BB - BAB 18

Drama Completed 309207

TAUFIQ menuju ke bilik Qaireena dan mengetuk pintu bilik wanita tersebut.  Sudah berulang kali Mak Leha memanggilnya untuk turun makan tetapi Qaireena masih tidak muncul.  Setelah mengetuk beberapa kali, barulah wanita itu membuka pintu.

"Mari makan, lepas tu kita bertolak ke rumah arwah ibu".  Kata Taufiq pada Qaireena.

"Reen tak ada selera nak makan, Abang makanlah dulu".  Jawab Qaireena.  Pipinya kelihatan basah dan Taufiq tahu pasti wanita itu baru sahaja lepas menangis.

"Dari tengah hari tadi awak tak ada makan, tak baik biarkan perut kosong nanti gastrik pula".  Pandangannya melekat ke wajah Qaireena.

"Tapi Reen betul-betul tak ada selera sekarang ni, nanti bila Reen lapar, Reen makanlah".  Kata Qaireena lagi.

"Baiklah, saya turun dulu, sekejap lagi kita bertolak ya".  Qaireena hanya mengangguk perlahan sambil melihat Taufiq berlalu dan turun ke bawah.

~~~

Lebih kurang pukul 10 malam, mereka sampai di rumah arwah Puan Qamariyah.  Qaireena melangkah masuk dan menyalakan lampu ruang tamu.  Dia kemudian membuka pintu bilik tidurnya.

"Ini bilik Reen, Abang tidurlah dekat sini, Reen akan tidur di bilik Sara".  Kata Qaireena sambil menekan suis lampu yang berada di sebelah pintu masuk bilik tersebut.  Taufiq menganggukkan kepalanya sambil memandang wajah Qaireena.

"Reen masuk tidur dulu".  Dia kemudian melangkah keluar dari biliknya itu dan masuk ke bilik arwah Qaisara.

Qaireena melabuhkan punggungnya di birai katil sambil matanya menjilat keseluruhan ruang bilik adiknya itu.  Pandangan matanya terhenti pada gambar mereka sekeluarga yang berada di atas meja belajar Qaisara.  Perlahan dia bangun dan mengambil gambar tersebut.  Disentuh satu persatu wajah yang ada pada gambar itu. 

"Ibu, Ayah, Reen dah tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni, Sara pun dah tinggalkan Reen sendirian.  Mesti Sara ada bersama ibu dan ayah sekarang ni kan? Kenapa tinggalkan Reen sendiri?".  Airmatanya mula mengalir membasahi pipi.  Esakannya pula semakin kuat.  Badannya melorot di tepi meja itu.

"Ibu, Ayah, Reen rindu.  Reen rindukan ibu, ayah dan Sara".  Raung Qaireena.  Sungguh, kehilangan itu benar-benar menyakitkan dan menyiksa dirinya.  Segala kenangan mereka sekeluarga bermain di bayangan matanya. Ya, dia rindu, rindu yang tak dapat untuk diungkapkan dan rindu yang tak berpenghujung.

Taufik yang baru sahaja mahu merebahkan badannya di atas katil, duduk semula apabila dia terdengar seperti suara orang menangis.  Dia bangun dan keluar dari bilik.  Suara esakan Qaireena semakin jelas kedengaran apabila dia berdiri di depan pintu bilik arwah Qaisara itu.

Dia mengetuk pintu bilik itu beberapa kali, namun tetap tidak dibuka oleh Qaireena.  Taufiq cuba memulas tombol pintu, hatinya lega apabila pintu itu tidak terkunci.  Perlahan pintu bilik itu tolak, dan dia dapat melihat Qaireena yang sedang terduduk di tepi meja sambil menangis teresak-esak.  Di tangannya pula terdapat sebuah bingkai gambar yang dirapatkan di dadanya.

"Reen". Taufiq melangkah mendekati wanita itu.  Dia turut duduk di sebelah Qaireena dan menarik wanita itu rapat ke dadanya.

"Reen, awak tak boleh macam ni, awak kena kuatkan semangat awak".  Pujuk Taufiq lembut.  Hatinya turut sedih apabila melihat keadaan Qaireena itu.

"Reen rindukan ibu, ayah dan Sara.  Kenapa mereka tinggalkan Reen sendirian?".  Raung Qaireena lagi.

"Awak tak bersendirian Reen, saya ada menemani awak.  Saya tahu tak mudah untuk awak mengusir segala kenangan awak bersama mereka tapi awak kena cuba kuatkan semangat.  Kalau mereka ada saya mesti mereka pun tak nak tengok awak sedih macam ni".  Kata Taufiq.  Tubuh Qaireena dipeluk erat, rambut yang menutupi wajah wanita itu pula ditolak dan selitkan ke belakang telinga.  Belakang Qaireena diusap lembut dengan penuh kasih.

"Kenapa Reen yang kena lalui semua ni, apa dosa Reen?".  Airmatanya masih deras mengalir membasahi pipi.

"Sebab Allah sayangkan awak, DIA tahu awak kuat dan mampu untuk lalui semua ni.  Allah tak pernah menguji hamba-Nya melebihi dari kemampuan hamba itu sendiri".  Ujar Taufiq lagi.

Lama Qaireena berada di dalam pelukan Taufiq bersama esak tangisnya.  Apabila Qaireena semakin tenang, Taufiq memegang bahu wanita itu dan membantunya bangun dari lantai.  Wajah Qaireena di pandangnya, sisa airmata yang membasahi pipi wanita itu dikesat dengan ibu jarinya.

"Dah lewat malam ni, kita tidur ya".  Kata Taufiq lembut.  Qaireena hanya mengangguk perlahan.

Taufiq mengambil bingkai gambar yang berada di tangan Qaireena dan diletakkan semula di atas meja kemudian dia membawa wanita itu menuju ke katil.  Setelah Qaireena baring, dia juga turut merebahkan badannya di sebelah wanita itu.  Taufiq mengiring menghadap Qaireena dan tubuh wanita itu dirapatkan ke badannya.  Kepala Qaireena di usap lembut sebelum bibirnya singgah di dahi wanita itu. 

"Awak tak bersendirian sebab suami awak masih ada di sisi untuk menemani awak".  Ujar Taufiq lembut.  Dia dapat merasa tangan Qaireena melingkari pinggangnya selepas sahaja kata-kata itu keluar dari mulutnya.  Taufiq kemudian memeluk tubuh Qaireena erat sehinggalah dia pun turut terlelap bersama Qaireena.

••••••••••

Alarm yang berbunyi dari telefon bimbit Qaireena menyedarkan Taufiq dari lenanya.  Dia memandang Qaireena yang masih lagi tidur sambil memeluk pinggangnya.  Bahu wanita itu diusap lembut.

"Reen...Reen...bangun solat subuh".  Kejut Taufiq lembut.  Namun Qaireena masih belum terbangun.

"Reen, bangun solat subuh".  Kali ini dia menepuk perlahan bahu Qaireena agar wanita itu tersedar.

Berkerut dahi Qaireena sambil tangannya naik menggosok mata.  Dia dapat merasakan yang matanya membengkak akibat terlalu banyak menangis.  Setelah dia benar-benar telah sedar dari mamai barulah dia memandang wajah Taufiq.

"Bangun, bersihkan diri lepas tu solat subuh ya".  Kata Taufiq sambil memandang wajah wanita itu.  Qaireena menganggukkan kepalanya.  Taufiq kemudian bangun dan keluar dari bilik itu untuk ke bilik sebelah.

Qaireena duduk di birai katil sambil otaknya mengingati perkara yang berlaku semalam.  Kata-kata Taufiq juga masih segar dalam ingatannya.  Ya, dia sebenarnya tidak bersendiri kerana dia telahpun  mempunyai suami. Namun dia masih keliru dengan sikap lelaki itu, dia tidak tahu sama ada Taufiq benar-benar menyayanginya sebagai seorang isteri atau pun hanya kerana simpati.  Tetapi jujur dia mengakui bahawa dia berasa tenang bila berada dekat dengan lelaki itu.  Dia sendiri tidak tahu bagaimana keadaan dirinya menghadapi kehilangan Qaisara jika Taufiq tidak berada di sisinya ketika ini. Qaireena kemudian bangun dan terus menuju ke bilik mandi.

Usai menunaikan solat subuh, Taufiq keluar dari biliknya dan mengetuk pintu bilik Qaireena.

"Saya nak keluar sekejap beli sarapan, awak nak ikut?".  Kata Taufiq apabila Qaireena membuka pintu bilik tersebut.  Hanya gelengan yang diberikan oleh Qaireena kepada Taufiq sebagai jawapan.

"Kalau macam tu saya keluar dulu ya, saya tak pergi jauh, saya cari kedai dekat kawasan ni je.  Kunci pintu dari dalam dan jangan buka kalau ada sesiapa ketuk sebab saya akan bawa kunci sendiri".  Ujar Taufiq pada Qaireena.  Dia sebenarnya risau untuk meninggalkan wanita itu sendirian di situ, namun dia juga tidak mahu memaksa Qaireena untuk mengikutnya. 

Sekali lagi Qaireena menganggukkan kepalanya apabila mendengar pesan Taufiq itu.  Setelah dia melihat Taufiq masuk ke dalam kereta, dia mengunci pintu rumah dan kembali masuk ke dalam bilik arwah Qaisara.

Dia duduk dan bersandar di kepala katil, photobook kepunyaan Qaisara di ambilnya dan helaian demi  helaian diselak.  Dia berhenti menyelak helaian seterusnya apabila matanya melekat pada gambarnya bersama arwah Qaisara semasa mereka bercuti di Pahang dan memakai baju kimono.  Dia kemudian membaca ayat yang tertulis di atas gambar mereka berdua itu.

We laugh, we cry,
We make time fly,
We are bestfriends.
I love you my sister

Tanpa sedar airmatanya mengalir lagi membasahi pipi.  Sungguh dia sangat merindui Qaisara pada waktu itu. 

Taufiq masuk ke dalam rumah sambil membawa bungkusan sarapan yang dibelinya.  Dia kemudian terus berlalu ke dapur untuk membancuh minuman panas.  Apabila semuanya sudah dihidang di atas meja, Taufiq terus mengetuk pintu bilik Qaireena.  Setelah beberapa kali dia mengetuk, barulah pintu itu dibuka oleh Qaireena.

"Jom sarapan".  Ajak Taufiq sambil memandang wajah Qaireena.  Dilihatnya Qaireena menggelengkan kepala tanda tidak mahu bersarapan.

"Reen, dari semalam awak langsung tak jamah apa-apa pun, tak baik biarkan perut kosong.  Awak kena makan walaupun sikit".  Ujar Taufiq lembut.

"Reen tak ada selera nak makan".  Jawab Qaireena sambil memandang wajah Taufiq.

Mendengarkan itu, Taufiq terus menarik tangan Qaireena lembut dan di bawa menuju ke meja makan.

"Sama ada awak ada selera atau tak, awak kena makan juga.  Saya tak nak tengok awak pula yang sakit lepas ni".  Bebel Taufiq sambil menarik kerusi di meja makan untuk Qaireena.  Mahu tidak mahu, Qaireena terpaksa akur dan duduk dikerusi yang sudah ditarik oleh Taufiq itu.

Nasi lemak yang sudah di letakkan di dalam pinggan di letakkan di hadapan Qaireena.  Coklat panas yang dibancuhnya juga di tuang ke dalam cawan dan diletakkan di sebelah pinggan wanita itu.  Qaireena hanya memerhati sahaja segala perbuatan Taufiq itu.

"Makan, sikit pun jadilah. Please...". Kata Taufiq seakan merayu sambil memandang wajah Qaireena.

Mata Qaireena terarah pada nasi lemak yang berada di depannya itu, perlahan tangannya mencapai sudu dan nasi lemak yang berada didalam pinggan itu dikuis sebelum dia menyuap ke dalam mulutnya. Suapan kedua nasi lemak itu masuk ke dalam mulutnya, Qaireena mula mengalirkan airmata.  Taufiq yang melihat menarik nafas dalam.

"Reen..".  Tegur Taufiq dengan lembut.

"Reen rindukan Sara, selalunya pagi-pagi macam ni kami akan sarapan bersama".  Kata Qaireena sambil menyeka airmata yang mengalir di pipinya.

"Reen nak lawat kubur Sara?".  Soal Taufiq.  Qaireena menganggukkan kepalanya sambil memandang Taufiq. 

"Lepas makan ni kita pergi lawat kubur Sara ya".  Kata Taufiq.

"Terima kasih". Ucap Qaireena.

Lama Qaireena duduk ditepi kubur Qaisara selepas dia membaca surah yasin.  Taufiq hanya membiarkan sahaja Qaireena melayan perasaannya.  Berharap apabila pulang ke rumah nanti wanita itu akan berasa lebih tenang. 

Hampir satu jam mereka berada di situ, Qaireena bangun dari duduknya.  Dia kemudian menoleh ke arah Taufiq.

"Jom balik". Ajak Qaireena.

"Awak dah rasa tenang sedikit?". Soal Taufiq.  Qaireena menganggukkan kepalanya sambil memandang Taufiq.

Mereka kemudian jalan beriringan menuju keluar dari kawasan tanah perkuburan itu.

Sebelum pulang ke rumah, Taufiq singgah ke pasar raya untuk membeli bahan-bahan untuk memasak. Sampai sahaja di rumah, dia terus menyediakan bahan-bahan untuk memasak hidangan tengah hari.

Qaireena yang baru sahaja habis membersihkan dirinya melangkah masuk ke dapur.

"Kenapa tak tunggu Reen je yang masak?". Kata Qaireena apabila dilihatnya Taufiq sedang menggoreng ayam.

"Tak apa, lagipun saya bosan sebab tak ada buat apa-apa dekat rumah ni". Jawab Taufiq.

"Sorry sebab dah susahkan Abang. Sebenarnya kalau Abang tak temankan Reen dekat sini pun tak apa, Reen boleh tinggal sendiri dekat rumah ni". Ujar Qaireena.

"Saya takkan biarkan awak sendiri dekat rumah ni, saya tak nak ada along yang datang cari awak dan apa-apakan awak lagi". Sambil tangannya sibuk mengeluarkan ayam yang sudah masak dari kuali.

"Kalau ada along yang datang pun Reen bayar jelah hutang Pak Ngah tu dengan duit yang ada, lagipun Reen dah tak perlu nak kumpulkan duit untuk pembedahan Sara lagi. Sara pun dah tinggalkan Reen. Reen dah terlalu banyak menyusahkan Abang". Ujar Qaireena lagi.

"Reen, saya tak pernah pun rasa yang awak menyusahkan saya. Sebab awak adalah isteri saya dan saya bertanggungjawab ke atas diri awak". Kata Taufiq lembut sambil memandang wajah Qaireena.

"Reen tahu, Abang berkahwin dengan Reen pun atas dasar simpati". Qaireena kemudian berpaling untuk melangkah keluar dari dapur itu.

"Saya berkahwin dengan awak, sebab saya sayangkan awak Reen".

Happy Reading korang sorry lambat update:-)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience