MOTOSIKAL yang ditunggang berhenti betul-betul di depan kedai runcit ibu mentuanya. Bila Syafiq tengok aje isterinya tu sedang sibuk menyusun barang-barang di rak, bibirnya automatik mengukir senyuman.
Nampak ayu je Damia tu fokus melakukan kerja bahkan bertambah pulak keayuannya apabila tudung sarung berwarna pink belacan elok dipakai olehnya.
Semenjak tragedi kebakaran itu, Damia memutuskan untuk berhijab. Sebelum ni, memang dia menolak dahulu untuk bertudung tetapi dia berubah fikiran kerana tragedi tu telah menjentik hatinya. Nyawanya dan suami hampir tergadai kerana kebakaran itu tetapi Allah beri mereka peluang untuk mereka teruskan hidup. Cuma Syafiqah sahaja yang Allah ambil kembali.
Dari situ, Damia simpulkan bahawa Allah memberinya peluang untuk berubah sementara nyawa masih dikandung badan. Dia perlu gunakan peluang ini untuk menurut perintah suaminya dan syariat agama.
Syafiq masih tak lepas memandang isterinya. Dalam asyik memandang wajah cantik isterinya, masalah yang ditimpa dikenang semula. Satu per satu masalah menimpa, kali ini masalah tentang wang pula. Bahana ibu mentuanya, habis bertambah lagi beban fikiran.
Perbualannya bersama si isteri datang menerpa fikirannya ...
"Abang ni kenapa baik sangat bagi duit tu kat mak? Saya tahu abang kadang bertegas jugak dengan mak, tapi tadi tu abang macam biar je mak pijak kepala abang," bebel Damia tak puas hati. Geram suaminya mengalah macam tu aje. Duit RM5,000 pun sudah jatuh ke tangan ibu mata duitannya tu dengan mudah.
"Tak apa, duit kita ada lagi, kan? Lagipun nak simpan duit lama-lama, takut kita membazir beli benda lain pulak. Rumah yang tengah bina sekarang ni pun, ambik masa dalam lima hingga enam bulan jugak nak siap," terang Syafiq cuba meraih persetujuan isterinya. Tengok muka isterinya yang mencuka itu, dia tahu isterinya sedang marah.
Bukan sengaja dia turuti permintaan ibu mentuanya. Dia sendiri agak tak setuju dengan permintaan gila ibu mentuanya tu. Sudahlah wang yang dia dapat itu hanyalah wang sumbangan, bukannya hasil titik peluhnya sendiri.
Tetapi kalau dia bagi wang hasil titik peluhnya sendiri yang hanya beberapa ratus ringgit tu je, macamlah Mak Siti nak terima.
Damia hembus nafas perlahan sebelum bersuara, "Saya tahu abang masih ada baki wang lagi. Tapi kita tak boleh lembut sangat dengan mak tu. Hari ni, dia mintak RM5,000. Bulan depan, boleh jadi dia mintak RM10,000 pulak. Saya tahulah dengan perangai mak tu." Tercebik-cebik Damia mengutuk ibunya.
Syafiq tergeleng-geleng kepalanya sambil tersenyum nipis.
"Jangan risaulah, sayang. Abang tahu apa yang abang buat. Pasal duit tu, jangan risaulah. Kalau mak melampau sangat sampai mintak RM10,000 tu, baru abang takkan berdiam diri."
Damia mengeluh panjang sebelum kepalanya diangguk. Terpaksa jua setuju dengan keputusan suaminya biarpun dalam hatinya masih tak rela. Dia sendiri masih ragu dan meluat dengan perangai ibunya itu.
"Abang!"
Diri sendiri dipanggil membuatkan Syafiq segera mengangkat wajahnya. Apabila dia lihat isterinya sedang menarik turun roller shutter yang membingitkan telinga itu, bibirnya menguntum senyuman semula.
Damia berjalan ke arah suaminya yang sedang bertenggek di atas motor. Senyuman pun turut dia balas. Nampak gembira betul suaminya dapat bersemuka dengan dirinya tu. Padahal dia bekerjai kat kedai runcit pun, sekejap saja. Dalam tempoh lima jam aje pun.
"Abang ni .... kenapa datang awal sangat? Jenuh menunggu saya habis jaga kedai." Damia merengek dahulu sebelum meletakkan beg sandangnya di dalam raga motosikal.
"Mestilah kena datang awal. Kalau datang lambat, nanti merajuk pulak isteri abang ni," usik Syafiq sambil tertawa kecil.
Damia menampar lembut bahu suaminya. Biarlah, dah suaminya yang nak menunggu 10 minit awal. Dia nak menghalang pun, bukan suaminya mahu dengar.
"Dah, jom naik. Kejap lagi teman abang pergi beli daging, boleh tak?" soal Syafiq.
Damia turuti saja permintaan Syafiq. Lagipun bila lagi mahu 'dating' dengan suaminya kat pasar. Dia pun dah lama tak teman suaminya membeli bahan-bahan membuat sate tu. Insya-Allah dalam dua hari lagi, gerai sate suaminya akan buka seperti biasa.
Baru sahaja Damia mahu mengangkat kakinya untuk membonceng di belakang, tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia terperasan ada seorang wanita sedang menundukkan wajahnya sambil meramas-ramas jari-jemarinya tak jauh dari situ.
"Mak Cik Zainab?" Automatik nama itu Damia sebut. Melihat wanita tubuh gempal itu berdiri, dia tahu wanita itu siapa. Dan sangkaannya tepat apabila wanita itu mengangkat wajah memandang dirinya.
Syafiq turut menoleh belakang. Lebih tepatnya, memandang ke arah pandangan isterinya.
Itu ... Mak Cik Zainab. Biarpun Syafiq tak rapat dan tak pernah berbual satu patah perkataan pun dengan wanita itu, tetapi dia kenal wanita itu siapa. Pertama kali dia jumpa Mak Cik Zainab ialah pada hari Damia melarikan diri dari hari pernikahan untuk datang ke rumahnya.
Damia sendiri pernah bercerita perihal Mak Cik Zainab kepadanya. Wanita itu merupakan kawan baik Mak Siti dan ... ibu kandung Lokman.
Mengingat akan Lokman, dada Syafiq terasa sempit. Ada apa Mak Cik Zainab datang sini? Ni mesti ada kena mengena dengan Lokman.
Syafiq lihat Damia sudah majukan langkahnya mendekati Mak Cik Zainab yang masih terdiam kaku. Nak atau tak, Syafiq ikuti sahaja langkah isterinya tu.
Betul, Mak Cik Zainab tak salah. Tak patut dia melampiaskan berangnya kepada wanita tua itu. Pasti wanita tu sekarang masih terkejut dengan ulah anaknya.
"Mak cik, kenapa tunggu kat sini? Mak cik nak masuk kedai ke? Maaflah, Damia baru je tutup kedai tadi sebab dah pukul 6:00 dah."
Mak Siti tak menjawab malah dia masih menekur ke tanah gersang. Jelas raut wajahnya sedang keresahan. Berkali-kali liurnya diteguk.
Damia dan Syafiq saling berpandangan. Masing-masing cuba mentafsir apa yang Mak Cik Zainab cuba lakukan di sini.
"Mak cik ... min ... mintak maaf," ucap Mak Cik Zainab perlahan. Dan dalam masa yang sama juga, air matanya turut mengalir laju membasahi pipinya.
Terkebil-kebil Syafiq dan Damia menyaksikan Mak Cik Zainab yang sudah tersedu-sedan. Mereka tahu, permintaan maaf itu diucapkan atas segala yang telah berlaku disebabkan Lokman tetapi mereka tetap tak tega melihat Mak Cik Zainab ditawan tangisan sebegitu.
"Mak cik ... jangan macam ni," pujuk Damia sambil mengusap bahu Mak Cik Zainab.
Pujukan Damia sepertinya tak memberi kesan apabila air jernih Mak Cik Zainab mencurah-curah turun. Makin galak hatinya dihurung sendu.
Dia rasakan dirinya paling bersalah dalam hal ini. Pasangan suami isteri itu sedang mengalami masa-masa sulit kerana dendam anaknya, mana mungkin dirinya dapat menerima semua tu. Sudahlah dirinya sekarang ni menjadi bualan hangat orang kampung disebabkan menjadi tempias kelakuan Lokman.
Tanpa mereka jangka, Mak Cik Zainab terus merebahkan diri melutut di atas tanah. Mulutnya semakin rancak meminta maaf yang dipenuhi rasa pilu di dada. Sungguh, dirinya terasa kecil di hadapan Syafiq dan Damia. Dia sekarang tidak peduli, jika dirinya dihukum oleh suami isteri tu asalkan kemaafan dapat dipinta.
"Ya Allah ... mak cik. Bangun. Mak cik tak salah apa pun." Syafiq terus menghalang Mak Cik Zainab dari terus melutut. Dia terasa kejam pulak apabila melihat tubuh tua itu melutut untuk dirinya.
Memang betul, Lokman itu anak Mak Cik Zainab dan Syafiq masih berang dengan ulah anaknya itu tetapi Mak Cik Zainab tak bersalah!
"Mak cik mintak maaf. Kalau kamu berdua tak dapat maafkan Lokman pun, mak cik terima dan mak cik faham. Ta ... tapi maafkan mak cik. Sebab mak cik, semua ni terjadi. Mak cik ... tak jaga Lokman dengan baik. Mak cik rasa bersalah sangat atas apa yang berlaku." Tersekat-sekat suaranya melepaskan kata maaf.
Allah ... tak sanggup Syafiq dan Damia menyaksikan Mak Cik Zainab merayu begini. Mereka bersama-sama lalu membantu Mak Cik Zainab bangun dari melututnya. Tangisan wanita tua itu masih tak kunjung henti. Tangisan yang bersulam kekesalan dan simpati.
Kesal kerana anaknya, Lokman sanggup menganiayai pasangan suami isteri yang tak bersalah ini. Rasa simpati pula kerana memikirkan anaknyalah punca tergadainya nyawa seorang budak yang tak bersalah.
"Mak cik, jangan macam ni. Damia tahu mak cik ibu yang baik. Apa yang Lokman buat tu bukannya salah mak cik. Mak cik jangan salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku."
Mak Cik Zainab menggeleng. "Tak, mak cik salah. Lepas dari kejadian rumah korang terbakar tu, mak cik tak pernah pun lawat korang. Mak cik pun tak datang waktu ma ... majlis tahlil ..." Mak Cik Zainab tak mampu habiskan kata-katanya.
Tangannya menekup mulut menahan sebak yang membuak-buak keluar. Dulu, dia tak ambil peduli dengan musibah yang menimpa Syafiq dan Damia. Apatah lagi majlis tahlil arwah Syafiqah itu. Mungkin kerana rasa geramnya masih tersisa akibat terbatalnya perkahwinan anaknya.
Tapi, apabila kebenaran terbongkar dan dalang di sebalik semua itu berjaya ditangkap, dirinya bagaikan ditampar tepat ke muka. Rupa-rupanya anaknya sendiri yang menyebabkan tragedi itu berlaku. Dia benar-benar tak sangka.
Dulu dia sering menyalahkan Damia atas terbatalnya perkahwinan Lokman. Bahkan, kerana hal itu, persahabatannya dengan Mak Siti pun mulai renggang. Selepas peristiwa itu, dirinya pernah mengatakan kepada Mak Siti bahawa Damia itu tak layak untuk Lokman kerana Lokman itu baik. Tapi sekarang, kata-katanya itu bagaikan hilang ditelan arus. Inikah balasan daripada Allah kerana pernah memburukkan orang lain?
"Mak cik ... tolonglah, jangan macam ni. Benda dah lepas dan kami pun dah reda dengan pemergian Syafiqah." Syafiq pula cuba memujuk.
Mak Cik Zainab seka air matanya. Orang yang lalu-lalang di jalan sekitar kampung itu sudah tidak dipedulikannya, janji niatnya untuk minta kemaafan dapat dilaksanakan. Dan, hampir sahaja dia terlupa tentang niat lainnya yang membawa dia datang ke sini.
Tangannya menyeluk sesuatu di dalam beg tangannya. Sepucuk sampul surat berwarna putih yang agak tebal itu digenggam sebelum ia bertukar tangan dengan Syafiq.
"Apa ni, mak cik?" Syafiq bertanya dengan penuh kerutan di dahi. Apabila dia buka saja sampul surat itu, mahu terkejut dia melihat isi di dalamnya. Ada beberapa keping wang tunai di dalamnya. "Mak cik, duit apa ni?"
Damia membuntangkan matanya sebaik sahaja dia turut sama melihat isi sampul surat itu. Beberapa keping wang not 100 ringgit di dalamnya dan agak tebal juga.
"Mak cik hanya mampu bagi tu je sebagai ganti rugi yang kamu terima disebabkan Lokman. RM3,000 je yang mak cik ada buat masa sekarang. Tapi mak cik janji, untuk duit yang selebihnya mak cik akan bayar beransur-ansur."
Damia tercengang lalu dia terus memandang Syafiq di sebelah.
Syafiq pula masih memegang sampul surat itu dalam keadaan serba salah. Dia tak pernah berniat pun untuk menuntut ganti rugi daripada keluarga Mak Cik Zainab. Baginya, wang sumbangan yang dia terima sebelum ini sebenarnya sudah cukup biarpun separuh wang itu sudah dibedil ibu mentuanya.
Syafiq menarik tangan Mak Cik Zainab sebelum sampul surat itu dikembalikan semula. "Tak apa, mak cik. Tak payahlah susah-susah macam ni. Kami berdua pun baru je dapat bantuan dari orang kampung." Dia cuba menolak pemberian Mak Cik Zainab tetapi wanita tua itu tetap berkeras.
Mak Cik Zainab tolak perlahan tangan Syafiq yang sedang menggenggam sampul surat itu. "Tolong terima duit ni Syafiq, Damia. Selagi kamu berdua tak terima, selagi tu mak cik akan sentiasa rasa bersalah." Sayu sahaja suara Mak Cik Zainab.
Mata Syafiq dan Damia bertentangan. Setelah masing-masing berdiskusi menggunakan kening dan mata, Syafiq hela nafas. Sampul surat itu terpaksa dia ambil. Tak mahu sudah dia melihat Mak Cik Zainab bersedih sebegitu.
"Terima kasih, mak cik."
Mak Cik Zainab angguk. Lagi sekali tangannya merayap masuk ke dalam beg tangannya. Sebatang kunci yang disatukan dengan keychain berbentuk leper bertulisan 'B3' itu diambil lalu diberikan pula kepada Damia.
"Ambik kunci ni, kunci homestay mak cik," ujarnya.
"Kunci homestay? Untuk apa?" Damia bertanya penuh kehairanan. Bukannya dia hairan dengan homestay milik Mak Cik Zainab itu.
Tentang hal itu dia sendiri sudah tahu bahawa Mak Cik Zainab merupakan pengusaha rumah inap yang berjaya kat kampung ni. Tetapi apabila tiba-tiba saja Mak Cik Zainab menyerahkan kunci homestay tersebut, mulalah fikiran diserbu bertalu-talu soalan.
"Untuk kamu berdua duduk kat sana. Mak cik tahu rumah kamu berdua yang terbakar tu tengah dibina semula dan sekarang kamu berdua duduk dengan Mak Siti. Tapi mak cik tahu Mak Siti tu macam mana. Mesti kamu berdua banyak makan hati dengan Mak Siti sepanjang duduk sebumbung dengan dia, kan?"
Andaian Mak Cik Zainab bukan sekadar andaian. Memang benar apa yang dikatakan dia, kalau tidak takkanlah Syafiq dan Damia terus terdiam kaku. Mereka pun hanya mampu mengiakan dalam hati sahaja. Nak membenarkan di mulut, terasa macam membuka aib Mak Siti pula.
"Tapi mak cik ..."
Tak membiarkan Damia habiskan kata-katanya. Mak Cik Zainab memangkas, "Jangan macam tu. Ambiklah duit dan kunci homestay tu. Masuk je homestay tu bila-bila kamu berdua nak. Nak duduk sampai bila pun, mak cik tak kisah asalkan dapat tengok kamu suami isteri hidup bahagia semula. Maafkan mak cik atas segalanya."
Tak dapat menahan, mutiara jernih itu turun semula setelah keadaannya tadi agak reda. Begitu juga air mata Damia yang disulami rasa syukur dan terharu.
Damia dan Mak Cik Zainab saling berpelukan. Kata maaf dan terima kasih tak henti meniti di bibir. Hari ini, Allah hantarkan Mak Cik Zainab untuk rungkaikan segala masalah mereka biarpun banyak pancaroba yang dihadapi oleh mereka. Benar, tutup buku lama, buka buku baru.
Syafiq hanya senyum gembira menyaksikan itu kerana hubungan mereka yang sempat renggang mampu dirapatkan semula.
Bersambung...
Share this novel