Penghalang Cinta!

Romance Completed 117449

BAB 37

            ENJIN kereta dihidupkan dengan tergesa-gesa, kenderaan itu mula bergerak keluar dari kawasan letak kereta kondominium super mewah itu. Apabila aku turun ke bawah lima belas minit tadi aku lihat Harry sedang masuk ke dalam sebuah ambulan. Aku hanya terfikir ia pasti berkaitan dengan Sallyna. Persoalan aku itu akhirnya terjawab apabila aku bertanya kepada seorang pengawal keselamatan mengenai kejadian yang berlaku. Darahku benar-benar kering kali ini kerana terlalu terkejut. Lantas aku kembali ke atas untuk mengambil kunci kereta Harry. Aku juga ingin segera ke sana, jika aku menunggu teksi atau bas sudah tentu akan mengambil masa.

            Aku tiba juga di hospital setelah memandu hampir 30 minit. Aku terus pergi ke kaunter untuk bertanyakan di mana Sallyna di rawat. Tetapi ketika itu juga aku terlihat Karl tergesa-gesa menuju ke pintu lift. Ah, mungkin abang Sallyna juga baru mendapat tahu hal ini. Tanpa sempat menyoal jururawat yang bertugas di kaunter aku terus membututi langkah Karl yang langsung tidak menyedari kehadiranku. Karl sempat menahan pintu lift yang hampir tertutup dan aku meluru masuk. Ketika itu barulah Karl menyedari aku di situ.

            “Terima kasih Encik Karl!” Ucapku kepadanya kerana menahan pintu lif untuk aku.

            “Maaf, saya tak perasaan Aya di belakang tadi. I’m rushing.” Kata Karl.

            Dalam lif itu ada kami berdua dan satu pasangan suami isteri. Aku berdiri di sebelah Karl. “Tak apa, saya pun rushing.”

            “Aya ke tingkat berapa?” Soal Karl apabila menyedari aku masih belum menekan apa-apa butang.

            “Saya datang ni pun sebab cik... Sallyna.” Agak tergagap juga aku menerangkan hal itu. Apa pula pandangan Karl, ya? Aku bukannya rapat sangat dengan Sallyna, tetapi datang tepat pada masa pula apabila wanita itu dimasukkan ke hospital.

            Wajah Karl sedikit hairan tetapi dia tidak menjawab apa-apa kerana mungkin lebih risaukan hal adiknya itu. Kami tidak bercakap lagi sehinggalah tiba di tingkat 6 dan Karl melangkah keluar. Dia turut mempelawa aku keluar bersamanya. Karl, walaupun dalam keadaan seperti ini dia masih ada adab. Aku memang menghormatinya.

            Langkah Karl memang sangat laju dan aku hampir tidak boleh menyainginya. Kami tiba ni unit rawatan rapi dan aku lihat Ray sudah pun berada di situ. Aku jadi serba salah pula apabila melihat wajah Ray yang memandang aku dengan satu renungan yang tidak menyenangkan hatiku.

            “Ray, what is going on?” Karl terus bertanya dengan risau sekali.

            “Overdose.”

            Karl menggeleng tidak percaya. “But, why?!”

            Ketika inilah mata Ray sekilas melirik ke arahku, sepertinya dia sudah tahu hal yang sebenar. Tetapi aku tidak melihat Harry di sini! Ke mana pula dia pergi?

            “Sally mungkin ada tekanan.” Ray tidak komen banyak kerana dia sedar perkara itu hanya akan memburukkan keadaan.

            “Tekanan? Sallyna bukan orang bodoh nak buat benda macam tu. I tak percaya, mesti ada something wrong!”

            “I don’t know for sure, Karl. Hanya Sallyna aje yang tahu apa yang berlaku, dia pasti akan ceritakan kepada kita bila dah sedar nanti.” Balas Ray cuba untuk menenangkan Karl.

            “You tunang dia, Rayyan. Mustahil you tak tahu apa yang berlaku. I cuma nak tahu siapa yang bertangungjawab atas apa yang terjadi kepada Sallyna.” Karl semakin tidak dapat mengawal perasaannya. Dia sukar untuk mempercayai adiknya sanggup melakukan perkara sejauh itu.

            Ray terdiam sejenak seperti ingin mengatur pernafasannya yang terganggu kerana digasak oleh perlbagai soalan dari Karl.

            “Karl, I sendiri tak percaya apa yang berlaku ni,” Ray berbohong. Sudah pasti dia tidak terlalu terkejut kerana kejadian seperti ini sudah dua kali berlaku. Bermakna ini bukan kali pertama. Cuma kejadian lepas tidak ada siapa yang tahu melainkan dirinya.

            “Macam mana you jaga Sallyna, Ray! Macam ni ke aku nak serahkan adik aku kat kau!” Karl sudah sukar mengawal emosinya sehingga membahasakan ‘aku, kau’ kepada Ray.

            “Sir, please calm down.” Tegur seorang jururawat yang melalui tempat itu menuju ke bilik pemedahan.

            Karl seperti tersedar kesilapannya lalu meminta maaf kepada Ray. Aku seperti ingin berpatah balik. Tiba-tiba aku terasa yang aku tidak sepatutnya berada di sini. Keadaan semakin menjadi panas, dan aku sudah tidak betah lagi untuk terus berada di sini. Harry pula tidak kelihatan, itu menambahkan rasa hairan di fikiranku.

            Karl duduk di kerusi dengan resah. Ray melihat aku yang hanya berdiri terpacak agak jauh dari mereka terus melangkah menghampiri aku. Semakin rasa gelisah aku ketika itu.

            “Macam mana Aya tahu?” soal Ray perlahan supaya Karl tidak terdengar suaranya.

            Aku mencari idea untuk menjawab di dalam kepala, namun aku buntu. Kalaulah aku beritahu tentang Harry, aku sendiri tidak pasti sama ada Ray sudah tahu perkara sebenar atau tidak. Dan lebih rumit lagi jika Ray tahu aku berada di tempat kejadian, yakni kawasan perumahan Harry.

            “Harry ada kat sini tadi.” Beritahu Ray apabila agak lama menunggu jawapan dariku. Memang aku tidak terkejut dengan kata-kata Ray itu cuma aku hairan ke mana menghilangnya Harry sekarang. Aku masih diam dan tidak mahu cakap apa-apa kerana aku lihat Ray seperti ingin menceritakan sesuatu.

            “Tapi saya dah suruh dia balik, Karl tak boleh lihat Harry kat sini.”

            Kini barulah aku mengangguk faham. Rupanya begitu, memang betul juga tindakan Ray kerana Karl mesti hairan jika lihat Harry berada di sini. Pasti dia akan mensyaki sesuatu. Apa yang menimpa Sallyna bukan kemalangan biasa, tetapi cubaan membunuh diri!

            “Aya balik dulu, saya akan uruskan hal Karl. Saya akan beritahu dia yang saya inform hal Sallyna kat Aya. Itupun, kalau Karl tak tahu lagi macam mana Aya boleh ada kat sini.”

            “Ya, dia tak tahu.” Jawabku pendek. Kemudian Ray mengangguk perlahan.

            “Senior,” panggilku apabila Ray sudah memusing badannya untuk kembali kepada Karl. Ray menoleh dengan senyuman kelat.

            “Terima kasih...” Ucapku perlahan. Ray hanya mengangguk kecil bersama kerdipan matanya yang redup.

            Aku kembali ke kereta dan duduk di dalamnya sambil memikirkan hal Sallyna. Mengapa wanita itu sanggup melakukan hal ini, adakah cinta itu terlalu penting sehingga kita sanggup memisahkan nyawa dari badan. Bukankah itu hanya tindakan orang yang berputus asa dengan rahmat Tuhan? Aku sedar cinta itu boleh menterbalikkan hati dan jiwa kita dari keadaan yang normal menjadi sebaliknya. Tetapi, cinta sepatutnya mengajar kita menjadi lebih kuat, bukannya lemah. Siapa yang menjadi lemah kerana cinta, mereka adalah orang yang tidak berpegang kepada qada dan qadar Allah.

**********

            KOD nombor untuk membuka pintu rumah Harry aku tekan dengan lemah. Apabila selesai, aku membuka pintu itu dan terus masuk. Aku mencari Harry di seluruh kawasan rumah, namun dia tidak kelihatan lansung. Adakah Harry tidak boleh balik kerana tiada tambang? Lelaki itu keluar ke rumah sehelai sepinggang tanpa membawa dompet mahupun telefon bimbitnya. Aku mula risau tentang dirinya yang berada di luar, risau jika dia dijumpai wartawan dalam keadaan seperti itu. Aku mundar mandir di ruang tamu sambil memikirkan apa yang perlu aku buat untuk mencari Harry. Takkanlah aku perlu meronda di sekitar bandar ini untuk mencarinya di tepi jalan? Ah, ini bukan drama dalam TV. Hampir mustahil untuk mencari seperti itu, bandar ini luas!

