara sederhana di hospital memandangkan Haikal masih belum sembuh sepenuhnya. Di hari itu bukan hanya kebahagiaan buat Areen semata-mata tetapi buat Rina juga apabila dia akhirnya sudah ‘bebas’ selepas tamat iddahnya. Rina dan Haikal sudah sah bercerai apabila Haikal melafazkan talak satu kepada Rina tiga bulan yang lalu. Kejadian itu masih segar dalam ingatan Areen kerana dia tidak pernah melihat seseorang yang bahagia apabila talak dilafazkan oleh sang suami.
Tiga bulan yang lalu apabila semua orang berkumpul untuk menziarahi Haikal apabila lelaki itu dikhabarkan sudah di dalam keadaan yang membaik, Haikal memanggil Rina yang sedang duduk di sofa tidak jauh daripada katilnya.
“Rina, mari ke sini sebentar. Ada sesuatu yang mahu saya berikan kepada awak.” Haikal memanggil Rina yang sedang melayan Qalifh yang sedang bermain.
Rina yang diseru namanya oleh Haikal mendekati dan duduk dikerusi menggantikan Areen yang sudah bangun mempersilakan dirinya duduk disamping Haikal. Rina memandang Haikal dengan wajah yang tenang.
“Rina, apakah hadiah yang awak inginkan daripada saya yang akan buat awak bahagia jika awak mendapatkannya?” Haikal bertanya bersungguh-sungguh kepada Rina dengan wajah yang diseriuskan sehingga orang yang berada di dalam kamar wad itu memandang ke arah mereka.
“Tiada apa-apa yang saya inginkan daripada awak Haikal. Cukup awak sembuh sepenuhnya dan menjalani kehidupan yang bahagia bersama Areen.” Rina menjawab bersungguh-sungguh juga kerana dia memang tidak pernah menginginkan apa-apa daripada lelaki itu.
“Mahukah awak terima hadiah yang saya akan berikan pada awak?” Haikal bertanya lagi masih dalam keadaan yang sama seriusnya.
“Jika hadiah itu baik InsyaAllah saya akan menerimanya dengan baik juga kerana saya benar-benar tidak inginkan apa-apa daripada awak.” Rina mengalah apabila melihat Haikal yang seperti memaksa dia menerima hadiah daripada lelaki itu.
Mendengar jawapan Rina itu wajah Haikal mengukir senyuman. Ditariknya laci meja kecil disebelahnya dan diberikan bekas panjang berbaldu biru kepada Rina. Rina membuka bekas itu dan melihat gelang tangan emas putih yang indah. Disaat semua yang berada disitu memuji kecantikan gelang tangan itu tetapi tidak Rina yang hanya memandang dengan pandangan biasa. Rina sudah tidak pernah tertarik lagi dengan perhiasan wanita selepas dia mencuba menjadi orang yang sederhana mungkin. Dicuba kawal nafsunya daripada mencintai kebendaan dan bersyukur dengan apa yang diperolehinya saja.
“Terima kasih.” Rina tetap mengucapkan terima kasih kepada Haikal sebagai tanda dia menghargai pemberian seseorang terhadap dirinya.
“Sebenarnya bukan gelang itu yang saya ingin berikan kepada awak. Anggap saja itu sebagai hadiah diatas hadiah yang akan saya berikan kepada kepawa awak.” Haikal menegakkan badannya dan dihadapkan separuh badannya yang tidak lumpuh kepada Rina.
“Rina Altafunisa, maafkan saya diatas kesalahan saya kepada awak selama ini. Sayalah manusia yang paling rugi kerana tidak pernah menghargai wanita sebaik awak sebagai isteri. Saya banyak melakukan kesalahan kepada awak dan Qalifh tetapi diatas kebaikan awak saya berjanji kepada awak saya akan memperlakukan Areen dan anak kami yang bakal lahir dengan sangat baik sebagai menebus apa yang saya tidak lakukan kepada awak dan anak kita.” Haikal menarik nafas dalam sebelum dihembuskan perlahan-lahan.
“Bersaksikan mereka yang berada di dalam bilik ini, Rina Altafunisa aku ceraikan kau dengan talak satu. Mulai daripada detik ini aku bukan lagi suamimu dan kau bukan lagi isteriku. Kau bebas daripada tanggungjawab seorang isteri dan aku berikan kebebasan yang selama ini kau rindukan. Pergilah, carilah kebahagiaan kau yang pernah aku ragut satu ketika dulu. Maafkan aku, Rina Altafunisa.” Selesai melafazkan talak kepada Rina air mata Haikal menitis membasahi pipinya. Dia tidak malu lagi menanyangkan air mata jantannya mengalir dihadapan orang lain.
Mendengar talak dilafazkan fikiran Rina seakan kosong. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Rina seakan-akan dibawa ke alam lain apabila sebarang bunyi disekelilingnya juga tidak didengarinya. Rina tersedar kembali apabila badannya dirangkul ke dalam pelukan oleh Aqilah. Disaat itu barulah Rina mendengar suara tangisan Aqilah. Mendengar tangisan itu dia yakin bahawa dia tidak bermimpi. Dengan pantas Rina bangun dan pergi ke ruangan yang kosong sebelum menghadap kiblat lalu dia mengangkat takbir dan bersujud lama kepada Allah.
Jika penceraian menjadi satu musibah bagi setiap wanita tetapi bagi Rina itu adalah satu nikmat yang sukar digambarkan untuk dirinya. Hampir beberapa tahun dia terseksa dengan perkahwinan yang tiada bayangannya kini dia bebas daripada menjadi isteri seseorang. Dia mendapat semula kebebasan yang selama ini dirampas dengan paksaan. Rina bangkit semula daripada sujudnya dan memberikan salam sebelum dia menadah tangannya berdoa kepada Allah.
Di satu sisi lain pula, Tan Sri Mansur memeluk Haikal dengan erat. Dia tahu keputusan yang diambil Haikal adalah keputusan yang berat apabila dia harus memilih sama ada Rina atau Areen. Haikal tidak mahu kedua sahabat itu bermadu kerana dia tahu dia tidak mampu berlaku adil kerana pasti hati akan ada hati yang terluka. Jika dia memilih Rina, Areen pasti akan menanggung malu yang amat besar kerana mengandung tanpa seorang suami dalam masa yang sama juga Rina tidak akan bahagia kerana dia tahu wanita itu tidak mencintainya tetapi jika dia memilih Areen dia akan kehilangan Rina wanita yang sudah mula dicintainya. Jika dia disuruh jujur dengan hatinya, dia mencintai Rina Altafunisa tetapi bukanlah beerti dia tidak mencintai Areen cuma cintanya terhadap Rina lebih besar daripada cintanya terhadap Areen.
“Ikhlaskan dia. Rina Altafunisa bukan milik kamu Haikal.” Tan Sri Mansur menepuk belakang anaknya dengan lembut memberikan Haikal kekuatan.
“Areen?” Mendengar namanya diseru oleh Rina membuatkan Areen yang termenung panjang tersedar semula. Dia melihat Rina yang menuruni anak tangga dipapah oleh Aqilah. Tujuan dia datang ke rumah Aqilah adalah untuk melawat Rina yang sedang sakit dan ingin memberikan sesuatu kepada Rina.
“Rina, saya dengar awak sakit sebab itulah saya datang untuk melawat.” Areen bangun dari duduknya dan membantu Aqilah memapah Rina untuk duduk di atas kerusi.
“Alhamdulillah, saya sakit sikit saja. Terima kasih kerana datang melawat saya. Buat susah-susah saja.” Rina menarik tangan Areen supaya duduk semula.
“Sikit kau kata? Sampai darah keluat dari hidung itupun dikira sakit sikit ke? Degil kau ni, aku ajak pergi klinik tak nak.” Aqilah membebel apabila Rina tidak mahu dibawa ke klinik walaupun hidungnya sering mengeluarkan darah akibat suhu badan yang panas.
“Biasalah musim panas macam ni memang senang aku jatuh sakit. Tak ada apalah yang kau perlu risaukan, Aqilah. InsyaAllah beberapa hari lagi sembuhlah penyakit ni.” Rina menggelengkan kepala sambil ketawa kecil melihat gelagat Aqilah yang sering memarahinya akibat tidak mahu ke klinik.
“Tapi betul kata Aqilah, lebih baik kita cepat merawat daripada makin teruk.” Areen yang bersetuju dengan Aqilah segera menyokong Aqilah agar Rina mahu ke klinik.
“Kau tengok, Areen pun sokong cakap aku. Degil kau ni. Qalifh lagi berani ke klinik daripada umminya.”Aqilah masih tidak berpuas hati selagi Rina tidak mahu ke klinik.
“Baiklah, jika aku masih sakit besok kita pergi ke klinik ya.” Akhirnya Rina mengalah apabila dia melihat wajah Aqilah yang masih mencuka.
