Ting!
Bunyi oven menandakan kek sudah siap dibakar.
Ikram Benjamin mengeluarkan loyang berisi kek dengan berhati-hati. Kek tersebut diletakkan diatas dulang pembakar.
Kemudian,dia mengambil pisau pemotong kek. Kek dipotong kepada tiga lapisan. Setiap lapisan tersebut diasingkan.
"Kenapa abang potong kek tu jadi tiga lapisan? Buang masa aje." Anggun Dahlia yang sejak tadi menjadi pemerhati kini mencelah dengan soalan.
Ikram Benjamin memusingkan badannya ke belakang menghadap Anggun Dahlia. Bibirnya tersenyum. Dia merapati perempuan itu. Tangan kirinya ditongkat pada tepi meja. Manakala tangan kanannya memegang sepotong strawberi yang telah dicelup dengan coklat pada bahagian hujungnya.
"Setiap perlakuan yang kita buat mesti ada sebabnya. Kalau tidak, benda tu takkan terjadi." Ikram Benjamin merenung anak mata Anggun Dahlia dengan senyuman.
"Buat kek aje pun. Rasanya tak perlu nak berfalsafah sangat." Anggun Dahlia menjulingkan matanya ke atas. Meluat agaknya mendengar ayat buku itu.
Sebaliknya, jawapan Anggun Dahlia membuatkan Ikram Benjamin melepaskan tawanya.
"Haha. Siapa pula yang berfalsafah? Abang cakap benda yang betul. Lagipun, abang yang buat kek tu. Abang nak, dalam setiap lapisan kek itu nanti akan abang letakkan kasih sayang abang, jiwa abang dan rindu abang untuk sayang. Bukan setakat kek disirami dengan krim coklat. Tapi disirami juga dengan sepenuh kasih sayang abang." Dia tersenyum.
Strawberi yang berada ditangannya sejak tadi disuap lembut ke dalam mulut Anggun Dahlia. Merah padam mukanya menahan malu.
Jawapan Ikram Benjamin membuatkan dia terpaku seketika. Jiwa perempuan Anggun Dahlia bagai dibelai lembut. Sungguh, dia terbuai dengan butir biacara itu. Setiap bait kata yang terluah disimpan kemas dalam hatinya.
----------
"Macam mana, tuan puteri? Sedap ke tidak kek yang abang buat?" Ikram Benjamin menyapu lembut bibir Anggun Dahlia yang terdapat sisa coklat.
Pantas saja tangan Ikram Benjamin ditepis lembut. Lelaki itu pantang jika dia terleka, pasti ringan saja kelakuannya.
"Err...bolehlah." Jawabnya gugup.
'Sedap sangat! Nak lagi!' Tetapi hati pula memberi jawapan yang sebaliknya. Setiap kali dia berada disamping Ikram Benjamin, dirinya bagaikan terleka. Jiwanya juga mudah terbuai dengan mulut manis lelaki itu.
"Tadi kata bolehlah...tapi kenapa makin lama makin sikit kek coklat tu abang tengok?" Dia tersengih sambil memainkan keningnya.
Namun, suapan Anggun Dahlia terhenti. Sudu diletak diatas pinggan.
Ikram Benjamin memandang dengan pandangan pelik. Ketika itu Anggun Dahlia sedang merenung tajam ke arahnya.
'Aduh, salah apa lagi yang aku buat kali ni?'
Dia bermonolog sendiri. Keningnya digaru lembut.
"Kenapa pandang abang macam tu?" Ikram Benjamin cuba bersuara. Keningnya terangkat sedikit.
"Saja. Sebab dah lama rasanya Dahlia tak pandang muka abang."
Ikram Benjamin mengangkat mukanya. Membulat matanya memandang Anggun Dahlia.
"Apa dia? Abang...salah dengar ke?" Hujung bibirnya cuba untuk mengukir senyuman. Tetapi dibatalkan saja niat itu.
Baru dia teringat. Tujuannya ke kafe itu untuk memberikan sesuatu pada Anggun Dahlia. Dia mencapai blazer hitam yang tersangkut pada penyandar kerusi disebelahnya. Dua keping kertas berwarna biru panjang dikeluarkan dari poket blazernya. Dia menyorotkan dua kepingan biru itu kepada Anggun Dahlia.
Kedua-dua pancaindera Anggun Dahlia memandang lama ke arah kepingan biru itu. Tidak lama kemudian, dia kembali menatap Ikram Benjamin bagi meminta kepastian.
"Dahlia tengoklah kertas tu dulu. Baca apa yang tertulis pada kepingan kertas tu." Ikram Benjamin seakan memahami pandangan perempuan itu. Badan disandarkan pada penyandar kerusi. Kedua-dua belah tangannya memeluk tubuh. Sementara menunggu Anggun Dahlia membaca kepingan biru tersebut.
Beberapa minit kemudian, kedengaran suara Anggun Dahlia sedang membaca sesuatu.
"Pula Arena; The Second Waltz Open Concerto Dmitri Shostakovich by Fredrivcky Philharmonic, Op. 99a, Benjamin Cello, Andrea Conductor." Kemudian matanya membaca tulisan terakhir pada bahagian bawah tiket itu.
Satu tiket tertera nama Benjamin Cello. Manakala, tiket kedua pula tertera nama Anggun Dahlia.
Usai membaca petikan yang tertera. Anggun Dahlia memandang Ikram Benjamin dengan penuh tanda tanya.
Ditangan Anggun Dahlia merupakan dua keping tiket V.V.I.P bagi konsert Waltz di Pula Arena,Rome.
"Err...tiket apa ni? Kenapa bagi pada Dahlia? Lagi satu, kenapa ada nama Dahlia? Benjamin Cello tu siapa pula?" Anggun Dahlia masih lagi dalam kebingungan. Tiket itu diletakkan semula diatas meja.
Ikram Benjamin mengawal senyumnya. Dia belum habis memandang riak bingung Anggun Dahlia. Susah sangat ke ayat yang tertera pada tiket itu untuk difahami?
"Itu tiket untuk Dahlia. Hadiah daripada abang untuk perempuan yang abang sayangi." Segaris senyuman menghiasi bibir Ikram Benjamin. Lalu tiket itu disua pada Anggun Dahlia.
"Hah??" Dia bagaikan tidak percaya bahawa tiket konsert di Rome itu adalah hadiah untuknya.
Share this novel