"Nurin, Nek Da masuk ye.."
"Masuk lah, Nek Da. Pintu tak kunci."
Tombol dipulas. Terbias di mata tuanya wajah cucu kesayangannya. Cucu yang sudah lama menjauhinya sejak 13 tahun yang lalu. Entah apa yang menghantui fikirannya hingga membuatkannya menjejakkan kaki ke kampung halaman.
"Nurin tak kerja ke, cu? Dah seminggu Nurin duduk sini. Cuti lama-lama tak apa ke?" Soal Nek Da.
"Nurin dah berhenti, Nek Da." Jawab Nurin lembut. Kepalanya ditundukkan bagi melindungi wajahnya yang sembap.
Nek Da tersenyum. Sopan saja Nurin menjawab pertanyaannya. Tidak seperti Nurin yang dulu.
"Kenapa berhenti? Kan Nurin nak sangat jadi interior designer?"
"Tak apa lah, Nek Da. Nurin nak rehat puas-puas. Serabut fikiran nak tangani fiil pelanggan. Baik Nurin duduk kat sini. Boleh teman Nek Da, kan?"
"Pandai lah kamu.. Dah tu, Mika macamana?"
"Err..." Kelu lidah Nurin bila disoal sebegitu.
"Nurin ada masalah dengan Mika ke? Cerita lah.. Nek Da sudi dengar."
"Takde lah, Nek Da. Kitorang ok je. Mika sibuk tak dapat cuti. Tu yang Nurin datang sorang. Nek Da tak suka ke Nurin datang?"
"Hish, apa pulak tak suka. Nek Da suka sangat. Mika tak dapat cuti ye.. Tapi takkan takde masa nak hubung Nurin? Sms ke whatsapp ke? Tak pernah pulak Nek Da tengok Nurin pegang telefon."
"Errkk.. Sebenarnya.. Errr.." Nurin menggaru dahi. Alamak! Nak bagitahu apa ni? Takkan nak bagitahu Nek Da yang aku lari bawa diri ke sini..
"Hmm.. Nanti bila-bila Nurin dah sedia, Nurin bagitahu Nek Da ye. Tak apa, Nek Da faham." Nek Da segera bangkit. Namun Nurin sempat memaut lengannya.
"Nek Da.." Rengek Nurin. Bahu Nek Da dipaut. Tubuh tua itu dipeluk kejap. Buat kesekian kalinya tangisan Nurin terhambur di bahu tua itu.
"Kenapa ni, sayang?" Tanya Nek Da. Belakang tubuh Nurin diusap lembut.
"Mika.." Rengek Nurin bersama tangisan yang masih bersisa.
"Kenapa dengan Mika?"
"Mika tipu Nurin."
"Pasal amnesia tu?" Angguk.
"Nurin marah ke?" Angguk lagi.
"Nurin sayang Mika ke?" Tanpa sedar Nurin masih lagi mengangguk.
"Oo jadi ni kes Nurin merajuk lah ni kan?"
"Nurin tak merajuk lah Nek Da. Nurin cuma kecil hati. Sampai hati Mika tipu Nurin."
"Nurin, jangan sesekali meletakkan kesalahan di bahu orang lain. Bila berlaku sesuatu perkara yang menyebabkan berlakunya perselisihan faham, ada baiknya kesalahan itu kita yang menanggung walaupun kesalahan tu bukan berpunca dari diri kita sendiri. Letakkan diri kita pada posisi tersebut. Fikir positif dan buangkan andaian negatif. Percayalah sepahit manapun kesakitan yang dialami kini, pasti ada hikmah dan kemanisan masa akan datang."
Nurin termangu seketika. Menimbang-tara setiap patah perkataan yang diluahkan Nek Da sebentar tadi. Dia akui ada benarnya setiap apa yang diucapkan oleh Nek Da. Dalam hal antara dia dan Mika, memang dia bersikap terburu-buru.
"Maafkan Nurin, Nek Da. Nurin ambil keputusan datang ke sini tanpa fikir panjang. Nurin bersikap terburu-buru. Nurin cuma nak tenangkan fikiran."
"Tak apa.. Nek Da faham. Nurin buat macam ni sebab Nurin sayang dan cintakan Mika kan?"
"Errkk.." Alamak! Soalan maut.
"Nurin, cinta itu bukan hanya pada rupa mahupun fizikal. Ianya bukan pada kata-kata juga perbuatan semata. Juga bukan untuk dipertikaikan kerana usia. Nek Da tahu Mika lebih muda dari Nurin. Tapi tu bukan tiket untuk Nurin tidak boleh mencintai Mika, suami Nurin sendiri. Buka mata, buka hati, buka minda. Fikir sebelum berkata, sayang."
"Terima kasih, Nek Da. In shaa Allah, Nurin akan ingat segala pesanan Nek Da."
Share this novel