“Besok kau tak nak pergi aku paksa kau juga walaupun aku terpaksa dukung kau ke sana.” Aqilah mula memberikan ugutan kepada Rina yang hanya ditanggapi Rina sebagai gurauan.
“Qalifh mana?” Areen bertanya apabila sejak daripada dia sampai tadi dia tidak melihat Qalifh di rumah Aqilah.
“Qalifh keluar bersama ibu dan ayah Aqilah ke pasar raya.” Rina menjawab pertanyaan Areen sambil melihat ke arah jam di dinding untuk melihat sudah berapa lama Qalifh dan ibu bapa Aqilah keluar berjanlan-jalan.
“Papa dan semua orang sihat?” Rina bertanya apabila sudah seminggu dia tidak bertemu dengan Tan Sri Mansur.
“Alhamdulillah semua orang sihat, semua orang rindukan awak dan Qalifh datang bermain di rumah.” Areen tahu Tan Sri Mansur sudah seperti seorang ayah kepada Rina kerana hubungan mereka sangat dekat walaupun Rina sudah menjadi bekas menantunya tetapi itu tidak menghalan Tan Sri Mansur untuk terus menyayangi Rina seperti anak kandungnya sendiri.
Mereke berbual tentang itu dan ini sambil menikmati biskut dan kek yang baru dibakar oleh Aqilah semalam. Sejak sebulan yang lepas Aqilah telah memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual biskut dan kek. Syukur kepada Allah perniagaan Aqilah dipermudahkan kerana biskut dan kek yang dibuat sangat sedap dan menepati citarasa setiap pembeli sehingga kadang-kadang sampai larut malam Aqilah membuat kek yang ditempah. Disebabkan itu juga Aqilah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memfokuskan kepada perniagaannya sahaja.
“Alhamdulillah, dapat jugak aku merasa biskut dan kek buatan Aqilah. Kalau tak asyik penuh saja kalau nak order.” Areen memuji Aqilah yang sudah tersipu malu apabila dipuji sebegitu.
“Alah kau ni Areen, malu aku dibuatnya. Terima kasih atas pujiannya. Jangan risau aku dah bungkuskan untuk kau sekeluarga hari ini. Jangan lupa bagi review dengan sosial media.” Aqilah dan dua sahabatnya itu ketawa mendengar kata-katanya sendiri.
“Oh ya, sebelum aku terlupa. Sebenarnya aku ada tujuan lain juga datang ke sini.” Areen baru teringat akan pesanan Haikal yang diamanahkan kepada dirinya untuk diberikan kepada Rina.
“Apa dia?” Rina dan Aqilah bertanya serentak.
“Ini lokasi dimana keberadaan dia. Orang upahan Haikal sudah menemui Aqil.” Areen menghulurkan secebis kertas yang mempunyai alamat keberadaan Aqil ketika ini. Haikal memang sengaja memberikan kepada Rina agar wanita itu mampu memujuk Aqil untuk kembali semula ke rumah Tan Sri Mansur.
Rina mengambil kertas itu dengan tangan yang tiba-tiba menjadi sejuk. Rina menarik nafas yang dalam sebelum memandang Aqilah memberikan isyarat kepada sahabatnya itu. Aqilah adalah orang yang selalu menemaninya untuk mencari Aqil jika wanita itu berkelapangan.
“Tapi kau tak sihatkan yang nak berjalan jauh ke sini.” Aqilah yang mengerti pandangan Rina itu mengeluh apabila melihat keadaan Rina yang lemah tetapi masih mahu mencari Aqil.
“InsyaAllah, aku kuat. Aku harus bawa Aqil pulang ke pangkuan Tan Si Mansur kerana aku tidak akan tenang selagi dia tidak ditemui. Semua yang terjadi kerana aku, Aqilah. Aku tak dapat tidur dengan lena kerana perasaan bersalah ini.” Rina memujuk Aqilah sahabatnya itu mahu menemaninya untuk mencari Aqil besok.
Melihat Rina yang bersemangat mahu mencari Aqil itu akhirnya Aqilah mengalah dan mengangguk dengan terpaksa. Dia tahu Rina tidak berbohong apabila sahabatnya itu mengatakan bahawa tidurnya tidak lena kerana dia sendiri sering melihat Rina menatap diari Aqil yang diberikan Tan Sri Mansur di hospital dahulu setiap malam. Bahkan dia juga sering mendengar Rina yang menangis selepas solat malamnya berdoa agar Allah mempertemukan Aqil semula kerana perasaan bersalah yang menapak di dalam hatinya semakin menebal.
Share this novel