DI DALAM KERETA, Ain begitu leka melayan games pada Samsung Galaxy SII miliknya. Tanpa dia sedari sudah lama Hana meninggalkannya seorang diri. Dia memandang ke luar tingkap.
Suasana gelap-gelita membuatkan bulu tengkuknya berdiri tegak. Kemanakah Hana? Hatinya mulai gusar. Sekali lagi dia rasa menyesal kerana tidak mengikuti Hana sebentar tadi. Kalau tidak sudah tentu dia tidak keseorangan seperti sekarang ini.
“Hisy, mana Hana ni? Dah lama benar dah dia pergi? Jangan-jangan budak ni sesat tak? Tak pun dah jadi mangsa binatang buas? Ah, tak! Tak mungkin… tak mungkin! Hana pasti tak apa-apa. Ya Allah, selamatkanlah Hana. Selamatkanlah rakan-rakanku yang lain, Alya dan Suhada,” dia bermohon.
Hatinya terus dilanda gelisah. Tiada tanda-tanda yang Hana akan datang semula ke situ. Begitu juga dengan dua orang lagi sahabatnya, Alya dan Suhada. Tanpa membuang masa Ain membuka pintu kereta dan terus keluar.
“Hana!” jeritnya memanggil nama sahabatnya itu. Hatinya mulai tak keruan.
“Hana! Lya! Suuee…!” jeritnya lagi.
“Kau orang! Mana kau orang pergi!” Tetap sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi cengkerik yang tidak mampu meredakan rasa takut yang dialaminya.
Suasana gelap dan sunyi lebih menambahkan lagi perasaan seram. Kalaulah muncul sesuatu di hadapannya, tak tahulah apa reaksinya nanti. Ngeri dia mengenangkan kemungkinan itu.
Dia mulai mahu teresak-esak sambil menyebut-nyebut perlahan nama-nama rakannya. Dalam pada itu kakinya bukan main kuat menggigil akibat ketakutan. Sungguh, dia tak pernah merasa takut seperti yang dialaminya waktu ini.
Kemudian dia terasa seperti ada seseorang di belakangnya. Adakah itu Hana? Bagaimana kalau bukan Hana atau Alya mahupun Suhada?
Dia beristighfar dan membaca sepotong-dua ayat suci Al-Quran. Dengan perasaan berani-berani takut, dia menoleh kebelakang. Alangkah terkejutnya dia apabila satu lembaga hitam berada begitu hampir dengannya.
Belum sempat dia hendak menjerit, lembaga itu terlebih dahulu menumbuk kuat wajahnya membuatkan dia rebah ke tanah. Dalam keadaan separuh sedar, dia cuba bangun.
Sempat dia melihat lembaga berselubung kain hitam itu, namun dia tak dapat melihat wajah lembaga itu kerana wajahnya turut ditutup dengan kain hitam. Ditambah dengan suasana yang gelap.
“Kau siapa?” soalnya lemah. Namun kali ini lembaga itu menghentak pula kepalanya dengan sebatang kayu membuatkan gadis itu terus tak sedarkan diri.
Share this novel