            Krek! Kedengaran pintu dibuka dari luar. Aku pantas menoleh ke arah pintu kerana aku yakin dia sudah pulang. Memang benar, Harry masuk dengan langkah yang lemah. Dia membuka kasut dan menyarung kasut yang disediakan untuk dipakai dalam rumah. Aku yang berdiri di tengah-tengah ruang tamu beredar ke dapur kerana aku yakin Harry tidak mahu melihat muka aku di waktu seperti ini. Aku sedar, muka aku ini cuma menambah perisa masalah dalam ramuan yang ada di dalam hatinya sekarang. Sedih? Tidaklah, aku tidak pernah mengharapkan apa-apa lagi dari lelaki itu. Dan aku sudah berhenti mengharap sejak lapan tahun lalu. Jadi, aku tidak akan bersedih lagi walau apapun yang berlaku. La Tahzan, Insya-Allah.    

            Di dapur, aku melihat makanan yang terhidang selepas aku masak untuk makan tengahari tadi. Kini sudah sejuk. Aku memanaskan semula lauk walaupun aku pasti Harry sudah hilang selera untuk makan. Selesai memanaskan semua masakan tadi, aku menghidangkannya semula. Kemudian aku menanggalkan apron dan disangkut di tempatnya. Aku sudah siap tugasku hari ini, rasanya rancangan untuk keluar shopping sudah dibatalkan, jadi aku bolehlah balik sekarang.

            “Opocot!” aku melatah apabila tersempak dengan Harry di pintu dapur menghala ke ruang tamu. Harry yang tinggi lampai itu menunduk melihat wajahku yang sudah pucat. Darahku kering. Lama-lama boleh terkena serangan jantung juga aku ini kerana terlalu banyak kejutan demi kejutan. Nauzubillah!

            “Aku lapar, cepat sediakan makanan.” Ujar Harry tanpa sebarang riaksi di wajahnya. Kosong.

            “Ya, semuanya dah dihidangkan.”Jawabku. Melihat Harry sudah melangkah menghampiri meja makan dan duduk di situ. Aku segera berpatah balik dan menuangkan air ke dalam gelasnya. Harry minum dengan sekali nafas, dia kelihatan benar-benar dahaga.

            “Sa... saya balik dulu lepas ni, ya. Jadi, awak boleh berehat.” Ujarku sambil mencedok nasi ke dalam pinggan untuknya.

            Harry tidak menjawab apa-apa, itu bermakna dia bersetuju. Lantas, sesudah menyediakan apa yang patut termasuk memotong buah kiwi kegemarannya, aku terus melangkah keluar dari rumah itu.

**********

            DALAM perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki bas aku mendapat panggilan dari kampung. Sekali lagi hatiku menjadi rawan. Baru-baru ini ayah menelefonku dan memberitahu sesuatu yang sukar untuk diterima otakku. Nak jodohkan aku dengan anak kawan mak cik?! Sejak bila ayah terpengaruh seperti itu, dahulu ayah selalu memberi ruang kepada kami untuk menentukan pasangan hidup sendiri. Atau, ayah sudah tidak percayakan aku lagi?

            “Aya, ini mak cik ni,” kedengaran suara mak cik aku di hujug talian.

            “Ya, mak cik.” Hatiku berdebar.

            “Macam mana dengan hal tempoh hari tu Aya. Aya dah buat temujanji dengan Khairil ke?”

            “Emm... belum lagi mak cik. Aya sibuk sekarang ni. Kerja Aya ni tak menentu cutinya.” bukan aku ingin mengelak, tetapi hal ini memang benar. Buatnya tengah bertemu dengan lelaki itu, tiba-tiba Harry memanggil aku seperti ketika aku bersama Ray dulu?

            “Aya, cubalah minta cuti. Anak kawan mak cik tu pun dah tahu hal ni. Dia memang bersedia nak jumpa Aya. Alah... jumpa je dulu Aya. Mak cik bukan nak paksa Aya. Kalau berkenan apa salahnya kan, kalau tak itu urusan Aya dengan dialah. Mak cik cuma nak jalankan tangungjawab aje Aya. Mak Aya dah tak ada, jadi mak cik pun nak buat sesuatu untuk kebaikan Aya...” jelas mak cik panjang lebar.

Kerana kata-kata itulah membuat aku terharu sebelum ini. Ketulusan mak cik itu membuatkan aku rasa bersalah untuk menolak. Maksud aku untuk berjumpa dengan lelaki itu. Jika aku tidak suka, mak cik tidak memaksa. Jadi, tidak ada masalah di situ kan? Cuma berjumpa aje, lagipun aku akan ambil pengalaman blind date sebelum ini untuk bertemu dengan Kharil. Ya, ini pun seperti blind date jugalah kan?

            “Baiklah, saya akan hubungi dia nanti mak cik, Insya Allah.” Aku mengeluh halus. Talian diputuskan dan aku terus membuang pandangan ke luar. Bas itu bergerak dengan kelajuan sederhana melalui kesesakan jalan. Khairil? Aku menyebut nama lelaki yang belum pernah aku temui itu. Harap-harap awak tidak sukakan saya.

            Aku berjalan kaki menuju ke rumah setelah bas menurunkan aku di jalan utama. Aku melangkah perlahan sedang otakku sesak dengan bermacam hal untuk difikirkan. Sebuah kereta berwarna hitam tersadai di hadapan rumah, aku mengecilkan mata memerhati dari jauh. Kereta itu seperti aku kenali. Aku menghampiri dengan langkah yang lebih luas. Ketika aku semakin hampir, orang yang berada di dalam kereta itu membuka pintu untuk keluar.

            “Aya,”

            “Se... senior!” Aku memang sangat terkejut. Bukankah dia sepatutnya berada di hospital. Adakah ada apa-apa yang berlaku terhadap Sallyna? Aku mula rasa tidak sedap hati.     “Maafkan saya sebab datang secara tiba-tiba. Tapi, boleh kita pergi ke tempat yang sesuai untuk berbual?”

            Melihat wajah Ray yang tenang itu sedikit mententeramkan jiwaku yang kacau.     “Boleh, ada garden kat hujung rumah taman ni. Petang-petang macam ni ramai orang pergi beriadah.” Aku memberi cadangan.

            “Okey. So, jomlah.” Ajaknya.

            Aku mengangguk setuju. Kami hanya berjalan kaki berjalan ke sana kerana tempat itu tidaklah jauh mana. Taman permainan itu sangat luas, ada kawasan khas untuk berjoging, kolam ikan yang luas, dan juga sangkar yang besar menempatkan pelbagai jenis burung. Ramai keluarga yang keluar membawa anak-anak mereka datang bermain petang itu kerana cuaca yang redup.           

            Aku terus menuju ke buaian dan duduk di situ. Ray hanya tersenyum, dia juga turut duduk di atas buaian di sebelah aku.

            “Rasanya dah 20 tahun tak datang tempat macam ni.” Ray ketawa kecil.

            “Nanti kalau dah ada anak-anak boleh la selalu datang.” Selorohku. Masih ada sedikit mood untuk berjenaka.

            “Dulu pun saya datang tempat macam ni dengan pengasuh. Entahlah kalau anak-anak saya nanti.” Luahnya.

            Kasihannya, itulah kehidupan sebenar mereka. Sedangkan aku dan adik beradiku dulu selalu datang dengan ayah dan ibuku. Bila dah semakin besar kami datang berjoging pula. Tiba-tiba aku sangat merindui waktu itu.

            “Emm, macam mana keadaan Cik Sallyna?” Aku bertanya juga setelah mengumpul kekuatan.

            “She’s fine. Tapi dia masih tidak sedar. Doktor kata dia stabil...”

            Aku mengangguk perlahan. “Alhamdulillah. Macam mana pula dengan Encik Karl?”

            “Dia tunggu Sallyna sedar aje. Dia tak mahu terburu-buru menyiasat, lagipun dia tidak mahu hal ini terdedah kepada media.”

            “Macam tu...” Aku mengangguk lagi.

            “Kenapa Aya? Aya tahu hal sebenar, kan?”

            “Ah?” Aku sedikit terkejut namun berjaya mengawal riaksi wajahku.

            “Saya tak akan marah kalau Aya ceritakan hal sebenar.” Pujuk Ray, ingin membuat aku membuka mulut.

            “Harry tak cerita apa-apa ke?” Aku memberanikan diri bertanya.   

            Ray menggeleng perlahan. “Saya dihubungi oleh pihak hospital, mungkin Harry yang bagi nombor saya. Bila saya sampai kat sana, Harry tunggu kat depan bilik pemedahan. Saya tanya dia apa yang berlaku, tapi dia tidak cakap apa-apa. Jadi, saya terpaksa tanya nurse, dia beritahu saya Sallyna menelan pil tidur dengan berlebihan. Saya terus pergi mendapatkan Harry, menyuruh dia pergi dari situ sebelum Karl sampai. Buat masa ni, saya tak mahu Karl tahu masalah kita orang, ini akan lebih menyukarkan keadaan.”

            Aku mendengar satu persatu cerita Ray, dia kelihatan sedikit runsing memikirkan masalah yang satu itu. Walaupun dia tidak mencintai Sallyna, tetapi dia juga bertangungjawab ke atas tunangnya itu. Sekarang ini, semua orang sedang risaukan tentang wanita yang cantik itu. Karl, Ray, Harry...

            “Sebenarnya apa yang Aya tahu tentang hal Sallyna?” Tanyanya sekali lagi.

            Aku menunduk melihat tanah, dua belah tangan aku memegang tali buaian dengan kejap. Satu keluhan kecil timbul di bibirku,

            “Cik Sallyna datang jumpa Harry, mereka bertengkar. Mungkin Cik Sallyna memang tengah tertekan masa tu, jadi walaupun Harry cakap sikit, dia dah betul-betul kecewa...”

            “Apa yang Harry cakap?”

            “Saya tak berapa dengar, tapi Harry macam cakap supaya Cik Sallyna teruskan bersama senior...” Perlahan sahaja suaraku.

            Ray mengeluh sambil meraup wajahnya dengan tapak tangan. “Sallyna sanggup buat apa sahaja demi nak mendapatkan perhatian Harry. Sekarang dia dah hampir berjaya, saya tidak pernah lihat Harry risau seperti di hospital tadi. Keadaan dia benar-benar tak terurus.”

            “Apa?!” Aku seperti tidak percaya. Sallyna sanggup cuba membunuh diri untuk mendapat perhatian Harry? Ini sudah tidak masuk akal!

            “Sallyna sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan Harry. Jadi, Aya... janganlah menyukarkan dia.”

            Aku terkedu. Kenapa dengan aku?

            “Saya tak faham...” wajahku benar-benar serius kali ini.

            “Maksud senior saya ni penghalang mereka?” Aku terus bangun berdiri.

            “Bukan macam tu Aya.” Ray turut bangun berdiri.

            “Memang maksud senior macam tu kan? Saya dah kata saya tak akan ada hati kepada Harry!”

            Ray terkejut mendengar aku meluahkan kemarahan. Seumur hidupnya mungkin ini kali pertama dia melihat aku naik marah. Aku pula sudah tidak fikirkan rasa hormat lagi kerana hatiku benar-benar sakit.

            “Aya... I’m sorry...” Ray mula rasa bersalah. Dia cuba memegang bahuku tetapi aku lebih pantas menepis.

            “Saya minta maaf. Saya cuma saya hairan macam mana Aya boleh ada kat rumah Harry.”

            “Semua orang fikir saya ni perampas Harry dari Cik Sallyna sejak dulu lagi. Jangan risau, hanya orang bodoh aje yang bermati-matian nak pertahankan cinta. Ingat senior... kita ada Tuhan! Kalau kita tak buat apa-apa pun, kalau dah jodoh, tak ke mana. Jadi, jangan jadi hamba cinta kalau nak jadi orang yang cerdik. Sayangnya, orang kelas atasan tapi jahil dengan hukum Allah. Kalau mati tadi tu masuk neraka jahanam free aje!”

            Nah! Walaupun aku tidak menyebut nama siapa tapi cukup menunjukkan sumpah seranah aku itu kepada Sallyna. Apa aku peduli, sudah lama aku bersabar! Setelah itu aku terus melangkah pergi. Ray tergamam seperti tidak percaya akan apa yang didengarnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience