BAB 4

Romance Completed 4092

SEBAIK tiba di kolej masakan itu, aku pantas mendapatkan Syima yang sedang tercegat berdiri menanti kedatanganku. Tidak ramai pelajar yang ada ketika itu. Hanya beberapa orang sahaja. “Dah lama kau sampai, Syima?” soalku spontan apabila tiba di hadapannya. “Maaflah, aku terlewat sikit,” ucapku lagi meminta maaf darinya.

“Taklah. Aku pun baru sampai ni. Sebab tu aku suruh kau datang awal. Time-time macam ni, tak ada orang sangat. Senanglah aku nak bagitahu tentang rancangan bernas aku tu. Jom kita duduk kat bawah pokok tu dulu. Selesa sikit nak berbual.” Syima segera menarik tanganku lalu menuju ke tempat yang dimaksudkannya. Aku hanya mengikut langkahnya tanpa membantah.

“Syarat apa yang kau nak bagitahu aku semalam? Penting sangat ke?” Aku pantas bertanya kerana tidak sabar mendengar ucapannya itu. Berdebar juga untuk mengetahui rancangan gila Syima.

“Macam ni, Min. Aku ada cadangan baik untuk kau. Ini semua tentang Syed Aidil. Kau boleh berkawan rapat dengan dia, tapi ada satu syarat…” Syima mematikan ayatnya di situ. Dia memang sengaja membuatkan aku tertanya-tanya macam orang gila.

“Apa dia syaratnya?” ajuku seperti biasa. Dia ini dari semalam lagi, asyik cakap pasal syarat saja. Suka sangat membuatkan aku cemas tidak menentu. Kalau nak cakap, tak payahlah sekat-sekat. Buat sakit hati aku saja.

“Kau kena menyamar,” balasnya pendek.

“Menyamar? Nak menyamar jadi siapa pula?” Aku mula mengaru-garu kepala tanda pelik mendengar cadangannya itu. Syima…Syima. Ada-ada saja kau ni, kan.

“Kau dengar dulu rancangan aku ni. Aku dah fikirkan semua hal ni sejak malam tadi lagi. Sepatutnya kau berterima kasih kat aku tau. Susah payah aku berusaha untuk kau. Langsung kau tak hargai pengorbanan aku.” Suara Syima kedengaran sayu di pendengaranku. Dia terasa hati apabila melihat aku tidak serius menerima cadangannya.

“Sorilah, Syima. Aku setuju dengan cadangan kau tu. Cuma, pasal nak menyamar ni, aku kurang setujulah. Kenapa pula aku kena menyamar? Tak boleh ke kalau aku jadi diri aku sendiri. Tak bestlah menyamar jadi orang lain.”

Aku kurang setuju mendengar cadangan Syima itu. Mengapa pula aku kena menyamar sedangkan aku beria-ia benar ingin berkenalan dengan Syed Aidil. Kalau boleh, aku mahu lelaki sombong itu ikhlas berkawan denganku bukan disebabkan orang lain.

“Ini untuk kebaikan kau juga. Peluang keemasan ni datang sekali saja tau. Bukan senang nak kenal dengan dia. Kalau kau tak menyamar, mesti Syed Aidil tak ingin berkenalan dengan kau. Dia tu lelaki cerewet. Mana dia suka nak habiskan masa berkawan dengan orang macam kita. Aku buat macam ni, sebab nak bagi dia sedar diri sikit. Baru dia tahu, langit tu tinggi ataupun rendah. Aku yakin, kau boleh sedarkan dia nanti.”

Cadangan Syima itu aku halusi sebaik mungkin. Kata-katanya berupa nasihat yang aku anggap ada kebaikannya sendiri. Betul juga kata Syima. Perangai Syed Aidil yang sombong itu boleh diubah kalau kena dengan caranya. Namun, aku khuatir kalau rahsia ini pecah di kemudian hari. Mesti dia akan menyalahkan aku kerana tidak berterus-terang dari awal. Aku tidak dapat menjangkakan, bagaimana perasaan Syed Aidil setelah mengetahui siapa diri aku yang sebenarnya nanti.

“Tapi, bagaimana caranya untuk aku kenal dengan dia. Kau nak aku jumpa dia face to face ke? Kalau macam tu cadangan kau, aku tak mahulah.”

Aku menolak mentah-mentah jika Syima menyuruhku berjumpa dengan Syed Aidil secara terang-terangan begitu. Di mana aku nak letak muka ini kalau dia menolak pelawaan aku untuk berkawan dengannya. Mesti dia akan anggap aku perempuan tak tahu malu. Ish, tak naklah aku.

“Bukan macam tu. Itu dah kerja gila namanya. Kita kena buat secara perlahan-lahan. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Kau fahamkan maksud aku?” soal Syima sambil memandang tepat mataku. Aku cuba mentafsir segala maksudnya itu. Dalam benar mesej yang ingin dia sampaikan kepada aku.

“Maksud kau?” Aku bertanya lagi macam orang bodoh.

“Ala, Kau ni lembablah. Susah sangat ke nak faham maksud aku. Maksud aku, kau kena menyamar jadi orang lain. Aku ada nombor telefon dia. Pandai-pandailah kau ayat dia. Yang penting, jangan sampai terkantoi. Sampai masanya nanti, baru kau bagitahu siapa diri kau yang sebenar.”

Aku berfikir dulu sebelum memberikan sebarang kata putus. Akhirnya aku bersetuju dengan cadangan Syima itu. Aku pun pernah berjanji kelmarin untuk mengenakan Syed Aidil. Kali ini, impian aku akan berhasil atas bantuan Syima. Aku perlu bertindak cepat sebelum mereka berdua berbuat sesuatu kepada aku. Kata-kata gadis gedik yang menjadi kekasih Syed

Aidil semalam seakan bergema-gema di cuping telinga aku. Aku bertekad untuk mengenakan mereka berdua supaya wujud salah faham dalam perhubungan mereka nanti.

“Emm..boleh juga tu. Berapa nombor dia?”

“Kejap.” Syima pantas menyeluk poket seluar sebelum mengeluarkan telefon bimbitnya. Kemudian, dia mencari nombor telefon Syed Aidil dengan teliti. Tidak berapa lama selepas itu, dia kembali bersuara.

“Kau ambil nombor dia ni. 017-748XXXX.”

Aku segera menyalin nombor itu ke dalam telefonku. Setelah meletakkan namanya di situ, aku memandang semula wajah Syima dengan perasaan girang yang tidak terucap di bibir. Aku sungguh gembira kerana berpeluang mengenali jejaka pujaan aku itu. Walaupun terpaksa menyamar sebagai orang lain, aku tidak ambil peduli. Apa yang penting, aku dapat mendengar suaranya jika aku menghubunginya nanti. Mesti macho sahaja suaranya ketika memulakan bicara.

“Aku nak menyamar sebagai siapa ni?” soalku kepada Syima.

“Pandai-pandailah kau. Tapi, jangan sampai pecah rahsia. Maklumat peribadi kau pun jangan bagitahu dia. Sebenarnya, aku ada agenda masa panjang untuk kau. Buat masa ni, biar kau kenal dia dulu. Tentang agenda masa panjang tu, aku akan bagitahu apabila kau dah berjaya rebut hati dia. Aku tak boleh ceritakan sekarang. Nanti tak surprise pula.”

Penjelasan Syima itu membuatkan aku berfikir sepuluh kali. Banyak betul rancangan dia untuk aku. Entah apa agenda masa panjang itu, ya. Tak sabar pula menanti saat-saat indah itu.

“Aku rasa, nak menyamar sebagai Mawar Putihlah. Okey tak nama tu? Baru nampak macam perempuan melayu terakhir. Hehee..” Aku tergelak-gelak apabila mendengar cadangan nama yang hadir secara tiba-tiba itu.

“Sedap juga nama tu. Mesti Syed Aidil akan bayangkan kau seorang gadis yang cantik dan jelita. Kau kena buat dia jatuh hati dengan kau. Jangan putus asa untuk mencuba.”

Syima turut bersetuju dengan pendapat aku. Kami berdua asyik berbual sehingga tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi. Aku lihat, sudah ramai pelajar tiba untuk mengikuti Program Minggu Wawasan Siswa.

“Jom, Min. Abang Fasilator tu dah suruh kita masuk. Kalau lambat nanti, tak dapat duduk pula. Cepatlah!” ajak Syima tidak sabar. Akhirnya, aku masuk ke dalam Dewan Pelajar apabila Fasilator yang bertugas mengarahkan kami semua berkumpul di dalam dewan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience